Support My Blog

Wednesday, August 1, 2018

KEMPEN ANTI MINYAK SAWIT - TIDAK LOGIK

MINYAK SAWIT (Palm Oil) adalah minyak sayuran yang paling laris pasaran di dunia dengan jumlah penggunaan sebanyak 50 juta tan setahun. Minyak ini telah dihasilkan daripada tanaman Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) yang diusahakan secara komersil terutama di Malaysia dan Indonesia sebagai komoditi penting. Ini merangkumi kira-kira 28 peratus pasaran keseluruhan minyak sayuran dan lelemak dunia. Daripada beberapa rujukkan terkini penulis blog mendapati sebanyak 75 peratus daripada jumlah penggunaan minyak sawit dicatatkan di negara membangun manakala bakinya sebanyak 25% sahaja yang digunakan di negara maju. Minyak sawit adalah minyak sayuran yang mana didapati paling popular berikutan harga pasarannya yang berpatutan dan bekalannya yang konsisten sepanjang tahun. Ia juga satu-satunya jenis minyak sayuran (vegetable oil) yang mempunyai lebihan bersih pengeluaran yang amat ketara. Minyak sawit juga adalah satu-satunya minyak sayuran di dunia yang diiktiraf sebagai minyak yang mampan (sustainable). Walaupun ia mendominasi pengeluaran dan eksport minyak sayuran dan lelemak dunia, penanaman pokok kelapa sawit hanya merangkumi kira-kira 5 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tanah pertanian seluruh dunia yang diusahakan untuk tanaman bagi menghasilkan minyak sayur-sayuran. Sering juga berlaku desakan kepada pemproses minyak sayur-sayuran dan NGO alam sekitar supaya minyak sawit mampan saja boleh digunakan adalah memang tidak masuk akal kerana ia mengecualikan minyak sayur-sayuran lain terutama minyak kacang soya (Soybean Oil), minyak bunga matahari (Sunflower Oil) dan minyak biji sesawi. Malah sebenarnya sehingga kini tiada di antara minyak sayur-sayuran ini boleh diiktiraf sebagai mampan kerana kebanyakannya melalui proses pengubahan genetik. Artikel malam ini saya teruskan untuk menulis dalam "Anim Agro Tchnology" mengenai kempen anti-minyak kelapa sawit yang mana ia dilancarkan bertujuan untuk mensabotaj penerimaan minyak sawit berbanding dengan minay yang mereka keluarkan.


Sebenarnya keupayaan pokok sawit menghasilkan minyak sayuran mampan untuk memenuhi permintaan di Kesatuan Eropah, Australia dan Amerika Syarikat adalah faktor yang mendorong penerimaan minyak sawit di pasaran global. Prestasi pasaran minyak sawit yang sebenarnya memberangsangkan juga mempunyai masalah tersendiri. Australia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengambil langkah tertentu bertujuan melindungi kepentingan minyak sayur-sayuran mereka daripada saingan minyak sawit. Sementara itu beberapa NGO tempatan NGO alam sekitar di negara ini juga melancarkan kempen anti minyak sawit. Malah sebenarnya memang ada di antara mereka menerima sumbangan kewangan daripada kerajaan sehingga 70 peratus daripada jumlah kos operasi masing - masing. Negara Malaysia dan jiran Indonesia juga bercita-cita menggunakan sejumlah besar hasil pengeluaran minyak sayuran mereka sebagai biodiesel di mana langkah tertentu juga diambil untuk menghalang penyertaan minyak sawit di pasaran biodiesel mereka. 


Petani tempatan juga berjaya mendesak agar kerajaan mereka meluluskan dasar yang membolehkan mereka menerima subsidi biodiesel atau pengecualian cukai bahan api akan tetapi tidak untuk petani sawit. Dasar perlindungan ini memberi kesan kepada perdagangan dunia. Negara ini dilihat melanggar Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia kerana mendiskriminasi minyak sawit yang dianggap sebagai produk yang ‘serupa’ untuk digunakan sebagai biodiesel. Kini dengan menggunakan NGO untuk menghalang import minyak sawit maka sebenarnya maklumat yang salah mengenai sawit disebarkan tanpa fakta yang betul lalu menjejaskan pasaran minyak sawit. Kempen anti minyak sawit juga tidak mempunyai justifikasi yang kukuh. Minyak sawit adalah produk pertanian negara tropika di mana pokoknya tidak boleh hidup di negara barat. Begitu juga dengan hutan hujan dan orang utan yang secara semula jadinya tidak terdapat di negara barat walaupun NGO di sana mendakwa mereka menjuarai perjuangan mempertahankan hutan hujan dan orang utan. Hakikatnya, NGO asing bukanlah penjaga hutan hujan dan orang utan. Sebaliknya, mereka hanya ingin mengambil kesempatan daripada isu kemusnahan hutan hujan dan orang utan untuk mengumpul dana memperkayakan diri sendiri serta menerima bantuan kewangan daripada kerajaan mereka untuk melancarkan kempen menghalang import minyak sawit ke negara mereka. Penjaga sebenar hutan hujan dan orang utan di Malaysia adalah rakyat kita sendiri. Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar Malaysia sudah lama menguatkuasakan undang-undang pemuliharaan serta program tertentu untuk mengekalkan hutan dan habitat hidupan liar di negara ini. Malah, jumlah populasi orang utan pada hari ini bukan saja stabil bahkan meningkat seperti dilaporkan. Kerana usaha ini, Malaysia kini mampu memulihara 56 peratus keluasan tanahnya sebagai kawasan hutan simpan kekal. Usaha ini diperkukuhkan lagi oleh komitmen kerajaan yang akan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara kekal sebagai hutan simpan kekal. 


