KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, December 16, 2013

MENGKARONG

MENGKARONG (Mabuya multifasciata, Kuhl) merupakan sejenis haiwan yang juga di panggil sebagai 'Kadal Kebun' (Indonesia), East Indian Brown Mabuya, Many-lined Sun Skink atau Common Sun Skin (English) dan sebagainya. Ia adalah sejenis haiwan bersisik dan berkaki empat dengan kulit yang licin yang termasuk kelompok reptilia. Mengkarong adalah haiwan daripada kumpulan seperti cicak, tokek, bunglon, cicak terbang, biawak, iguana dan lain-lain. Mengkarong merupakan haiwan yang bersisik licin berkilat dengan dan hidup di atas tanah yang terdapat didalam belukar, kebun dan kadang-kadang dikawasan rumah kita. Walau pun mengkarong tidak dikategorikan haiwan merbahaya kepada manusia, tetapi kalau kita terserempak dengannya kita akan terkejut akibat geli atau takut digigit. Semasa kecil dahulu ada orang tua-tua kata kalau digigit mengkarong tidak akan dilepaskan sehingga berlaku bunyi petir yang kuat menyebabkan zaman kanak-kanak saya dulu sangat takut akan haiwan ini. Apakah kaitan mengkarong dalam pertanian?. Ini merupakan satu persoalan yang mungkin pembaca tanya apabila saya menulis mengenai mengkarong didalam "Anim Agro Technology". Bagaimana agaknya mengkarong membiak dan bolehkah dia dimakan merupakan satu persoalan yang mungkin menjadi tanda tanya kerana saya dapati tidak ramai orang Malaysia yang mahir didalam mengenal akan haiwan ini. 


Mengkarong hidup di kawasan habitat tanah basah atau lembab dengan banyak tumbuhan dan sumber makanan. Apa yang saya perhatikan mengenai taksonomi mengkarong, ia terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Bahagian Kepala (Caput) yang terdiri dari mata, lubang hidung dan telingga, Bahagian Badan (truncus) yang terdiri dari telingga hingga kloaka dan yang terakhir iaitu Bahagian Ekor (cauda) yang memiliki bentuk bulat meruncing ke ujung (Sila lihat rajah sebelah). Kajian menunjukkan annggaran panjang mengkarong sekitar 20 - 22 cm dimana 60% daripada panjang badan terdiri daripada bahagian ekor. Mengkarong juga mempunyai sepasang KAKI iaitu anggota depan (extrimitas anterior) dan sepasang KAKI anggota belakang (extrimitas posterior) dimana masing-masing mempunyai lima jari dan kuku-kuku yang sesuai untuk berlari, mencengkam untuk menanjat pokok. Haiwan ini yang mempunyai saiz badan relatifnya sederhana dan ini mudah ia bergerak dicelah-celah belukar, memanjat pokok dan berlari dengan pantas. Jika diteliti lagi, mengkarong sebenarnya mempunyai lubang telinga luar dan juga kelopak mata yang dapat dibuka tutup (Macam manusia juga).


Kebanyakan haiwan mengkarong membiak dengan bertelur (ovipar) walau pun ada spesis yang melahirkan anak (vivipar). Agak pelik juga kerana daripada lebih 40 spesis mengkarong, terdapat beberapa spesis yang boleh membentuk kembali ekornya yang terputus dengan cepat seperti ekor cicak. Telur mengkarong diletakan dalam sarang atau atas tanah seperti telur ayam bersaiz kecil dengan kulitnya putih krim sebelum ia menetas (Lihat foto sebelah). Telur ini dihasilkan selepas proses mengawan diantara mengkarong jantan dengan mengkarong betina yang dewasa. Mengkarong jantan sering mempunyai teritori kawasan sendiri dan akan bertarong dengan mengkarong jantan lain untuk mempertahankan kawasannya tetapi pertarungan lazimnya tidak lama. Kehebatan mengkarong selain daripada berjalan dan berlari ia juga mampu memanjat pokok dengan pantas setinggi 8 - 10 meter untuk mencari makanan dan dia boleh menyelamatkan diri dari serangan musuh. Antara musuhnya adalah seperti ular, biawak, burung dan beberapa haiwan lain yang memakan mengkarong. Terdapat setengah spesis seperti jenis bunglon yang dapat berganti warna sesuai keadaan keliling. 


Makanan utama mengkarong adalah Semut, Serangga Kecil, Belalang, Kumbang, Lalat, Pepatong, Rama-rama, Kupu-kupu, Nyamok, katak kecil dan juga mengkarong lain yang bersaiz lebih kecil daripada tubuhnya. Matanya yang tajam dengan lidahnya yang panjang mampu menyambar serangga sebagai makanan seperti cicak makan serangga yang terus masuk kebahagian mulutnya. Pergerakannya yang senyap dan lembut akan menyebabkan mangsa tidak sempat lari setelah diserang dan disambar masuk kemulut mengkarong yang mempunyai sejenis lendir yang melekit. Kebanyakan mengkarong tidak berbahaya bagi manusia dimana gigitannya tidak melukakan manusia hingga dapat mengalirkan darah dari luka gigitannya. Daripada beberapa rujukkan ada mengatakan bahawa daging mengkarong mampu dijadikan ubat untuk sakit kulit dan lain-lainnya. Mengkarong boleh ditangkap atau dikail dimana lazimnya menggunakan umpan pepatung atau kupu-kupu. Lazimnya setelah dibersihkan, maka daging mengkarong boleh dibakar atau digoreng dan kemudian ia akan dijadikan lauk makan. Bagaimana rasa dagingnya?... Memang enak kepada yang suka akan daging mengkarong. Pada saya mengkarong sebenarnya sejenis haiwan pemangsa yang mengimbangi ekosistem semulajadi dikawasan kebun. Kalau ia makan banyak serangga perosak seperti rama-rama, kumbang, belalang dan perosak tanaman yang lain ia merendahkan populais perosak tersebut dan rasanya ia adalah satu jenis haiwan yang terlibat dalam Kawalan Biologi Semulajadi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (APB). Wasallam!.

NAMA MENGKARONG... KADAL SAMA...
MAKAN SERANGGA...BELALANG JUGA...
BERKAKI EMPAT... MEMANJAT PULA...
KONSEP 'APB'... BESAR PERANANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Gunung Sari, Kg. Parit Bengkok,
Gersik. Ledang, 
Johor, Malaysia.
(15 September 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...