Support My Blog

Thursday, August 30, 2018

ILMU MENGENAI HERBA - WARISAN

PERUBATAN TRADISIONAL dengan mengamalkan dan mengambil herba memang menjadi pilihan alternatif untuk menjaga kesihatan. Ilmu pengetahuan mengenai perubatan herba tradisional kini semakin pupus apabila para ilmuan dan pakar herba tradisional semakin kurang dan peranan ini tidak diperdulikan banyak pihak. Mempertahankan ilmu warisan keluarga yang mahir dalam dunia herba dan perubatan tradisional juga kurang dilakukan. Bagaimana pun dalam akhbar KOSMO penulis telah rujuk satu artikel bertajuk 'Mempertahankan ilmu warisan keluarga' untuk dikupas dan dikongsi bersama semua pembaca. Laporan ini bermula dengan puitis iaitu "Tatkala hujan mula berhenti dan matahari menerjah sinarnya, seorang wanita warga emas sudah bersiap sedia mencapai bakul kosong bersama sebilah parang dan sebatang cangkul untuk menjalani rutin hariannya". Seterusnya dinyatakan tidak seperti warga desa lain, wanita ini membawa misi sendiri untuk membantu pelanggannya mendapatkan ubatan tradisional yang hidup di dalam hutan. Beliau merupakan salah seorang pencari akar kayu veteran di kampung, Lijah Osman, 80, tidak pernah mengenal erti lelah. Aktiviti mencari akar kayu sudah sebati dalam kehidupan beliau dimana ia menjadi aktiviti harian. Katanya walaupun agak sukar, ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan kemahiran yang diwarisi turun-temurun ini. Malah beliau merasa gembira setiap kali dapat membantu mereka yang memerlukan. Beliau yang tinggal di Kampung Rembang Panas, Juasseh, Negeri Sembilan. juga ada menyatakan sejak mempelajari kaedah untuk mencari akar kayu, wanita yang mesra disapa Wan Lijah itu telah pun mempunyai ramai pelanggan tetap. Artikel petang SABTU ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penting berlaku perpindahan ilmu mengenai herba sebagai Warisan perubatan tradisional didalam masyarakat tempatan.

Perubatan herba merupakan warisan dan khazanah alam semula jadi dimana ia berasaskan kepada bahan seperti akar-akar kayu telah menjadi sebahagian daripada dunia perubatan tradisional sejak zaman berzaman dan dikatakan menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Pada penulis berbeza dengan perubatan moden, akar kayu kebiasaannya disediakan dalam bentuk air rebusan dan ia boleh diminum pada bila-bila masa. Seikat akar kayu boleh direbus berulang kali sehingga air rebusan bertukar menjadi jernih menandakan ia perlu ditukar baharu. Lazimnya air akar kayu turut dijadikan sebagai minuman tambahan bagi tujuan kesihatan dan penggalak tenaga untuk melakukan pekerjaan atau aktiviti harian malahan untuk bersukan. Walau pun air rebusan akar kayu lazimnya akan mempunyai rasa sedikit pahit dengan aroma tersendiri sebenarnya  air akar kayu sesuai untuk diminum oleh setiap peringkat umur tidak kira lelaki, perempuan, tua atau muda. Ini kerana rebusan air akar kayu ia dikatakan sesuai dengan tubuh badan manusia. Penjualan akar-akar kayu tempatan kini semakin kurang dipasaran kerana kepercayaan masyarakat umum terhadap sistem perubatan moden sangat kukuh. Mereka akan mengunjungi klinik kerajaan atau swasta jika mempunyai masaalah kesihatan seperti demam, penyakit lain dan masaalah kesihatan. Keujudan Klinik 1M atau Klinik 1 Malaysia didapati berjaya membantu rakyat dalam meningkatkan kualiti hidup dari kebergantungan kepada perubatan tradisional seperti minum air rebusan akar-akar kayu. Berbanding dengan masyaraat Cina yang masih menghidupkan kedah SingSeh yang masih utuh.

