Support My Blog

Tuesday, January 22, 2019

PISANG MASAK 40 HARI

PISANG MASAK 40 HARI (Musa spp) atau Pisang Boyan atau Pisang Lemak Manis merupakan sejenis pisang yang sangat popular di Johor, Selangor dan Perak. Pisang ini banyak ditanam dikalangan masyarakat Jawa dimana ia ditanam dikawasan keliling rumah dan dalam dusun bercampor dan agak jarang ditanam secara monokrop dengan saiz meluas komersil. Penulis blog sangat suka makan pisang ini yang mempunyai rasa sangat manis apabila masak dengan aroma atau baunya yang enak. Pokok pisang ini adalah kecil dan rendah jika dibandingkan dengan jenis pokok pisang lain. Saya dapati belum ada maklumat khusus mengenai keluasan penanaman pisang ini di negara kita kerana data yang dikumpul oleh Jabatan Pertanian tidak ada ianya menyatakan jenis pisang. Daripada 31,456 hektar penanaman pisang yang menghasilkan 335,974 metrik tan pisang pada tahhun 2012, dianggarkan hanya kurang dari 3% sahaja mungkin terdiri daripada jenis pisang masak 40 hari yang ditanam (Sumber: Laporan Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia). Penggunaan pisang ini lzimnya adalh untuk dimakan segar dan jarang dibuat kerepik tetapi ada ya membuat kuih jemput-jemput dengan pisang ini. Paling penulis blog suka adalah penggunaan pisang ini untuk dijadikan makanan diraja Pahang iaitu 'Puding Raja'. Artikel subuh Isnin ini saya fikir dan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pisang masak 40 hari atau Pisang Boyan untuk dijadikan bacaan dan rujukkan anda.


Pokok pisang ini tumbuh menegak dengan ketinggian sekitar 2-3 meter sahaja secara berumpun. Batangnya kecil dengan purata ukurlilit berukuran 15 - 20 cm dan mempunyai saiz daun agak kecil berbanding dengan jenis pisang lain (Lihat foto hiasan disebelah). Dalam satu rumpun terdapat diantara 2 - 6 batag pokok pisang bergantung kepada kesuburan tanah dan umur pokok. Ia mula mengeluarkan jantung pisang setelah 9 -10 bulan ditanam dengan saiz jantung yang juga agak kecil berukuran 30 - 50 cm panjang dengan ukurlilit jantung 12 - 16 cm berwarna ungu. Proses pendebungaan lazimnya berlaku secara semulajadi dan dibantu dengan serangga seperti semut, lalat dan lebah. Jantung pisang ini ada yang diambil untuk dijadikan ulam-ulaman atau sayuran kepada mereka yang berminat. Belum ramai yang mahu menanam pisang jenis ini kerana kurang imlu pengetahuan, kesukaran mendapatkan anak beni dan juga tiad pasaran untuk pengeluaran yang banyak. Pisang ini apabila masak juga cepat rosak berbanding dengan jenis pisang lain kerana ia mempunyai kulit yang sangat nipis.


Buah akan masak sekitar 40 hari selepas jantung pisang ini terhasil (ini mungkin menjadi asas kepada penamaan spesis pisang ini - pisang 40 hari). Tandan pisang ini lazimnya pendek dengan mempunyai diantara 3 - 6 sisir sahaja dengan bilangan jejari pisang atau biji pisang diantara 4 - 10 biji setiap sisir (Lihat foto sebelah). Bentuk buah adalah pendek bulat berukuran sekitar 4 -7 cm panjang dan berwarna hijau muda ketika ia matang dipokok. Pisang ini dituai dengan menebang batang pokok dan memotong tandan pisang. Buah ini akan menjadi kuning hijau dalam beberapa hari sebelum menjadi kuning emas apabila cukup masak secara semulajadi. Bagaimana pun jika kita rasa hendak mempercepatkan proses kemasakan buah pisang, kita boleh bubuh 'karbid' semasa penyimpanan. Kulit pisang ini adalah nipis sahaja dan modah di kopek untuk dimakan segar. Kita boleh makan sehingga satu sisir pisang ini dalam masa singkat sahaja sehingga rasa kenyang. Saya suka makan pisang ini kerana memang enak, berbau harum dan manis. Pisang ini memang selalu dihidangkan dalam majlis kenduri (tidak kira kenduri apa) dan juga dihantar kesurau atau masjid kampong sebagai hidang jemaah.


Selain daripada dimakan segar, pisang masak 40 hari juga sangat sesuai untuk dibuat kueh kegemaran saya iaitu 'Jemput-jemput Pisang' atau juga dipanggik 'Cucuk Kodok' atau ringkasnya 'Cekodok' sahaja. Lenyekkan antara 15 - 20 biji pisang masak ini dalam mangkuk dan bubuh sedikit tepung dan sedikit garam serta gula melaka dan air dimana ia perlu dikacau sehingga sebati. Panaskan minyak masak dan masukkan adunan bahan tersebut dengan sudu kedalam kuali sehingga ia masak dengan warna coklat gelap (jangan overcook). Hidangkan ketika masih panas dan kelembutan cekodok akan dirasai apabila jumlah tepong tidak terlebih adun. Ia sesuai dimakan sewaktu petang hari dengan minum kopi panas. Hidangan ini juga sesuai untuk dimakan semasa kita berbuka puasa. Selain itu pisang ini juga sesuai untuk dibuat kek pisang jika suka sebagai bahan asas utama. Apa yang saya pasti adalah pisang 40 hari ini memang jarang atau tiada yang buat 'Pisang Goreng'. Kalau ada yang buat juga agaknya... Awas! i berbuah dalam 40 hari berikutnya. Semuga anda semua mendapat info berguna dari penulisan anim agro technology kali ini.  Wasallam!..
PISANGNYA KECIL... 40 HARI MASAK...
POKOK RENDAH...KURANG PEROSAK...
MAKAN SEGAR... DIMASA SESAK...
HARGA MURAH... JANGANLAH ELAK...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(17 Rejab 1434H).
Disemak seula tulisan ini pada 17 JamadilAwal 1440
di Precint 11, Putrajaya, Malaysia - 6 tahun kemudian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...