KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, July 4, 2014

KELAPA SAWIT - PEMBAJAAN (Part 3)

PEMBAJAAN KELAPA SAWIT merupakan satu aktiviti yang penting dijalankan demi mempastikan tanaman tersebut mampu hidup subur dan menghasilkan buah berkualiti. Tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) juga merupakan tanaman utama di Malaysia dan beberapa negara jiran lain untuk menghasilkan minyak masak dan pelbagai produk yang berasaskan kelapa sawit lain. Tanaman kelapa sawit mampu menghasilkan buah sebanyak 2.5 metrik tan sehektar pada waktu puncak atau lebih lagi jika diuruskan dengan baik melalui sistem pembajaan dan kawalan musuh dan penyakit dengan baik. Apalah maknanya jika hasil buah kepala sawit hanya dicapai kurang satu tan sehektar akibat tidak dibuat pembajaan dengan baik. Serangan musuh seperti tikus juga perlu dikawal dengan baik kerana keujudan tikus yang banyak diladang akan memakan dan merosakan buah-buah masak sehingga merugikan. Kadang-kadang berlaku pembaziran semasa membaja apabila baja yang baru ditabur dibawah pokok telah dihanyutkan oleh air hujan sebaik sahaja selesai proses pembajaan. Ini memang amat merugikan dimana kos harga baja kini bukan murah seperti dahulu. Kerugian 'surface run-off' baja yang baru ditabur ini dimana pokok tidak akan dapat bekalan baja sewajarnya. Pokok kelapa sawit adalah responsif terhadap aplikasi baja yang akan digunakan sama ada ianya baja kimia baik (Fast release fertilizer) atau baja biasa (slow release fertilizer) atau juga aplikasi baja organik yang semakin popular masakini. Pembajaan merupakan komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam sesuatu operasi ladang kelapa sawit. Banyak ladang yang telah berjaya meningkatkan hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Artikel subuh ini saya menulis lagi Part 3 daripada 4 siri artikel dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan membaja kelapa sawit untuk bahan bacaan dan rujukan anda.


Part ke 3 ini saya terus membincangkan beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pengambilan nutrien oleh pokok kelapa sawit. Pertama sekali adalah Faktur Kaedah Penaburan Baja yang sesuai diamalkan. Ketepatan pengamalan cara menabur secara manual iaitu samada di bulatan atau diantara barisan pelepah. Elakkan menabur pada pangkal pokok kerana bahagian akar kelapa sawit yang aktif terletak dihujung kanopi daun (Sila lihat foto disebelah). Terdapat juga beberapa pekebun yang menggali lubang dihujung kanopi daun dan menanam baja dalam lubang tersebut dimana ia membolehkan daripada kejadian larian air permukaan jika hujan lebat. Faktur kedua dalam pembajaan kelapa sawit dalam menilai kesan pembajaan adalah Masa Penaburan atau pun Cuaca ketika menabur. Elakkan aplikasi baja pada musim panas berpanjangan atau musim hujan. Musim panas yang panjang menyebabkan tanah kering dan akan berlaku kurang pengambilan baja yang ditabur pada tanah kerana kekurangan bendalir dalam pokok. Kadar penyerapan baja kurang jika tanah disekelilingnya menjadi kering. Begitu juga jika hujan lebat berpanjangan makan baja yang ditabur pada pokok kelapa sawit akan 'hilang' dibawa arus air kedalam parit atau berlaku larutrespan yang tinggi.


Faktur ketiga boleh mempengaruhi keberkesanan pembajaan adalah faktor Kekerapan Penaburan Baja diladang. Ia lazimnya akan bergantung kepada topografi ladang, jenis tanah, jumlah hujan tahunan dan jenis baja. Sebaiknya pembajaan yang kerap adalah lebih cekap berbanding dengan jadual pembajaan yang jarang-jarang tetapi sebaliknya ia melibatkan masa dan kos upah membaja yang lebih tinggi. Keempat adalah faktur Kadar Baja yang digunakan untuk kelapa sawit setiap kali pembajaan dibuat. Kadar pembajaan sebaiknya mengikut kadar atau syor seperti ditulis pada label atau ia mesti disesuaikan iaitu bergantung kepada umur pokok dan potensi hasil sesuatu kawasan. Lokasi pembajaan atau Tempat Perletakan Baja memberikan kesan kepada faktur pembajaan. Bergantung kepada umur pokok dan topografi iaitu baja ditabur samada di bulatan, lorong pelepah atau teres seperti dibincangkan lebih awal. Akhir sekali yang keenam adalah menganai faktor Kualiti Baja yang digunakan. Baja yang tidak berkualiti mempunyai kadar nutrien yang lebih rendah daripada yang sepatutnya dan jika tidak diambil perhatian menyebabkan pokok tidak mendapat zat nutrien yang cukup dan kerugian pada pihak ladang. Dua komponen yang perlu diberi perhatian iaitu komposisi nutrien dalam baja dan peratusan kelembapan pada baja. Oleh itu setiap jenis baja yang diterima perlu disampel untuk analisa kedua-dua komponen berkenaan sebelum baja tersebut diaplikasi ke ladang.


Peningkatan penghasilan Buah Tandan Sawit (BTS) lazimnya sangat bergantung kepada beberapa faktor seperti tanah, pembajaan, cuaca (hujan, suhu, cahaya), amalan agronomi dan tahap pengurusan ladang. Oleh kerana baja merupakan antara komponen kos yang tinggi dalam operasi perladangan sawit maka diosyorkan agar kualiti baja dan keberkesanan pembajaan janganlah dipandang ringan oleh pekebun kecil atau pun pihak pengurusan estet kelapa sawit. Harga baja kelapa sawit terus meningkat saban tahun akibat kenaikan harga bahan asas baja iaitu petrolium semanjak tahun 2008. Baja kimia merupakan pilihan terbaik untuk digunakan disamping baja-baja organik yang ada dijual dipasaran. Pada saya diantara faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pembajaan adalah seperti Kaedah membaja, Masa sesuai untuk penaburan, Kadar pembajaan, Persaingan rumpai, Bilangan jumlah pokok yang dibaja dan juga kesan daripada serangan perosak dan penyakit. Pengurusan ladang sawit yang baik mampu memberikan pulangan tinggi jika hasil BTS banyak dengan kualiti BTS yang baik serta harga pasaran sawit yang baik. Pembajaan kelapa sawit sering dijadikan isu utama oleh penanam kelapa sawit diseluruh nusantara. Bersambung pada Artikel Part 4. Wasallam!.
MEMBAJA SAWIT... ADA JADUALNYA....
WAKTU HUJAN..CUBA ELAKANNYA...
BAJA BAIK... CEPAT KESANNYA...
HASIL TINGGI... BAIK KUALITINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
BAndar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...