KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, June 1, 2011

IKAN HIASAN


Industri Ikan Hiasan adalah salah satu industri yang dijalankan di Malaysia dan mempunyai potensi pasaran yang besar. Malaysia dan Indonesia merupakan antara negara yang banyak mengekspot ikan hiasan keseluroh dunia. Ikan juga telah dicatatkan sebagai industri yang paling pesat perkembangannya dalam sektor pertanian dan ia merupakan industri berorientasikan eksport dimana 95 peratus pengeluaran negara untuk eksport. Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80 juta pada harga ladang, ia mempunyai profail antarabangsa. Malaysia merupakan pembekal dunia ketiga penting selepas Singapura dan Indonesia dengan pegangan 7 peratus dari eksport dunia pada tahun 2000. Artikel ini saya kupas mengenai industri ikan hiasan berdasarkan laporan dan pengalaman penulis semasa menjadi pegawai pengembangan pertanian selama 30 tahun.

Kajian saya mendapati di pasaran dunia nilai eksport negara mengalami pertumbuhan purata 24 peratus setahun dalam nilai USD bagi tempoh 1990 - 2000. Semasa tempoh kemuncak perkembangan ikan hiasan, permintaan dunia iaitu dari 1990 - 1996, eksport negara mencatatkan pertumbuhan pesat 48 peratus setahun sebelum tumbuh perlahan pada kadar purata 4 peratus setahun bagi tempoh 1996 - 2000. Pencapaian ini masih memberansangkan kerana bagi tempoh tersebut, eksport dunia menguncup pada kadar -5 peratus setahun. Pesaing-pesaing negara seperti Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat juga mengalami penguncupan eksport pada kadar -8 peratus, -8 peratus dan -14 peratus masing-masingnya. Walaubagaimanapun, Indonesia dan Czech Republic tumbuh pada kadar 25 peratus dan 3 peratus setahun masing-masing dan merupakan pesaing terdekat negara.

Kajian juga menunjukkan bahawa dalam nilai Ringgit Malaysia nilai eksport ikan hiasan tumbuh pada kadar 35 peratus setahun dengan nilai eksport RM54 juta pada tahun 2001 iaitu tertinggi di dalam sektor pertanian dan eksport negara. Malaysia masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah. Pengeksportan terus adalah ke negara-negara Jepun, Hong Kong, United Kingdom, Itali dan Amerika Syarikat.

Laporan daripada Jabatan Perikanan menunjukkan pada tahun 2010 507.2 juta ekor ikan hiasan telah dikeluarkan dengan nilai pasaran sebanyak RM 770.119 juta. Kawasan pengeluaran utama ikan hiasan di Malaysia adalah di Johor iaitu menghasilkan 325.4 juta ekor yang bernilai RM 651.7 juta iaitu 83% pengeluar ikan hiasan negara. Daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kluang dan Kulaijaya merupakan lokasi utama pengeluaran ikan air tawar. Perak menghasilkan sebanyak 169.2 juta ekor bernilai RM 82.3 juta dan Selangor sebanyak 10.9  juta bernilai RM 28.6 juta. Lain-lain negeri mengeluarkan kurang dari 250,000 ekor setahun. 

Kebanyakan ikan tropika yang popular ada terdapat di negara ini dan mendapat tempat di pasaran antarabangsa. Dalam tempoh 10 tahun, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan peningkatan nilai dari RM15 juta pada tahun 1990 ke RM80 juta pada tahun 2000. Antara ikan yang dihasilkan adalah seperti Arowana , Ikan Guppy, Japanese Carp, Ikan Laga, Koh dan banyak lagi. Satu Syarikat Tempatan di Batu Pahat telah menjadi syarikat berstatus dunia dengan menghasilkan ikan hiasan arwana menggunakan 'cip' komputer untuk dijadikan identifikasi.

Permintaan dunia adalah tertumpu kepada negara-negara EU (43%), Amerika (24%) dan Jepun (13%). Import dunia ikan hiasan pada tahun 2000 dianggarkan bernilai USD250.9 juta, iaitu peningkatan lebih dari 3.5 peratus dari tahun 1999 (USD242.4 juta). Ini merupakan titik pemulihan permintaan setelah dunia mengalami kejatuhan semasa krisis ekonomi dunia bermula tahun 1997. Sedikit sebanyak peristiwa September 11 telah  menyumbang kepada pemulihan ini.

Masa depan industri ini adalah cerah. Permintaan dunia dijangka akan terus meningkat walaupun lebih perlahan pada kadar 2.5 - 4 peratus setahun. Import dunia pada tahun 2003 diramalkan bernilai USD281 juta, meningkat kepada USD303 juta pada tahun 2005. Sejajar dengan itu, eksport negara juga diramal terus meningkat kepada RM60 juta pada tahun 2003, RM73 juta pada tahun 2005 dan RM117 juta pada tahun 2010. Sumbangan ini akan meningkatkan syer pasaran negara dari 7 peratus sekarang kepada 9 peratus pada tahun 2003 dan 15 peratus pada tahun 2010.

Pasaran domestik juga dijangka akan meningkat kepada RM8 juta pada tahun 2003 dan RM10 juta bagi tahun 2005. Bagi mempastikan sasaran ini di capai, beberapa strategi dan langkah-langkah perlu diambil segera lebih-lebih lagi dengan munculnya pengeluar-pengeluar utama yang baru seperti negara Thailand, China dan Taiwan.Terdapat 3 faktor penting kejayaan industri ini iaitu logistik, produk dan pemasaran.

Malaysia perlu meningkatkan R&D untuk menjadi pengeluar ikan berkualiti tinggi di samping merangka skim insentif yang lebih menarik untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri ini. Isu kecekapan, kekerapan dan kos kargo perlu diatasi dengan penuh komitmen, perancangan dan perlaksanaan program pemasaran dan pengeluaran yang bersepadu di antara kerajaan dan industri adalah perlu bagi mewujudkan sinergi kearah mencapai matlamat tersebut. Pembangunan sumber manusia yang berkesan dan sistem maklumat yang cekap dan berkesan adalah tonggak kepada kejayaan. Secara keseluruhannya, industri ini telah menunjukkan potensi yang tinggi untuk dibangunkan secara lebih serius. Keadaan pasaran dunia yang konsisten juga boleh membantu industri ini untuk berkembang dengan lebih pesat. Diharap artikel ini dapat memberikan idea potensi industri ikan hiasan kepada pembaca semua.
Wassalam.

IKAN HIASAN...CANTIK GERAKNYA...
DALAM AKUARIUM...KHAYAL DIBUATNYA..
MUDAH DI LAKSANA...ADA MODALNYA...
ADA PASARAN...DAPATKAN ILMUNYA...

Related article to read :
1. Ikan Puyu (Klik disini)
2. Ikan Keli (Klik disini)
3. Industri Perikanan Malaysia (Klik disini)
4. Industri Ikan Akuarium Malaysia (Klik disini)
5. Belut (Klik disini)
6. Tiram Sungai Muar (Klik disini)


By,
M Anem
Johor Bahru
Malaysia
(Jam 11.30 malam)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...