Support My Blog

Tuesday, September 20, 2016

BUAH POPULAR DI MALAYSIA (PART 8)

INDUSTRI BUAH-BUAHAN DI MALAYSIA merupakan satu sektor tanaman bagi menghasilkan buah-buahan yang di majukan untuk bekalan domestik dan eksport. Terdapat seluas lebih dari 270,000 hektar tanaman buah-buahan yang diusahakan pada tahun 2015 dengan anggaran kuantiti pengeluaran sebanyak 1.742 juta metrik tan. Tanaman buah Durian (Durio zibethinus) merupakan paling luas diusahakan iaitu 100,615 hektar diikuti Pisang (Musa spp) merupakan jenis buah yang kedua luas diusahakan di Malaysia dengan keluasan 28,640 hektar dan pengeluaran sebanyak 283,220 mterik tan. Rekod dari Jabatan Pertanian juga menunjukkan tanaman Rambutan (Nephelium lappaceum) tempat ketiga dengan ditanam seluas 24,470 hektar dengan pengeluaran sebanyak 79,540 metrik tan pada tahun 2015. Tempat yang keempat ialah Buah Nenas (Ananas comosus) dengan keluasan 16,210 hektar dan pengeluaran sebanyak 400,070 metrik tan. Malaysia semenjak dulu merupakan pengeluar utama Buah Betik untuk pasaran eksport ke Hong Kong dan China serta Buah Nenas segar dan nenas yang telah ditinkan (canned pineapple) tetapi kini trend pasaran antarabangsa telah mula berubah. Laluan Pasaran (Market access) beberapa jenis buah-buahan kebeberapa negara terpilih seperti Jepun, China, Australia, USA dan sebagainya telah diperolehi seperti buah durian, nangka, nenas, rambutan, betik dan sebagainya. Penulis bagaimana pun masukkan dua jenis buah yang agak popular dikebelakangan ini dikawasan tanah tinggi iaitu Strawberi dan Buah Bidara. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 23 jenis buah-buahan tropika yang popuar di Malaysia. Keadaan iklim yang sesuai dengan tanah subur memboleh Malaysia boleh membangunkan industri buah-buahan terpilih dengan skala komersil. Artikel ini akan cuba membentangkan tanaman buah-buahan tanah tinggi iaitu Strawberri dan buah bidara.


23. STRAWBERRI

STRAWBERRI (Fragaria x ananassa) jenis atau kultivar 'Festival' merupakan satu varieti yang paling popular ditanam di kawasan tanah tinggi Cameroon Highland, Pahang sebagai tanaman berpotensi. Jenis ini didapati sesuai dengan persekitaran cuaca di kawasan tanah tinggi tersebut berbanding dengan beberapa kultivar lain yang pernah ditanam seperti 'Camarosa' dan beberapa lagi. Kultivar Festival mempunyai warna, saiz, bentuk dan rasa masam manis yang disukai oleh pelancong yang datang berkunjung kekawasan tanah tinggi di Cameroon Highlands (Sila lihat foto disebelah). Ia dijual segar dalam kotak plastik lutsinar dimana harganya sekitar purata RM30.00 sekilogram bergantung kepada kualiti (Sila lihat foto diatas). Benih asal strawberi ini dipercayai diimport daripada luarnegara seperti dari USA, Holland, Australia atau China dalam bentuk plantlets dahulu. Strawberi Festival kini menjadi pilihan ramai petani dibanyak kawasan tanaman strawberi kerana ia didakwa mempunyai jangkamasa simpanan yang lama berbanding dengan jenis lain. Ia juga mempunyai saiz buah yang sederhana besar dan seragam bentuknya yang seakan berbentuk 'kon' (Sila lihat foto disebelah). Ia mudah disusun dalam kotak plastik dengan warna merah terang yang menarik minat pembeli. Isinya juga mempunyai warna merah lembut dengan berair (juicy) dan rasa masam manis yang sederhana. Strawberi ini mengandungi asid yang sederhana dengan kulitnya yang tahan untuk tujuan penyimpanan lebih lama. Jenis strawberi festival ini pokoknya dikatakan lebih tahan kepada hujan berbanding dengan varieti lain walaupun di Malaysia ia mesti ditanam dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH). Pokoknya adalah 'vigorous' dan cepat membesar dengan akar yang panjang yang membolehkan ia mudah dipetik tanpa akan merosakkan akarnya. Konsep memetik sendiri buah strawberi dalam taman pelancongan sebenarnya akan menyebabkan akar terganggu atau terputus menyebabkan ia menjejaskan pertumbuhan seterusnya kerana pelancong tidak faham akan isu ini. Jarak tanaman sekitar 12-15 inci dalam bag yang mengandungi media tanaman dimana dibekalkan baja melalui sistem fertigasi. Jenis ini adalah sensitif dengan program pembajaan yang perlukan N tinggi diperingkat awal pertumbuhan sebelum baja untuk peringkat berbunga dan berbuah diberikan.




24. BUAH BIDARA
BUAH BIDARA atau nama saintifiknya dikenali sebagai Zizyphus mauritiana Lamk kini merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga RHAMNACEAE yang boleh ditanam di negara kita sebagai satu jenis pokok buah-buahan yang berpotensi untuk dimajukan. Nama-nama lain bagi buah bidara adalah JUJUBI, EPAL SIAM dan beberapa nama tempatan lain. Buah bidara yang masak boleh dimakan mentah atau diproses untuk dibuat jus minuman, sirap dan juga manisan (halwa). Buah bidara yang belum masak atau buah muda dimakan dengan garam atau dibuat jeruk atau dibuat acar. Daun muda ada yang dimakan sebagai sayuran dan ulam. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman buah bidara di Malaysia tetapi penulis ada juga menganggarkan sekitar 150-160 hektar pada tahun 2011. Negeri Perak merupakan kawasan utama penanaman buah bidara di Malaysia. Penanaman pokok bidara mudah dilakukan menggunakan bijibenih tetapi ramai juga petani yang saya temui menggunakan bahan tanaman darikeratan batang, tut atau cantuman. Lazimnya biji yang matang yang diambil dari buah masak. Biji buah bidara bercambah selapas 4 minggu disemai. Pokok yang ditanam daripada biji benih akan berbuah selepas 3 tahun ditanam sedangkan pokok yang ditanam dari tut atau keratan berbuah selepas 1-2 tahun. Jenis tanah subur dengan mempunyai saliran baik diperlukan untuk tanaman bidara. Pemerhatian mendapati pokok bidara tahan pada cuaca kemarau dan suhu agak tinggi yang mana keadaan ini mampu merangsang pokok mengeluarkan bunga dan buah. Jarak penanaman disyorkan 3m x 4m atau lebih rapat bergantung kepada sistem penanaman. Berikan baja organik dalam lubang penanaman dan baja tumbesaran NPK 15:15:15 dari umur 1-3 tahun. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan apabila pokok bersedia untuk berbunga pada tahun ke 3 dan seterusnya. Sebaiknya sediakan sistem pengairan titis untuk mendapatkan buah yang berkualiti. Artikel 8 siri ini disediakan untuk dijadikan bahan rujukkan. Wasallam!...
NAMANYA STRAWBERI... TANAM DIMANA...
VARIETI FESTIVAL...PALING ORANG SUKA...
BUAH JUJUBU...JUGA DIPANGGIL BIDARA...
BACA ARTIKEL... RASA TERUS GEMBIRA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(15 Zulhijjah 1437H)
Selepas 3 hari kemalangan manis menulis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...