Support My Blog

Tuesday, February 23, 2016

TANAM CILI API (Part 1)

CILI API atau CILI PADI atau CABE RAWIT (Capsicum frutescens) merupakan tanaman yang penting di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia dan Thailand. Tumbuhan ini dari keluarga Solanaceae yang dipercayai natif dari benua Amerika Selatan sebenarnya mudah dijumpai hidup liar dikawasan belukar dinegara kita. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan beriklim tropika terutama disekitar khatulistiwa. Tanaman ini paling sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dengan ketinggian sekitar 0 - 500 meter dari paras laut. Bagaimana pun banyak dilaporkan cili api ini boleh tumbuh denga baik sehingga ketinggian 1,000 meter. Apa pun semakin tinggi ia ditanam dari paras laut maka hasilnya akan terus berkurangan. Dari laporan yang dikaji, penanaman cili padi dikawasan tanah dataran tanah tinggi selalunya jangkamasa hayat pokok adalah lebih lama dan selalunya cili ini mempunyai biji lebih banyak tetapi bijinya ringan. Bagaimana pun jika diukur beratnya ia adalah ringan berbanding dengan cili api yang ditanam dikawasan tanah rendah kerana ia kurang padat. Sehingga kini belum banyak cili padi yang telah didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman, cara amalan aagronomi dan prestasi setiap jenis tanaman cili ini adalah berbeza-beza mengikut varieti, jenis tanah, iklim, tujuan penanaman dan sebagainya. Terdapat dua perkara atau isu diantara penanaman Cili Besar dengan Cili Padi daripada segi pengurusan dan pulangan yang bakal diterima. Ada yang kata menanam cili api lebih mudah daripada menanam cili besar tetapi dari perpesktif lain menyatakan sebaliknya. Ini kerana penulis mendapati cili api yang ditanam secara komersil monokrop mudah diserang penyakit terutama Kerinting Daun dan Layu Bakteria berbanding dengan Cili Besar menggunakan teknologi yang sama. Cili Api atau Cabai Burung yang hidup liar diberakkan oleh burung bagaimana pun lazimnya hidup lebih lama. Artikel malam Sabtu ini sambil menonton Konsert Aktif 5 di TV2 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa panduan teknikal menanam cili padi atau cabe rawit untuk dijadikan panduan pembaca semua. 

Daripada lawatan saya ke Jogjakarta baru-baru ini dan melawat kebun sayuran di Wonosobo, petani disana menyatakan "budidaya cabe rawit relatif lebih rendah resikonya dibanding cabe besar. Ia seterusnya kata tanaman ini lebih tahan serangan hama, meskipun hama yang menyerang cabe besar bisa juga menyerang cabe rawit". Sebaiknya peringkat pemilihan benih cili api ini dilakukan sendiri oleh mereka yang hendak menanamnya. Ini kerana tidak banyak benih cili api ini dijual dipasaran dan tiada jaminan mutu kawalan. Walau pun ada dikatakan cili api yang pedas dan produktif, ada yang dakwa kini telah banyak tersedia dijual benih cili ini dari jenis hibrid dengan kehebatan masing-masing. Pilih benih yang ada ciri sesuai dengan keadaan persekitaran kebun dan kemahiran menanam cili padi. Kalau harga benih cili api mahal atau tiada bekalan dikedai, pada penulis sebaiknya membuat benih cili api sendiri seperti amalan beberapa penanam cili komersil yang saya temui. Dalam menyediakan benih cili api sendiri sebaiknya buah masak dipilih dari pokok cili api dewasa yang berbuah lebat, tidak ada serangan serangga dan penyakit. Gunakan buah cili api dari hasil tuaian ke-4 sehingga ke-6 kerana pada waktu ini adalah puncak untuk pengeluaran optima sedang berlaku. Pada hasil kutipan pertama sehingga ketiga selalunya penulis lihat jumlah biji cili didalamnya masih sedikit. Kalau buah dari peringkat hujung tuaian adalah dimana jumlah biji didalamnya agak banyak tapi saiznya kecil-kecil yang kurang sesuai untuk digunakan sebagai benih.


Proses memilih biji cili api ini mudah dilakukan jika mempunyai ilmu pengetahuan dan juga ada kemahiran. Diperingkat kebun, pilih biji cili yang sihat dan dilihat amat vigorous yang mana ia telah masak tua dipokok. Kalau buah sudah hampir kering dipokok cili adalah terbaik ianya benar-benar cukup matang untuk ia dijadikan benih. Setelah buah dipetik maka ia perlu untuk dipotong secara membujur pada kulit buahnya. Asingkan biji yang terdapat pada bahagian pangkal dan bahagian hujung buah dan yang penting di ambil biji benih dari BAHAGIAN TENGAH (Sila lihat foto disebelah). Biji benih pada bahagian tengah biasanya adalah yang paling berkualiti. Kemudian rendam biji ili itu kedalam air bersih. Buang biji yang terapong dimana biji yang baik adalah biji yang berisi dan tenggelam dalam air. Kemudian jemur biji tersebut sehingga kering atau pengalaman saya sekitar selama 3 hari. Bagi mengelakkan serangan kulat sebaiknya juga dibubuh sedikit racun kulat sesuai (seperti Thiram) kecuali jika ada tujuan untuk menghasilkan benih cili jenis organik. Kemudian simpan benih ditempat yang kering dengan sistem pengudaraan yang baik dan kedap udara. Cara penyimpanan benih cili api baik dimana ia mampu bertahan sehingga dua tahun.


