Support My Blog

Saturday, August 18, 2018

MENGAWAL HAKISAN TANAH

MENGAWAL HAKISAN TANAH (Soil Eroison Control) merupakan satu aktiviti penting perlu dijalankan terutama untuk kawasan pembukaan tanah baru dalam bidang pertanian yang luas. Kerja-kerja membangunkan tanah bercerun untuk pertanian boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama ialah mengenai  pembukaan kawasan, peringkat kedua ialah mengenai pembinaan struktur pemuliharaan tanah dan yang ketiga mengenai amalan agronomi yang sesuai untuk mengawal hakisan. Tanah dikawasan bercerun yang baru dibuka atau untuk tanaman semula seperti tanaman getah, kelapa sawit atau tanaman industri lain perlu dirancang dengan betul jadual penyediaan kawasan. Secara tradisinya kerja-kerja untuk penyediaan tanah akan dijadualkan pada musim kemarau untuk mempercepatkan proses penebangan, pereputan, pembakaran dan juga pembajakan. Tanah berbukit dan bercerun perlu dibuat struktur kawalan hakisan seperti membuat teres mengikut bentuk kecerunan dan bukit. Lazimnya membuat teres dijalankan pada musim tidak hujan untuk menstabilkan tanah dan kerja-kerja memotong tanah untuk teres yang sempurna. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" sambil saya menonton Astro Saluran 801 iaitu perlawanan final Piala FA antara JDT dengan Kelantan, saya menulis mengenai kawalan hakisan tanah bagi tujuan projek pembangunan pertanian.


Pembukaan Kawasan tanah baru daripada hutan atau penanaman semula getah dan kelapa sawit memerlukan perancangan yang betul. Lazimnya kerja-kerja pembukaan tanah melibatkan kerja menebang pokok, memotong kayu, mencabut tunggul, membaris, kerja melonggok kayu, membakar kayu dan membersihkan kawasan. Semasa menjalankan aktiviti ini beberapa peraturan berikut hendaklah diikuti iaitu (a) Bagi kawasan yang luas, kerja pembukaan tanah hendaklah dijadualkan berperingkat peringkat bagi mengelakkan pendedahan tanah terlalu lama kepada proses hakisan. (b) Pembukaan tanah lebih sesuai dilakukan pada musim kering. (c) Penebangan bersih hanya perlu dilakukan bagi tanaman biasa seperti sayur-sayuran, buahbuahan, getah dan kelapa sawit. Sekiranya tidak perlu menebang bersih, seperti untuk sistem tanaman agro-forestry, penebangan pokok secara selektif adalah digalakkan. Pokok-pokok tidak berfaedah yang hendak ditinggalkan akan membantu melindungi tanah daripada hakisan. (d) Tunggul-tunggul kayu hanya perlu dicabut jika sistem penanaman memerlukan. Bagi tanaman jangka panjang seperti durian, getah dan kelapa sawit, tunggul-tunggul kayu tidak menghalang kerja operasi ladang dan ia dapat membantu menakan hakisan. (e) Pembakaran sisa kayu hanya dilakukan apabila perlu sahaja. Sisa kayu yang dilonggok atau dibaris membantu menahan hakisan. (f) Pokok-pokok asal di tepi sungai dan taliair utama hendaklah dibiarkan bagi menahan tebing daripada terhakis (river buffer zone).


