Support My Blog

Sunday, September 11, 2016

VARIETI DURIAN TERPILIH - PART 3


DURIAN (Durio zibethinus Linn) merupakan sejenis buah tropika yang digelar 'Raja Segala Buah' kerena baunya dan keenakannya. Tanaman durian di Malaysia telah lama dikomersilkan ditanam secara monokrop semenjak dahulu disamping penanaman secara dusun campuran bersama buah-buahan lain. Penulis yang telah menulis lebih daripada 50 artikel mengenai durian masih berminat untuk menulis lagi mengenai beberapa varieti durian yang perlu diketahui dan diingati oleh petani dan peminat makan durian. Tahun 2016 ini mencatitkan sejarah tersendiri dimana harga beberapa varieti durian mencecah lebih RM40.00 sekilogram iaitu varieti Musang King (D197) kerana pengeluaran yang berkurangan akibat cuaca panas dan kering berpanjangan (El-Nino). Bagaimana pun penulis yang membuat tinjauan di sekitar Raub dan Bentong, Pahang iaitu kawasan utama pengeluaran Durian Musang King di negara ini mendapati purata harga jualan runcit sekitar RM30.00 sekilogram pada hari biasa dan meningkat kepada RM35.00 sekilogram pada hari Sabtu dan Ahad. Merujuk kepada beberapa ushawan durian yang mendapat sijik MyOrganic mereka mendapat harga premium melebihi RM50.00 sekilogram. Penulis dapati sebiji durian musang King Organik seberat 2 kg telah dijual dengan harga RM100.00. Kalau beberapa tahun dahulu ini perkara yang mungkin tidak dipercayai tetapi pada tahun 2016 segalanya telah mengubah persepsi. Beberapa petani yang menjaga kebun durian mereka dengan baik dengan adanya sistem pengairan kawalan musuh dan penyakit dan menghasilkan buah durian berkualiti amat gembira dengan pulangan diterima. Ada yang dakwa musim ini mereka senang-senang dapat lebih dari setengah juta dari 5 ekar kebun durian musang king. Program cantuman dewasa durian dan penanaman durian Musang King kini menjadi satu trend dikalangan petani dan pengusaha durian disekitar Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut. Apa pun artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti durian yang sepatutnya rakyat Malaysia tahu selain daripada Musang King sahaja.



(7) VARIETI D123 - CHANEE SPECIAL
Durian varieti Chanee merupakan sejenis durian yang diimport daripada Thailand dan merupakan salah satu daripada varieti eksport. Dua lagi varieti durian untuk pasaran eksport di Thailand adalah Munthong dan Kanyou. Varieti ini telah didaftarkan pada 1971 oleh Pertab Singh dari Rim Nursery, Sungai Buloh, Selangor. Diantara ciri pokok durian varieti Chanee adalah ia mempunyai saiz buahnya besar dan panjang. Warna kulitnya hijau perang sehingga buah matang. Durinya kasar dan mempunya warna perang dengan seakan ada bentuh 'paruh helang' yang jelas dilihat di hujungnya (Sila lihat foto diatas). Lazimnya varieti ini mempunyai tangkai buah yang pendek dan besar. Dari segi kualiti didapati ia mempunyai isi berwarna kuning keemasan. Apabila dimakan memberikan rasanya yang lemak manis dan berbau kuat. Penulis sesekali makan buah durian ini dari Thailand yang dijual di pasaraya besar seperti di JUSCO setiap kali ada promosi Durian Thailand. 




