Support My Blog

Tuesday, September 13, 2016

BUAH POPULAR - MALAYSIA (Part - 1)

Di Malaysia terdapat banyak industri tanaman buah-buahan yang di majukan untuk pasaran dan bekalan domestik dan eksport. Terdapat seluas lebih dari 270,000 hektar tanaman buah-buahan yang diusahakan pada tahun 2015 dengan anggaran kuantiti pengeluaran sebanyak 1.742 juta metrik tan terutama jenis buah-buahan bermusim dan tidak bermusim. Rekod dari Jabatan Pertanian menunjukkan tanaman buah Durian (Durio zibethinus) merupakan jenis buah bermusim yang paling luas diusahakan iaitu 100,615 hektar diikuti Pisang (Musa spp) merupakan jenis buah yang kedua terluas diusahakan di Malaysia dengan jumlah semua 28,640 hektar dan pengeluaran sebanyak 283,220 mterik tan. Rekod Jabatan Pertanian juga menunjukkan dimana tanaman Rambutan (Nephelium lappaceum) tempat ketiga dengan ditanam seluas 24,470 hektar dengan pengeluaran sebanyak 79,540 metrik tan pada tahun 2015. Tempat yang keempat ialah Buah Nenas (Ananas comosus) dengan keluasan 16,210 hektar dan pengeluaran sebanyak 400,070 metrik tan. Walaupun pengeluaran buah-buahan tempatan terus meningkat tetapi pengeluaran tidak menentu akibat perubahan cuaca yang menjejaskan pengeluaran buah bermusim seperti durian. Pada tahun 2016 sebagai contoh pengeluaran buah bermusim seperti durian, rambutan, duku, manggis dan sebagainya amat berkurangan kerana kesan kemarau panjang El-Nino. Kesan El-nino juga memberi kesan kepada pengeluaran buah-buahan tidak bermusim seperti pisang, betik, nangka dan beberapa lagi kerana kekurangan air, suhu tinggi dan serangan perosak serta penyakit. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 23 jenis buah-buahan tropika yang popuar di Malaysia. Artikel ini ditulis berdasarkan kepada Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2015, beberapa aktiviti pemerhatian, kajian dan pengalaman penulis sendiri didalam sektor pertanian selama 36 tahun.

1. BELIMBING
Tanaman Belimbing (Averrhoa carambola) dinegara kita menjadi satu lagenda kerana Malaysia merupakan antara pengeluar belimbing terhebat untuk pasaran Eropah. Tanaman ini mempunyai 3 jenis varieti (dulu dipanggil sebagai klon) yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan memang popular iaitu Varieti B10, Varieti B17 dan Varieti B2. Varieti B10 dan B17 adalah 2 varieti yang popular dan sesuai untuk ditanam secara komersil bagi pasaran domestik dan juga pasaran ekspot. Sementara itu varieti B2 ditanam khusus untuk tujuan pendebungaan selain dari penghasilan buahnya. Keluasan tanaman Belimbing di Malaysia sebanyak 1,340 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 12,750 metrik tan pada tahun 2015. Kawasan utama dalam penanaman Belimbing di Malaysia adalah di Daerah Gombak Selangor (132 ha) diikuti dengan Daerah Seremban Negeri Sembilan (9 ha) dan Daerah Temerloh Pahang (68 ha). Belimbing tersebut adalah untuk pasaran segar dan eksport. Pada masa ini belum banyak belimbing yang ditanam untuk tujuan proses seperti jus, halwa, jem dan sebagainya. Teknologi dan klon baru belimbing perlu dibangunkan bagi industri ini akan terus berkembang. Saya memberikan ceramah 'Crop management and Economic Practice on the Carambola' pada kursus JICA antarabangsa tahun 2012 di AETC, Serdang ,Selangor.

