KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, July 26, 2014

RUMPAI - RUMPUT ISRAEL

RUMPUT ISRAEL (Asystasia gigantica L) merupakan sejenis tumbuhan kategori rumpai dari keluarga Acanthaceae dan kingdom Plantae yang banyak tumbuh di negara kita. Rumput Israel mendapat nama 'Israel' di Malaysia berdasarkan kepada kemampuannya membiak dengan cepat di kawasan kebun dan tepi jalan serta berperangai macam orang Israel yang agaknya suka merampas kawasan negara orang lain seperti negara Palestin. Rumpai ini merupakan musuh utama kepada petani-petani di Malaysia kerana ianya cepat membiak dan di dapati menggunakan banyak ruang dan menggunakan banyak baja dalam tanah. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini ialah Chinese Violet, Coromandel, Creeping Foxglove dan Asystasia (English). Saya memang sangat kenal akan rumput ini kerana memang banyak tumbuh diseseliling rumah saya di kampong iaitu di Johor iaitu dibawah pokok kelapa sawit. Apa yang pasti adalah rumput ini tidak ujud semasa dulu (sekitar tahun 1980'an) dan saya fikir ia berkemmungkinan ia datang dari tempat lain. Banyak kawasan kebun kelapa sawit, kebun getah, kebun pisang sama ada di tanah gambut atau tanam mineral ditumbuhi dengan rumput israel. Ia akan kelihatan lebih cepat membiak ketika musim hujan dan panas silih berganti. Rimbunan rumput israel ini yang mampu memanjang eumpai lain membolehkan ia memenuhi ruang. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat mengenai rumput Israel berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman bertugas dalam bidang pertanian selama 34 tahun. Beberapa artikel mengenai rumput israel juga saya tulis (Sila klik disini) dan (Sila klik disini).


Rumput Israel tumbuh diseluruh dunia terutama dikawasan tropika dan sub-tropika dimana ia mendapat cahaya matahari yang mencukupi. Tidak dapat di pastikan asal-usul rumput Israel ini tetapi di percayai jenis Asystasia gigantica adalah dari Benua Asia (mungkin Asia Tenggara) dan jenis Asystasia micranta pula dipercayai dari benua Afrika. Terdapat 14 lagi spesis rumput israel dimana nama-nama rumput Israel diseluruh dunia iaitu A. parvula, A. querimbensis, A. pubesens, A. subhastata, A. quartena , A. scabrida, A. floribunda, A. coromandeliana, Justicia gagentica, A. acuminata, A. micrantha, A. multiflora, A. anselliondes dan A. podostarchy. Rumput ini mudah didapati di Amerika dan Hawai serta kawasan Australia Utara dan Barat. Rumpai ini memang mudah tumbuh dipelbagai jenis tanah dan dalam pelbagai jenis keadaan cuaca. Ia tahan lasak kerana mempunyai sistem pengakaran yang kuat dan boleh 'supress' rumpai lain yang tumbuh disekelilingnya.


Rumput Israel adalah sejenis tumbuhan RUMPAI yang tumbuh renek (herbs) dengan ketinggian 60 cm dan jika mendapat sokongan atau merambat mampu hidup setinggi 1 meter dari paras tanah. Batangnya berwarna hijau gelap dan mampu menjalar atau memanjat sokongan melalui cara lilitan. Batangnya mempunyai ruas-ruas dimana dari ruas ini mudah akarnya keluar dari setiap ruas (nodes) yang mencecah tanah. Ini satu ciri kehebatan rumput israel dimana ada bahagian pokok yang boleh diambil makanan seperti di celah-celah batang pokok kelapa sawit. Asalkan ada makanan tumbuhan ini seakan pokok menumpang pada batang kelapa sawit. Apa yang saya perhatikan daunya berbentuk mudah dengan mempunyai cara susunan bertentangan (opposite). Daun yang berwarna hijau gelap atau hijau muda ini berukuran 3-5 cm panjang dengan bentuk hujung meruncing dan tangkai daun yang pendek. Akarnya merupakan jenis akar serabut yang mudah tumbuh apabila mencecah tanah dan lain-lain lokasi sesuai. Pada tanah gambut, tumbuhan ini mudah dicabut dengan tangan tetapi tidak pada jenis tanah mnineral. Tumbuhan ini agak tahan dengan keadaan lembab dan kering yang agak panjang. Ia merupakan satu ciri rumput israel yang mampu menyimpan air dalam batang dan tahan walau pun kemarau berpanjangan.


