Support My Blog

Friday, September 2, 2016

BSF SERANG KELULUT - LAPORAN AKHBAR

BLACK SOLDIER FLY (Hermentia ilucens) merupakan sejenis serangga yang kini menyerang koloni kelulut di Malaysia. Serangga Kecil Hitam sebagai 'decomposer' ini sebanarnya dikenali sebagai serangga berfaedah tetapi kini telah merupakan ancaman kepada penternak-penternak kelulut di negara kita semenjak bulan Jun 2016. Penulis ada menulis laporan mengenai serangga ini dan kesan pada kerosakannya pada Kelulut (Trigona spp) di dalam artikel sebelum ini (Sila klik disini). Kini kerosakan yang berlaku disebabkan oleh BSF telah dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan. Terkini adalah kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Pertanian Malaysia yang menerangkan status serangan BSF dalam akhbar tempatan dengan tajuk "2,600 Koloni Lebah Kelulut Diserang Lalat BSF". Kenyataan akhbar yang dikelurkan di Putrajaya pada 29 Ogos 2016 dipetik oleh Bernama dan beberapa akhbar lain. Dakwanya kini kira-kira 2,600 koloni daripada 48,000 koloni lebah kelulut yang diusahakan oleh 118 penternak madu kelulut di Malaysia diserang sejenis lalat perosak Black Soldier Fly (BSF). Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek memulakan laporan akhbar tersebut. Beliau berkata akibat serangan BSF ke atas koloni lebah kelulut dimana ia mula dikesan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak penghujung Jun lepas. Sehingga bulan Ogos ini katanya, sebanyak RM2.4 juta kerugian telah direkodkan ekoran serangan oleh BSF itu dengan Negeri Kedah telah mencatatkan kerugian tertinggi iaitu sebanyaknilai  RM1.5 juta. "Kehadiran BSF ke atas koloni dipercayai kerana kawasan penternakan tidak dijaga dengan bersih dan rapi menyebabkan BSF datang dan kemudian menyebabkan kemusnahan kepada sarang penghasilan madu kelulut," katanya dalam sidang media berkenaan serangan BSF ke atas koloni lebah kelulut iaitu di Ibupejabat Pertanian di Putrajaya. Seterusnya Ahmad Zakaria berkata pihaknya telah mula mengambil tindakan lawatan pemeriksaan ke atas semua kawasan penternakan dengan memantau kekerapan pergerakan masuk dan keluar lebah kelulut tersebut di corong koloni. Artikel pagi Hari Kemerdekaan ke 59 ini saya menulis artikel ke 8,102 dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa laporan akhbar berkaitan serangan BSF yang merupakan ancaman terkini kepada industri kelulut di Malaysia.

Dalam kenyataan akhbar tersebut, Jabatan Pertanian mendapati sekiranya koloni lebah kelulut didapati diserang oleh BSF, tindakan segera seperti membakar koloni dan log yang diserang akan diambil bagi mengelakkan serangan merebak keatas koloni yang lain (Sila lihat foto disebelah). Penulis juga amat simpati dengan penternak kelulut yang baru memulakan projek menternak kelulut dengan membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk membeli koloni kelulut baru dan tidak lama kemudian ia diserang dengan BSF. Bagaimana pun Jabatan Pertanian yang selalu memantau akan ancaman perosak BSF ini akan terus menasihatkan para penternak untuk memasang jaring nyamuk yang saiznya boleh memuatkan lebah kelulut yang boleh dipasang di semua terowong masuk lebah kelulut sebagai langkah pencegahan (Sila lihat foto saya amdil di Temerloh paling bawah). Penternak juga telah dinasihatkan untuk memastikan tumpahan madu dan sisa-sisa 'roti lebah' dibersihkan untuk mengelakkan madu yang masam menarik perhatian serangga perosak. Pada tahun lepas industri madu kelulut berjaya menghasilkan 67,000 kilogram madu kelulut dengan nilai jualan di pasaran sebanyak RM200 hingga RM250 sekilogram. Ini menjadikan anggaran pengeluaran hasil dari madu kelulut di Malaysia sepanjang tahun 2015 adalah sekitar RM13.5 juta - RM16.75 juta. Nilai ini akan meningkat pada tahun mendatang dimana Madu Kelulut telah dinyatakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai "SUPER FOOD MALAYSIA". Kenyataan ini dikeluarkan menteri semasa perasmian Road To Maha Zon Timor di MARDI Cherating pada 26 Ogos 2016.

