KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 13, 2013

DURIAN - CANTUMAN DEWASA (TESTIMONI)

CANTUMAN DEWASA pokok durian (Durio zibethinus) merupakan satu teknologi yang sesuai dijalankan untuk menukar pokok durian dewasa yang tidak produktif atau dari varieti kurang berkualiti seperti Durian Kampong kepada pokok yang mampu menghasilkan durian klon terbaik. Tanaman durian dari varieti Durian Kampong yang masih ada ditanam semenjak dahulu masih banyak yang hidup dan berbuah tetapi hasilnya kurang berharga ketika musim durian. Kini terdapat teknologi membuat cantuman dewasa durian yang boleh dijalankan untuk menggantikan pokok yang tidak berkualiti dengan varieti durian yang disyorkan. Pada masa ini dari 12 varieti terpilih yang telah di syorkan oleh Jabatan Pertanian, terdapat beberapa varieti yang boleh dijalankan program cantuman dewasa untuk mendapatkan kualiti pokok dan buah yang baik. Sila baca artikel mengenai beberapa varieti durian popular di Malaysia (Klik disini). Penulis telah melawat beberapa kebun durian swasta sekitar Pagoh dan Tangkak untuk membuat tinjauan amalan teknologi tentang perlaksanaan teknik Cantuman Dewasa yang telah dijalankan oleh ramai pengusaha kebun durian komersial sejak lama dulu. Saya dapati teknik ini telah berjaya meningkatkan pendapatan petani dengan signifikan dimana meningkatkan pendapatan petani dengan harga jualan durian varieti D197 (Varieti Raja Kunyit) dan D168 (Varieti Hajah Asmah) sekitar RM 3.00 - RM 4.00 sekilogram pada musim puncak berbanding dengan durian kampong sekitar RM0.50 atau tidak laku langsung. Foto pokok diatas merupakan pokok durian kampong yang telah 12 tahun dibuat cantuman dewasa di Kg Paya Redan, Muar , Johor milik petani swasta. Lawatan kekebun durian Mr Tan ini saya mendapati mereka membuat menggantian varieti lama (D13, D16 dan Durian Kampong) dengan varieti yang popular seperti D197 dan D168 dan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat testimoni membuat cantuman dewasa durian hasil lawatan kekebun tersebut. 

Sebanyak 50% daripada 70 pokok dalam ladang Mr Tan telah dibuat cantuman dewasa semenjak 7-12 tahun dahulu. Pokok yang telah dibuat cantuman dewasa telah tinggi dan behasil dengan baik (Lihat foto sebelah). Pokok tersebut selepas 5 tahun dicantum didapati mampu memberikan buah durian D197 yang kini dipopularkan sebagai 'Musang King' dijual dengan harga yang sangat baik. Menurut Mr Tan, pokok tersebut musim lepas menghasilan sebanyak 45 biji durian dengan pendapatan kadar bagi pokok tersebut sekitar RM340 (Purata harga jualan RM4.00 sekilogram). Ini amat signifikan hasilnya dengan nilai buah pokok sebelum dibuat cantuman biasa pengasilan sepokok cuma sekitar RM30 - RM50 sahaja (Harga jualan RM0.40 sekilogram). Beberapa tahun lagi jumlah buah daripada pokok cantuman dewasa ini akan meningat mengikut umur. Kini beliau masih membuat 3 pokok durian lagi sedang dicantas untuk dibuat cantuman dewasa. Katanya membuat cantuman dewasa perlu mengikut jadual yang disusun berperingkat agar hasil durian dapat berterusan untuk dijual setiap musim. Katanya pokok durian yang dibuat cantuman dewasa akan mengeluarkan buah selepas 3-5 tahun dibuat cantuman bergantung kepada penjagaan pokok, saiz dan umur pokok. Pemerhatian saya mendapati saiz ukurlilit batang asal pokok induk lazimnya agak kecil berbanding dengan pokok baru yang berada diatasnya untuk mengenalinya.

Kajian disekitar Daerah Muar dan Ledang yang mempunyai jumlah keluasan bagi tanaman durian melebihi 9,500 hektar pada tahun 2013 mendapati, lebih 60% pokok durian adalah dari varieti Durian Kampong yang sesuai dijalankan program cantuman dewasa. Menurut En Jaafar iaitu Ketua Kelompok Dusun Nukleus Lenga Batu 28, pada musim durian lepas durian kampong yang rendah kualiti memang tidak ada harga langsung dan telah diproses untuk produk berasaskan durian. Beliau setuju agar dibuat sesuatu dengan isu ini dimana katanya peserta projek kelompok dikamppongnya bersedia mengikuti program cantuman dewasa dimana pokok durian lama perlu di'remajakan'. Pokok durian yang sudah tua ini perlu menjalani kaedah tanaman sulaman atau cantuman dewasa (bagi pokok terpilih yang sesuai). Petani masa ini membeli benih tanaman durian varieti yang disyorkan daripada pembekal nurseri swasta dan ada juga membeli dengan Jabatan Pertanian. Kalau mereka hendak pastikan ketulinan dan kualiti benih durian tersebut, mereka boleh merujuk kepada penjual nurseri swasta dengan Jabatn Pertanian akan status benih tersebut dibawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT). Skim ini mempastikan pemilik nurseri mematuhi piawaian penyediaan benih tanaman mengikut SOP bagi menentukan kualiti benih yang hendak dijual. Terdapat ramai pengusaha yang telah mengikuti skim ini dan mempunyai sijil SPBT. 

Pemerhatian mendapati aktiviti cantuman dewasa durian merupakan satu teknik yang sangat sesuai dijalankan pada masa ini. Petani dan pegawai pengembangan pertanian perlu bekerjasama dalam perlaksanaan program cantuman dewasa tanaman durian di negara kita. Teknik perlaksanaan cantuman dewasa durian ini juga tidak terlalu sukar tetapi memerlukan pengetahuan dan kemahiran serta komitmen pemilik pokok durian. Ketinggian pokok, saiz batang, susunan dahan dan sumber mata tunas varieti durian berkualiti merupakan antara perkara penting sebelum menjalankan cantuman dewasa. Keperluan alatan mencantum seperti gergaji potong dahan, pisau cantuman, plastik cantuman, tangga, parang, plastik jernih, scateurs dan sebagainya disediakan. Pemilihan pokok durian yang sederhana saiz batangnya lebih mudah untuk dijalankan cantuman dewasa berbanding dengan pokok durian tua yang besar dan sangat tinggi. Saya akan menulis mengenai beberapa kaedah cantuman dewasa durian pada artikel akan datang. InsyAllah!.


Anak Mr Tan yang menunjukkan batang pokok durian cantuman dwewasa.
BUANG PUCUK...CANTASAN DEWASA...
POKOK DURIAN... TINGGI ASALNYA...
BELUM RAMAI...BERANI MENCUBA...
POKOK RENDAH... HASIL BERGANDA...

By,
M Anem,
Room  1203, Muar Traders Hotel,
Jalan Maharani, Muar,
Johor, Malaysia.
(9 Safar 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...