Support My Blog

Wednesday, September 21, 2016

TANAH SUBUR - CIRINYA

KESUBURAN TANAH (Fertile Soil) adalah satu perkara asas dalam bidang sains tanah dan sektor pertanian. Tanah yang subur yang ada diseluruh dunia dan diusahakan dengan pelbagai tanaman lazimnya mempunyai kadar didiami atau penduduk yang padat. Kesuburan tanah berkaitan dengan jenis nutrien yang hadir di dalam tanah, bentuknya dan ketersediaannya diserap oleh akar tumbuhan. Kesuburan tanah berbeza mengikut sumber asal tanah tersebut dari bahan induknya. Bagaimana pun pada jenis tanah yang selalu digunakan untuk tanaman dan pertanian atau aktiviti manusia yang lain biasanya menjadi tanah yang subur terhasil dengan amalan pemuliharaan tanah yang baik. Dalam menjaga kesuburan tanah kebolehan petani untuk mengamalkan pertanian baik bagi sesuatu tanah untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan menentukan tahap kesuburan tanah untuk jangkamasa lama. Secara umumnya tanah untuk pertanian boleh dikelaskan kepada dua iaitu TANAH SUBUR dan juga TANAH TIDAK SUBUR. Ini kerana pengurusan tanah amat penting dalam menentukan tahap kesuburan tanaman seterusnya memberikan hasil yang banyak, berkualiti dan selamat dimakan. Dalam bidang pertanian, peranan tanah sangatlah penting untuk petani dapat menentukan keberhasilan usaha tanaman. Perkara seperti ini berlaku kerana tanah digunakan sebagai media untuk akar tumbuhan, penyimpan zat atau nutrien, udara,   air dan sebagai perrumah kepada banyak mikrob atau mikroorganisma lain yang berfungsi untuk menguraikan sisa tumbuhan menjadi baja. Banyak peranan mikrob dalam tanah yang menguraikan sisa tumbuhan yang telah mati untuk kembali menjadi unsur nutrien yang boleh diambil oleh akar tumbuhan. Dalam tanah selalunya berlaku proses kitaran semulajadi sehingga proses ini memberikan kesuburan tanah. Sisa tumbuhan seperti daun, ranting, akar yang membusuk terurai dengan bantuan mikroorganisma menjadi bahan organik yang akan diserap oleh tanaman untuk proses pertumbuhan. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa ciri tanah yang dikatakan tanah subur sekadar menjadi bahan rujukan anda semua.

Kesuburan Tanah apa yang penulis faham boleh dimaksudkan dengan suatu keadaan pada tanah dan kemampuan tanah untuk menyokong pertumbuhan tanaman dengan terdapat berbagai komponen yang ada didalamnya seperti dalam aspek biologi, kimia dan fizikal. Ada dikalangan petani percaya bahawa kesuburan tanah sama dengan kesihatan tanah tetapi sebenarnya ia lebih jauh lagi daripada itu. Tahap kesuburan tanah agak sukar utnuk dibezakan kerana ia memerlukan analisa makmal sebenar untuk mengetahui secara saintifik. Analisa kandungan nutrien didalam tanah yang dilakukan di makmal mampu melihat apakah kandungan sebenar N,P,K, Ca Mg dan unsur-unsur mikro lain yang diperlukan oleh tumbuhan. Dalam tanah jug ada mikrob berfaedah dan mikrob yang menyebabkan serangan kepada tanaman seperti jenis 'soil borne disease'. Ada jenis tumbuhan yang mendapat serangan penyakit berpunca daripada kesuburan tanah yang tidak sesuai. Kekurangan unsur tertentu dalam tanah menyebabkan pokok tidak subur dan mudah pula diserang penyakit dan serangga perosak. Peranan petani perlu untuk menyuburkan tanah dengan amalan agronomi seperti membajak tanah, memberikan sistem pengairan, menambah baja kimia dan baja organik, membuat rawatan tanah, menanam tanaman sesuai dengan kesuburan tanah dan sentiasa melakukan pemuliharaan tanah. Hanya tanah yang subur akan memberikan keadaan baik untuk tanaman tumbuh dan memberikan hasil yang banyak, berkualiti dan selamat dimakan.


