mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 28, 2019

MINUMAN ARAK - IA MERBAHAYA

MINUMAN ARAK adalah perlakuan yang memberi kesan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pengharaman arak dan kesan buruk akibat mengambilnya telah dijelaskan dalam ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun dahulu. Antara kesan-kesannya yang disebut ialah berpaling daripada ketaatan kepada Allah seperti meninggalkan solat dan berani melakukan maksiat, boleh menghilangkan akal, serta menyebabkan kebencian dan permusuhan. Ayat-ayat Al Quran tentang pengharaman arak diturunkan dalam 4 peringkat dengan mengambilkira orang-orang yang masuk Islam ketika itu masih lagi kurang imannya dan agak sukar melepaskan tabiat kegemaran mereka ketika Jahiliyah. Tahap pertama mengatakan tentang adanya kandungan alkohol dalam anggur (An Nahl: 67), tahap kedua menyatakan tentang mudharat minum arak lebih besar daripada manfaatnya (Al Baqarah: 219), tahap ketiga pula tentang larangan melakukan solat ketika mabuk (An Nisaa’: 43) dan tahap keempat ialah penetapan terus pengharaman arak (Al Maidah: 90). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke 10 tertinggi di dunia dalam jumlah pengambilan atau minum arak oleh rakyatnya. Rakyat negara ini dilaporkan membelanjakan RM1.5 bilion untuk arak setahun. Ini adalah perkara yang amat serius tetapi tidak diambil berat oleh banyak pihak untuk membendungnya, demikian laporan akhbar The Star 23 Mei 2011). Mengimbas kembali sejarah negara kita, 36 tahun yang lepas iaitu pada 25 Januari 1981, negara diselubungi dengan berita yang amat memilukan apabila sekurang-kurangnya 32 orang disahkan meninggal dunia dalam tempoh dua hari di Lunas, Kulim akibat minum samsu murah. Seramai 49 orang lagi dimasukkan ke hospital dengan lima daripadanya menjadi buta buat selama-lamanya. Walaupun pada awalnya terdapat pelbagai aspek pandangan dan tindakan yang akan dilakukan daripada pihak Kerajaan Persekutuan hinggalah peringkat pejabat daerah akan keperluan untuk mengharamkan samsu atau arak dari bumi Malaysia namun setelah 36 tahun arak masih lagi dijual di merata tempat. Atrikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis berkaitan arak dan kesn bahayanya kepada manusia dan kesejahteraan hidup.

Pernah dikatakan bahawa di Malaysia Kerajaan Persekutuan menerima pendapatan sebanyak RM 1.75 billion bagi tahun 2010 daripada penjualan arak iaitu satu sumber pendapatan yang amat tinggi bagi negara tetapi ianya tidak bermakna kerana pendapatan tersebut dijana dengan kos kepada kesihatan dan nyawa manusia. Peruntukan undang-undang di negara kita mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kadar kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0%) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak. Masalah sosial akibat penjualan arak amat ketara seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri, gangsterisme, kemalangan, dan pelbagai masalah sentiasa menular di kalangan masyarakat di Malaysia. Statistik kerajaan membuktikan bahawa hampir 45% manusia yang minum arak murah di Malaysia adalah golongan belia yang dibawah umur 18 tahun. Kini di pasaran terdapat lebih dari 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di paras bawah RM30 dengan kandungan 40% alkohol dengan isipadu 750ml, manakala yang paling murah dijual ialah RM1.70 sebotol isipadu 125ml dengan kandungan 38% alkohol, ia sangat murah berbanding air bergas seperti 100 Plus atau sebungkus Milo ais. Pelbagai jenama yang menarik perhatian remaja bawah umur 18 tahun untuk mencuba arak-arak murah ini. Adalah tidak nampak di mana manafaatnya mengadakan Beer Festival di Malaysia sedangkan banyak negara Barat sedang mengambil langkah-langkah untuk membendung gejala sosial ini. Pengambilan alkohol jelas mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan kepada peminumnya, keluarganya, masyarakat sekeliling dan mampu menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara jika yang terlibat adalah belia-belia yang merupakan tonggak dan pewaris bangsa dan ummah.

Kajian menunjukkan dimana kesan ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa. Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 - 12 jam kemudian. Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.  Selain ‘arak beracun’ terdapat minuman samsu yang juga dilaporkan membawa maut. Samsu diminum golongan miskin, terutamanya buruh India yang tinggal di kampung dan bekerja di ladang getah serta kelapa sawit.

Dalam berita oleh Bernama bertajuk "Arak Beracun Samsu Membawa Maut" menarik untuk dikupas. Berita dari Kuala Lumpur ini paparkan isu dimana amat menyedihkan membaca berita dimana seramai 36 orang yang maut disyaki akibat keracunan alkohol sementara 14 orang lagi masih berada dalam keadaan kritikal. Menurut laporan media, daripada jumlah yang maut itu, 24 kes di Selangor, 9 di Kuala Lumpur dan 3 di Perak. Semua mereka ini adalah antara 51 orang yang meminum 3 jenama minuman alkohol iaitu Mandalay Whiskey, Kingfisher Beer dan Grand Royal Whiskey yang dibeli daripada pelbagai kedai di Lembah Klang pada 17 Sept 2018. Menurut laporan, semua mangsa mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan. Industri minuman keras Malaysia menghasilkan samsu (minuman keras yang murah) bernilai RM180 juta (AS$43.4 juta). Minuman ini mengandungi purata 38% alkohol dan boleh dibeli di pelbagai kedai runcit dan hampir di setiap kedai ubah Cina. Sebotol samsu bersaiz paling kecil boleh dibeli pada harga RM1.50 sahaja. Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), meskipun Malaysia sebuah negara kecil, ia adalah pengguna alkohol ke-10 terbesar di dunia. Setiap tahun rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM2 bilion (AS$500 juta) untuk alkohol. Pengambilan per kapita adalah 7 liter dan mereka yang meminum alkohol adalah pengguna tegar. Di kalangan penduduk yang mengambil minuman keras, kaum India Malaysia yang terdiri daripada 8% penduduk negara ini, dilaporkan peminum tegar dengan pengambilan alkohol tahunan melebihi 14 liter.