Benih Cili Api yang baik mempunyai kadar percambahan sehingga 80% adalah dikira memuaskan untuk ditanam. Bagaimana pun lazimnya semakin lama benih cili disimpan maka kadar peratus percambahan akan terus berkurang. Jika kadar percambahan telah mengurang dari 50% sebaiknya jangan gunakan benih tersebut untuk tanaman. Proses menyemai cili padi atau cabe rawit ini sama dengan untuk cili besar. Kadar keperluan benih cili api untuk satu hektar sekitar 0.5 kg. Benih tersebut perlu untuk disemai dahulu bagi dijadikan anak benih berkualiti ditapak semaian yang ada naungan dan ditutup dengan jaring kalis serangga (netting 32 mesh). Ini untuk mengelakan pancaran cahaya matahari secara terus, curahan air hujan, tiupan angin dan paling penting elakkan serangan serangga seperti aphids. Ramai dikalangan petani yang tidak pentingkan aspek penjagaan diitapak semaian terutama untuk tanaman cili api. Ada pendapat nyatakan jika ada perokok merokok kawasan kebun akan menyebabkan berbagai masaalah penyakit tanaman cili. Begitu juga pentingnya menyemai anakbenih cili dalam netting halus untuk mempastikan benih terlindung dari perosak dan penyakit. Benih yang dijaga baik dalam semaian akan dialihkan kekebun apabila sesuai. Artikel ini bersambung pada Part 2 dan Part 3. Wasallam!.
MENANAM CILI .... CILI PADI...
CILI BURUNG...JUGA CILI API...
BENIH DISEDIA...BUAT SENDIRI... 
BIJI DIPILIH... DAN IA DISEMAI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Taman Desaminium, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
(21 RabiulAwal 1437H)

Monday, February 22, 2016

BURUNG PIPIT - KENALI DIA

BURUNG PIPIT (Lonchura punctulata) merupakan sejenis burung kecil yang terdapat di negara kita terutama ujud dikawasan tanaman padi. Pada saya yang membesar dikawasan kampong yang berhampiran dengan sawah padi dan tanaman padi huma zaman kanak-kanak dahulu memang kenal akan burung pipit ini. Dari segi pengkelasan burung ini ia adalah daripada Kingdom Animalia, Phylum - Chordata iaitu dalam kelas Aves serta Order Passeriformes. Seterusnya burung ini dari keluarga Estrildidae dimana ia dipercayai natif dari kawasan India, Cina, Asia Tenggara, serta Benua Afrika. Jangkamasa umur untuk burung pipit sekitar 6-8 tahun bergantung kepada spesis. Burung pipit adalah burung kecil berparuh pendek yang makan biji-bijian. Sekilas pandang ada sedkit persaman fizikal diantara diantara burung pipit dengan burung gereja (house sparrow) iaitu dari segi saiz dan rupabentuk. Burung Gereja (Passer domesticus) dengan burung pipit memang berada didalam satu ordo yang sama iaitu Passeriformes tetapi ianya adalah berbeza mengenai keluarganya (family). Nama lain burung pipit semasa saya kecil dikampong adalah Semprit atau Bondol (Slanga Bahasa Jawa Tempatan). Burung yang liar ini sering ditangkap menggunakan pelbagai cara termasuk memasang getah atau gam dikayu tempat burung tersebut hinggap. Kaki burung akan melekat pada gam dan burung diambil lalu dibersihkan dari gam dikakinya. Pada masa itu burung ini laku dijual dengan harga RM0.30 seekor. Kini burung pipit ada dijual di kedai burung. Ada burung pipit yang sesuai digunakan sepagai 'burung pikat' untuk menangkap burung pipit lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" megenai burung pipit.

Di kawasan Asia Tenggara terdapat beberapa jenis burung pipit yang dibezakan dengan warna pada kepala, badan dan corak yang ada. Pada penulis yang paling digemari adalah Pipit Haji dan Piit Hitam yang mudah dijumpai dikawasan sawah padi dan belukar. Kajian menunjukkan sebenarnya terdapat lebih dari 40 spesies burung pipit diseluruh dunia tetapi penulis akan bincang beberapa spesis yang mudah dijumpai di Malaysia:


1) PIPIT HAJI atau PIPIT UBAN
Pipit Haji atau Pipit Uban (Lonchura maja) adalah spesis yang paling menarik dikalangan spesis pipit yang saya kenal. Pipit ini memang menarik kerana ia mempunyai tanda warna putih dibahagian kepala seakan memakai songkok haji atau kopiah (Sila lihat foo disebelah) dan seluruh sehingga keekor dibadannya berwarna coklat kehitaman. Burung pipit jenis ini juga dipanggil sebagai Emprit Haji di Indonesia atau White Headed Munia. Burung Pipit Haji mempunyai mata kecil warna kehitaman dengan paruh yang berwarna kelabu keputihan. Sika makan bijirin separti biji padi dan gandum ia menghasilkan bunyi atau suara yang nyaring ketika terbang. Pipit Haji adalah paling rapat dengan manusia dan ia suka mematuk jari jika dipegang ditangan walau pun tidak sakit. 

(2) PIPIT PUTIH HITAM

Pipit Putih Hitam (Lonchura striata) merupakan sejenis pipit yang sering dijumpai dikawasan sawah padi luar jelapang. Pipit ini juga dipanggil sebagai Bonggor-Tungir Putih di Indonesia. Burung ini mempunyai warna bulu hitam di bahagian kepala sehingga ke ekor dibahagian atas dan juga putih dibahagian bawah badan (Sila lihat foto disebelah). Burung yang mempunyai sepasang mata hitam dengan paruh berwarna kelabu pantas terbang secara berkumpulan. Burung ini juga memakan bijirin seperti biji padi, biji rumput tertentu dan sebagainya.