Akar kayu tertentu sememangnya mempunyai khasiat perubatan dari beberapa sumber rujukkan. Akar kayu yang dikutip akan dipotong atau diracik sebelum dicampurkan untuk menjadi produk seperti 'Ubat Periok'. Foto disebelah menunjukkan rupa akar kayu yang telah siap diikat dan sedia untuk dihantar kepada pelanggan. Khasiat daripada akar kayu banyak diketahui melalui pengalaman orang lama. Berbalik kepada ilmu mengenai herba, disepanjang Lijah mencari akar kayu, dia sering mendapat tempahan daripada ramai pengguna yang menghidap penyakit batu karang, kencing berdarah, sakit-sakit badan, darah tinggi, masalah angin dalam badan, sakit puan (keputihan dan gangguan kitaran haid), minuman kesihatan selepas bersalin serta kesukaran untuk mengandung. Kini walaupun melewati usia emas, Lijah masih mampu untuk ke kawasan hutan sekitar tiga hingga lima kilometer dari kampungnya seorang diri untuk mencari akar kayu. Dahulu semasa berusia 20-an, Lijah sudah mula mengikut datuknya ke hutan untuk mencari akar kayu. Sejak itu sedikit demi sedikit wanita tersebut menimba ilmu untuk mengenal setiap jenis akar kayu yang terdapat di dalam hutan serta memahami fungsinya. Walau pun tiada sebarang sijil atau segulung ijazah dimiliki Lijah, namun dia mampu mengenali pelbagai jenis tumbuhan yang dikatakan mujarab untuk dijadikan ubat. Dalam mempelajari ilmu mencari akar kayu dia telah dididik bagi memahami bahawa akar kayu mempunyai 199 jenis untuk 199 penyakit di dalam dunia. Jenis akar kayu yang sering dicari oleh Lijah ialah tongkat ali, kacip fatimah, ubi jaga, tongkat haji samad, sekecut, akar serapat, akar teja lewang, akar mempelas, akar mengkunyit, akar mempelas, buah melada pahit, ubi gadung, kelentit kering, akar puteri, raja sarsi dan akar mata pelanduk. Beliau mengenali jenis akar kayu melalui kaedah pemerhatian.


Lijah mendapatkan sumber akar kayu di kawasan hutan berdekatan rumahnya iaitu kawasan hutan sekunder (Sila lihat foto disebelah). Dalam mempelajari ilmu akar kayu menurutnya tidaklah sukar tetapi ia memerlukan kita masuk ke hutan untuk hands-on. Ia merupakan cabaran utama khususnya bagi wanita untuk masuk kedalam hutan dan mencari herba yang dikehendakki. Ketabahan Lijah dalam mempertahankan warisan ilmu itu telah membawa akar-akar kayunya merentasi sempadan negeri. Walaupun kini tiada jenama khusus tetapi akar kayunya mendapat tempahan daripada pengguna sekitar Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak malah di Singapura serta Brunei. Wanita bernama Lijah hanya mengenakan caj sebanyak RM5 untuk seikat akar kayu bagi setiap penyakit. Walaupun pada pandangan umum tugas mencari akar kayu itu sukar tetapi dia tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk mengenakan harga yang tinggi kepada pelanggan mahupun pengedar. Baginya akar kayu merupakan ikhtiar untuk dijadikan penawar kepada penyakit dimana dia hanya membantu untuk mencari dan mengumpulkannya kerana kuasa menyembuhkan penyakit hanyalah Allah.


Dalam pada itu, seorang lagi pencari akar kayu juga dari Kampung Rembang Panas iaitu Encik Abdul Jalil Abdul Ghani berumur 61 tahun juga turut aktif dan mempelajari ilmu mencari akar kayu secara turun-temurun daripada keluarga mertuanya sejak berumur 30 tahun (Sila lihat foto disebelah). Pada mulanya, dia hanya membantu neneknya menarik akar kayu, namun setelah beberapa kali, Abdul Jalil mula tertarik untuk mempelajari ilmu mencari akar kayu. Menurutnya kerja mencari akar kayu memerlukan kesabaran yang tinggi kerana pencari perlu menempuh hutan rimba dan meneliti setiap tumbuhan yang diperlukan.  Waktu sesuai perlu diketahui sebelum memasukki hutan mencari akar kayu. Pencari akar kayu perlu berhati-hati melihat setiap pokok yang diperlukan dimana terdapat pokok yang kelihatan sama tetapi kegunaan berbeza. Masa yang sesuai untuk mencari akar kayu ialah selepas hujan kerana ketika itu tanah berkeadaan basah dan lembut dimana ini sekali gus akan memudahkan kerja menggali dan menarik tumbuhan tersebut. Beliau mengambil masa selama dua tahun untuk menguasai ilmu mencari akar kayu. Semasa musim panas selalunya kerja mengambil akar kayu akan menjadi sukar berikutan keadaan tanah yang kering dan keras. Adakalanya dia mencari akar kayu di hutan yang memakan masa selama tiga hari. Pada zaman dahulu memang akar kayu mudah dicari kerana kawasan hutan masih belum diteroka namun kini beliau perlu ke kawasan hutan lain seperti di Seri Menanti, Kuala Pilah, untuk mencari beberapa jenis akar kayu yang hanya terdapat di situ. Setiap akar kayu yang baru dikeluarkan dari hutan akan dibasuh terlebih dulu dan kemudian ia akan dijemur seketika bagi mengeringkan air basuhan tersebut. Akar kayu akan dipotong mengikut ukuran yang sama dimana bagi akar yang bersaiz besar ia perlu dibelah menjadi lebih kecil. Setiap akar kayu yang dipotong ukuran antara 10 -12 cm setiap satu. Setelah itu setiap akar kayu akan disusun menjadi seruas dan diikat. Seikat akar kayu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh jenis akar.