Bunga rumput Israel berbentuk corong atau macam-macam bentuk lain dan lazimnya berwarna putih, putih-ungu atau ungu. Bunga rumput Israel yang berwarna garang seperti putih, ungu atau kebiruan sebenarnya mengandungi nektar manis atau gula yang sangat disukai oleh lebah, semut, kumbang dan berbagai serangga yang memakan nektar (Sila lihat foto disebelah). Pemerhatian saya mendapati bunga rumput Israel adalah sumber nektar dan debunga yang sangat digemari oleh Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Impot (Apis mellifera) dan juga Lebah Kelulut (Trigona spp). Lebah ini amat suka mengunjungi bunga rumput israel berulang dan banyak kali sehari kerana ia dipercayai mampu mengeluarkan nektar untuk diambil oleh lebah madu. Apabila bunga telah menjalani proses pendebungaan maka ia akan terjadi buah. Buah rumput Israel berwarna hijau ketika muda dan kecoklatan apabila matang. Kemudian buah ini akan 'MELETUP' dan mencampakkan bijinya sejauh 1 meter atau lebih. Biasanya benih tersebut akan mudah hidup untuk proses pembiakan seterusnya dengan cepat. Proses pertumbuhan anakbenih kepada tumbuhan dewasa sangat cepat iaitu dalam masa beberapa minggu sahaja untuk terus berbunga dan berbuah dan meletupkan bijinya.


Pemerhatian saya di Kampong Parit Bengkok Gersik, Muar, Johor dimana disekeliling rumah adalah tanaman kelapa sawit ditanah gambut, banyak rumput Israel tumbuh terutama di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari dan kawasan tepi parit utama. Kajian lain juga didapati kawasan tanaman getah juga mudah rumput israel tumbuh dimana keadaan ini menyusahkan petani dan rumpai memang amat perlu di musnahkan. Rumput ini segar di waktu pagi dan agak layu sedikit sewaktu tengahari terutama musim panas. Keadaan hujan dan panas silih berganti dengan tiupan angin kuat lazimnya akan mempercepatkan proses pembungaan dan pembiakan rumput Israel. Dalam pada itu saya ada letak 2 haif lebah madu yang mengandungi lebah keran dan dapat juga madu 5 botol pada tahun 2002 dulu. Kualiti madu lebah daripada rumput israel dan beberapa tanaman lain berkualiti setanding dengan madu lain. Tapi apa yang hendak buat apabila semua lebah telah mati kerana jiran saya telah menyembur racun rumpai Basta pada rumput Israel. Ini menyebabkan apabila lebah berkunjung dalam kebunnya yang diracun menyebabkan lebah yang makan nektar semuanya mati, itu datang ilham tulis lagu "Madu dan Racun". Oleh itu perlu kita tutup pintu haif lebah semasa berlaku orang meracun dan berikan makanan tambahan kedalam haif lebah untuk satu tempoh yang sesuai.


Rumput Israel adalah masalah kepada petani kerana rumput ini sangat kuat makan baja dan air serta mengambil ruang atau menutupi ruang tanah. Pemerhatian saya mendapati jika rumput ini tidak dikawal dari peringkat awal maka ia akan memenuhi keseluruhan ruang tanah dalam kebun sayur, ladang kelapa sawit dan ladang getah sehingga didakwa kesannya mampu mengurangkan hasil sehingga 25%. Kaedah kawalan lazimya menggunakan racun rumpai jenis Racun Sentuh (Contact Weedicide) untuk keadaan belum serius infestasinya. Digalakan jiga kadang-kadang jika terlalu tebal perlu digunakan racun rumpai jenis Racun Sistemik (Systemic weedicide). Kaedah manual kawalan rumput israel adalah dengan menebas atau mencabut (mudah dijalankan di tanah gambut) kerana akar yang cetek dan batang yang ampuh. Walau pun cara manual ini amat berkesan tetapi ia juga efektif apalagi kalau rumput israel yang dikumpulkan dibakar setelah ia kering. Kita juga kena fikir sebenarnya apakah dia kegunaan rumput Israel. Beberapa perenggan selepas ini akan membincangkannya.

