KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, September 9, 2016

VARIETI DURIAN TEPILIH - PART 1

DURIAN (Durio zibethinus Linn) merupakan sejenis buah tropika yang digelar 'Raja Segala Buah' kerena baunya dan keenakannya. Tanaman durian di Malaysia telah lama dikomersilkan ditanam secara monokrop semenjak dahulu disamping penanaman secara dusun campuran bersama buah-buahan lain. Penulis yang telah menulis lebih daripada 50 artikel mengenai durian masih berminat untuk menulis lagi berkaitan beberapa varieti durian yang perlu diketahui dan diingati oleh petani dan peminat makan durian. Tahun 2016 ini mencatitkan sejarah tersendiri dimana harga beberapa varieti durian mencecah lebih RM40.00 sekilogram iaitu varieti Musang King (D197) kerana pengeluaran yang berkurangan akibat cuaca panas dan kering berpanjangan (El-Nino). Bagaimana pun penulis yang membuat tinjauan di sekitar Raub dan Bentong, Pahang iaitu kawasan utama pengeluaran Durian Musang King di negara ini mendapati purata harga jualan runcit sekitar RM30.00 sekilogram pada hari biasa dan meningkat kepada RM35.00 sekilogram pada hari Sabtu dan Ahad. Merujuk kepada beberapa ushawan durian yang mendapat sijil MyOrganic mereka mendapat harga premium melebihi RM50.00 sekilogram. Penulis dapati sebiji durian musang King Organik seberat 2 kg telah dijual dengan harga RM100.00 yang dibeli oleh mereka yang mengetahuinya. Kalau beberapa tahun dahulu ini perkara yang mungkin tidak dipercayai tetapi pada tahun 2016 ini segalanya telah mengubah persepsi. Beberapa petani yang menjaga kebun durian mereka dengan baik dengan adanya sistem pengairan kawalan musuh dan penyakit berjaya untuk menghasilkan buah durian berkualiti amat gembira dengan pulangan diterima. Ada yang mendakwa musim ini mereka senang-senang dapat lebih dari setengah juta ringgit dari 5 ekar kebun durian musang king. Program cantuman dewasa durian dan penanaman durian Musang King kini menjadi satu trend dikalangan petani dan pengusaha durian disekitar Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut. Apa pun artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti durian yang sepatutnya rakyat Malaysia tahu selain daripada Musang King sahaja.



(1) VARIETI D2 - DATO NINA
Varieti Dato Nina (D2) merupakan antara varieti yang paling lama dipromosikan di Malaysia. Ia telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 1934. Varieti ini berasal dari kawasan Air Molek, Melaka, Tengah, Melaka yang kini masih ada ditanam dibeberapa lokasi. Pokoknya juga selalu digunakan sebagai salah satu sumber untuk tujuan proses pendebungaan dengan varieti lain dalam kebun durian. Buahnya bersaiz sederhana besar dengan bentuk yang panjang lonjong dan berduri sederhana. Warma kulitnya seakan Hijau Gangsa dengan dengan bahagian pangkal buah mengecil bentuknya. Isinya adalah tebal dengan warna kuning keemasan serta mempunyai rasa lemak manis. Bilangan buah pada setiap pokok (terutama pokok muda) tidak banyak tetapi buahnya yang besar cukup kenyang untuk dimakan seorang. Penulis kalau teringin makan duran varieti Dato' Nina akan berkunjung kebeberapa Pusat Pertanian Jabatan Pertanian yang masih menanam dan kadang-kadang menjual hasil ladang mereka. Ada juga sesekali penulis berkunjung ke Kg Air Molek, Melaka untuk mendapatkannya.


2) VARIETI D7
Durian varieti D7 tidak mempunyai nama varieti kerana ia hanya mempunyai nombor pendaftaran sahaja. Durian D7 didaftarkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 1934 yang mana pokok induk itu berasal pada masa itu berada di Batu 11, Jala Kajang, Selangor. Mungkin pokok asal tersebut sudah tiada lagi memandangkan kawasan tersebut sudah menjadi kawasan perbandaran Kajang yang pesat membangun. Durian D7 mempunyai ciri dimana saiz buahnya sederhana besar dengan bentuk Oblong. Durinya agak besar dengan warna kulitnya akan menjadi warna kekuningan apabila masak. Jika diteliti didapati ada garisan pangsa berwarna kehitaman nyata pada kulitnya. Walau pun kulitnya tebal tetapi durian D7 ini amat mudah untuk dikopek atau dibuka. Tangkai buahnya adalah panjang tetapi varieti ini mempunyai kualiti simpanan yang rendah atau mudahnya cepat rosak selepas ianya gugur. Isinya tebal dan berwarna kuning dengan rasa yang lemak manis. Pokok ini kurang popular ditanam masa kini tetapi durian D7 ini masih ada ditanam dibeberapa Pusat Pertanian.


(3) VARIETI D24
Varieti D24 adalah sejenis varieti yang sangat popular untuk satu jangkamasa yang amat lama (Lebih dari 80 tahun). Buah durian D24 tidak mempunyai nama khusus dan ia hanya dikenali dengan nombor daftarnya sahaja iaitu D24. Ia telah didaftarkan kepada Jabatan Pertanian pada tahun 1937 (kira-kira 80 tahun dulu sebelum artikel ditulis) tetapi masih banyak kebun durian yang masih menanam D24. Durian D24 adalah yang terbaik sebelum promosi Durian Musang King (D197) kini semakin diminati ramai. Baru-baru ini penulis melawat kebun durian organik varieti D24 seluas 30 ekar di Batu 10, Jalan Lama Bentong-Gombak dan berpeluang melihat bagaimana pokok durian varieti ini masih berhasil dan buahnya senang dipasarkan. Pokok asal didaftarkan adalah dari Bukit Merah Resevoir, Perak dan penulis dapati berkemungkinan sudah pupus. Ia telah dibiakan dan telah pun disyorkan oleh Jabatan Pertanian untuk penanaman komersil. Buahnya sederhana besar berbentuk bujur dengan warna kulitnya hijau muda. Ia merupakan varieti yang mempunyai kulit yang nipis. Ia juga mempunyai duri yang tajam dan halus disekeliling buah tetapi uniknya ia agak sukar untuk dikopek terutama jika baru gugur. Ciri isinya adalah tebal dan berwarna kuning dengan rasa lemak manis dan sedikit pahit. Kepada penggemar yang suka akan rasa pahit ini mereka tetap mencari varieti D24 sebagai satu dari pilihannya. Buah D24 mudah dibeli diseluruh kawasan di Malaysia dan antara paling luas ditanam. Artikel ini akan bersambung pada Part 2 dan Part 3. Wasallam...
VARIETI DURIAN...KENALKAH ANDA...
D1 KE D200... PANJANG SENARAINYA...
ADA YANG PUPUS...SYOR TANAM ADA...
PENULIS MEMILIH..YANG POPULAR SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,

Pusat Pertanian Bukit Goh,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(2 September 2016)
30 Zulkaedah 1437H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...