Artikel : Klon Belimbing (Klik disini)
Artikel : Cashflow Belimbing (Klik disini)
Artikel : Star Fruit (Klik disini)




2. BETIK
Betik (Carica papaya) merupakan sejenis buah-buahan yang p[opular di tanam secara komersil di Malaysia untuk pasaran segar. Di Malaysia beberapa varieti telah dihasilkan dari program biakbaka tempatan adalah seperti Betik Eksotika dimana terdapat dua varieti yang iaitu Betik Eksotika 1 dan Betik Eksotika 2. Betik varieti Eksotika 3 kini pernah dikomersilkan dengan nama 'PIOLA' oleh MAFC tetapi ianya gagal. Betik Eksotika kebanyakan untuk pasaran segar tempatan dan kegunaan domestik. Jenis betik paling popular masa kini ialah Klon Betik Sekaki. Betik Sekaki (atau dipanggil juga Betik Hongkong) merupakan varieti betik paling luas ditanam di Malaysia. Ia meliputi kira-kira 65-70% dari jumlah keluasan tanaman betik di Malaysia iaitu 2,985 hektar dengan penghasilan sebanyak 47,630 metrik tan pada 2012 (Laporan Perangkaan Tanaman Jabatan Pertanian 2012). Betik Sekaki mempunyai potensi hasil yang tinggi, cepat dan agak lebih tahan dari serangan Penyakit Papaya Dieback. Betik ini juga mampu mengeluarkan hasil dan disukai untuk pasaran ke Hong Kong dan Singapura serta beberapa negara lain. Kawasan utama tanaman betik di Malaysia adalah di Daerah Rompin Pahang (688 ha), Daerah Padang Terap Kedah (296 ha) dan Daerah Muar Johor (182 ha) pada tahun 2012. Terdapat jua beberapa jenis betik lain ditanam seperti Varieti Betik Subang, Betik Solo, Betik Hawai dan sebagainya di beberapa lokasi. Tanaman betik di Malaysia mengalami masaalah serangan Penyakit Papaya Ringspot Virus (PSRV) dan Papaya Dieback yang perlu diatasi segera.

* Artikel : Betik (Klik disini)
* Artikel : Cashflow Betik (Klik disini)




3. CEMPEDAK
Cempedak (Artocarpus chempeden) adalah pokok buah yang bermusim dimana terdapat 3 varieti yang disyorkan untuk ditanam secara komersil oleh Jabatan Pertanian iaitu terdiri dari Varieti CH30, CH 28 dan CH33. Terdapat seluas lebih dari 11,050 hektar tanaman buah Chempedak di Malaysia dengan jumlah pengeluaran 53,010 mt pada tahun 2012 (Laporan Perangkaan Tanaman Jabatan Pertanian 2012). Pelbagai varieti chempedak tempatan lain terdapat di Malaysia dengan pelbagai nama diberikan mengikut National Plant Variety Listing. Kawasan utama tanaman cempedak di Malaysia adalah di Daerah Kuching Sarawak (366 ha) diikuti dengan Daerah Selama Perak (250 ha) dan Daerah Sipitang Sabah (245 ha). Ramai pengguna biasa dengan dengan Cempedak Paya Jaras, Cempedak Temerloh dan sebagainya yang merupakan nama-nama tempatan. Cempedak dipasarkan untuk pasaran segar dan di goreng sebagai makanan ringan (Snack) dan belum banyak yang di proses untuk jem, jus dan sebagainya.


* Artikel : Cempedak (Klik disini)
* Artikel : Cashflow Cempedak (Klik disini)
* Artikel : Cempedak clones in Malaysia (Klik disini)



Begitulah Part-1 mengenai buah popular di Malaysia daripada 6 siri artikel mengenai buah-buahan Malaysia yang mesti kita tahu. Maklumat tersbut boleh dijadikan bahan rujukkan atau pembacaan kepada mereka yang ingin membaca setiap jenis buah-buahan boleh kunjungi artikel saya yang boleh di akses dengan menaip dalam google atau yahoo....anim agro...(namakan buah) dan ENTER!. Wasalam!!

BUAH TROPIKA...BANYAK JENISNYA...
BUAH BELIMBING...HEBAT KHASIATNYA...
BERTIK PULA..EKSPOT KUALITINYA...
ISI MANIS... DIGORENG SEDAPNYA...
By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Pertanian Serdang
Serdang, Selangor,
Malaysia
(27 Jamadilawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...