Support My Blog

Thursday, September 29, 2016

PENGGUNAAN PERKAPITA MAKANAN

PENGGUNAAN PERKAPITA MAKANAN merupakan satu indikator yang digunakan dalam menentukan tanda aras ekonomi sesuatu negara. Merujuk kepada Laporan Agro Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia pada 2012 (Laporan yang telah disahkan) terdapat beberapa perubahan yang agak nyata untuk status Tahap Sara Diri Makanan Negara (Self Sufficient Level) yang dinilai pada tahun 2005 dengan 2010. Penduduk Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang dengan merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara. Daripada jumlah tersebut dilaporkan seramai 67.4% merupakan kaum bumiputera dengan komposisi 56.4% terdiri daripada Bumiputera Melayu dan 11% dari kalangan Bumiputera Lain di Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah kaum bumiputra seramai 78.4%. Bakinya seramai 21.6% adalah dari kaum Bukan Bumiputra. Dari segi Bumiputera Lain adalah terdiri daripada Orang Asli, Siam, Serani, Baba, Iban, Melanau, Dusun, Nyonya (Peranakan), Kayan dan minoriti lain. Terdapat hampir sejuta pendatang asing yang bekerja di Malaysiadalam beberapa sektor seperti pembinaan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan. Mereka kini telah menjadi salah satu faktur penyumbang sektor tenagakerja dalam bidang pengeluaran makanan dalam negara. Walau pun negara kita mempunyai aktiviti pertanian yang mampu menghasilkan bahan makanan untuk penduduknya, sebahagian daripada bahan-bahan makanan tersebut juga diimport dari luar negara. Malaysia mengimport banyak makanan asas seperti tepung, daging, jagung bijirin, bawang merah, cili kering, makanan dalam tin, buah-buahan temperate, susu, kacang soya, gula pasir, biji kopi mentah dan beberapa jenis lagi. Bagaimana pun negara kita hebat dalam mengeksport produk hasilan kelapa sawit keseluruh dunia dan mengimbangi jumlah import. Kadar mengimport beberapa komoditi tertentu bagaimana pun menyumbang kepada 'Balance of Trade' menjadi semakin tidak seimbang semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kadar kecukupan makanan (SSL) dan penggunaan per kapita makanan di Malaysia sebagai satu daripada aspek perbincangan untuk anda jadikan bahan renungan dan juga bahan rujukkan.

Jadual 1: Kadar Tahap SaraDiri Makanan di Malaysia 2010
Rajah diatas menunjukkan perubahan tahap sara diri beberapa jenis makanan utama di Malaysia semanjak tahun 2005 sehingga tahun 2010. Kemungkinan data ini sudah berubah pada tahun 2016 tetapi data yang ada masih belum disahkan penggunaannya. Terdapat perubahan agak ketara dalan tahap SSL untuk beras dimana berlaku penurunan daripada sekitar 80.6% pada tahun 2005 kepada hanya 71.4% pada tahun 2010. Melihat kepada angka ini mungkin dikatakan pengeluaran penanaman padi atau pengeluaran beras negara berkurangan atau pun berlaku pertambahan penduduk yang nyata yang memerlukan makanan. Walau pun penanaman padi mempunyai keluasan sata dan hasilnya meningkat tetapi jika jumlah penduduk meningkat akan jelas menunjukkan tahap SSL bagi beras. Rajah 2 dibawah menunjukkan tahap penggunaan beras dikalangan rakyat Malaysia pada 2010 adalah sebanyak 79.5 kg seorang setahun. Jika berlaku sebarang kenaikan dan penurunan kadar penggunaan beras ini maka ianya akan mengubah tahap SSL kecukupan beras dalam negara. Bekalan beras di Malaysia adalah daripada 8 buah kawasan Jelpang Padi Utama, 4 Kawasan IADA Baru dan beberapa kawasan luar Jelapang Padi. Malaysia juga mengimport beras daripada negara jiran dengan kadar sekitar 30% daripada keperluan domestik. Terdapat ramai dikalangan rakyat Malaysia yang hanya makan BERAS WANGI (Jasmine rice) yang tidak ditanam dalam negara. Sebut sahaja Beras Basmati, Beras Wangi Siam dan beberapa lagi tentunya anda mudah membelinya dipasaran.