(3) PIPIT HAJI HITAM
Burung Pipit Haji Hitam (Lonchura punctulata) ini hampir sama bentuk dan coraknya dengan pipit haji cuma saya lihat dibahagian kepalanya mempunyai warna hitam (Sila lihat foto disebelah). Burung ini juga dipanggil dinegara jiran sebagai Bondol Peking atau Scaly-breasted Munia. Burung ini mempunyai badan yang berwarna coklat gelap dan juga sering terbang secara berkumpulan. Ia suka makan bijirin seperti padi, barli dan gandum. Sesuai dipelihara dalam sangkar bersama dengan burung pipit jenis lain sebagai satu hiburan kepada peminatnya. Burung pipit jenis ini dikatakan antara spesis yang agak agresif.

(4) PIPIT JAWA

 Pipit Jawa (Lonchura leucogastroides) merupakan jenis pipit yang terdapat dan natif di Indonesia terutama dikawasan Pulau Jawa. Ia juga dikenali dengan nama sebagai Bondol Jawa di Indonesia atau nama Javan Munia. Burung ini sering didapati dikawasan sawah padi kerana ia memang suka makan biji padi. Burung pipit ini mudah didekati manusia dan ada yang ditangkap untuk dijadikan burung peliharaan. Ia juga mempunyai saiz tubuh kecil dengan panjang tubuh antara 10-12 cm dan berat 10-14 gram. Kuku burung pipit tumbuh sangat cepat. Burung pipit jantan memiliki kepala yang sedikit lebih lebar dibanding burung pipit betina.


Dari segi habitat penulis dapati burung pipit suka tinggal dikawasan yang mudah mereka mencari makanan asasi. Ia suka tinggal dikawasan terbuka dan terdapat banyak tanaman rumput berbiji seperti sawah padi atau padang rumput yang luas (Sila lihat foto disebelah). Burung pipit membuat sarang untuk berlindung dari panas dan hujan di atas pokok pada ketinggian lebih dari 4 meter. Pokok yang biasanya dipilih sebagai tempat membuat sarang adalah pokok pinang, pokok kelapa atau pokok jambu yang rimbun dan banyak dahan. Burung pipit hidup dalam kelompok yang banyak. Di dalam satu kelompok selalu ada beberapa jenis spesis pipit yang berbeza bergantung kepada lokasi dan musim. Kelompok pipit dalam jumlah terbesar merupakan perosak utama tanaman padi yang sangat merugikan jika serangan berlaku tanpa dikawal. Ini kerana mereka kuat makan biji padi yang masak atau menggugurkannya diatas tanah. Secara semulajadi lazimnya makanan utama burung pipit adalah biji-bijian (seeds) seperti padi dan millet. Semasa musim mengawan lazimnya burung pipit akan memakan daun hijau dan serangga sebagai tambahan untuk nutrisi. Bagi mereka yang menternak burung pipit dalam sangkar sebaiknya diberikan makanan lebih bervariasi tergantung selera dan kemampuan seperti beras, roti, pupa semut, taugeh, bayam, parutan lobak, ulat sehingga tulang sotong.


Dalam mengenali burung pipit tidak sah kalau kita tidak nyatakan mengenai kitaran hidupnya. Burung pipit akan dewasa dan ia akan mengawan setelah mencapai usia 7 bulan. Bergantung kepada spesis, cuaca dan ketersediaan makanan lazimnya burung pipit akan mengawan pada musim hujan. Burung pipit akan membuat sarang yang terbuat dari rumput kering dan sabut kelapa yang dianyam sehingga menjadi sarang untuk bertelur. Penulis sering melihat burung pipit membuat sarang dengan menotong rumput kering atau lalang kering dibawa kepokok tinggi. Sarang mereka apa yang saya selalu jumpa berbentuk bulat seperti bola dengan lubang di atasnya seperti mangkuk untuk tempat induk keluar masuk. Burung pipit akan bertelur sebanyak 4-8 biji sekali pusingan (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya telur akan dieram setelah telur ketiga dikeluarkan oleh induknya. Selama proses pengeraman lazimnya burung pipit jantan dan betina akan bergantian untuk mengeramkan telur sehingga menetas. Bagaimana pun selalunya burung pipit betina yang akan lebih kerap mengeramkan telur mungkin disebabkan sifat keibuan mereka. Jangkamasa proses mengeram telur adalah 13-14 hari. Setelah telur menetas selalunya ia akan mulai belajar terbang semasa berusia 21-25 hari. Anak burung pipit muda memiliki warna bulu coklat muda licin dimana ia akan berubah warna apabila cukup dewasa. Musuh utama yang menjadi pemangsa burung piput seperti Ular, Mengkarong dan burung lain yang menjadikan ia makanan. Manusia juga musuh utama burung pipit kerana ia merosakan tanaman padi. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
BURUNG PIPIT... KENALI DIA...
BERBUNYI KUAT...DIMANA JUA...
BANYAK SPESIS... CANTIK JUGA..
BACA ARTIKEL...HATI JADI SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sawah Ring, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(13 Safar 1437H)