Jadual a: Syor-syor aktiviti pembukaan kawasan di cerun




Dalam proses awal penyediaan kawasan lazimnya aktiviti pembukaan kawasan kebun dimulakan dengan proses pembukaan berperingkat, penebangan bersih, penebangan secara selektif serta kaedah lain yang sesuai. Kaedah penebangan boleh dilakukan dengan cara menebang secara manual atau menebang menggunakan jentera berat atau pun cara menebang secara manual dan dengan jentera. Kemudian aktiviti lain yang perlu dilakukan dengan membuat zon penampan tebing sungai di mana perlu dilakukan dengan betul dan berperingkat. Sebaiknya aktiviti menebang kawasan kebun dilakukan pada musim kering bagi kawasan luas untuk elakkan berlakuknya hakisan tanah. Perlu dilakukan aktiviti mencabut tunggul dan diikuti dengan aktiviti membakar sisa kayu jika perlu. Semua kerja membakar sisa kayu perlu dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tempatan untuk mengelakkan berlakunya kesan jerebu dimsim panas. Membakar secara terkawal lazimnya akan dipantau oleh JAS bagi kawasan yang luas. Biasanya syor-syor di atas hendaklah dilaksanakan dengan bersama-sama syor membina struktur pemuliharaan tanah dan syor amalan agronomi. Panduan yang lebih terperinci mengenai cara pembukaan kawasan bagi jenis-jenis tanaman berikut mengikut cerun tanah diberi dalam Jadual a diatas. Panduan bagi aktiviti dalamJadual a tersebut hendaklah digunakan bersama dengan panduan lain.


Mengawal hakisan tanah boleh dilakukan juga dengan cara membina Struktur Pemuliharaan Tanah. Biasanya struktur-strukturpemuliharaan tanah boleh mengawal hakisan dengan berkesan. Sistem perparitan dan struktur yang dibina dapat menyalirkan air dengan selamat. Kebanyakan struktur dibina dengan menggali tanah dan menggunakan bahan asli yang mudah didapati seperti tanah, batu dan kayu. Struktur-struktur yang disenaraikan di bawah adalah sesuai dibina dalamladang-ladang pertanian. Antara infrastruktur yang dibina seperti sistem perparitan dan laluan air bagi menyalir air hujan yang berlebihan. Dinding parit hendaklah ditanam dengan rumput. Struktur lain seperti perangkap kelodak (silt/pits), pentas untuk tapak pokok atau tanaman, teres-teres bagi menyekat larian air, empangan kecil bagi tujuan menampan had laju air parit, pembentungan di baw ah jalan (culvert) dan membina struktur gabion atau dinding konkrit pada cerun yang sangat curam. Panduan yang lebih terperinci mengenai keperluan membina struktur penting lain bagi tujuan pemuliharaan tanah bagi jenis-jenis tanaman mengikut cerun tanah.  Seterusnya bagi mengawal hakisan adalah dengan menjalankan  Amalan Agronomi Untuk Mengawal Hakisan. Sebenarnya memang banyak amalan agronomi bukan sahaja meningkatkan kesuburan tanah dan menambahkan hasil, tetapi turut juga memulih cara tanah daripada ketandusan dan mengaw al hakisan. Berikut ialah amalan agronomi yang dapat mengaw al hakisan dengan berkesan. Antara yang sesuai dilakukan adalah seperti menanam penutup bumi seperti kekacang (seperti Calapoganium spp, Centrosema pubecens atau pun lain-lain jenis penutup bumi). Aktiviti membuat sungkupan bagi menutup permukaan tanah, menanam rumput di tebing-tebing serta mengamalkan tanaman padat boleh melindungi permukaan tanah


Seterusnya aktiviti mengawal hakisan boleh dilakukan dengan membajak tanah secara minimum supaya tidak banyak tanah yang terhakis (Sila lihat foto disebelah). Cara menanam dengan mana boleh menggunakan sistem mengikut kontor juga lazimnya akan dapat menahan hakisan. Seterusnya semasa menanam tanaman selingan antara tanaman jangka pendek dengan tanaman jangka panjang. Panduan yang lebih terperinci mengenai amalan agronomi untuk mengawal hakisan bagi jenis-jenis tanaman mengikut cerun tanah diberikan perhatian dengan serius dimana apabila kawasan seluas lebih 50 ekar maka kawasan tersebut perlu mendapat dulu kelulusan Environment Impact Assessment (EIA) seperti didlam peraturan sedia ada. Lazimnya aktiviti pembukaan kawasan hutan secara berleluasa juga menyebabkan bumi semakin kurang berkemampuan untuk mengawal dalam pengumpulan gas rumah hijau (GHG) di lapisan langit bumi.  Keadaan bertambah buruk akibat penggunaan bahan api fosil yang tinggi oleh negara-negara Barat dan Timur dalam memastikan sektor industri mereka berjalan dengan baik.  Pembakaran bahan api fosil yang berlarutan bertahun-tahun lamanya menghasilkan gas karbon (Co2) yang tinggi. Kadar pelepasan gas tersebut dilihat semakin meningkat dari kepekatan 250 bahagian perjuta (ppm) pada era awal revolusi perindustrian sehingga 400 ppm hari ini.  Berlaku peningkatan gas Co2 dikatakan antara penyumbang terbesar kepada kenaikan suhu dunia sekitar dua darjah Celcius setiap tahun menyebabkan berlakunya isu fenomena pemanasan dunia (global warming). Lebih buruk sesetengah kawasan di dunia berlaku corak cuaca yang ekstrem seperti salji tebal berbanding biasa, kejadian taufan yang lebih kerap dan banjir besar.


