mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, August 29, 2018

TANAM KUNYIT DALAM PASU

TANAM KUNYIT DALAM PASU merupakan satu aktiviti yang praktikal. Kunyit (Cucuma domestica val.) adalah sejenis tanaman umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai komersil. Tumbuhan halia ini dipercayai telah lama ditanam di India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa Sanskrit. Negara India dan Indo-Malesia dianggap penting dalam penanaman kunyit yang menganjur dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari ekspedisi Marco Polo. Pada lingkungan tahun 1280, terdapat laporan yang ada menyebut bahawa dikawasan Koncha (berjiranan Fokien, China) terdapat sejenis sayuran yang bercirikan betul-betul 'saffron' (iaitu sejenis bahan pewarna dari stigma kuning dikenali sebagai bahan Crocus sativus tetapi ia bukan 'saffron' yang benar. Apa yang dimaksudkan oleh pelayar ini mungkin serbuk kunyit yang warnanya kuning seperti 'saffron' itu. Walau bagaimana pun pada masa sekarang ini kunyit pada umumnya telah dijumpai dan dutanam di serata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Tanaman kunyit di Malaysia juga dilakukan tetapi kebanyakannya secara kecil-kecilan atau ditanam dikawasan keliling rumah untuk diambil daunnya. Daun kunyit adalah bahan penting digunakan dalam masakan tradisional Melayu iaitu Masak Singgang. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di kawasan Asia. Dalam bahasa Sanskrit kunyit dipanggil Harida, Arab (Kukum), Tamil (Manjal), Inggeris (Tumeric), China (Kiang-hoang) dan dalam bahasa Jawa (Kunyir). Daripada perkataan Arablah maka kita dapat sebutan Latin iaitu nama 'Curcuma' dan diberi nama latin sebagai Cucuma domestica. Trend tanaman kunyit di Malaysia ditanam seluas 154 ha (2006) menurun kepada 79 hektar (2009) dan dianggarkan seluas 70 hektar pada tahun 2015 dengan anggaran hasil sebanyak 610 metrik tan. Nilai pengeluaran hasil dianggarkan sebanyak RM 1.64 juta pada tahun tersebut. Kajian penulis blog juga ada menunjukkan tanaman kunyit adalah dalam kategori TIDAK POPULAR memandangkan keluasannya yang amat sedikit berbanding dengan produk kunyit yang diperlukan. Malaysia adalah sebuah negara pengimport kunyit bagi menampong akan kekurangan bekalan tempatan. Kebanyakan produk dari makanan berasaskan kunyit adalah diimport dari luar negara terutama dalam industri serbuk kari dan lain-lain industri berkaitan. Kini kunyit hanya banyak di tanam dibeberapa negeri seperti di Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan ada di Sabah. Hampir 40% tanaman kunyit adalah berada di Negeri Selangor terutama dibebarapa kawasan tanah gambut untuk pasaran segar sahaja. Maklumat yang saya dapati mendapati penanaman kunyit secara monokrop dan komersil yang luas amat jarang dijumpai kerana kebanyakan petani menanam kunyit secara kecil-kecilan. Bagi mereka yang ada kompoun dikawasan rumah boleh menanam kunyit dalam pasu. Artikel kali ini saya menulis untuk 'Anim Agro Technology' yang terus akan membincangkan mengenai teknologi tanaman kunyit dalam pasu yang mudah dilakukan dan memberikan hasil.

Penanaman umbisi kunyit secara komersil dilakukan dalam kebun diatas tanah gambut yang gembur dan banyak organik. Tanaman kunyit merupakan tumbuhan jenis herba saka tetapi ditanam sebagai tanaman tahunan (Sila lihat foto disebelah). Tingginya boleh sampai 1 meter berbatang pendek dan daun-daunnya berjumbai. Pelepah-pelepah daunnya membentuk batang. Ubi utamanya dipanggil rizom, bulat panjang mempunyai tunas-tunas cabang berkembang membentuk anak-anak ubi sisi yang mempunyai gelang-gelang rapat. Bahagian rizom dan ubi sisi inilah yang digunakan sebagai rempah-rempahan. Ubi dari sisi ini bercabang-cabang lagi sehingga keseluruhannya akan membentuk suatu rumpun. Bekas-bekas akar nampak jelas pada ubi-ubi sisi ini yang berwarna jingga kecoklatan dari luar. Pada bahagian dalamnya berwarna jingga terang atau agak kuning. Rasa ubi ini agak pahit dan getir dengan bau yang khusus. Ia berbunga di hujung batang dan panjangnya 10 - 15 cm. Daun-daun pelindung bunganya berwarna putih atau putih bergaris-garis hijau atau merah jambu di bahagian hujungnya manakala yang terletak di bahagian bawah hijau muda. Bunganya putih atau kuning pucat dan mekar atau kembang bersama-sama. Kunyit biasanya sesuai ditanam di kebanyakan tempat di Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembab dengan suhu 15 darjah celsius - 35 darjah celsius. Ia boleh ditanam di dataran rendah dari paras laut hinggalah pada paras 1,220 meter atas paras laut. Curahan hujan yang berterusan terutamanya di kawasan tadahan hujan adalah baik untuk penanaman kunyit. Hujan tahunan yang optima untuk kunyit ialah di sekitar 100 sm hingga 200 sm. Hujan sederhana lebat diperlukan semasa menanam dan hujan lebat semasa peringkat awal vegetatif. Keadaan kering selama sebulan diperlukan sebelum penuaian dijalankan.