Sunday, February 21, 2016

FIG - KERATAN BENIH

PEMBIAKAN POKOK TIN (Ficus carica) mempunyai pelbagai cara dan kaedah sama ada menggunakan biji benih atau pun keratan. Tanaman buah tin (Fig) ini kini semakin popular di negara kita dengan ujudnya promosi dikalangan peminat tanaman ini diseluruh negara. Terdapat juga lamanweb, persidangan, forum teknikal dan banyak aktiviti lain berkaitan dengan buah tin atau fig ini di Malaysia pada masa ini. Bagaimana pun galakkan tanaman ini masih lagi kurang dilakukan oleh pihak tertentu kerana ia masih dikategorikan sebagai 'tanaman berpotensi' yang belum mendapat sokongan kewangan untuk dikomersilkan terutama daripada pihak bank. Ia banyak ditanam dan juga dimajukan oleh mereka yang benar-benar mahir dalam ilmu penanaman buah tin terutama mereka yang mensasarkan untuk menjual benihnya. Aktiviti menjual benih dikatakan satu ruang baru perniagaan dikalangan aktivis penanaman buah tin kerana benih yang berkualiti dijual dengan harga yang agak tinggi. Peminatnya pula bukan sahaja daripada orang biasa tetapi mereka yang mempunyai latarbelakang kewangan yang kukuh. Kaedah menyediakan benih ini tidaklah sukar sangat asalkan ada pokok induk berkualiti, peralatan asas membuat keratan dan apa yang paling penting adalah ilmu kehahiran teknikal bagaimana untuk menjalankan tugasan ini. Keratan juga merupakan satu kaedah pembiakan pokok tin terutama bagi mereka yang ingin mencuba membuat sendiri anak benih untuk tanaman benih secara keratan. Jika menggunakan teknik yang betuk lazimnya kadar kejayaan teknik keratan akan menghasilkan sehingga 95% anakbenih yang boleh hidup dan segar. Dalam beberapa lamanweb juga ditunjukan kaedah atau cara meyediakan anakbenih secara keratan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" kaedah asas dalam menyediakan anakbenih pokok tin secara keratan sekadar menambah ilmu pengetahuan. 

Penyediaan beih pokok tin secara keratan boleh dilakukan dengan memilih pokok induk yang sihat, cukup umur dan sesuai varieti untuk dibiakkan. Ciri ciri untuk kaedah cara keratan dimana sebaiknya batang untuk kertan mestilah di pilih diantara yang cukup matang tetapi bukan terlalu tua. Sebaiknya jenis batang yang 'dormant' tidak produktif atau terlalu muda tidak dipilih untuk dijadikan bahan keratan. Potong dahan ini dengan scateurs tajam sepanjang 14-18 cm dan periksa ia segar atau mata tunas hidup. Dalam menentukan kejayaan yang tinggi, sebaiknya kita perlu menggunakan sekurang kurang dua mata tunas tetapi tiga adalah terbaik (Sila anda lihat foto disebelah). Setelah batang dahan dipotong ia perlu direndam selama 30 - 120 minit dengan Larutan B1 dan previcur (anti kulat) dahulu dan kemudian ia perlud dikeringkan. Kaedah lain dimana perlu disiapkan 1 liter air dicampurkan 2 ml Atonik dan/atau 2 ml B1 Chitosan. Kalau ada anti-kulat boleh letakkan sebanyak 5 ml. Rendam keratan selama 24 jam bagi batang pokok tin yang telah lama dikerat. Jika batang baru dipotong hanya 2 jam pun memadai. Selepas waktu yang secukupnya maka di keluarkan semua keratan tadi dan letakkan diatas kertas akhbar. Biarkan dalam 2 jam supaya ia betul-betul kering. Sebaiknya disapu dengan cat dihujung atas keratan untuk elakkan kehilangan air atau pun jangkitan kulat.

Kemudian keratan ini akan di simpan dalam plastik kedap udara untuk jangkamasa selama 2-4 hari sehingga akan kelihatan mata akar berwarna putih. Sediakan tray yang diisi dengan lapisan peatmoss dan cocopeat lembab setebal 1 cm. Susun kayu diatas lapisan peatmoss dan cocopeat. Ada yang mencampurkan dengan campuran peat moss 50% sekam padi hitam 30% perlite 10%dan top soil yang telah di jemur 10% dan sedikit baja organik seperti serbuk tahi ayam yang telah diprosess didalam tray tersebut. Sebaiknya semasa di tanam keratan batang tersebut hujung keratan mestilah di tutup dengan farming dressing atau paste yang menutup potongan bongsai (Sila lihat foto disebelah). Ia kemudian perlu disiram air yang dicampur B1 dan previcur sehingga basah sepenuhnya. Pastikan ketika menyiram tidak terlalu basah dan aktiviti menyiram selama seminggu atau sehingga ia kering baru disiram semula. Lazimnya prosess untuk tumbuh dan bercambah tunas baru tidak memerlukan air yang banyak. Sebaiknya dibiarkan ia lembab dan kering dimana ianya akan hidup lebih segar dan cepat untuk proses pertumbuhannya. Jika air berlebihan diberikan menyebabkan pokok akan layu dan akar mereput di sebabkan akarnya sudah lemas.

Teknik terbaik adalah dengan memasukkan tray kedalam kotak polistrin dan tutup. Biarkan ia berada didalam kotak polistrin tersebut selama 2 - 3 minggu jangan diusik. Walau pun seronok sebaiknya jangan intai atau pun membuka kotak tersebut. Kedudukan meletak kotak polistrin yang sesuai adalah ditempat redup. Selepas 2 - 3 minggu maka barulah kotak polistrin boleh dibuka tutupnya. Periksa dimana akan dapat dilihat batang keratan sudah ada akar dan nampak tunas. Batang keratan yang telah berakar dan bertunas akan perlu disemai kedalam polibeg berisi tanah campuran atau bekas plastik seperti pasu kecil (Sila lihat foto disebelah). Pada masa ini keperluan air siraman hanya untuk tujuan melembabkan tanah sahaja. Masa ini kawalan air sangat mustahak. Kalau tanah pada masa ini agak kering atau terlebih air juga tidak boleh berlaku kerana menjejaskan pertumbuhan tunas dan akar pokok. Kalau lihat pada gambar kebanyakkan akar akan cuba menjalar keatas permukaan untuk mendapat udara. Pada masa ini akan didapati bahan seperti Perlite memainkan peranan sebagai memudahkan sistem pengudaraan. Benih yang sudah cukup umur dalam polibeg atau pasu kecil sedia untuk ditanam atau dijual setelah diperiksa kesihatannya. Bagi mereka yang ingin menjadikan tanaman pokok tin sebagai tanaman baru amat digalakkan kerana ia adalah tanam potensi baru dinegara kita dimasa akan datang. Wasallam!.
POKOK BUAH TIN...  FIG SAMA...
MUDAH DITANAM...BENIH MANA...
CARA KERATAN... MUDAH SAJA...
BELAJAR SENDIRI... SATU USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang Permai,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(3 RabiulAkhir 1437H)
Artikel sulung dari Pahang.

