mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, August 6, 2018

TEMUAN INOVASI PERTANIAN

INOVASI (Inovation) merupakan polisi yang telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia sebagai satu pendekatan dalam memajukan negara kita Malaysia. Banyak program dan aktiviti berkaitan inovasi didalam negara bagi mempastikan inovasi akan memacu ekonomi negara. Pendekatan mengenai inovasi ditujukan kepada semua sektor daripada sektor Industri Pembuatan, Pertanian, Petrokimia, Infrastruktur Binaan, Pendidikan , Pengurusan dan banyak lagi. Dalam sektor pertanian, baru-baru ini Bank Dunia telah mengeluarkan buku sumber baharu yang penting yang bertajuk "Agricultural Innovation Systems - An Investment Sourcebook". Buku ini saya dapati telah pun dapat mengenal pasti inovasi (menguasai dan melaksanakan reka bentuk dan pengenalan barangan dan perkhidmatan baharu) dan sistem inovasi (rangkaian yang memberi tumpuan kepada membawa inovasi ini untuk kegunaan ekonomi) sebagai penting kepada produktiviti pertanian. Buku ini juga saya dapati telah mengenal pasti pendekatan pelaburan dan campur tangan yang paling mungkin untuk mengukuhkan sistem inovasi pertanian dan menggalakkan inovasi dan pertumbuhan saksama. Buku juga boleh dirujuk dan menjadi kunci kepada keperluan makanan bagi penduduk dunia yang dianggarkan akan mencapai sembilan bilion menjelang 2050. Pada masa ini pun sebanyak lebih dari 7 billion penduduk dunia perlukan makanan sehingga berlaku krisis makanan pada tahun 2008. Sektor pertanian memberi sumbangan amat ketara kepada ekonomi bagi kebanyakan negara sama ada negara maju atau negara membangun. Untuk menjaya sebuah transformasi, pastinya melibatkan perubahan, pembaikan dan pengukuhan kepada tiang seri institusi serta struktur perkhidmatan awam itu sendiri. Ertinya, pertama perubahan pada cara berfikir, kedua, pembaikan kepada sistem nilai dan ketiga didalam usaha pengukuhan kepada gerak kerja. Kejayaan agenda transformasi ini pasti menuntut supaya perkhidmatan awam beralih dari paradigma lama bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan pencapaian serta proses pemerkasaan intelektual dan profesionalisma  Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai inovasi-inovasi untuk dijadikan bahan bacaan dan menambahkan ilmu pengetahuan.


Jabatan Pertanian merupakan sebuah agensi yang menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti berkembang dalam organisasinya. Di awal penubuhannya, budaya inovasi berkembang secara tidak langsung dan telah menghasilkan inovasi yang berteraskan tanaman. Inovasi yang mula diperkenalkan adalah tanaman Kelapa Sawit dari Afrika, tanaman Getah dari Amerika Selatan, Koperasi Petani, Sistem Pengembangan Latihan & Lawatan (2L) dan lain-lain lagi. Pembangunan inovasi dan kreativiti secara terancang dan teratur bermula pada tahun 1995 dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kualiti & Produktiviti yang menganjurkan Anugerah Inovasi Pertanian setiap tahun. Anugerah ini menjana inovasi pertanian yang baru setiap tahun meliputi inovasi teknologi kejuruteraan, agronomi, perlindungan tanaman, pengurusan tanah, pengembangan dan pengurusan projek. Tiga inovasi terbaik dipilih dan diberi penghargaan dalam majlis khas sempena Hari Kualiti Jabatan Pertanian. Dasar baru kerajaan yang memartabatkan dan memperkasakan inovasi dan kreativiti dalam sektor awam telah menyuntik semangat baru kepada warga Jabatan untuk terus meningkatkan amalan budaya inovasi dan kreativiti. Inovasi dilihat boleh menampilkan lebih banyak penyelesaian kreatif dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Penubuhan Unit Inovasi & Kreativiti Jabatan Pertanian pada awal tahun 2011 menjadi ‘enabler’ untuk memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti inovasi dan kreativiti di peringkat Jabatan bagi meningkatkan produktiviti dan mutu dalam perkhidmatan pengembangan pertanian. Penerbitan Buku Inovasi Jabatan Pertanian 1995 - 2010 adalah manifestasi kesungguhan Jabatan Pertanian memastikan semua warganya mampu membudayakan inovasi dan kreativiti dalam menjalan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Buku ini diharap dapat dijadikan bahan rujukan untuk semua warga dan pelanggan Jabatan Pertanian dalam usaha menjana lebih banyak inovasi yang boleh memacu pembangunan industri pertanian tanah air.


Tujuh puluh lima peratus daripada golongan miskin di dunia tinggal di kawasan luar bandar dan mempunyai hubungan ekonomi dengan pertanian. Bagi isi rumah termiskin, pembangunan pertanian bukan sahaja suatu pembelaan terhadap ancaman kelaparan; ia boleh meningkatkan pendapatan hampir empat kali ganda lebih berkesan daripada pertumbuhan dalam mana-mana sektor lain. Keadaan ini membantu menjelaskan mengapa pembangunan pertanian adalah suatu alat yang ampuh untuk mengurangkan kemiskinan global dan membantu pembangunan ekonomi.Memenuhi peningkatan permintaan global bagi makanan dan bertindak balas kepada perubahan seperti peningkatan harga makanan, perubahan iklim dan globalisasi akan memerlukan inovasi. Inovasi pertanian membolehkan petani untuk menyesuaikan diri dengan pantas apabila cabaran yang berlaku dan bertindak balas dengan cepat apabila peluang timbul. Percubaan untuk melampaui pendekatan tradisional dimana pihak Bank Dunia menggariskan bahawa inovasi pertanian biasanya timbul melalui interaksi dinamik di kalangan pelbagai pemain dengan pelbagai kemahiran.


