KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, July 17, 2014

CENDAWAN - USAHAWAN DI MALAYSIA

CENDAWAN (Mushrooms)  merupakan satu komoditi yang semakin penting dalam bidang pertanian kerana kehebatan khasiatnya dan nilai tambah daripada cendawan. Malaysia sebuah negara beriklim tropika yang mempunyai cuaca panas dan lembab serta mempunyai bahan asas mencukupi untuk memajukan industri tanaman cendawan sepanjang tahun. Jika dibandingkan dengan negara yang beriklim sejuk, kita mempunyai potensi besar untuk memajukan sektor ini dengan perancangan dan perlaksanaan yang betul. Laporan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa di Malaysia terdapat seramai 428 orang usahawan cendawan yang sedang bergiat aktif dalam industri ini pada tahun 2014 dengan menghasilkan sebanyak 30,500 kg sehari (30.5 metrik tan sehari) atau sekitar 10,675 metrik tan cendawan segar setahun. Kebanyakan cendawan ini adalah untuk kegunaan domestik dan hanya sebahagian kecil cendawan segar diekspot kenegara jiran. Dalam masa yang sama, Malaysia juga merupakan 'net importer' produk cendawan dari luar negara terutamanya jenis cendawan kering bernilai RM150 juta setahun terutama daripada negara China berbanding dengan  nilai ekspot cendawan segar hanya RM45 juta setahun. Penggunaan cendawan dinegara kita adalah tinggi terutama ia digunakan sebagai makanan kesihatan dan juga berkhasiat. Artikel petang Khamis ini sementara menunggu waktu berbuka saya berkesempatan untuk menulis lagi di dalam "Anim Agro Technology" artikel ke 2,676 mengenai maklumat berkaitan dengan usahawan-usahawan cendawan di Malaysia untuk dibuat rujukkan.


Pengusaha cendawan paling ramai adalah di Negeri Johor dengan jumlah seramai 91 pengusha diikuti dengan Selangor (60), Pahang (46), Kelantan (42), Perak (40), Terengganu (35), Kedah (26), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (24), Sabah (15), Melaka (13), Sarawak (7) dan Perlis (5). Bagaimana pun dari segi pengeluaran cendawan segar didapati Negeri Selangor mengeluarkan 12,724 kg (48%) pengeluaran cendawan nasional sehari untuk pasaran sekitar Lembah Kelang dan juga di ekspot. Negeri Johor pula menghasilkan cendawan segar harian sebanyak 9,733 kg ((32%) daripada pengusaha terutama dari kawasan Daerah Muar dan juga Daerah Ledang. Ini menunjukkan Selangor dan Johor telah menguasai sebanyak 80% pengeluaran cendawan segar di Malaysia dimana 66% daripada jenis cendawan dihasilkan adalah jenis Tiram Kelabu (Pleurotus pulmonarius). Jenis cendawan-cendawan lain yang ada ditanam di Malaysia adalah seperti Tiram Putih, Ganoderma, Shiitake, Enoki, White Shimeji, Edible Black Fungus, King Oyster, Monkey Head, Button Mushroom, Brown Mushroom, Telinga Kera, Jarum Mas, Abalone, Perut Lembu, Chahu, Berangan dan akhir sekali adalah jenis Susu Harimau. 


Laporan yang saya teliti menunjukkan Kedah merupakan negeri dimana ia menghasilkan cendawan sebanyak 1,824 kg sehari iaitu ketiga terbanyak. Cendawan jenis Shiitake hanya dilaporkan dikeluarkan di Sabah (100 kg sehari) dan lebih banyak lagi dikeluarkan di Kedah (430 kg sehari). Melihat kepada cendawan ganoderma atau Lingzhi, ia dihasilkan di Kedah (430 kg sehari), Selangor (104 kg sehari) dan Sabah (2 kg sehari). Cendawan Tiram Putih pula dihasilkan di Kedah (630 kg sehari), Selangor (426 sehari), Negeri Sembilan (50 kg sehari), Johor (425 kg sehari) dan Kelantan (20 kg sehari). Cendawan jenis Button Mushroom ada di tanam di dua negeri iaitu  di Perak (200 kg sehari) dan di Selangor (6,000 kg sehari). Walau pun ramai kenal akan cendawan Abalone, tetapi tidak banyak penanaman dibuat di Malaysia kerana hanya dilaporkan ditanam di Selangor (10 kg sehari) dan di Johor (30 kg sehari) sahaja. Cendawan Telinga Kera bagaimana pun lebih banyak negeri yang terlibat untuk penanamannya iaitu di Sabah (5 kg hasil sehari), Kelantan (20 kg/hari), Johor (65 kg/hari) dan juga di negeri Selangor (104 kg/hari). Hanya satu syarikat swasta yang mengusahakan cendawan Susu Harimau di Selangor dimana ia masih dalam peringkat awal penghasilan. Banyak jenis cendawan yang ditanam oleh pengusaha dan syarikat yang beroperasi di Johor, Selangor dan Kedah. 


Syarikat DXN Pharmaceutical Sdn Bhd yang berpengkalan di Kubang Pasu, Kedah merupakan satu syarikat lama yang berpengalaman menanam cendawan yang berskala besar di Kedah. Cendawan Ganoderma merupakan asas kepada syarikat ini untuk beroperasi. Seterusnya Syarikat Jin Teik Organic Health Food Sdn Bhd yang beroperasi di Jitra, Kedah juga menjalankan penanaman cendawan Enoki, Shiitake, King Oyster, Tiram Putih, Tiram Kelabu, Edible Black Fungus, White Shimeji, Monkey Head dan juga King Oyster. Di selangor terdapat beberapa syarikat berasaskan cendawan yang besar seperti Damansara Mushroom Industry Sdn Bhd di Jenjarom (Tiram Kelabu dan Tiram Putih), Syarikat Vita Agro Tech Sdn Bhd di Tanjung Sepat, Nas Agrofarm di Sepang, Ganofarm Sdn Bhd di Sepang dan Sykt Champ Fungi Sdn Bhd di Kelang. Di Negeri Johor pula Syarikat CnC Mushroom Cultivation Farm Sdn Bhd di Muar, Pan Gold Resources Sdn Bhd, Ever Grow , Healthy Grow, The One Mushroom Cultivation (Gersik, Muar),Sindora Timber Mushroom Cultivation ((Kota Tinggi), Lee Kiong Bing (KT),Intisari Mushroom Enterprise (Kluang), Heng Heng Farming (Kluang)Green Warmer Resources (Johor Bahru) My Organic Mushroom Sdn Bhd (JB) banyak lagi. Syarikat-syarikat dan individu yang telah menanam cendawan mempunyai pengalaman dan pasaran masing-masing mengikut lokaliti. Semuga industri cendawan akan terus berkembang di Malaysia dimasa akan datang. Wasallam!.
USAHAWAN KITA... MERATA-RATA...
BERSAIZ KECIL... BESAR PUN ADA...
DI JOHOR...RAMAI USAHAWANNYA...
INDUSTRI INI... MAJU AKHIRNYA...

By,
M Anem,

Senior Agronomist,
Projek Cendawan Kontrek Farming,
Kg Tiong Baru, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(19 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...