Terdapat beberapa negara yang telah juga menggunakan rumput Israel sebagai sayuran seperti di Afrika (Jenis agak berlainan dengan yang ada di Malaysia iaitu (Asystasia micrantha). Saya tidak pasti rasanya jika dibuat sayur tetapi mungkin enak juga daripada makan rumput lalang!. Selain itu tumbuhan ini juga di percayai dapat mengubati penyakit Lelah, Semput atau Asthma. Rumput ini juga sesuai dijadikan bahan makanan untuk ternakan Lembu, Kambing dan yang terkini Arnab. Rumput ini boleh di potong dan di bawa kekandang lembu atau kambing untuk dijadikan bahan makanan. Kandungan bahan selulos dan protin yang tinggi didalamnya membuatkan ianya sesuai untuk maknan ternakan ruminan. Ternakan Arnab merupakan ternakan paling suka makan rumput Israel dan sesuai sebagai makanan tambahan selain daripada makanan 'pellet' yang di beli dari kilang. Sebaiknya ambil rumput israel yang segar dan dipotong dan dihantar kekandang arnab dengan kadar sesuai. Arnab akan makan dan mengunyah daun rumput israel bersama batangnya. Elakkan daripada memberi rumput israel yang tercemar dengan racun.

Ramai penternak arnab bertanya kepada saya bagaimana hendak menanam rumput Israel ini untuk makanan arnab. Rumput Israel juga digunakan sebagai pokok hiasan atau ornamental oleh pengemar-pengemar landskap dan taman-taman. Bunganya yang putih atau ungu jika di gabung dan disusun akan menghasilkan permandangan yang cantik. Rumput Israel juga sesuai untuk dijadikan sebagai penahan hakisan terutama di kawasan tepi parit, sungai atau lebuhraya yang sesuai. Walau pun ianya tidak dikategorikan sebaik rumput penahan hakisan khusus tetapi fungsinya untuk menghalang hakisan adalah signifikan. Saya juga mendapati ada sesetangah ladang sawit menggunakan rumput Israel sebagai tanaman penutup bumi secara semulajadi (Lihat foto diatas). Kawasan keliling Pokok Sawit atau Getah di bersihkan dan diantara barisan dibiarkan rumput Israel hidup sebagai penutup bumi.


Rumput Israel mudah di tanam dan jika ada pihak yang hendak menanam atau membiakan rumput Israel bagi tujuan makanan arnab contohnya boleh menanam rumpai tersebut. Pastikan kawasan yang hendak di tanam dengan rumput Israel berdekatan dengan kandang ternakan arnab. Tanah tersebut sama ada tanah mineral atau gambut sepatutnya mendapat caha matahari atau pun jika ada sedikit lindungan 40-60% memadai. Bersihkan kawasan dari sebaraang tumbuhan lain dan sebaikan tanah digemburkan. Berikan baja organan di atas tanah dan ambil pokok sedia ada bersama-sama tanahnya untuk ditanam. Penggunaan biji benih rumput Israel yang matang boleh digunakan dengan mengutip dan menabur diatas tanah. Menanam musim hujan mempercepatkan pertumbuhannya. Buang rumput2 lain dan biarkan Asystasia sahaja yang tumbuh dan sentiasa potong batang atau daunnya untuk di beri sebagai makanan arnab. Untuk ratoon bubuh baja organan dengan kadar 4-6 mt/ha dan Urea.


Kebanyak petani menganggap rumput Israel sebagai musuh mereka dan perlu dihapuskan. Kini terdapat golongan yang mula memenafaatkan rumput Israel iaitu bagi golongan Penternak Lebah Madu dan juga Penternak Arnab. Dalam pada itu rumput israel juga berperanan sebagaii tumbuhan yang mampu untuk mengawal hakisan tanah. Ia amat jelas dikawasan yang bercerun atau kawasan teres diladang yang juga seakan sebagai tumbuhan penutup bumi. Beberapa projek pembinaan juga lazimnya akan membiarkan tumbuhan rumput ini sebagai pengawal hakisan dan larian permukaan tanah. Kajian dan penelitian terhadap rumput Israel ini perlu diteruskan untuk mempastikan ianya tidak mengancam industri pertanian negara dan memberikan alternatif untuk pengunaan tumbuhan ini. Mungkin satu hari nanti rumput ini akan dijadikan sebagi salah satu daripada makanan kesihatan dalam bentul kapsul atau teh jika banyak kajian dijalankan. InsyaAllah.


RUMPUT ASYSTASIA... ISRAEL NAMANYA...
CEPAT MEMBIAK...BIJI MELETUP JAUHNYA...
KURANGKAN HASIL...ITULAH AKIBATNYA...
ARNAB MAKAN....CARA MENGATASINYA...



By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Cendana Air Keroh,
Melaka,
 Malaysia
(14 Syaaban 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...