Dalam laporan lain, Akhbar KOSMO telah melaporkan dimana dakwanya penternakan lebah Malaysia kini digemparkan dengan serangan sejenis serangga perosak iaitu Black Soldier Fly (BSF) atau pun nama saintifiknya Hermetia illucens yang kini telah menyerang koloni lebah kelulut. BSF berasal dari Amerika dan mulai merebak ke Eropah, Australia, India dan Asia termasuk Malaysia selepas Perang Dunia Kedua. Peringkat larva BSF boleh dimanfaatkan kerana larva BSF boleh makan sehingga 15 kilogram (kg) sisa organik sehari manakala BSF dewasa hanya berperanan untuk mengawan serta bertelur. Di luar negara, BSF diternak secara komersial sebagai sumber protein bagi ternakan. Begitupun akibat dari cuaca panas El-Nino yang berpanjangan baru-baru ini telah menyebabkan BSF mencari tempat pembiakan yang lebih kondusif. Antara tempat yang disukai ialah di dalam sarang kelulut yang mempunyai sumber makanan iaitu madu dan roti lebah. Pengurusan kawasan penternakan yang tidak bersih juga boleh menyebabkan BSF mudah tertarik kepada kesan madu, propolis dan roti lebah pada sisa log kayu semasa proses topping dilaksanakan. Serangan BSF ke atas 1,200 koloni lebah kelulut mula dikesan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung Jun 2016. Setakat ini, dianggarkan jumlah kerugian adalah sebanyak RM1.2 juta. Serangan BSF bukan sahaja dapat dikesan pada koloni lebah kelulut yang lemah tetapi juga koloni yang kuat. Satu-satu koloni boleh musnah dalam tempoh dua minggu selepas BSF bertelur di dalam koloni.

Tanda paling mudah untuk mengesan serangan BSF adalah apabila terowong masuk lebah kelulut menjadi kering secara tiba-tiba dan propolis yang memenuhi kotak topping menjadi seakan-akan reput serta berkulat hingga merebak masuk ke dalam log. Serangan dianggap berada pada tahap kritikal apabila kelihatan larva BSF memenuhi sarang lebah kelulut manakala kantung madu dan roti lebah pecah serta terdapat larva di dalam kantung (Sila lihat foto disebelah)Pencegahan awal perlu dibuat bagi mengelakkan serangan ini berleluasa. Antara langkah pencegahan yang boleh dibuat penternak adalah pemerhatian yang kerap dan menyeluruh ke atas koloni lebah kelulut. Kehebatan mengenai Larva BSF adalah dimana ia boleh memakan 15kg sisa organik sehari. Sekiranya koloni lebah kelulut yang diternak telah diserang, penternak perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan koloni tersebut. Antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan menanggalkan kotak topping dari log kayu di samping membelah log bagi ianya menentukan sama ada permaisuri lebah kelulut masih boleh diselamatkan atau tidak. Sekiranya permaisuri tiada, maka penternak perlu segera memusnahkan koloni yang telah diserang dengan cara membakar log kayu sebelum serangan merebak ke koloni yang lain. Koloni-koloni yang belum diserang BSF perlu diberi perhatian yang serius kerana potensi serangan adalah tinggi sekiranya telah ada tanda serangan pada koloni di kawasan sekitar. Langkah kawalan yang boleh diambil bagi mengelakkan serangan lebih teruk adalah dengan penggunaan jaring nyamuk saiz yang sesuai dipasang di semua terowong masuk lebah kelulut di samping mengurangkan penuaian hasil madu. Selain itu, pemerhatian secara intensif perlu dilakukan seperti melaksanakan pemeriksaan koloni-koloni yang disyaki terkena serangan BSF dan pengasingan koloni lebah kelulut yang telah diserang dan koloni lebah kelulut yang sihat dipindahkan ke lokasi baharu yang kering. Kesimpulannya, penternak-penternak perlu lebih kerap menjalankan pemeriksaan ke atas koloni lebah kelulut masing-masing sebagai langkah pencegahan awal dan mengelakkan serangan yang lebih serius. Artikel Anim Agro Technology mempaparkan kes ancaman BSF dalam industri ternakan kelulut dimana ia mesti diatasi untuk mempastikan industri ini akan terus berkembang dan Malaysia mampu mengeluarkan "Super Food" iaitu Madu Kelulut dimasa akan datang. Wasallam!!!.
SERANGGA HITAM.. BSF NAMANYA...
MENYERANG KELULUT...TERUKNYA...
PEMANTAUAN SELALU...HADIRNYA...
LOG DIBAKAR... SATU KAWALANNYA...
PASANG JARING...BOLEH ELAKANNYA...
BACA ARTIKEL ANIM... INFO DITERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pentas Utama, Perarakan Hari Merdeka,
Peringkat Negeri Pahang, Padang Kemunting,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(31 Ogos 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...