KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, December 4, 2013

STRAWBERRI - BENIH TANAMAN

STRAWBERRI (Fragaria x anannasa) merupakan sejenis tanaman beriklim temperate yang kini telah ditanam dikawasan suhu sederhana sejuk tanah tinggi di kawasan tropika. Penanaman strawberi semakin popular dikalangan petani di kawasan Cameroon Highlands, Pahang sejak beberapa tahun dahulu kerana mereka mempunyai teknologi sesuai untuk tanaman tersebut. Banyak terdapat kawasan penanaman strawberi diusahakan dibawah SPH (struktur pelindung hujan) yang dibina dan diperlukan untuk tanaman ini. Antara varieti atau kultivar yang popular di tanam di Cameroon Highlands adalah jenis 'Festival'. Keluasan tanaman strawberri di Malaysia dianggarkan sekitar 180 hektar CHE terutama dikawasan tanah tinggi Cameroon Highlands dan Kundasang di Sabah. Terdapat juga beberapa petani hobi yang dilaporkan ada menanam strawberi dikawasan tanah rendah. Bahan tanaman strawberi merupakan asas untuk menanam tumbuhan ini dengan punca benih adalah daripada biji benih atau pun keratan stolon. Kaedah yang paling lazim diamalkan oleh penanam strawberi di Cameroon Highland daripada tinjauan saya adalah yang menggunakan bahan 'Runners' atau lebih mudah dengan KERATAN STOLON (Sila lihat foto diatas). Tidak banyak lagi bahan rujukkan mengenai teknologi ini ditulis di Malaysia kerana tidak ramai petani tahu mengenai teknologi penanaman strawberi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kaedah penanaman strawberri menggunakan keratan stolon berdasarkan aktiviti pemerhatian di ladang dan pembacaan dari beberapa sumber teknikal untuk bacaan anda.   


Tanaman Strawberi memerlukan struktur pelindung hujan untuk mengelakkan kerosakan tanaman dan bunga daripada curahan air hujan di kawasan tropika. Struktur yang dibina menggunakan tiang kayu dan bumbung plastik ini akan memberikan cahaya matahari kepada tanaman ini dan paling sesuai menggunakan teknologi fertigasi (Lihat foto sebelah). Pada masa ini teknik fertigasi menggunakan 'plastik bantal' lebih banyak digunakan kerana ia mudah diuruskan dan praktikal serta sesuai untuk tanaman strawberi. Bungkah ini diisikan dengan media tanaman terdiri daripada campuran tanah, cocopeat atau media lain yang sesuai. Ia akan disusun diatas para kayu yang bertingkat-tingkat (2-3 tingkat) setinggi 0.6 - 1.0 meter dari paras tanah. Bergantung kepada keadaan topografi dan kecuraman tanah, panjang para disesuaikan dengan mengambilkira kemudahan pengurusan dan sistem fertigasi yang dijalankan. Lazimnya susunan tanaman strawberi komersil melibatkan jarak penanaman 30 cm antara tanaman dalam bantal plastik. Kos penyediaan penanaman strawberi adalah tinggi untuk pembinaan struktur pelindung hujan, struktur para tanaman, sistem pengairan untuk fertigasi dan juga kos bahan inout pertanian. Penyediaan infrastruktur lazimnya dijalankan oleh kontraktor yang berwibawa atau dibuat sendiri oleh petani yang mempunyaii cukup pekerja atau secara berperingkat-peringkat.


Benih Strawberi kini boleh disediakan dari keratan stolon yang keluar daripada pokok strawberi  yang telah matang (Lihat foto sebelah). Satu rumpun pokok strawberi matang akan mengeluarkan beberapa stolon yang melempai jatuh kebawah dan akan menghasilkan akar jika tersentuh diatas tanah (Pokok strawberi yang dari barisan bawah). Cara terbaik adalah dengan mengambil plastik jernih berukuran 6 cm x 10 cm yang diisikan dengan media tanaman sepertii tanah campuran atau cocopeat. Masukkan sebahagian stolon kedalam plastik media tersebut dan ikat dengan tali (gantung) untuk membiarkan ia menghasilkan akar dan tunas. Pastikan stolon tersebut dibiarkan menerima makanan dari pokok induk dan biarkan sehingga mempunyai jumlah akar banyak yang sesuai untuk dipindahkan sebagai anak benih tanaman strawberi yang berkualiti. Adalah dinasihatkan agar kita membuar pemeriksaan anak benih ini mengikut jadual sebelum ianya sesuai dipindahkan.


Pemilihan anak benih yang sesuai ditentukan dengan melihat prestasi pokok induk dari segri kesuburan, keupayaan mengeluarkah buah berkualiti dan manis, ketahanan kepada penyakit, cepat berhasil dan sesuai untuk dibiakkan. Pokok strawberi induk yang dipilih sebaiknya telah terbukti berbuah (Sila lihat foto sebelah). Stolon yang telah berakar akan dipotong tangkainya daripada rmpun pokok induk dan boleh terus digunakan (untuk kebun sendiri). Masukkan anakbenih stolon keratan tersebut didalam 'bantal plastik' diatas rak tanaman. Pemberian air dan baja fertigasi dan perlukan kawalan air Bagaimana pun jika benih stolon hendak dibawa jauh atau untuk dijual maka ia boleh dipindahkan kedalam plastik polibeg lebih besar untuk membesarkannya dan juga dihantar kelokasi lebih jauh. Kepada mereka yang berminat mendapatkan anakbenih keratan stolon boleh berjumpa dengan beberapa petani komersil yang menanam strawberi di Cameroon Highland. Wasallam!... 
TANAM STRAWBERI...ADA BENIHNYA...
STOLON AKAR... CARA MUDAH DISEDIA...
DIAMBIL DITANAM...FERTIGASI BAJA...
VAREITI 'FESTIVAL'...DINEGARA KITA...

By,
M Anem,
KHM Strawberry Farm,
No 9, Taman Sedia, Tanah Rata,
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(10 Muharam 1434H).
Kemaskini pada 22 Feb 2016.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...