Tanah yang subur mempunyai beberapa kriteria dan ciri khusus untuk diketahui. Bagaimana pun faktur kesuburan tanah dapat berubah-ubah bergantung dari beberapa faktor yang mempengaruhinya. Antara fsktur tersebut seperti hakisan tanah, berlaku penyerapan salah satu unsur nutrien oleh satu jenis tanaman, penwapan unsur seperti nitrogen ke udara dimana ini akan menyebabkan kesuburan tanah menurun. Tindakan susulan atau intervensi manusia seperti pemberian baja organik, melakukan penggiliran tanaman serta membuat sistem saliran  yang betul dan tindakan lainnya juga mampu untuk memberikan tahap kesuburan positif bagi tanah. Pemberian baja organik merupakan antara amalan yang perlu dilakukan setiap masa dengan baia seperti Tahi Ayam, Kompos dan sebagainya (Sila lihat foto disebelah)Tanah yang subur merupakan kehendak semua petani dan memang tiada petani yang hendak tanah untuk tanaman mereka menjadi tidak subur. Petani komersil akan sentiasa melakukan pelbagai cara yang beradaskan ilmu pengetahuan untuk mengenal ciri ciri tanah subur. Pertma sekali mereka perlu tahu tanah subur akan mempunyai Lapisan Humus Tebal. Selalunya tanah yang subur dapat diketahui dengan melihat ketebalan lapisan humus tanah. Semakin tebal lapisan ini maka ia menandakan tanah tersebut kaya dengan bahan organik dan unsur nutrien lain sehingga tanaman dapat menyerap zat tersebut sebagai bahan asas untuk melakukan proses fotosintesis. Ketersediaan humus juga sebagai tanda bahwa sistem saliran dan pengairan kebun adalah baik. Humus yang tebal akan meningkatkan serapan tanah terhadap air yang merupakan asas kepada kesuburan tanaman dimana ini disebabkan struktur lapisan humus adalah berongga sehingga membolehkan air untuk masuk lebih banyak.


Tanah yang subur mempunyai nilai pH yang sesuai atau neutral atau seimbang. Tanah yang baik perlu diketahui pH normal tanah berada pada kisaran 6 hingga 8 atau iaitu sekitar pH 6.5 hingga 7.5. Nilai pH tanah boleh ditentukan dengan menggunakan pH Meter yang mudah dan tepat untuk menentukan nilainya. Tanah dengan tahap pH neuttral mampu menyediakan unsur permakanan untuk tumbuhan yang boleh diserap oleh bahagian akar. Tanah yang terlalu asidik dengan bacaan pH rendah perlu dibuat aktiviti pengapuran untuk menaikan nilai pH. Jumlah kapur seperti GML atau bahan lain diberikan bergantung kepada tahap kemasaman tanah. Saya ada menulis menganai aktiviti pengapuran dalam artikel sebelum ini (Sila klik disini). Sebaliknya jika tanah terlalu alkaline dengan pH8 sebaiknya ditambah dengan undur seperti Sulfur atau Belerang. Bahan ini mengandungi unsur Amonium sulfat yang memudahkan tanah menjadi neutral dan mampu untuk menyerap ion-ion nutrien dalam tanah dan menjaga kehiduan mikrob tanah. Tanah yang subur juga sebaiknya memiliki Tekstur Lempung (clay). Ini kerana yang ada struktur lempung akan berfungsi untuk mengikat berbagai mineral sehingga tidak mudah hanyut terbawa air. Namun kadar lempung haruslah normal dan biasanya terletak pada lapisan tanah tengah. Selain itu tanah subur mengandungi bahan pasir yang mencukupi dimana fungsi pasir adalah membolehkan terjadinya sistem saliran air untuk menyerap kedalam tanah dengan baik. Itulah sebabnya tanah campuran untuk media semaian selalu menggunakan formulasi 3:2:1 iaitu campuran antara tanah, pasir dan baja organan.


Tanah yang subur mesti mengandungi bahan hidupan mikrob yang banyak untuk membantu aktiviti biota dalam tanah. Kehadiran sejumlah makhluk halus (mikrob) dan hidupan kecil lain yang menghuni tanah adalah penting. Ianya adalah sebagai tanda bahwa didalam tanah tersebut tersedia berbagai bahan organik yang juga diperlukan seperti cacing tanah, mikrob, yis, organisma kecil, fungi dan sebagainya yang menjalankan pelbagai aktiviti dalam tanah. Keujudan cacing tanah merupakan satu indikator bahawa tanah tersebut sihat dimana cacing ini akan menyuburkan tanah dengan pelbagai aktiviti. Jumlah keujudan mikrob dan pelbagai hidupan lain dalam tanah menjadi indikator kepada kesuburan tanah. Tanah yang gersang lazimnya tiada hidupan kecil dalam tanah. Amat mudah untuk melihat suatu tanah itu subur atau tidak dengan melihat ciri fizikal pada permukaan tanah. Ini kerana jika suati tanah itu subur lazimnya akan dapat berbagai jenis hidupan semulajadi diatasnya. Semak, belukar dan hutan yang kita lihat disekeliling kita menunjukkan bahawa tanah tersbut subur. Jika terdapat pelbagai jenis tumbuhan diatas tanah menunjukkan baha tanah tersbut subur kerana ada undur bahan makanan dan air mencukupi untuk tumbuhan tersebut hidup. Berbanding dengan tanah tidak subur yang kurang atau tiada tumbuhan diapas permukaannya. Bagaimana pun jika tanah tersebut diusahakan dengan tanaman makanan dan diselenggara dengan baik akan mampu untuk berikan hasil pertanian yang lumayan. Semuga anda mendapat info berguna di subuh ini. Wasallam!!!..

TANAH SUBUR... ADA CIRINYA...
BANYAK UNSUR...AIR PUN ADA...
HIDUPAN MIKROB...BANYAKNYA...
POKOK SUBUR...HASIL TINGGINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Persimpangan Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(11 Zulhijjah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...