KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, June 18, 2011

Baby Corn

Baby corn yang siap diproses.
'BABY CORN' adalah nama gelaran bagi tongkol jagung muda yang di tuai dari pokok JAGUNG (Zea mays) yang digunakan sebagai sayuran yang sangat popular di Malaysia dan juga banyak diusahakan dikalangan negara Asia Pasifik. Baby Corn adalah sejenis bahan sayuran yang sangat popular dalam masakan Restoran Thai seperti dalam Sayuran Tomyam, Sup Sayur, Sayur Capcai dan banyak lagi. Di restoran dan Hotel-hotel hidangan makanan salad dan ulaman baby corn disediakan dan menjadi kegemaran kepada orang ramai. Mungkin kita tidak tahu bahawa baby corn adalah hasil sampingan kepada petani atau penanam jagung kerana ianya memang ada pada pokok jagung. Bilangan baby corn sepokok dan saiznya bergantung kepada varieti jagung yang di tanam. Pada masa ini Thailand, Taiwan dan China merupakan pengekspot utama baby corn keseluruh dunia dalam bentuk baby corn segar atau pun baby corn dalam tin. Artikel ini saya menulis mengenai industri tanaman baby corn dan teknologi pengeluaran serta maklumat yang berkaitan dengan baby corn berdasarkan kepada pemerhatian, pembacaan dalam buku2 teknikal dan beberapa laman sesawang diinternet yang saya rujuk.


Baby corn untuk di tuai
Penanaman jagung di Malaysia merupakan satu aktiviti penting untuk petani kecil. Penanaman jagung di laporkan oleh Jabatan Pertanian dengan keluasan sebanyak 6,390 hektar dan hasil pengeluaran jagung sebanyak 36,420 metrik tan yang bernilai RM 118,365,000 atau ringkasan sebutannya sebanyak RM 118 juta pada tahun 2011. Kajian saya mengenai Cashflow tanaman jagung mendapati satu hektar kebun boleh di tanam sebanyak 40,000 pokok jagung manis dan ini bermakna terdapat sebanyak 255.6 juta pokok jagung ditanam pada tahun 2011. Jika kita ambil 10% sahaja daripada pokok jagung tersebut dengan hanya satu (1) tongkol baby corn dikutip sepokok, maka kita berjaya mengutip sebanyak 25.6 juta tongkol baby corn. Jika harga di ladang baby corn RM 0.10 sebiji, maka hasil nilai baby corn yang boleh dijana adalah sebanyak RM 2.56 juta pada tahun 2011. Itu cuma jika 10% sahaja kutipan baby corn dijalankan walau pun sebenarnya ia berpotensi untuk menuai baby corn sehingga lebih 75% daripada jumlah berdasarkan kepada potensi keluasannya.


Tanaman jagung manis untuk produk segar lazimnya memerlukan masa 3 bulan untuk dituai. Biji benih Hibrid atau OP (Open pollination) yang dibeli dengan harga RM 150.00 sekilogram (Hibrid) dan RM 20.00 sekilogram (OP) akan mula berbunga selepas 4-6 minggu ditanam atau lebih awal. Putik Jagung (Baby Corn) yang berukuran 4.5 - 10 cm (2-4 inci) panjang atau  7-17 mm garispusat sesuai di petik. Pastikan aktiviti memetik baby corn dilakukan selepas 5 hari proses pengisian susu (Milking stage). Lewat daripada waktu tersebut biji jagung akan terbentuk dan akan menjadi jagung muda. Pastikan memetik baby corn selepas berlakunya proses pendebungaan dan peringkat pengisian susu jagung. Peringkat ini tongkol jagung masih lembut dan manis jika di makan mentah. Gunakan Buku  Panduan Pakej Teknologi Tanaman Jagung Jabatan Pertanian untuk kita mendapatkan waktu sebenar paling sesuai untuk mengutip baby corn. Saya memang berpengalaman dalam mengutip hasil baby corn di ladang.


Terdapat beberapa varieti jagung manis yang sesuai ditanam untuk tujuan menghasilkan baby corn. Antara varieti jagung manis yang ditanam di Malaysia ialah seperti Thai Super Sweet (TSS), Jagung Big Fruit 926, Jagung White-Yellow 723, Jagung Yellow 928 dan Hibrid F1 (1000 dan Hibrid 1001) ada yang banyak hasilkan baby corn. Tongkol baby corn di tuai dengan tangan dan di kumpulkan didalam bakul. Buangkan selaput hijau kulit paling luar beberapa lapisan dan buang atau potong 50% bahagian atas selaput jagung sehingga 1/4 bahagian. Ada juga kaedah lain yang 'togelkan' terus kulit baby corn mengikut kehendak pasaran. Lazimnya untuk pasaran segar di letakkan 4-5 biji baby corn disusun dalam satu bungkusan yang dijual pada harga ladang sekitar RM 1.00 satu peket. Baby Corn perlu dipasarkan segera kepada pengguna untuk mempastikan kesegarannya. Jika hendak disimpan dalam peti sejuk, baby corn boleh tahan sehingga 5-7 hari dengan tahap yang masih segar.


BABY CORN DALAM TIN
Kajian oleh beberapa pakar mengenai kandungan permakanan baby corn menunjukkan setiap satu sajian 28 gram (1 oz.) baby corn mengandungi sebanyak 46.2% Karbohiderat, 38.5% protin dan 15.4% lemak serta sebanyak 7 kcal tenaga. Selain daripada kegunaan segar , baby corn di tinkan untuk pasaran ekspot antarabangsa dengan jaminan kualiti. Thailand dan Taiwan serta China mengekspot baby corn dalam tin aluminium dan bekas plastik melalui proses yang sangat mudah. Malaysia saya rasa memang mampu untuk menghasilkan banyak baby corn dengan mengenalpasti varieti baby corn tropika yang sesuai , teknologi lepas tuai yang mudah serta sistem jaminan pasaran. Kemungkinan Malaysia untuk mengekspot baby corn secara agressif mampu dibuat dengan perancangan yang betul, penanaman jagung manis yang sistematik dan menguntungkan semua pihak. Semuga artikel ini dapat memberikan maklumat kepada pembaca sekelian. . .WASALLAM!..


Related articles:
1. Jagung (Klik disini)
2. Benih Sayuran (Klik disini)
3. Harga Benih Sayuran (Klik disini)
4. Cashflow Jagung (Klik disini)


BABY CORN ....NAMA YANG DI BERI....
CARA MENUAI...POKOK TAK TINGGI...
HASIL BERTAMBAH....TIDAK TERPERI...
JENIS JAGUNG MANIS..SESUAI SEKALI...


By,
M Anem

Air Baloi, Pontian,
Johor
Malaysia
(Saturday Night 18.15 pm)     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...