Support My Blog

Monday, November 25, 2024

SENDUDUK - APA GUNANYA

POKOK SENDUDUK
(Melastoma malabatricum) merupakan sejenis pokok renek yang bercabang sering menghasilkan buah ketika masih kecil daripada keluarga Melastomataceae. Tumbuhan ini tumbuh secara meliar terutama dikawasan belukar atau kawasan kebun pertanian yang dianggap sebagai rumpai. Pokok senduduk memang mudah dijumpai dimana-mana sahaja di Malaysia terutama di kawasan semak belukar yang mendapat banyak cahaya mathari. Apa pun selalunya para petani sering hadapi masaalah untuk membasmi pokok senduduk yang tebal kerana perlukan kos yang agak tinggi untuk membunuhnya secara total. Penulis blog fikir juga dimana kebanyakan orang Malaysia terutama mereka yang tinggal dikawasan kampong pastinya akan kenal dengan pokok senduduk kerana ia mudah dilihat di tepi jalan, tepi parit, kawasan keliling rumah, dalam kebun dan juga kadang kala ada dalam pasu pokok bunga kita. Pokok senduduk yang matang ini lazimnya mempunyai buahnya berwarna keunguan atau SENDUDK UNGU dan ada sedikit didapati mempunyai bunga warna putih yang dipanggil sebagai SENDUDUK PUTIH. Bahagian batang pokok ini berwarna kemerahan dan ditutupi oleh bulu-bulu halus. Bahagian daunnya mempunyai permukaan yang kasar di bahagian bawah apabila disentuh. Senduduk juga dikenali sebagai rumpai darat dan boleh ditemui hidup liar di kawasan terbiar. Tumbuhan ini walau pun dianggap sebagai rumpai telah digunakan secara yang meluas dalam cara perubatan tradisional di dalam dan luar Negara. Pada pekebun di Malaysia dimana keberadaan pokok senduduk dikawasan kebun terutama di dusun buah-buahan adalah perkara yang penting untuk dikawal. Ini kerana tanaman buah-buahan atau tanaman industri seperti kelapa sawit dan getah yang baru ditanam akan bersaing dengan rumpai senduduk ini. Penulis blog belum jumpa usahawan yang menjadikan pokok senduduk sebagai produk atau tumbuhan komersil setakat ini kecuali merek yang buat ubat-ubatan tradisional sahaja. Artikel pada subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology'' saya paparkan fakta mengenai tumbuhan seduduk dan beberapa kegunaannya untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Pokok seduduk yang tumbuh dikawasan tebing bukit yang dipotong atau di lereng bukit dilihat ia merupakan tumbuhan yang mengawal hakisan tanah (Sila lihat foto disebelah). Pokok senduduk ini juga ia akan membiak dengan mudah secara semulajadi dikawasan tanah dan ia tahan lasak daripada cuaca hujan atau musim kering. Bagi penulis blog yang sering kekawasan sekitar Taman Saujana Putrajaya Precint 10 dimana mendapati ada banyak pokok senduduk dibiarkan tumbuh subur dilereng bukit tersebut melindungi keadaan tanah dari angkara hakisan. Ia tumbuh liar bersama lalang, sendayan dan tumbuhan renek lain yang mengukuhkan bukit tersebut yang kini merupakan antara lokasi popular untuk melakukan senaman berlari atau berjogging serta ada orang yang membuat shooting pasangan pengantin baru terutama pada setiap hari Sabtu dan Ahad saban minggu. Ini kerana ditaman ini terdapat lokasi amat menarik untuk tujuan sessi khusus penggambaran dengan pandangan bukit tinggi, bandar disekelilingnya dan pelbagai bunga cantik termasuk bunga senduduk ungu yang banyak sekali ditepi laluan jogging. Tidak kurang juga dimana pokok senduduk dijadikan background untuk mengambil foto. Bunga senduduk selalunya ia akan menjadi banyak ketika musim panas berpanjangan seperti bulan Januari hingga Mac saban tahun atau Mei sehingga Julai. Kini ditaman ini hanya ada sedikit sahaja pokok senduduk yang tinggal kerana banyak yang sudah dimusnahkan oleh pihak berkuasa Putrajaya mungkin kerana ia dianggap sebagai rumpai yang pada pendapat mereka agak mencacatkan permandangan. Tetapi pada penulis blog tumbuhan ini banyak kelebihan berbanding dengan ancaman. Bagaimana pun sudah ada banyak kawasan tanaman landskap lain dibangunkan yang menarik ditanam disepanjang trek jalankaki termasuk bunga matahari (sunflower) serta beberapa tanaman tidak berbunga atau ornamental lain. Terdapat banyak kawasan belukar yang masih ditumbuhi dengan pokok senduk, resam dan tumbuhan rumpai lain masih memberikan landskap kepada lokasi ini.


