Support My Blog

Thursday, July 3, 2014

KELAPA SAWIT - PEMBAJAAN (Part 2)

PEMBAJAAN KELAPA SAWIT merupakan satu aktiviti yang penting dijalankan demi mempastikan tanaman tersebut mampu hidup subur dan menghasilkan buah berkualiti. Tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) juga merupakan tanaman utama di Malaysia dan beberapa negara jiran lain untuk menghasilkan minyak masak dan pelbagai produk yang berasaskan kelapa sawit lain. Tanaman kelapa sawit mampu menghasilkan buah sebanyak 2.5 metrik tan sehektar pada waktu puncak atau lebih lagi jika diuruskan dengan baik melalui sistem pembajaan dan kawalan musuh dan penyakit dengan baik. Apalah maknanya jika hasil buah kepala sawit hanya dicapai kurang satu tan sehektar akibat tidak dibuat pembajaan dengan baik. Serangan musuh seperti tikus juga perlu dikawal dengan baik kerana keujudan tikus yang banyak diladang akan memakan dan merosakan buah-buah masak sehingga merugikan. Kadang-kadang berlaku pembaziran semasa membaja apabila baja yang baru ditabur dibawah pokok telah dihanyutkan oleh air hujan sebaik sahaja selesai proses pembajaan. Ini memang amat merugikan dimana kos harga baja kini bukan murah seperti dahulu. Kerugian 'surface run-off' baja yang baru ditabur ini dimana pokok tidak akan dapat bekalan baja sewajarnya. Pokok kelapa sawit adalah responsif terhadap aplikasi baja yang digunakan sama ada ianya baja kimia baik (Fast release fertilizer) atau baja biasa (slow release fertilizer) atau juga aplikasi baja organik yang semakin popular masakini. Pembajaan merupakan komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam sesuatu operasi ladang kelapa sawit. Banyak ladang yang telah berjaya meningkatkan hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Artikel subuh ini saya menulis lagi Part 2 daripada 4 siri artikel dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan membaja kelapa sawit untuk bahan bacaan dan rujukan anda.


Sebaiknya pengurus ladang kelapa sawit dan juga pekebun kecil mengetahui keperluan zat nutrien pada pokok kelapa sawit sebelum membeli baja. Lazimnya daripada bahan kajian mendapati jenis Nutrien Utama dan Nutrien Mikro yang diperlukan sepanjang kehidupan pokok kelapa sawit. Lima jenis nutrien utama untuk kelapa sawit adalah N, P, K, Mg dan Ca. Bagi Nitrogen (N) ia amat penting dalam pembentukan klorofil, protin dan beberapa enzim dalam tumbuhan. Nitrojen (N) ini juga memberi kesan terhadap luas permukaan daun, warna daun dan kadar penghasilan daun. Kesan kekurangan N amat nyata pada pokok sawit muda yang ditanam pada kawasan berprofil cetek, berpasir ataupun tanah yang tidak bersaliran baik. Selalunya sumber baja untuk N contohnya ammonium sulfat (21%N), urea (46%N), dan ammonium nitrate (34%N). Kedua pula adalah nutrien bernama Fosforus (P) dimana kekurangan P boleh menyebabkan pertumbuhan palma terbantut, pelepah pendek, ukurlilit batang dan saiz tandan kecil. Bagaimanapun, kandungan P secara berlebihan dalam palma boleh menindas pengambilan kuprum (Cu) dan zink (Zn). Selalunya sumber baja fosforus contohnya CIRP (35% P2O5), TSP (46% P2O5) dan Gafsa (29% P2O5).