Cara menanam Kunyit Dalam Pasu dengan cara yang betul memerlukan ilmu yang sesuai dan praktikal. Ini kerana pokok kunyit ini kalau tidak ditanam dengan betul bukan sahaja akan kurang subur dan tidak berhasil tetapi akan mencacatkan permandangan dikawasan rumah. Memeng perlu membuat rujukkan dalam internet atau bertanya kepada jiran atau kawan  sebelah rumah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mendapatkan benih tanaman dan cara amalan agronomi yang betul (Sila lihat foto disebelah). Umbisi kunyit adalah sejenis herba yang sentiasa dekat dengan jiwa masyarakat Melayu. Daun dan ubinya boleh di jadikan perencah dalam masakan. Ubinya juga ada khasiat tersendiri dalam perubatan tradisonal Melayu. Ia adalah antara satu ramuan penting dalam pembuatan jamu untuk kesihatan wanita. Kunyit segar ini mudah dibeli dipasar dan pasar malam dengan harga berbeza mengikut jenis dan kualiti. Oleh itu kalau ada kawasan yang luas dikawasan keliling rumah anda memang boleh sahaja tanam terus atas tanah yang telah di gemburkan. Tapi untuk mereka yang tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau dimana dihalaman rumah dah habis di simen maka kaedah alternatif yang boleh di gunakan adalah menanam di dalam pasu. Kalau hendak menggunakan pasu boleh guna pasu biasa atau pasu plastik atau bekas plastik minyak masak dengan media tanaman yang dijual dipremis semaian. 

Dalam usaha menanam kunyit dalam pasu pokok kunyit ini, biasanya umbisinya tidak mahu membesar seperti menanam di kebun. Bagaimana pun jika kena cara amalan agronominya yang betul maka ia tidak lagi menjadi masalah. Kalau anda menanam kunyit dalam pasu dan tiada umbisinya pun tidak mengapa kerana boleh di petik daunnya untuk kegunaan masakan juga (Sila lihat foto disebelah). Apa yang penting dimana apabila hendak memasak rendang, anda boleh tinggal petik sahaja daun kunyit di hujung halaman yang masih segar dan selamat dimakan. Kalau hendak membeli kunyit atau daun kunyit pun di pasar memang mahal dengan kos minyak, masa digunakan dan kuantiti yang dibeli. Lagipun penggunaan daun kunyit dan umbisi kunyit biasanya hanya sedikit sahaja untuk memasak dan tidak selalu. Kalau membeli dengan kuantiti banyak pula dan hanya sedikit digunakan atau disimpan akan kering atau rosak dan akhirnya dibuang begitu sahaja membazir. Kalau hendak tanam kunyit dalam pasu pastikan ada 3 perkara iaitu Pasu, Media Tanaman dan Benih Kunyit. Pilih benih kunyit tua yang sihat, tidak berpenyakit dan saiz yang sesuai untuk dijadikan benih. Sebaiknya pilih benih ubi kunyit yang mempunyai tunas besar berwarna keputihan di hujung ibu kunyit atau ia adalah mata tunasnya. Warna putih-putih itu sebenarnya menunjukkan ubi kunyit itu bersedia untuk tujuan mengeluarkan daunnya.

Pastikan menyediakan saiz pasu sesuai dan media tanaman seperti jenis tanah campuran (3:2:1) yang sesuai. Tanah yang bagus untuk diisi dalam pasu adalah tanah yang mana ia mempunyai campuran tanah pasir, tanah bakar dan sabut kelapa @ cocopeat. Penulis bloh syorkan agar membeli sahaja tanah di nursery bunga atau di pasaraya bahagian barang-barang perkebunan. Masukkan tanah ke dalam pasu dan buat lubang dalam kedalaman 2 - 3 inci. Masukkan benih kunyit tadi dan pastikan mata tunas ibu kunyit tadi yang berwarna keputihan menghala kebahagian atas. Ia kemudian ditimbus dengan paras tanah dan pastikan sentiasa disiram tetapi jangan berlebihan air sehingga akan menebabkan benih busuk. Kebiasaaanya mata tunas kunyit tadi akan mengeluarkan tunas berdaun untuk tumbuh dalam masa 1-2 minggu. Pasu yang ada pokok kunyit boleh juga anda letakkan di bawah pencahayaan yang optimum. Tapi untuk rumah teres atau kondominium di bandar, anda boleh meletakkannya di bawah tempat separa berbumbung seperti di tepi balkoni atau bucu bumbung. Kalau letak di tempat yang terlalu teduh menyebabkan daun yang tumbuh tidak akan lebar dan lazimnya ia akan tumbuh kecil dan kurus sahaja. Pastikan air siraman tidak bertakung kerana pokok ini tidak suka tanah yang lembap. sebaiknya di siram 2 kali sehari di awal pertumbuhan. Bila pokok dah besar maka bolehlah di siram hanya sekali sehari samada di awal pagi atau petang. Bagaimana pun penulis blog gunakan 'plant gel' dalam media tanaman dan tidak perlu disiram selalu dan kalau ditinggalkan tanpa disiram berminggu pun pokok tidak akan mati kerana gel tersebut mampu menyimpan air. Kaedah pembajaan pula cukup sekadar baja organik di awal penanaman. Penulis blog berkongsi sedikit idea tentang penanaman pokok kunyit dalam pasu untuk rujukkan dan bacaan pembaca blog anim agro technology kali ini. Memang amat seronak melihat pokok kunyit dalam pasu tumbuh membesar depan mata dan mengeluarkan hasil serta dapat pula merasa nikmatnya. Wasallam!!!...
MENANAM KUNYIT... PASU DIGUNAKAN...
PASU PLASTIK... MEDIA TAANAH DIISIKAN...
BENIH DICUCUK... PERLU DISIRAMKAN...
HASIL DITUAI... MEMANG MENYERONOKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(19 Zulhijjah 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...