Jadual 2: Penggunaan Perkapita Makanan di Malaysia 2010

Kadar kecukupan SSL untuk sayuran juga ada penurunan daripada sekitar 46.2% (2005) kepada 42.2% (2010) iaitu julat yang tidak berapa besar. Kajian menunjukkan kadari penggunaan sayuran bagi setiap orang adalah sebanyak 54.7 kg seorang setahun. Ini bermakna sebahagian daripada sayuran yang dimakan oleh rakyat Malaysia lebih separuh daripadanya adalah sayuran yang diimport. Sebagai contoh bawang merah, bawang besar, kentang, celeri, lobak merah, tomato, kacang tanah, cili kering, cili siam dan banyak lagi adalah diimport dari luar negara.  Bagi buah-buahan pula kadar SSL juga menurun daripada 74.1% (2005) kepada 65.8% (2010) dimana kadar penggunaan buah-buahan di Malaysia adalah sebanyak 93.0 kg seorang setahun. Walau pun negara mengeluarkan beberapa jenis buah-buahan untuk kegunaan tempatan dan eksport tetapi berlaku juga pengimportan buah dari luar yang banyak jumlahnya. Malaysia mengeksport buah nenas, buah tembikai, betik, durian, pisang, belimbing dan beberapa lagi kebeberapa pasaran antarabangsa. Bagaimana pun buah temperate juga banyak dibawa masuk seperti epal, anggur, lai, limau (terutama musim perayaan Tahun Baru Cina), Laichi, Durian Siam dan banyak lagi. Kini beberapa jenis buah seperti Nangka, Mesta, Jambu Batu dan Durian Belanda mula menarik minat petani untuk menanamnya dan berpotensi untuk dikembangkan untuk pasaran domestik dan eskport.

Kadar SSL untuk daging lembu di Malaysia juga didapati meningkat daripada sekitar 21.2% (2005) kepada 28.6% (2010) dan ini mungkin hasil daripada kadar pengeluaran daging tempatan yang meningkat. Begitu juga dengan kadar SSL untuk daging Ayam meningkat daripada 124.7% (2005) kepada sekitar 127.9% (2010). Kadar penggunaan daging lembu di Malaysia adalah sebanyak 5.6 kg seorang setahun dan daging ayam sebanyak 35 kg seorang setahun. Walau pun negara mampu mengeluarkan daging ayam melebihi keperluan namun kos bahan makanan ayam daging dan ayam telur merupakan beban kerana ianya diimport dari luar negara dengan anggaran sekitar RM3.6 billion setahun. Ini juga berlaku kepada pengeluaran telur ayam yang melebihi SSL daripada 108.7% (2005) kepada 115.4% (2010) dengan kadar penggunaan perkapita telur ayam sebanyak 295 biji seorang setahun. Rakyat Malaysia antara mereka yang banyak makan telur sehari berdasarkan kepada Jadual 2 diatas. Angka ini seakan-akan kita hampir makan telur ayam dengan kadar sebiji seorang sehari!. Tahap SSL untuk susu memang masih rendah iaitu daripada 4.6% (2005) kepada 4.9% (2010) dan bakinya adalah diimport dari luar. Bagai mana pun kadar penggunaan susu adalah sebanyak 47.5 liter seorang setahun. Susu merupakan bahan import utama daripada New Zealand, Australia dan beberapa negara lain yang mana pengelaran susu tempatan masih jauh dari sasaran SSL negara yang dikehendakki. Penternakan lembu susu masih banyak cabaran dengan keadaan baka, cuaca, makanan dan pengurusan dalam negara yang perlu dilihat. Bagi ikan (ikan laut dan ikan air tawar) didapati kadar SSL negara meningkat daripada 90.5% (2005) kepada 101.7% (2015) iaitu mencukupi. Kadar penggunaan perikanan pula sekitar 45.5 kg seorang setahun termasuk ikan laut, ikan air tawar, keran-kerangan, udang dan sebagainya. Malaysia yang mempunyai kawasan laut luas dan tanah sesuai untuk projek ternakan akuakultur mampu meningkatkan lagi produk berasaskan ikan dimasa akan datang. Semuga coretan ini membantu pembaca dalam menganalisa akan kadar SSL dan perkapita penggunaan makanan. Wasallam!!!...

MAKANAN ASAS... ADA DIKELUARKAN...
TIDAK MENCUKUPI... IMPORT DIALUKAN...
PERLU DIANALISA... IKUT PENGELUARAN...
BACA ARTIKAL... BANYAK DIFIKIRKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat PLP Inderapura,
Jalan Pekan, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(26 Zulhijjah 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...