Menurut buku terbitan Bank Dunia ini, komponen inovasi pertanian yang berkesan adalah seperti usaha untuk meningkatkan kapasiti yang kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan serta tindakan kolektif dan penyelarasan dan pertukaran pengetahuan di kalangan pelbagai pemain. Selain itu faktur seperti  kemahiran, insentif dan sumber-sumber yang ada untuk membentuk perkongsian dan membangunkan perniagaan.  Buku ini berhujah bahawa penyelidikan, pendidikan dan pengembangan tidak mencukupi untuk membawa inovasi dan membuat seruan untuk proses baharu, interaktif dan fleksibel. Pendekatan baharu ini dari Bank Dunia, yang dikenali sebagai Sistem Inovasi Pertanian (AIS) merupakan pendekatan mengkaji pelbagai keadaan dan konteks yang menggalakkan inovasi dalam bidang pertanian. AIS mengintegrasikan campur tangan tradisional, seperti penyelidikan dan khidmat pengembangan, dengan campur tangan lain termasuk menyediakan kemahiran profesional dan latihan, sumber dan insentif untuk membangunkan perkongsian dan perniagaan serta memperbaiki aliran pengetahuan.


Jabatan Pertanian Malaysia telah mencipta banyak inovasi pertanian semenjak ditubuhkan pada tahun 1905 dan telah dibukukan. Terdapat lebih dari 200 temuan inovasi yang dihasilkan oleh pegawai-pegawai serta kakitangan yang terdiri daripada sistem penanaman, alatan pertanian, mesin dan jentera dan sebagainya. Saya dan Kumpulan Pejabat Pertanian Daerah Mersing juga telah berjaya didalam mencipta inovasi berjudul "Alat Pembalut Putik Cempedak - APC2" pada tahun 2000. Selain itu kami mencipta 'Periskop BJP' dan beberapa yang lain. Pertandingan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) dahulu juga banyak disertai oleh Bahagian Kejenteraan Pertanian dengan beberapa rekacipta seperti 'Alat Pemanjat Pokok Kelapa', Mesin Pemotong Kerepek, Bedformer, Alat Pemerah Minyak VCO, Alat Pengering dan banyak lagi. 



Inovasi menghasilkan produk minyak kelapa dara, VCO adalah satu produk bernilai tinggi yang dihasilkan melalui pengekstrakan bahan tersebut dari buah kelapa. Terdapat banyak mesin pemerah minyak kelapa dara dalam pasaran. Faktor harga, saiz yang besar dan kadar kecekapan mengekang mesin tersebut dibeli oleh petani. Inovasi baru iaitu Mesin Pemerah Minyak Kelapa Dara direkacipta menggunakan bahan-bahan tempatan yang mudah didapati, lebih murah, mudah dan lebih cekap hasil gabungan sains, seni dan kreativiti yang tinggi. Mesin ini dibuat untuk memerah VCO daripada kelapa parut yang telah dikeringkan. Secara ringkasnya, mesin ini terdiri daripada dua komponen utama iaitu pemampat berhidraulik dan juga silinder pemampat/penapis. Pemampat hidraulik terdiri daripada tangki minyak berukuran 15 cm x 30 cm x 45 cm, motor bersaiz 2 kuasa kuda dan juga ram hidraulik berdiameter 7.5 cm dan 90 cm panjang. Silinder penapis pula dibuat daripada gabungan bilah-bilah stainless steel berukuran 10 cm garis pusat dan 60 cm panjang. Kos mesin adalah antara RM 7,000.00 hingga RM 10,000.00 sebuah. Mesin Pemerah VCO ini berupaya memerah 1 kg kelapa parut kering untuk satu pusingan. Kadar penghasilan minyak VCO adalah antara 30% hingga 60% berat kelapa kering. Mesin ini sangat berpotensi berdasarkan kepada pengendalian mesin yang mudah, hasil perahan yang tinggi dan kos yang murah jika dibandingkan dengan mesin import. Antara alatan terbaru dalam inovasi Jabatan Pertanian adalah Alatan Muricata Shaker yang digunakan didalam mendebungakan pokok durian belanda dengan lebih cekap. Anda boleh baca artikel ini dalam penuisan sebelum ini (Sila anda klik disini). Memang inovasi pertanian ini banyak di perlukan oleh sektor ini yang perlu digalakkan lagi. Semuga semua pembaca blog anim agro technology dapat info berguna dari tulisan ini. Wasallam!...
INOVASI PERTANIAN... PERLU DICIPTA...
MUDAH DAN RINGKAS...SENANG GUNA...
SIAPA SAHAJA... MEMANG PERLU CUBA...
BANYAK FAEDAH..DIGUNA BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pejabat Pertanian Daerah
Mersing, Johor,
Malaysia
(20 April 2013 - Lawatan Pemantauan MS ISO).
Dikemaskini pada 6 Ogos 2018 diari INTAN Bukit Kiara,
Kuala Lumpur, Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...