mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 18, 2018

KOPI GANTANG - SERBUK KOPI WARISAN KITA

KOPI GANTANG merupakan satu produk kopi bumiputera tempatan yang dikeluarkan oleh Syarikat GANTANG COFFEE ENTERPRISE SDN BHD yang popular di utara Semenanjung Malaysia. Penulis blog sempat berkunjung ke kilang ini yang mula beroperasi semenjak 1990 (sudah 28 tahun) dan berpeluang berbincang dengan Pengurus Kilang En Mohammad Hasan selama 2 jam dan melawat operasi kilang. Kilang yang beroperasi di Kg Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Baling ini menghasilkan beberapa produk kopi yang terkenal di Kedah, Perlis, Pulau Pinang sehingga ke Perak Utara. Lawatan penulis blog disambut oleh pengurus bersama dengan Pengarah LPNM Negeri Kedah/ Perlis kerana pemilik kilang juga merupakan usahawan penanam nanas seluas 70 ekar dan tanaman kopi Robusta seluas 6 ekar. Kedua-dua tanaman ini merupakan tanaman yang mana penulis blog pakar mengenainya untuk dikongsi dengan usahawan gigih ini. Kopi Cap Gantang ini juga dibungkus dalam bungkusan berwarna putih dan hijau dengan pakej yang kandungannya berbeza-beza. Kopi Campuran dari kilang ini menggunakan moto produk sebagai "CITARASA HEBAT, AROMA TERANGKAT" dimana logo biji kopi dalam gantang warna hijau yang melimpah keluar. Kopi ini diberi nama "Cap Gantang" kerana Gantang adalah alat sukat yang dahulu digunakan sebagai pengukur kuantiti biji kopi (Sila lihat foto diatas). Temubual penulis dengan pemilik kilang menyatakan pasaran kopi gantang semakin membaik dan masih menerima permintaan tinggi di Kedah dan Perlis dikalangan masyarakat tempatan. Kualiti dan aroma produk kopi ini yang telah lama dipasaran membolehkan syarikat ini bertahan lama. Artikel malam ini saya menulis pengusaha kilang proses kopi bumiputera tempatan dalam "Anim Agro Technology" di Baling, Kedah untuk dikongsi maklumat dengan anda pembaca semua berdasarkan pengalaman penulis blog yang kekilang tersebut petang tadi. 


Biji Kopi Mentah yang digunakan oleh Kilang Kopi Gantang ini diimport daripada Indonesia melalui pengimport daripada Pulau Pinang. Biji kopi yang digunakan adalah jenis BIJI KOPI ROBUSTA dengan harga terkini (diikat harga dengan pihak pemborong untuk setahun) sekitar RM9.60 sekilogram. Biji kopi mentah robusta adalah termurah dipasaran dan paling banyak diproses menjadi kopi campuran di Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Biji kopi robusta yang ada di Malaysia hanpir 90% adalah diimport kerana boleh dikatakan hanya sedikit pengeluaran komersil kopi robusta di Malaysia masa kini di rekodkan oleh Jabatan Pertanian iaitu di Tenom, Sabah. Biji kopi Robusta di Malaysia kebanyakannya adalah diimport daripada Indonesia (46%) dan bakinya diimport daripada Vietnam (36%) sementara bakinya daripada Brazil, Costa Rica dan juga beberapa negara lain. Terdapat 3 jenis kopi yang ditanam dan dipasarkan diseluruh dunia iaitu Kopi Arabika, Kopi Robusta dan Kopi Liberica. Saya ada menulis banyak artikel-artikel mengenai kopi dan produk kopi dalam blog anim agro technology (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi pautan mengenai kopi dalam blog saya untuk dirujuk. Kopi Arabika merupakan jenis kopi yang popular di USA, Eropah dan negara-negara maju sementara kopi robusta diseluruh dunia. Kopi liberica pula merupakan jenis kopi yang ditanam di negara kita tetapi kini sudah tidak lagi berapa popular dikalangan pekebun kopi kerana faktur dayasaing dengan tanaman lain. 