Ketiga sumber utama baja kelapa sawit adalah umsur Kalium (K). Laporan mendapati kandungan K yang mencukupi boleh meningkatkan ketahanan pokok sawit terhadap serangan penyakit dan terutama pada musim kemarau serta boleh meningkatkan bilangan dan saiz tandan. Kekurangan K pada palma kerap berlaku pada jenia tanah berpasir dan gambut. Tanda-tanda kekurangan K adalah bintik-bintik oren (orange spotting) pada daun dan dalam keadaan teruk hujung daun menjadi kering. Kandungan K yang berlebihan dalam palma boleh menjejaskan kandungan minyak dalam tandan sawit, merendahkan kandungan boron (B) dan magnesium (Mg) dalam palma. Sumber K adalah seperti MOP (60% K2O) dan abu tandan (bunch ash) (30-40% K2O). Keempat penting sebagai sumber utama adalah Magnesium (Mg) iaitu elemen utama dalam klorofil dan sangat penting untuk kecekapan fotosintesis.Selain itu ia juga berperanan untuk metabolisma fosfat, respirasi tumbuhan dan pengaktifan enzim. Kekurangan Mg kerap berlaku pada tanah berpasir dan sangat berasid. Daun pada pelepah tua yang terdedah pada matahari akan menjadi kuning/oren bermula pada tepi lai daun. Dalam keadaan teruk hujung dan keseluruhan pelepah bawah akan berwarna kuning/oren dan menjadi kering. Kandungan K dan Ca yang tinggi dalam tanah boleh menjejaskan pengambilan Mg oleh palma. Sumber Mg adalah seperti Kieserite (27% MgO) dan GML (18-20% MgO). Unsur kelima utama adalah Kalsium (Ca) walaupun keperluan Ca tidak begitu ketara pada tanaman sawit. Keperluan Ca oleh pokok sawit dapat dipenuhi secara tidak langsung dengan pemberian baja fosfat (RP) dan kapur (GML) kerana kedua-duanya mengandungi Ca. Hanya diperlukan pada tanah berasid dan gambut untuk mengurangkan keasidan tanah dan seterusnya meningkat penyerapan nutrien lain seperti N, P dan unsur mikro oleh palma. Sumber: GML (18 – 20% MgO).


Bagi Mikro Nutrien untuk tanaman kelapa sawit disenaraikan sebanyak 3 jenis yang penting iaitu Boron, Kuprum dan Zink. Unsur Boron (B) lazimnya apabila berlaku dimana kekurangan boron menyebabkan rupabentuk daun tidak normal seperti daun bercangkuk (hooked leaf), daun kerinting (crinkled leaf), daun pelepah kecil, daun berbentuk tulang ikan (fish-bone leaf) dan cacat hujung daun (blind leaf). Keperluan B pada palma meningkat apabila pendebungaan sawit bertambah baik dengan bantuan agen-agen yang melakukan proses pendebungaan seperti kumbang jenis Elaeidobius kamerunicus. Kekurangan B juga berkaitan dengan kandungan N, K dan Ca yang tinggi dan tidak seimbang pada pokok sawit. Sumber B: Pelbagai sumber sodium borate seperti HGFB (46-48% B2O3). Kedua adalah unsur mikro dinamakan sebagai Kuprum (Cu) dimana kekurangan Cu berlaku pada pokok sawit yang ditanam pada tanah gambut atau sangat berpasir. Gejala yang teruk menyebabkan pucuk/daun pelepah muda menjadi pendek, kuning dan akhirnya kering. Juga dikenali sebagai 'mid-crown chlorosis'. Sumber Cu adalah seperti kuprum sulfat.  Akhir sekali unsur mikro ketiga adalah bahan Zink (Zn) dimana bila berlaku kekurangan Zn kerap berlaku pada tanah gambut dan boleh menjejaskan pembentukan vegetatif dan reproduktif palma. Daun pelepah bahagian bawah kekuningan dan dikenali sebagai 'peat yellow'. Sumber Zn adalah seperti zink sulfat. Apa pun kita perlu menjalankan analisa keperluan baja pada pokok kelapa sawit sebelum membeli baja. Bersambung pada artikel sama Part 3. Wasallam!
MEMBAJA SAWIT... ADA JADUALNYA....
WAKTU HUJAN..CUBA ELAKANNYA...
BAJA BAIK... CEPAT KESANNYA...
HASIL TINGGI... BAIK KUALITINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
BAndar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...