Support My Blog

Friday, August 3, 2018

PISANG AWAK - PENCIRIAN VARIETI

PISANG AWAK (Musa spp) merupakan sejenis pisang tempatan yang agak unik kerana ia dikatakan sering mengandungi biji dan lazimnya digoreng untuk dijadikan 'Pisang Goreng'. Kajian saya dibeberapa lokasi terutama di Johor, Perak dan Selangor mendapati pisang awak ini ada dua varieti yang telah dikenalpasti iaitu 'Pisang Awak Tempatan' dan 'Pisang Awak'. Perbezaan diantara kedua varieti ini adalah mengenai panjang tandan dan juga bentuk buahnya. Saya dapati tidak ramai pakar pisang yang menulis mengenai pencirian Pisang Awak kerana ia dianggap sebagai varieti pisang yang kurang mendapat perhatian dikalangan peminat pisang dan juga petani. Penanaman pisang awak secara monokrop dan komersial secara luas jarang-jarang dijumpai. Kebanyakan pisang ini ditanam secara bercampur dalam kebun pisang atau sebagai tanaman dikawasan keliling rumah terutamanya dikampong tradisional. Rumpun pokok pisang awak mampu bertahan lama jika tijaga dengan baik dan tidak diserang penyakit serius. Kepentingan pisang awak hanya ditumpukan untuk di goreng, dibuat kuih mueh tradisional dan hanya sedikit yang dimakan segar. Artikel malam Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai dua varieti pisang awak iaitu Varieti Pisang Awak Tempatan (PAT) dan Varieti Pisang Awak (PA) untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Dari segi pokok, kedua-dua varieti ini mempunyai bentuk rumpun pokok yang hampir serupa. Gambar diatas juga ada menunjukkan pokok pisang kedua-dua varieti yang ditanam pada masa sama bersebelahan dan jelas kelihatan pokok pisang awak kedua varieti mempunyai ketinggian hampir serupa (Ketinggian Pseudostem antara 320 - 340 cm). Kajian menunjukkan purata bilangan sulur anak pada Pisang Awak Tempatan sedikit (8 -13 sulur) berbanding dengan varieti Pisang Awak (9 - 15 sulur). Saiz ukurlilit pseudostem atau batang pokok juga lebih besar pada varieti PA (40 - 42 cm) berbanding dengan varieti PAT (37 - 39 cm) sahaja. Bagaimana pun kedua-duanya mempunyai warna batang yang sama iaitu hijau cerah (light green).


Dalam meneliti perbezaan nyata antara kedua varieti ini saya dapati hanya ketara pada bentuk keratan corak kepak pada petiol atau keratan rentas pelepah. Foto diatas menunjukkan dengan agak jelas beza bentuk lengkung dimana PAT mempunyai bentuk luas terbuka kedalam (moderately curved inward) sementara PA mempunyai bentuk atas seakan bercantum (overlapped). Bagaimana pun panjang pelepah pada varieti PAT sekitar 15 - 17 cm sementara pada varieti PA adalah lebih panjang iaitu sekitar 21 - 23 cm. dan warna pelepah daun adalah serupa iaitu hijau. Bentuk pangkal daun pada pelepah juga hampir sama iaitu berbentuk separuh bulatan (both side rounded). Satu lagi perbezaan nyata adalah kehadiran bulu pada peduncle dimana varieti PAT tidak mempunyai bulu sementara varietii PA mempunyai bulu.

Pisang Awak mempunyai panjang tandan buah yang signifikan untuk dibezakan dimana variti PAT memopunyai tandan lebih pendek (50 - 60 cm) sementara varieti PA mempunyai panjang tangkai antara 90 - 110 cm. Bagaimana pun ukurlilit tandan buah varieti PAT lebih besar (24 - 26 cm) tetapi varieti PA pula hanya mempunyai ukurlilit tandan sekitar 12 - 14 cm (kecil tetapi panjang).  Gambar diatas menunjukkan bentuk buah dimana kelihatannya hampir sama tetapi ketika dibuat ukuran didapati varieti PAT mempunyai ukuran pendek (9.0 - 10.0 cm) dan varieti PA mempunyai ukuran lebih panjang (10.5 - 11.5 cm). Hujung setiap buah adalah berbentuk seperti leher botol dengan bentuk agak lurus (straight shape).

Buah muda mempunyai warna hijau dimana keduanya mempunyai warna serupa begitu juga apabila buah telah masak ranum (Lihat foto atas sekali). Perbezaan warna kulit dapat dibezakan dimana saya dapati varieti PAT apabila masak akan mempunyai corak berbintik atau warna kelabu pada kulit yang lebih nyata daripada varieti PA. Umumnya kulit pisang masak varieti PA adalah lebih licin dan cerah sedikit. Ini dapat dilihat pada keseluruhan buah dalam tandan yang telah disisir yang diperam sebelum digunakan. Bagaimana pun dari segi rasa hampir serupa sahaja diantara kedua varieti ini dan saya tidak sempat untuk membuat ujirasa di makmal untuk mengkaji kandungan isi pisang tersebut.  Semuga artikel ini dapat memberikan idea kepada pembaca blog anim agro technology untuk membezakan pisang awak yang ada dinegara kita. Diharap lebih banyak saintis akan membuat kajian lebih baik daripada kajian yang saya buat ini. Wasallam!..
Kebun Pisang Komersil - teka pisang apa.
PISANG AWAK.... ADA 2 JENISNYA....
MACAM SERUPA... TAPI TAK SAMA....
HANYA PAKAR... MEMBEZAKANNYA...
KALAU DIGORENG..ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Pusat Pertanian Lekir
Manjung, Perak,
Malaysia
(12 Syaaban 1434H).
Published from:
Room 4818, Anggerik Hostel,
INTAN Bukit Kiara, KL.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...