Saturday, February 20, 2016

BUNGA KEKWA - APA DIA?

Menanam BUNGA KEKWA (Chrysanthemum indicum) kini semakin popular terutama dikawasan sesuai iaitu bersuhu sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Bunga daripada keluarga Asteraceae ini natif daripada Asia dan Eropah Timur dengan mempunyai banyak spesis. Pada masa ini industri bunga keratan di Cameron Highlands ini menjangkau ratusan juta ringgit setahun dengan lokasi pengeluaran dikawasan Bertam Valley, Ringlet, Kuala Terla, Blue Valley dan Kampung Raja. Ia merupakan salah satu nadi bagi pengeluaran bunga keratan tanah tinggi di Malaysia. Data Jabatan Pertanian menunjukkan keluasan fizikal penanaman bunga di Cameroon Highland adalah 39 hektar (bermakna sekitar 120 hektar CHE setahun) dengan beberapa jenis tanaman bunga (Sumber: Pejabat Pertanian Daerah Cameroon Highland 2016). Penanaman bunga kekwa biasanya mengambil tempoh sekitar 3 - 4 bulan dari mula dipindahkan ke plot utama sehingga sedia untuk dituai. Lazimnya pekebun tempatan akan mengamalkan konsep 2 peringkat nurseri atau istilahnya 'Double Stage Nursery'. Kaedah ini adalah dimana tanaman dua peringkat di nurseri semaian dibuat dulu sebelum dipindahkan ke plot tanaman utama. Satu lagi teknik tanaman adalah 'Single Stage Nursery' atau Peringkat Tanaman Tunggal yang mana pekebun akan terus menanam biji benih didalam tapak tanaman utama. Dalam membuat rujukan, penulis dapati bahawa bunga Kekwa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Chrysanthemum Flower' ini agak mudah ditanam dan dijaga kalau dilakukan dengan baik. Bunga ini adalah satu genus yang terdiri daripada kira-kira 30 spesies iaitu jenis tumbuhan berbunga dan ia adalah saka. Pokok ini dipercayai berasal dari Asia dan Eropah Timur Laut tetapi kini telah ditanam dan disebarkan keseluruh dunia. Pokok Chrysanthemum adalah tumbuhan saka herba yang bertumbuh setinggi 50-150 cm. Daunnya berbentuk cuping dan bunganya besar serta berwarna putih, kuning atau merah jambu dalam spesies liar (Sila lihat foto diatas). Spesis bunga ini juga digunakan oleh larva serangga rama-rama dan kupu-kupu (Lepidoptera) sebagai makanannya. Laporan menunjukkan banyak jenis serangga Lepidoptera yang amat suka dengan bunga ini. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman dan beberapa tips mengenai bunga kekwa.

Antara beberapa jenis bunga kekwa yang disukai ramai adalah seperti jenis Chrysanthemum indicum dijadikan jenis yang ditanam dan dikomersilkan (Sila lihat foto disebelah). Beberapa jenis atau spesis kekwa yang lain agak popular adalah seperti genus Glebionis. Genus lain terdiri daripada genus seperti Argyranthemum, Leucanthemopsis, Leucanthemum, Rhodanthemum dan Tanacetum. Laporan dari buku yang saya baca menyatakan pokok bunga kekwa ditanam di China sebagai pokok herba sejak abad ke-15 sebelum masihi dimana ada dikatakan ada sebuah bandar kuno yang digelar dengan nama yang juga berikan bermaksud  "kota bunga kekwa". Bunga ini telah diperkenalkan ke Jepun pada abad ke-8 dimana Maharaja Jepun mengiktirafkan bunga ini sebagai kebanggaan dan dijadikan lambang mohor. Bunga kekwa dibawa ke Dunia Barat pada abad ke-17 dimana ia kemudian ditukar nama koleh saintis terkenal iaitu Carolus Linnaeus yang dijadikan rujukkan sehingga kini. Bunga ini diberi nama dalam bahasa Greek dan memberi makna sebagai 'chrys' atau yang juga bermaksud "keemasan" (warna bunga-bunga yang asal) dan '-anthemon' yang bermaksud "bunga". Kebanyakan tujuan penanaman bunga ini adalah untuk landskap. Kini dengan teknologi biakbaka (Plant breeding) maka keindahan bunga kekwa dengan pelbagai kombinasi warna terang, gelap dan unik semakin menarik perhatian ramai dan cantik. Kini ada terdapat beribu-ribu kultivar bunga kekwa ditanam diseluruh dunia ditanam secara komersil dan hiasan.

