KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 6, 2013

IKAN HARUAN - JENISNYA


IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Saya memang suka mengail ikan haruan di Sungai Parit Bengkok depan rumah atau di Kawasan Sawah Ring di Muar, Johor. Kadang2 mengail dimana-mana paya atau lubuk ikan di sekitar kampong semasa muda dahulu bersama rakan-rakan sekampong. Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!. Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" info megenai beberapa jenis ikan haruan dan maklumat berkaitan dengan ikan haruan untuk pembaca semua berdasarkan pengalaman sendiri, kajian dan rujukan beberapa sumber.


Ikan haruan mempunyai banyak jenis dan gelaran yang mungkin sebahagian daripada kita tidak kenal. Jenis-jenis haruan adalah seperti (1) Ikan Haruan Todak (2) Ikan Haruan Palas (3) Ikan Toman Bunga dan (4) Ikan Bujuk. Selain daripada 4 jenis ikan haruan diatas, saya juga pernah jumpa Ikan Haruan Tasek (Jenis ikan dilaut) dan Ikan Ketutu. Saya mengenali beberapa jenis ikan tersebut kerana memang ada terdapat pada sawah dan anak sungai dikampong dahulu. Kumpulan ikan ini adalah jenis ikan yang suka menyambar makanannya seperti anak ikan, katak, cicak dan umpan pada mata kain dan menarik dengan kuat ketika memancing. Mulutnya yang besar dan pergerakannya yang sukar dikesan oleh mangsa menyebabkan ikan haruan merupakan ikan yang hebat dalam air. Saya memang suka memancing ikan haruan dikampong saman remaja dulu dan jarang-jarang kecewa walau pun menggunakan mata kail buatan sendiri.


Ikan Haruan Todak atau juga dikenali sebagai Ikan Kedak merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa gachua. Ikan Haruan Todak boleh didapati dikawasan air sungai berjeram dan berair jernih (Lihat foto diatas). Diet utamanya adalah anak-anak udang, dan serangga kecil. Saya pernah mengail ikan ini dahulu dikawasan sungai dikaki Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Memang tidak mudah untuk mendapatkan ikan ini kerana pada air jernih ia amat sukar untuk ditangkap.



Ikan Haruan Palas pula merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa melasoma. Ikan Haruan Palas mempunyai warna kebiru-biruan di sebelah bawah badannya sementara bahagian lain berwarna agak gelap atau sedikit coklat bergantung kepada kualiti air (Lihat foto diatas). Ikan Haruan Palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing. Ikan jenis ini pernah saya dapat dikawasan Paya Serompong iaitu kawasan paya yang agak luas dan mempunyai habitat sesuai untuk ikan jenis ini. 


Ikan Toman Bunga atau juga dikenali sebagai ikan Jelai, Jaloi, Kuang, Kerandang, merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa marulloides. Ikan Toman Bunga merupakan ikan pemangsa jenis ikan seperti kepala ular (Sila lihat foto diatas). Ikan Toman Bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambutmendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah, sama seperti ikan Haruan Palas dan juga ikan Bujuk. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing. Saya juga pernah menangkap ikan jenis ini yang tersangkut pada jaring yang dipasang dikawasan paya di Kg Batu 27, Lenga, Muar  dulu dan sangat puashati apabila digoreng dan makan dengan nasi panas.


Ikan Bujuk adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN, termasuk di Malaysia. Nama saintifiknya Channa Lucius. Ikan ini suka mendiami anak sungai yang mengalir dan kawasan paya. Ikan bujuk mempunyai warna gelap dibahagian bawah (coklat kehitaman) dan agak terang sedikit dibahagian atasnya (Lihat foto diatas). Ikan ini suka makan anak-anak ikan, serangga kecil, katak dan juga cengkerik serta bersifat seperti haruan lain yang cekap memburu mangsanya. Saya banyak kali memancig ikan buju dikawasan anak sungai Parit Pelampong depan rumah dan rasa ikan haruan jenis ini memang enak sekali.

Demikianlah beberapa spesis ikan haruan yang saya dapat paparkan kali ini. Kalau ada yang kurang tepat dengan pendapat pembaca tidak mengapa kerana spesis ikan haruan ini memang banyak corak dan warnanya, lain kawasan mungkin ia berbeza-beza marfologinya. Wasallam!

IKAN HARUAN ...BANYAK JENISNYA...
EMPAT SAYA KENAL...AGAK PASTINYA...
PERNAH TANGKAP...SERONOKNYA...
IA KENANGAN...PENGALAMAN LAMA...

By,
M Anem,
Room 21551, Awana Golf Genting Highland,
KM 13, Genting Highland Resorts,
Genting Highland, Pahang,
Malaysia.
(19 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...