Sebenarnya sebagai penduduk dunia, kita memainkan peranan penting dalam memastikan keadaan tersebut tidak terus berlaku. Manusia perlu untuk melakukan sesuatu bagi menghentikan fenomena tersebut dengan lebih pantas. Kini ramai dalam kalangan rakyat negara ini masih lagi tidak menyedari akan kepentingan memelihara alam sekitar. Pada masa ini boleh lihat barangan berasaskan plastik dibuang begitu sahaja. Barangan tersebut boleh ditemukan tepi jalan, di dalam sungai, tasik, lombong mahupun di mana-mana laluan air tanpa ada sesiapa yang peduli. Kebanyakan kawasan bandar kini mudah dinaiki air atau banjir kilat akibat sistem peparitan sedia ada tersumbat. Sampah sarap yang dibuang merata-rata oleh penduduk setempat sering menyekat laluan air dimana ini menyebabkan air melimpah ke jalan raya serta kawasan penempatan. Lebih menyedihkan ramai dalam kalangan kita merungut menyalahkan pihak tertentu kerana tidak sensitif dengan kesusahan yang dialami, walhal diri kita sendiri yang mencipta masalah tersebut. Pemanasan global atau penyejukan global merupakan fenomena semula jadi yang sering berlaku sebelum ini. Bagaimanapun kesan daripada pemanasan global bertambah buruk akibat campur tangan manusia menerusi penggunaan bahan api fosil yang sangat tinggi dan pembukaan tanah secara berleluasa.  Kejadian banjir besar pada 2014 membuktikan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian serta penebangan hutan secara berleluasa biasanya memburukkan lagi keadaan. Paras air yang tinggi sehingga mampu menenggelamkan rumah menyebabkan hampir 20,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Sebahagian besar kawasan pertanian di sebelah Pantai Timur negara turut mengalami kerosakan yang teruk menyebabkan petani mengalami kerugian yang besar. Di kawasan tanah tinggi pula berlaku penerokaan hutan untuk tujuan pembalakan serta dijadikan kawasan pertanian menyebabkan sebahagian besar kawasan tanah terdedah. Kawasan yang terdedah terlalu lama akan menyebabkan sebahagian tanah terhakis dibawa air hujan yang lebat. Tanah yang terhakis akan mengalir masuk ke sungai bersama aliran air hujan seterusnya berlaku pengumpulan lumpur dan mendapan yang menyebabkan sungai menjadi lebih cetek dan tidak lagi mampu menampung jumlah air yang banyak (Sila lihat foto disebelah). Lumpur dan segala mendapan yang mengalir laju seperti tsunami itu turut akan memusnahkan segala harta benda, bangunan, kawasan pertanian dan pelbagai lagi di sepanjang laluannya.