Menurut Mohamad, beliau menggunakan biji kopi kopi mentah robusta kerana ia memberikan kualiti produk yang diminati ramai dikalangan ramai penggunanya. Pemeriksaan penulis blog di gudang simpanan kopi kilang ini mendapati ia dibungkus dengan guni dengan 60 kg satu guni sesuai dengan kapasiti mesin menggoreng yang beliau ada. Setiap guni biji kopi ini disusun dalam setor yang sesuai untuk elakkan kerosakkan (Sila lihat foto disebelah). Biasanya biji kopi akan berkeadaan baik sehingga 2 tahun dalam simpanan selepas ia dibungkus dalam guni. Selapas 2 tahun maka kualiti aroma dan 'caffiene' didalam biji kopi akan menurun. Penulis sebanarnya telah memeriksa berpuluh kilang kopi diseluruh negara semasa bertugas menyelaras AP Kopi bersama FAMA dan agensi MoA yang lain sebelum kerajaan menghapuskan AP pengimportan biji kopi pada tahun 2016. Penulis mendapati permintaan kopi di Malaysia adalah sebanyak 95,000 - 110,000 metrik tan setahun berbanding dengan pengeluaran kopi tempatan hanya sekitar 3,000 metrik tan setahun. Ini bermakna Malaysia hanya mampu mengeluarkan 2.8 - 3.2% untuk kegunaan domestik biji kopi mentah. Malaysia mengimpot sebanyak 197% biji kopi mentah untuk di proses dikilang kopi. Antara beberapa pengimport yang banyak dan besar di malaysia seperti Nestle Sdn Bhd, Haco Sdn Bhd, Dan Kaffe dan sebagainya. Syarikat Nestle merupakan antara syarikat yang popular menghasilkan produk berasaskan kopi iaitu jenama seperti NESCAFE. Produk Nescafe adalah produk kopi dimana kebanyakannya dalam bentuk mudah larut atau pun lebih popular dengan Instant Coffee. Biji Kopi Mentah (green beans) ini diimpot daripada beberapa negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan juga beberapa negara lain. Semasa artikel ditulis menunjukkan ada 96 syarikat yang mengimport biji kopi mentah dimana 90% daripadanya dalam bentuk biji kopi mentah, 9% roasted coffee beans dan hanya 1% adalah grounded coffee beans (Sumber: Laporan ststistik, MOA). Sebanyak 47% biji kopi mentah diimport dari negara Indonesia, 33% diimport daripada Vietnam dan 5% diimport daripada Brazil. Bakinya sebanyak 15% diimport daripada negara seperti Costa Rica dan Colombia. Syarikat kopi Gantang Coffee adalag satu daripada lebih 180 buah kilang kopi yang beroperasi di Malaysia direkodkan.


Kilang Kopi Gantang ini kini mempunyai 4 buah mesih penggoreng yang diimport daripada Turki (Sila lihat foto disebelah). Setiap mesin penggoreng ini mampu memproses sebanyak 60 kg biji kopi setiap jam tetapi hanya 2 mesin penggoreng sahaja digunakan setakat ini. Kilang ini baru menambah 2 unit mesin penggoreng dibawah program 'matching grant' Jabatan Pertanian bernilai RM100,000 setiap unit (satu unit mesin dibeli sendiri oleh syarikat tersebut). Apabila 4 mesin ini telah beroperasi sepenohnya makan kapasiti produk kopi kilang ditingkatkan daripada 300 kg serbuk kopi sehari kepada 600 serbuk kopi sehari. Kilang ini telah mempunyai persijilan HALAL, MeSTI dan ISO dimana produk yang dihasilkan boleh menembusi pasaran domestik dan pasaran eksport. Kilang ini sedang membesarkan kilang di sebelah kilang sedia ada untuk tingkatkan kapasiti pengeluaran tetapi ada masaalah bekalan eletrik hampir setahun yang belum diselesaikan walaupun infra dan mesin didalamnya sudah lengkap. Penulis blog sempat berbincang mengenai langkah untuk memperbaiki tahap pengeluaran dan pembangunan produk kopi dari kilang ini. Terdapat seramai 35 orang pekerja tempatan yang bekerja 6 hari seminggu dan bercuti setiap hari Jumaat. 


Apa yang lebih serius penulis blog bincangkan dengan Pengurus Kilang Kopi Gantang adalah cadangan beliau untuk menghasilkan produk KOPI NANAS (Pineapple Coffee). Beliau telah mempunyai beberapa sampel kopi nanas buatan tempatan dan formula khusus yang sedang dibangunkan (Sila lihat foto disebelah). Produk Kopi Nanas kini menjadi semakin popular dikalangan pengguna kerana selain daripada meereka menikmati aroma kopi dan rasa caffien daripada biji kopi, pengguna juga akan mendapat aroma nanas dan kandungan bromalein daripada produk kopi ini. Dalam proses ujirasa paket kopi nanas yang dihidangkan mendapati kedua-dua sampel produk memang boleh diketengahkan oleh kilang ini. Satu jenis adalah jenis FRESH PINEAPPLE COFFEE dan satu lagi adalah CAFE PINEAPPLE COFFEE. Produk pertama didapati memberikan citrasa kopinanas yang enak diminum semasa panas sementara produk kedua enak diminum semasa panas dan juga apabila sejuk. Penulis blog mencadangkan agar pemilik kilang dan juga pengeluar buah nanas Morris dan Nanas MD2 ini menggunakan buah yang 'off-grade' untuk dijadikan sebuk nanas bagi campuran kopi nanas keluaran kilang ini. Beberapa mesin tambahan diperlukan untuk memproses buah nanas segar ini kepada serbuk nanas yang akan dijadikan kopi nanas. Diharap syarikat Kopi Gantang ini akan berjaya menjadi sebagai salah satu produk kopi nanas negara dimasa akan datang. Sesiapa juga yang teringin mendapatkan maklumat mengenai produk dan kilang kopi ini boleh menghubungi pengurus kilang En Mohamad Hasan dengan no telefon 019-4245758 atau pejabat 04-4768472. Diharap artikel malam ini dalam anim agro technology memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!..
KOPI CAP GANTANG... DIBALING BERADA....
28 TAHUN... PASARANNYA NEGERI UTARA...
PELBAGAIKAN PRODUK.. KOPI NANAS CUBA...
PENULIS BLOG LAWAT... SEMUGA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 801, Glanr Alora Hotel,
Jalan Mergong, Alor Setar,
Kedah, Malaysia.
(10 Safar 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...