Bagi mengenali marfologi bunga kekwa, sebaiknya seseorang itu pernah menanam sendiri bunga ini. Daun-daun pokok bunga kekwa juga kelihatan seakan-akan 'rumpai mugwort' yang hampir sama jenisnya (Sila lihat foto disebelah). Beberapa buah negara di Eropah dan Jepun dilaporkan menggunakan bunga kekwa secara budaya untuk melambangkan kematian dan hanya digunakan untuk upacara pengebumian atau istiadat penguburan jenazah. Di Amerika Syarikat pula dilaporkan yang bunga kekwa dipakai dengan gaa untuk diperlihatkan dengan positif dan riang. Selain itu bunga kekwa amat amat sesuai untuk diproses sebagai bahan makanan. Paling popular adalah dimana bunga ini dimasak dengan air untuk menghasilkan apa yang digelarkan sebagai "teh bunga kekwa". Penulis pun pernah minum teh ini ketika melawat negra tersebut beberapa tahun dulu. Rasanya adalah sebagai enak jika sesiapa suka akannya dan dirujuk sebagai memberikan khasiat kesihatan. Ia juga diminum oleh  sebilangan besar penduduk di kawasan Asia. Teh bunga kekwa mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan dimana paling sering diperkatakan adalah dimana ia mampu memulihkan daripada demam selesema. Ada beberapa spesis bunga ini seperti jenis Chrysanthemum coronarium (ditanam meluas untuk dimakan sebagai sayur-sayuran daun. Satu lagi kegunaan bunga kekwa adalah dimana daun-daun kekwa dimasak secara mudah dengan bawang putih dan cili kering di China untuk dimakan. Sayuran bunga kekwa yang telah dimasak mempunyai warna yang tua, tekstur yang padat dan bermusilej, serta bau yang harum dan kompleks. Menanam bunga kekwa boleh dijadikan satu industri yang mampu memberikan pulangan baik kepada usahawan. Wasallam!.
BUNGA IMPORT...NAMANYA KEKWA...
SUHU SEJUK...SUASANA DIPERLUNYA...
AMAT CANTIK... HIASAN TERPESONA...
DIJADIKAN TEH... NAMA TEH BUNGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room D10, Hotel Rosa Pasadena,
Brinchang, Cameroon Highland,
Pahang,
Malaysia.
(24 Muharam 1437H) 
Edited on 20 Febuari 2016

Friday, February 19, 2016

CILI - ATASI KERINTING DAUN

CILI BESAR (Capsicum annum) dan CILI PADI (Capsicum frustecens) merupakan tanaman dari keluarga Solanaceae yang penting dan amat popular di Malaysia. Tanaman cili juga merupakan sayuran dengan keluasan diantara 2,800 - 3,200 hektar setahun dengan nilai pengeluaran mencecah sehingga RM158 juta setahun (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Masalah utama yang paling ditakuti ramai petani dan penanam cili hobi disekeliling rumah adalah Penyakit Kerinting Daun atau Kerekot Daun Cili. Usaha untuk mengatasi masalah keriting daun sekaligus patogen penyebabnya iaitu Virus CMV (Cucumber mozaic virus) memang memerlukan ketekunan dan langkah yang amat betul dan tepat. Pemerhatian dikebun menunjukkan biasanya petani telah mengeluarkan kos yang banyak untuk mengawal masalah tersebut namun hasilnya belum pasti lagi. Kenapa masaalah kerinting daun cili ini boleh terjadi?. Saya dapati, berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian, mungkin berlaku berbagai kekeliruan dalam teknik pengawalan atau teknik penanaman cili dari awal lagi. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dibeberapa lokasi kebun komersil cili di Johor, Melaka, Pahang dan Selangor serta hasil temubual dengan petani yang telah lama menanam cili, terdapat beberapa kaedah atau petua untuk mengurangkan risiko serangan kerinting daun pada pokok cili. Artikel malam Ahad ini sambil menonton perlawanan bola sepak diantara Johor dengan Terengganu di TV Astro 801 (Johor menang 3-2), saya rajin untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa kaedah untuk mengatasi masaalah kerinting tanaman cili agar boleh dijadikan panduan semua pembaca blog tulisan saya.

Berdasarkan pengalaman dan dari pemerhatian dibeberapa kebun tanaman cili, terdapat beberapa perkara yang telah menjadi halangan untuk pokok cili yang telah diserang untuk pulih kembali (susah hendak baik semula). Ada beberapa pendapat mengenai punca boleh berlakunya serangan daun kerinting pada cili. Kaedah menyemai anakbenih cili didalam kelambu merupakan diatara praktik yang kini sering dikatakan boleh mengurangkan kadar serangan dari peringkat awal lagi. Petani penanam cili yang kurang pasti dan mereka yang baru mencuba menanam cili akan menjadi keliru dengan pendapat-pendapat ini. Berikut saya senaraikan antara pendapat yang saya sering dengar dan kutip dari petani yang saya temuduga:

1. Pemberian Baja Kimia pada tanaman cili terutama jenis baja yang mengandungi bahan Nitrogen (N) yang terlalu tinggi perlu dikurangkan. Cara untuk pemberian baja sama ada secara di tabur mahu pun secara poket dikatakan boleh menjadi punca serangan kerinting daun apabila diberikan dengan dos berlebihan.

2. Petani selalunya menyembur racun serangga atau racun lain (Racun kulat, Racun nematod) pada tanaman cili ikut jadual. Mereka menyembur tanpa memperhatikan beberapa faktor keperluan atau penggantian permakanan daun (leaf nutrition) yang telah diiserap oleh serangga hama (thrips, tungau atau kutu daun). Ini menyebabkan kemungkinan serangan kerekot daun akan cepat berlaku.