(8) VARIETI D132 - EDDIE SPECIAL

Durian ini agak pelik bunyinya iaitu dinamakan dengan nama sebegai EDDIE SPECIAL. Varieti ini telah didaftarkan pada tahun 1973 dimana ia juga didaftarkan oleh Pertab Singh daripada Rim Nursery, Sungai Buloh, Selangor. Dari segi kedapatannya pada masa kini (selepas 43 tahun berlalu) penulis percaya ia sukar diperolehi. Pokok asal durian ini juga mungkin sudah tiada. Walau pun begitu ia pernah menjadi satu varieti yang ditanam dikalangan petani disekitar Selangor kerana saiz buahnya besar iaitu seakan menyamai buah durian varieti D8. Varieti d8 didaftarkan pada tahun 1934. Antara cirinya adalah bentuk buah bujur dan warna kulit hijau. Buah besar tetapi isinya nipis dan rasa sederhana manis, berwama putih, rasa lemak manis, isi yang putih dan bertekstur lembut. Hasil tinggi oleh varieti ini menyebabkan ia salah satu yang pernh popular satu masa dulu.



(9) VARIETI D168 - HAJAH HASMAH
Durian ini yang diberikan nombor pendaftaran D168 adalah diberi nama Varieti Hajah Hasmah atau Varieti 'IOI' atau varieti 'Durian Mas Hajah Hasmah'. Ia telah didaftarkan oleh pemiliknya Hjh Hasmah Hj Hashim daripada Muar, Johor pada tahun 1989 (Kira-kira 27 tahu dulu). Varieti ini merupakan antara varieti yang banyak ditanam di Johor terutama di kawasan Muar, Tangkak, Jementah dan Kulai. Ia didukai oleh penduduk di selatan tanah air dan mudah di beli ketika musim durian. Antara ciri variti D168 ini adalah seperti buahnya yang bersaiz sederhana besar serta ia mempunyai bentuk yang bulat. Melihat akan kulitnya ia adalah berwarna hijau perang dimana mempunyai saiz tangkai pendek dan kecil (sekitar hanya 4cm). Penulis juga dapati dari rekod Jabatan Pertanian dimana berat purata buah 1.5kg. Kelebihan bagi varieti Hajah Hasmah adalah ia mudah dibuka untuk dimakan. Ciri lain adalah dimanan isinya adalah berukuran sederhana besar, tekstur yang pejal dan berwarna kuning oren (Sila lihat foto diatas). Isinya sederhana tebal dengan rasa lemak manis dan sedikit pahit.





(10) VARIETI D197 - MUSANG KING / RAJA KUNYIT
Durian Musang King atau Varieti Raja Kunyit dengan nombor pendaftarannya D197 adalah varieti SUPERIOR masa kini. Varieti ini dahulu hanya dikenali dengan Varieti Raja Kunyit Durian yang popular ini didaftarkan oleh Wee Chong Beng dari Tanah Merah, Kelantan pada tahun 1993. Pokok asal semasa bagaimana pun dipercayai berasal dari Muar, Johor sebelum ianya ditanam di Gua Musang, Kelantan dan kini meluas ditanam dengan meluas di Daerah Raub, Pahang. Daerah Raub mempunyai keluasan sekitar 13,000 hektar durian dimana ia menyumbangkan pengeluaran varietii Musang King yang popular. Varieti ini telah dipromosikan sebagai buah durian premium kerana kualiti isinya yang baik dan enak selain daripada kesesuaiannya untuk menembusi pasaran eksport keluar negara. Buahnya berbentuk bulat-bujur dengan kulitnya selau berwarna hijau muda apabila masak. Rasa isinya lemak, manis, pahit dan kering. Isinya tebal dan selalunya kesep dengan warna sangat kuning dan tebal. Durian ini mempunyai ciri simpanan yang lama bebanding dengan varieti durian lain. Kini ramai pekebun durian yang mempunyai pokok dari varieti lain atau pokok durian kampong menanam durian Musang King ini dengan anak benih baru atau melakukan Cantuman Dewasa. Semuga anda dapat info mengenai 9 varieti durian dari 3 siri penulisan dalam Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!..
VARIETI DURIAN...APAKAH GUNANYA...
D1 KE D200... PANJANG SENARAINYA...
ADA YANG PUPUS...DISYORKAN ADA...
ARTIKEL PILIH ..YANG POPULAR SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Bukit Goh,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(2 September 2016)
30 Zulkaedah 1437H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...