Apa yang lebih memburukkan keadaan dimana lumpur yang berwarna kuning kemerah-merahan tersebut mengandungi bahan kaolinitik, besi (Fe) dan aluminium (Al) yang tidak memiliki nilai pemakanan (nutrisi) diperlukan oleh tumbuhan. Berlaku lapisan lumpur yang mengandungi mineral itu akan menyebabkan petani memerlukan kos yang tinggi bagi membaik pulih tanah pertanian yang diliputinya. Bencana yang berlaku bukan hanya tertumpu di kawasan tanah tinggi malah turut berlaku di kawasan pantai. Ada kala angin kencang membentuk ombak yang kuat setinggi dua hingga tiga meter (m) menyebabkan hakisan pantai berlaku dengan lebih teruk. Laporan geologikal menyatakan selepas bertahun-tahun mengalami proses yang sama kini muara Sungai Kelantan contohnya telah mula berubah dan beralih beberapa kilometer jauhnya dari kedudukan asal. Kerajaan serta agensi yang terlibat perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam menanganinya. Kini jika tiada sebarang tindakan diambil maka pantai-pantai di sekitar Semenanjung Malaysia akan terhakis dengan lebih teruk menyebabkan kawasan bertanah dalam negara akan  bakal berkurangan (Sila lihat foto disebelah)Hakisan tanah merupakan satu kerugian kepada negara kerana sesebuah kawasan itu akan mengalami kerosakan secara fizikal yang menyebabkan banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan di atasnya. Bagi menangani permasalahan tersebut adalah dengan membina laluan air sama ada di atas permukaan tanah mahupun di bawah tanah. Terdapat dua jenis sistem peparitan iaitu permukaan (surface) dan pertengahan tanah (subsurface). Laluan air di atas permukaan dibina untuk menghalakan air menerusi sistem perparitan terus ke kawasan takungan. Topografi tanah seperti cerun juga dapat membantu selain laluan air berumput boleh dibina bagi mengalirkan air ke kawasan tertentu. Sebarang tekanan ke atas tanah juga harus dikurangkan dengan kaedah melembutkan tanah menerusi aktiviti membajak agar air tidak bertakung atau terganggu untuk mengalir. 


Sistem peparitan di bawah pada permukaan tanah berbentuk pembuluh boleh dibina dengan menggunakan bahan daripada tanah liat, konkrit atau plastik yang perlu ditanam ke dalam tanah. Air yang berada di dalam tanah boleh mengalir menerusinya dengan lebih mudah dan lancar. Bagi sistem peparitan di permukaan tanah lebih sesuai untuk kawasan tanah yang rata dengan kadar aliran yang perlahan.  Bagi tujuan mengurangkan hakisan tanah akibat aliran alir, impak curahan air yang tinggi akibat hujan lebat juga perlu dikurangkan. Terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan iaitu agronomik, mekanikal, dan pengayaan tanah. Bagaimanapun, ketiga-tiga kaedah tersebut berkongsi prinsip yang sama iaitu melindungi permukaan tanah daripada gangguan sebarang tekanan fizikal air serta meningkatkan ketahanan tanah. Bagi kaedah agronomik adalah dengan mempertingkatkan litupan hijau di permukaan tanah dengan menanam lebih banyak pokok dan belukar. Kini dilaporkan sebanyak 60 - 70% kawasan terdedah perlu di lindungi tumbuhan bagi mengelakkan kejadian hakisan. kaedah mekanikal adalah seperti membina cerun, teres, atau dinding bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh. Bagi kaedah pengayaan tanah dengan meningkatkan kadar nutrisi di dalam tanah kerana tanah yang subur dapat menampung tumbuhan untuk hidup di permukaannya. Kehadiran tumbuh-tumbuhan dapat mengelakkan berlakunya hakisan serta tanah runtuh. Semuga tulisan kali ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro semua. Wasallam!!!.
HAKISAN TANAH... BERLAKU SENTIASA...
MUSIM HUJAN... AGAK TERUK KESANNYA...
PERLU DIKAWAL ... PELBAGAI CARANYA...
ARTIKEL DIRUJUK... INFORMASINYA ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pantai Bagan Lalang, Sepang,
Selangor, Malaysia.
(6 Zulkaedah 1437H).
Posted and updated:
Hostel Anggerik, INTAN Bukit Kiara, KL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...