Abdul Jalil memberitahu dimana ada sesetengah akar kayu digunakan dalam semua jenis penyakit manakala terdapat akar kayu yang sesuai mengikut jantina. Bagi akar kayu untuk wanita selalunya akan disertakan dengan akar pokok pengecut manakala untuk lelaki dengan menggunakan akar kayu tongkat ali. Akar kayu yang boleh disertakan setiap penyakit dikenali sebagai taji denak atau ibu penawar kepada segala penyakit. Kaedah mudah untuk mengenali akar kayu ini hanyalah dengan latihan praktikal yang berterusan (Sila lihat foto disebelah)Walaupun bersemangat mengekalkan warisan keluarganya itu, dia turut mengakui bahawa generasi muda hari ini sudah tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang tersebut. Dalam dunia yang serba canggih dengan kaedah perubatan moden, perubatan tradisional seperti akar kayu semakin dilupakan khususnya dalam kalangan golongan belia. Ada  diantara mereka yang tidak mengetahui akan kewujudan perubatan daripada akar kayu ini. Setakat ini beliau hanya berkongsi ilmu bersama ahli keluarga terdekat. Sekiranya ada anak muda yang ingin mempelajarinya dia bersedia mengajar ilmu kepada mereka. Walaupun akar kayu sudah kurang dikenali, ia masih mempunyai kelompok pengguna tersendiri iaitu golongan dewasa dan warga emas.


Dalam mendapatkan testimoni, seorang pengguna akar kayu Hasnah Mohmad Ali berumur 56 tahun ada memberitahu dimana dia telah mengamalkan minuman akar kayu sejak zaman anak dara sehingga hari ini. Hasnah mengamalkan pengambilan akar kayu sebagai minuman kesihatan untuk mencegah daripada pelbagai penyakit berkaitan perempuan seperti senggugut dan keputihan. Cara dan kaedah pengambilan air akar kayu merupakan tradisi keluarga beliau. Ibunya telah menyarankan dia meminum air akar kayu untuk mengekalkan kesihatan. Air akar kayu memberikan kesan yang positif kepada dirinya dan sehingga hari ini pun dia tetap mengamalkan meminum air akar kayu untuk melegakan sakit sendi. Ada juga beberapa pantang larang jika hendak mengamalkan pengambilan akar kayu. Dalam pada itu beliau mengingatkan, pengambilan air akar kayu turut mempunyai pantang larang seperti tidak boleh meminum Air Kelapa (Cocos nucifera). Ini kerana air kelapa boleh mematikan segala khasiat daripada akar kayu. Amalan ubatan tradisional merupakan salah satu ikhtiar perubatan dalam usaha untuk mencari penawar bagi sesuatu penyakit. Ubatan tradisional seperti herba dan akar kayu juga sering menjadi pilihan saintis untuk mengkaji khasiat serta apakah keberkesanan warisan alam ini dalam membantu untuk meningkatkan kesihatan dan menyembuhkan penyakit. Kini laporan kajian yang dibuat oleh Profesor Madya Dr. Hawa dari Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia berkata, ubatan tradisional merupakan perubatan prasaintifik yang diamalkan oleh sesuatu kaum pada masa dan tujuan tertentu. Ubatan seperti akar kayu telah diturunkan dari satu generasi kepada yang lain sehingga menjadi warisan buat masyarakat khususnya di sekitar Nusantara. Bahan-bahan yang terkandung dalam perubatan tradisional kebiasaannya berasaskan herba khusus dan melaui dunia perubatan moden, akar kayu merupakan pilihan alternatif yang disarankan mengikut kesesuaian berdasarkan keperluan serta tidak memberi atau memudaratkan pengguna. Semuga artikel tulisan semula dari testimoni akhbar ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

ILMU BERNILAI... IMLU TENTANG HERBA...
DIDALAM HUTAN... PERLU DITEROKANYA...
PENCARI AKAR KAYU... ORANG TUA SAJA...
PERLU DITERUSKAN...GENERASI MUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kampung Rembang Panas, Juaseh,
Negeri Sembilan, Malaysia.
(18 Muharam 1438H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...