Sebenarnya pokok senduduk terutamanya  bahagian bunga dan daunnya memang telah lama diketahui penduduk kampong sebagai tanaman berguna. Antara khasiat tumbuhan senduduk ialah untuk merawat tubuh kita terutama untuk rawat luka luar dan dalaman. Ketika dikamppong dulu jika ada luka akibat kena pisau atau terjatuh, lazimnya saya akan ambil beberapa helai daun senduduk dan dikunyah dalam mulut sehingga lumat. Kemudian dikeluarkan daun tersebut dan letakkan ditempat luka berdarah dan pendarahan akan segera berhenti. Ianya turut juga digunakan oleh golongan wanita yang baru bersalin untuk tujuan bagi mempercepatkan proses penyembuhan rahim. Selain itu boleh juga digunakan untuk merawat cirit birit. Daun muda pada pucuknya mampu untuk merawat penyakit keputihan. Anda boleh merebus segenggam daun senduduk dangan sedikit gula dan halia. Air rebusan itu bolehlah diminum untuk merawat lendir dan keputihan yang keluar dari faraj. Bagi sesiapa yang menghidapi buasir, air rebusan senduduk juga amat mujarab untuk mengatasi masalah tersebut. Daun dan akarnya yang telah digiling boleh ditaburkan di atas kudis untuk mengelakkan parut. Juga boleh digunakan untuk mengubati bintik-bintik pada pesakit cacarAir rebusan akar senduduk juga boleh digunakan bagi membasuh mulut untuk mengubati sakit gigi serta ia boleh melembutkan kaki atau dapat mengurangkan angin dalam badan, kadang-kadang sesuai digunakan sebagai mandian. Bagaimana pun agak kurang laporan teknikal bagaimana cara penanaman pokok senduduk ini tetapi didakkwa ia hanyalah perlu untuk patahkan dahan dan dicucuk di mana-mana kawasan yang sesuai untuk tumbu. Bagaimana pun pembiakan pokok senduduk mungkin berlaku apabila ada burung yang memakan buahnya kemudian di berakan keatas tanah dan ia bercambah sebelum tumbuh sebagai kelompok pokok senduduk.


Dalam banyak jenis senduduk banyak testimoni yang dakwa dimana jenis Senduduk Putih atau Melastoma malabathricum var. Alba merupakan satu lagi spesies senduduk yang ada di bawah keluarga Melastomaceae yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri. Tumbuhan yang didakwa ia boleh membesar setinggi 2-3 meter ini boleh dibezakan dengan mudah berbanding jenis senduduk yang lain melalui bunganya yang berwarna putih bersih. Senduduk putih, selain daripada mempunyai nilai perubatan yang lebih tinggi (berbanding dengan senduduk kampung), ia juga sering dikaitkan dengan misteri alam mistik. Berbeza dengan jenis senduduk biasa dimana jenis senduduk putih ia dianggap sebagai salah satu daripada tanaman hiasan yang popular. Ia turut tergolong di dalam golongan tumbuhan renek yang rajin berbunga. Mempunyai lima kelopak bunga yang berwarna putih, stamen bunga ini keluar di bahagian tengahnya dengan warna kuning sementara tangkai stamen pula berwarna putih. Bunga senduduk putih didakwa pengamal perubatan tradisional sejak lama dulu dimana ia dilihat mempunyai nilai perubatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Ia telah digunakan secara tradisi untuk merawat kesan parut akibat demam campak melalui kaedah mudah iaitu menggosok  kelopaknya pada bahagian yang terjejas. Ia dilaporkan memberikan rasa enak dan segar dimana bahagian kelopak bunganya turut boleh dimakan bagi tujuan awet muda dan ada pengamal yang dakwa dimana rasanya seakan buah jambu. Pada penulis blog dimana apa yang lebih menarik adalah dakwaan iaitu terdapat banyak catatan tidak rasmi yang merekodkan bahawa bunga senduduk putih turut boleh dijadikan bahan minyak pengasih!. Apa pun semuannya bergantung kepada inisiatif masing-masing untuk gunakan bahan daripada pokok senduduk putih.


Dalam kemajuan perubatan moden dimana pada masa ini diantara keistimewaan dan kepelbagaian khasiat senduduk putih menyebabkan telah ada dilaporkan ada beberapa pengusaha yang telah berjaya menghasilkan minyak senduduk putih. Minyak yang dihasilkan ini dikatakan amat sesuai untuk merawat masaalah seperti sakit mata, ketumbit, kelesuan, sakit telinga, dimasuki serangga, telinga bernanah, sakit kerongkong, gatal, batuk berpanjangan, senggugut dan pelbagai. Beberapa kes seperti penyakit lumpuh, terkena santau, kanak-kanak lambat berjalan atau lambat bertutur telah dikatakan berjaya diatasi melalui penggunaan khasiat senduduk putih anugerah alam semulajadi. Selain itu di dalam seni landskap dan hias taman, selain daripada sesuai digunakan di dalam taman bertemakan herba dan ubat-ubatan (medicinal garden), taman tropika dan bunga-bungaan, spesies ini turut sesuai untuk ditanam di dalam penataan berkonsepkan Taman Melayu. Ia boleh ditanam secara bersendirian atau berkelompok. Tanaman yang padat semasa masih muda kemudian mampu berkembang lagi sehingga 1meter sekiranya tidak dikawal. Aktiviti perlu dilakukan adalah pemangkasan di peringkat awal dimana ia boleh membantu membentuk rupabentuk pokok yang kemas dan menarik. Kalau anda rajun menanam dalam pasu atau pilibeg juga mungkin senduduk putih boleh dijual kepada meraka yang memerlukannya. Ini kerana kepercayaan masyarakat tempatan dimana senduduk putih mampu merawat terkena racun dan santau. Semuga tulisan pada subuh ini memberikan info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wallahualam!...
POKOK SENDUDUK..DIMANA-MANA...
JIKA ADA LUKA...DAUNNYA BERGUNA...
SENDUDUK PUTIH...AMAT BERHARGA...
TANAM SENDIRI... CARI BENIHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Saujana Hijau,
Presint 10, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(24 JamadilAwal 1443H).
Kemaskini pada 23 JamadilAwal 1444H.
Kemaskini ke 2 pada 21 Jamadilawal 1446H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...