Tanda daun kerekot cili.
3. Cara memberi baja untuk tanaman cili tidak dibuat 'analisis daun' dimana mereka akan membaja ikut jadual dan sukatan yang ditulis pada label sahaja. Mereka tidak memberikan makanan yang ‘siap saji’ ikut keperluan pokok yang mudah untuk diserap oleh tanaman mengikut keperluan sebenar berupa baja semburan atau baja foliar bagi pokok yang telah matang. Mengikut rakan saya Mr Freedie, pokok cili perlu dibaja dengan sedikit demi sedikit mengikut umur pokok dan elakkan daun menjadi warna 'hijau gelap'. Apabila daun menjadi hijau gelap, maka amat mudah pokok cili akan diserang virus yang menyebabkan kerinting daun cili.

4. Amalan petani tidak membuang atau mencabut pokok perumah (Host plants) tertentu yang sebenarnya menjadi perumah virus juga menjadi punca serangan jadi daun cili kerekot. Beberapa jenis tanaman perumah adalah didapati merupakan sumber bagi serangga perosak tersebut. Bagaimana pun tanaman alternatif seperti Bunga Marigold yang ditanam dikeliling kawasan tanaman cili boleh dijadikan rumah serangga hama sebagai kaedah kawalah biologi (Lihat foto dibawah).

Bunga Marigold sebagai 'Trap crop' di TKPM
Sekijang,Segamat, Johor..
5. Semburan racun kulat (fungicide) yang kurang tepat waktu dan kadar dosnya boleh menyebabkan berlaku kelambatan untuk proses pemulihan keadaan tanaman cili yang telah terkena keriting daun. Sebagai contoh, ketika pada musim kemarau dibuat semburan racun kulat dengan bahan aktif tertentu agak sesuai sebaliknya racun yang sama tidak sesuai untuk disembur pada musim hujan.

6. Semburan racun serangga dari jenis racun 'keras' atau 'kuat' tertentu pada daun yang telah diserang kerinting boleh menyebabkan tindakbalas pada daun cili. Akibatnya didalam kes-kes tertentu, daun cili yang disembur akan menjadi semakin layu dan kadang-kadang terus kering dan lebih cepat mati. Pemilihan jenis racun serangga yang betul dan tepat serta betul cara menyemburnya amat penting diketahui oleh petani. Kurangkan penggunaan racun kimia.

7. Terdapat amalan oleh penanam cili yang mencampurkan antara bahan kimia (racun serangga atau racun kulat) dengan dengan baja foliar atau baja daun. Amalan ini boleh juga  menyebabkan terjadinya tindakbalas keasidan pada larutan yang disembur pada daun. Kadang-kadang larutan menjadi tidak berkesan akibat berlaku proses 'neutralisasi'. Memang dalam mengawal masaalah keriting daun cili dan virus kita juga perlu langkah mengawal populasi vektor pembawa seperti aphid dan hama. 

Dari pemerhatian juga saya ada menerima beberapa cadangan untuk mengatasi masaalah kerinting daun cili. Berikut diantara beberapa kaedah yang mungkin boleh dijadikan panduan:-

Produk PROTEK-tan dan PESNATOR.

1. Jika kita hendak membaja dengan menggunakan baja kimia, pastikan kita tidak memberi terlalu banyak sehingga berlebihan. Akibatnya daun akan menjadi hijau gelap dan mengundang hama pembawa virus untuk datang. Sebaiknya kita memberikan baja jenis organik yang telah matang dan sesuai untuk tanaman cili.

2. Penggunaan atau aplikasi beberapa produk khas seperti   PROTEK-tan dan PESNATOR (Foto diatas) yang bersifat menolak hama perosak dan bersifat 'antifeeden' juga sekaligus membekalkan unsur baja mikro tersedia pada pokok cili. Cara ini merupakan satu lagi langkah yang tepat untuk kita dapat mengurangkan terjadinya masaalah kontradiksi (contradiction) antara pemberian racun kimia dengan baja daun pada tanaman cili diladang.

3. Buat semburan dengan racun serangga organik untuk membunuh hama pada pokok perangkap (trap crop) dengan kadar sesuai merupakan satu langkah kawalan. Bagaimana pun ada pendapat mengatakan tanaman perangkap juga perlu dijaga baik agar hama dan aphid dapat tinggal pada pokok tersebut dengan senang lenang dan tidak datang untuk mengganggu tanaman cili kita.

4. Jika serangan kerinting daun pada tahap serius, adalah disyorkan menggunakan racun jenis organik dengan jenis atau kadar sesuai. Semburan yang kerap dengan Bahan Mikrob Berfaedah (Benefecial microrganism) dan produk organik lain mungkin sesuai dijalankan. Elakkan atau kurangkan kita dari kerap menyembur racun jenis kimia kerana ianya mungkin akan meningkatkan lagi kadar serangan. Ini disebabkan atau dari akibat racun yang digunakan adalah jenis racun yang 'keras' atau 'sangat kuat'.

Artikel ini hanya memberikan beberapa pendapat atau cara berdasarkan kepada hasil temubual dengan petani dan juga pemerhatian penulis sendiri. Sebarang kajian saintifik boleh dijalankan dengan betul agar dapat dibuktikan dengan data kukuh yang boleh dijadikan rujukkan. Penyakit Kerekot Daun Cili ini sebenarnya bergantung kepada banyak sebab seperti faktur alami yang unik dan sukar dijangka. Apa pun kita kena berusaha dan berdoa agar dimurahkan rezeki agar tanaman cili yang dijalankan memberikan hasil yang lumayan.
 Wallahualam!.
Pokok Cili Kulai yang subur.
KEREKOT DAUN...KERINTING JUGA...
KENA VIRUS... PENYAKIT BAHAYA...
SERANGGA APHID... IA PEMBAWA...
AMALAN AGRONOMI...IKUTI PETUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Solok, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(17 JamadilAwal 1434H)
Lawatan Teknikal keprojek tanaman cili.