Hari ini negara Malaysia mempunyai peratusan kawasan berhutan jauh lebih tinggi berbanding negara maju di mana kempen anti minyak sawit berpusat. Adalah tidak masuk akal bagi mereka mengkritik dasar pembangunan atau penanaman sawit di Malaysia kerana jumlah kawasan berhutan di Malaysia lebih daripada mencukupi untuk memulihara biokepelbagaian dan habitat hidupan liar. Malah, peratusan penggunaan tanah untuk tujuan pertanian di mana sawit adalah tanaman pertanian yang utama di Malaysia adalah jauh lebih kecil berbanding peratusan tanah yang digunakan untuk pertanian di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah atau Australia. Tanaman sawit hanya meliputi 15 peratus daripada keluasan tanah Malaysia yang keseluruhannya hanya 24 peratus digunakan untuk p ertanian berbanding di United Kingdom, Greece, Amerika Syarikat dan Australia di mana peratusan penggunaan tanah untuk tujuan pertanian adalah jauh lebih tinggi iaitu masing-masing pada 72 peratus, 63.6 peratus, 44 peratus dan 53.2 peratus. Di mana logiknya bagi ahli politik Perancis dan Greece untuk terus memperbahaskan isu pembasmian hutan Malaysia di Parlimen Kesatuan Eropah sedangkan hanya peratusan kecil keluasan tanah Malaysia digunakan untuk mengusahakan sawit?.


Pada masa ini NGO juga digunakan pelbagai taktik di dalam kempen mereka termasuk menggunakan ahli politik yang pro-alam sekitar untuk mengusulkan draf undang-undang yang mendiskriminasikan minyak sawit seperti yang dilakukan di Australia dan Perancis baru-baru ini. Di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, dasar kerajaan mengenai bahan api bio yang menyekat penggunaan minyak sawit adalah berpunca daripada tekanan daripada NGO. Kriteria kelayakan penggunaan minyak sayuran dan lelemak tempatan dirumus secara bijak dan terancang melalui kaedah pengiraan yang tidak telus di mana minyak sawit didapati sukar untuk memenuhi kriteria ini lalu tidak boleh digunakan dalam pasaran biodiesel tempatan. Malah, kriteria yang meragukan juga diterima pakai untuk menyokong merit saintifik kempen anti minyak sawit. Minyak sawit sebagai sumber bahan api bio terbukti berupaya menyerap 10 kali ganda lebih banyak gas rumah hijau. Adalah tidak masuk akal apabila sumber lain yang kurang cekap serta menggunakan jumlah kawasan penanaman yang lebih besar seperti minyak kacang soya diberikan kelayakan untuk dijadikan biodiesel. Pendek kata, minyak sawit yang boleh menggerakkan kereta Volkswagen Polo sehingga 200,000 kilometer daripada hasil satu hektar ladang dalam setahun tidak digunakan sebagai sumber biodiesel di negara maju. Sebaliknya, minyak kacang soya yang hanya mampu menggerakkan kereta yang sama sehingga 8,000 kilometer saja daripada hasil satu hektar ladang dalam setahun digunakan! Kempen serupa yang tidak masuk akal juga dilakukan oleh kumpulan tekanan yang menentang penggunaan minyak sawit dalam makanan seperti yang berlaku di dalam perbahasan cukai “Nutella’ di Perancis serta cadangan Pelabelan di Australia. 


Punca sakit jantung yang dikaitkan dengan mengaitkan faktor ugutan bahawa aktiviti pengambilan asid lemak tepu akan didakwa menyebabkan penyakit jantung dimana kumpulan ini berusaha mengaitkan minyak sawit sebagai sumber asid lemak tepu dan tidak sihat untuk dimakan. Apa yang lebih menghairankan ialah tiada langsung asas-asas pertimbangan diberikan kepada hakikat bahawa asid lemak tepu paling banyak didapati di dalam daging, susu, keju dan mentega yang merupakan menu utama makanan mereka. Natijahnya dinegara di mana NGOnya sangat aktif berkempen menentang minyak sawit ini sendiri tidak mempunyai bekalan minyak sayuran dan lelemak yang mencukupi. Walaupun dikecam oleh NGO sebanrnya import minyak sawit ke Kesatuan Eropah terus meningkat sebanyak 12 peratus pada 2012 manakala Amerika Syarikat terus mengimport lebih daripada 1 juta tan minyak sawit Malaysia setiap tahun. Minyak sawit diperlukan untuk membantu negara berkenaan mengurangkan pengambilan asid lemak trans yang diakui pakar pemakanan mereka membahayakan kesihatan, manakala penggunaan minyak sawit sebagai biodiesel dan bahan makanan memberi sekurang-kurangnya 30 peratus penjimatan kerana harganya yang murah. Minyak sawit seolah-olah memberi manfaat bukan saja kepada negara pengeluar sebagai sumber pendapatan yang lebih lumayan tetapi juga kepada negaranegara pengimport yang berusaha meningkatkan taraf kesihatan penduduknya, mengurangkan eksploitasi tanah dan memerangi inflasi. Semuga perkongsian ilmu didalam anim agro technology kali ini memberi menafaat kepada semua. Wasallam!!!...
MINYAK SAWIT ... PENGELUAR UTAMA...
TERBESAR....DI MALAYSIA, INDONESIA...
MINYAK BERKUALITI...SELURUH DUNIA...
KEMPEN DIBUAT... LAWAN SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Bandar Baru UDA, 
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(13 Ramadan 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...