Pengambilan bir (Beer Drinks) di Malaysia adalah 11 liter per kapita dan setanding dengan negara Eropah yang diketahui tinggi pengambilan alkohol. Kini semakin ramai juga rakyat Malaysia dilaporkan mengambil minuman keras kerana ia mudah dibeli di kedai kopi, pasar raya, kedai runcit dan di ladang-ladang. Tambahan pula terdapat kempen promosi serta iklan. Purata umur rakyat Malaysia yang mengambil minuman keras ialah 22 tahun atau mungkin lebih muda, bergantung di mana mereka tinggal. Di Malaysia kalangan mangsa terbesar minuman keras ialah golongan miskin, terutamanya buruh India yang tinggal di kampung dan bekerja di ladang getah serta kelapa sawit. Minuman keras adalah punca utama kemiskinan di kawasan berkenaan. Buruh-buruh berkenaan mengambil samsu dan todi (satu lagi bentuk minuman keras yang murah dan diperkenalkan sewaktu pemerintahan Inggeris). Daripada anggaran 200,000 peminum minuman keras itu, 75% mengambil samsu.  Masyarakat kampung India di Malaysia menganggap samsu sebagai pemusnah kehidupan mereka dan masalah ini semakin menjadi teruk. Kini di sebalik keadaan itu dilaporkan dimana secara purata RM20 juta (kira-kira AS$5.5 juta) dibelanjakan setahun untuk membeli samsu. Minuman ini diisi dalam botol kecil antara 140 - 175ml dan dijual dengan harga semurah RM1.50-RM3.00 (AS$0.40–$0.80). Dijual pada harga yang paling rendah menjadikan ia sudah tentunya minuman ini adalah disasarkan untuk jualan kepada golongan miskin. Mereka yang kerap minum boleh menghabiskan 6 botol sehari iaitu yang jika dikira harganya sehingga RM9.00 (AS$2.50) atau kira-kira 3 suku daripada upah harian mereka.

Di Malaysia laporan statistik oleh CAP menunjukkan 38% daripada mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah peminum alkohol (Sila lhat foto disebelah). sementara 30% yang dimasukkan ke hospital terdiri daripada pesakit dengan kecederaan di kepala akibat pengaruh alkohol dan 10% dilapor menderita pelbagai masalah kesihatan. Kira-kira 25% daripada mereka yang pencapaian kerja di bawah paras sederhana dilaporkan pengguna tegar alkohol dan 16% pula mungkin ponteng kerja. Minuman samsu ini dikatakan mengandungi bahan iaitu kandungan alkohol antara 37 hingga 70%. Jelas ketagihan alkohol adalah masalah yang menekan kehidupan penduduk kawasan kampung di Malaysia. Ia perlu diberi perhatian serius sebagai antara punca kemiskinan dan bukan dilihat sebagai isu berasingan. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas tentang alkohol dan pengambilannya. Minuman alkohol ini perlu dijadikan barangan terkawal. Haramkan semua bentuk pengiklanan, tajaan dan kegiatan promosi oleh syarikat minuman keras termasuk pertandingan, tajaan sukan dan tawaran khas terutamanya pada musim perayaan. Haramkan jualan arak dalam botol bersaiz kecil seperti 145 ml. Mesti ada had saiz botol dan hadkan juga waktu minum alkohol di pub. Naikkan cukai ke atas alkohol. Perlu ada jadual cukai berasingan khusus untuk alkohol yang boleh mengawal kegiatan alkohol. Tingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi menyekat penjualan haram arak terutama di kedai runcit dan rumah. Kuatkuasakan Lesen Kedai Bir ke atas kedai kopi bagi menyekat penjualan bir tanpa lesen. Kegiatan mengawal alkohol perlu dilihat sebagai tanggung jawab kerajaan, sektor kesihatan dan masyarakat setempat. Bangunkan program pemulihan, terutama di kawasan kampung dan penjagaan di hospital serta penjagaan di rumah. Samsu adalah masalah serius di kalangan pekerja India dan sesetengah pekerja asing di negara ini seperti dari Vietnam, Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Kira-kira 86% daripada penduduk India di negara ini tinggal di kawasan bandar. Mereka bukan lagi setakat penoreh getah tetapi kebanyakannya bekerja sebagai pekerja kilang atau pemandu lori. Akibatnya bencana samsu ini juga wujud di kawasan bandar. Anda boleh masuk ke mana-mana kedai atau pasar raya berhampiran rumah dan nampak semua jenis arak ini dijual secara bebas. Baru-baru ini terdapat peningkatan kedai yang diberi lesen untuk menjual arak secara terbuka di hampir semua taman perumahan dan bandar. Ini sudah tentunya bukan sesuatu yang positif untuk kesejahteraan rakyat negara yang sedang membangun. Semuga artikel subuh ini memberi ino beguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MINUMAN ARAK... MEMBAWA CELAKA...
RANKING KE 10... MALAYSIA DI DUNIA...
BANYAKNYA..TINGGI 11 LITER PERKAPITA...
PENGUATKUASAAN... ADAKAH BERJAYA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(22 JamadilAwal 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...