Thursday, February 18, 2016

IKAN TODAK

IKAN TODAK (Xiphias gladius) adalah sejenis ikan laut dari keluarg Xiphiidae pernah diceritakan dalam banyak kisah lama yang berjudul 'Singapura dilanggar todak' dalam epic sastera Melayu. Ikan todak dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Swordfish' atau jika ia dimelayukan menjadi 'Ikan Pedang'. Ikan todak kadang kala juga disebut sama cirinya seperti Ikan Marlin dimana ia menjadi kegemaran pemancing sukan (sportfishing) kerana ikan marlin merupakan jenis ikan paling mencabar semasa akktiviti memancing dilaut. Ikan ini mempunyai yang rahang atas dan muncongnya memanjang berbentuk seperti pedang pipih dan kuat dimana ia selalu berukuran hampir sepertiga panjang badan ikan tersebut (Sila anda lihat foto diatas). Badan ikan ini lazimnya akan mempunyai bentuk tubuh yang panjang dengan membulat dapat mencapai 2.0 - 4.6 meter panjang dimana berat ikan mampu mencapai berat sehingga 650 kg. Ia mempunyai kulit yang licin tidak bersisik dimana warna dibahagian atas tubuhnya selalu berwarna keunguan atau kebiruan dan warna dibahagian bawah tubuhnya warna perak (Silver). Ikan ini mampu berenang laju yang banyak terdapat di perairan tropika dan perairan iklim sederhana dimana ia dilaporkan iaitu populasinya semakin kurang. Ikan todak adalah satu-satunya jenis ikan didalam pengkelasan keluarga Xiphiidae tidak seperti ikan jenis lain yang banyak spesis. Apa yang penulis suka tengok ikan ini adalah dimana ia mempunyai muncung atau paruh yang panjang dan tajam menyerupai pedang atau juga seperti tombak. Dalam mitos sastera dulu ia dikatakan ikan todak telah menyerang Singapura dimana manusia dijadikan tembok bagi menahan serangan ikan ini. Kemudian seorang budak bijak mencadangkannya benteng manusia diganti dengan batang pisang (Sila lihat foto paling bawah sekali). Kisah ini merupakan satu cerita yang jika difikir sekarang ada yang kata tidak logik. Artikel padi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tulisan ke 3,703 mengenai IKAN TODAK sekadar untuk dijadikan satu bahan rujukan dan bacaan anda.

Pedang Ikan Todak dan kecantikkan ikan ini menjadikan ikan ini dijadikan tugu dibanyak bandar didunia. Dinegara kita Malaysia sesiapa yang pergi ke Kota Kinabalu tentunya akan berjumpa dengan tugu ikan todak diatas daratan yang dijadikan tugu yang sangat cantik (Sila lihat foto disebelah). Ikan todak mempunyai muncung yang tajam sama dengan bentuk tubuh yang menajam memungkinkan ikan todak berenang dalam air dengan laju, pantas dan lincah. Apa yang pasti adalah pedangnya itu tidak dipakai untuk menombak mangsanya tetapi ia ada kala digunakan untuk memukul dan melukai mangsanya terutama ikan yang hendak dimakannya agar mangsa tersebut mudah ditangkap. Dalam habitat asal dilautan, ikan todak akan cuba menangkap mangsanya dimana ia sangat bergantung pada kecepatan serta ketengkasannya yang dapat mencapai kelajuan berenang sehingga 80 kilometer per jam untuk memburu mangsanya. Ia merupakan jenis ikan yang sangat lincah bergerak dalam air. Walau pun ikan todak mempunyai pedang dihujungnya tetapi ia juga jarang digunakan untuk mempertahankan diri jika diserang oleh pemangsa yang lain. Saintis melaporkan hanya ikan Yu Maku yang mempunyai sirip pendek sahaja dan ia merupakan sejenis ikan laut yang cukup besar dan cepat untuk mengejar dan membunuh seekor todak walau pun ia selalunya tidak selalu menang. Apa pun sering kali semasa bertarung melawan seekor ikan Yu kadang-kadang ikan todak dapat membunuh ikan yu tersebut dengan menikamnya di insang atau di perut.

Lazimnya Ikan Todak betina berukuran lebih besar dari ikan todak jantan. Amat jarang nelayan menjumpai ikan todak jantan yang lebih berat dari 135 kg seekor. Ikan todak betina mencapai usia dewasa pada umur 4-5 tahun di lautan sementara ikan jantan dewasa pada sekitar umur 3 sampai 4 tahun sahaja.  Ikan todak dewasa sering mencari makanannya yang terdiri daripada hidupan laut seperti ikan-ikan pelagis lain seperti ikan tuna kecil, Ikan barakuda, ikan terbang, makarel dan juga spesis lain seperti ikan rockfish. Makanannya selalu mengikut musim dimana di perairan kita ikan todak akan makan sotong jika musim banyak. Ikan todak dewasa merupakan spesis ikan yang tidak banyak musuh dan juga pemangsa lain kecuali ketika ia masih kecil ia sering dijadikan makanan oleh ikan pelagis besar. Ikan todak kadang-kadang terbang atau keluar dari permukaan air apabila ia memburu dengan laju dalam air atau ketika merota dari tali pancing walau pun tidak sama seperti ikan terbang (Sila lihat foto disebelah). Walau pun diketahui ikan todak termasuk haiwan berdarah dingin tetapi uniknya mereka mempunyai organ khusus dekat mata untuk menghangatkan mata dan juga otak mereka. Suhu sejuk diantara 10 - 15 °C mereka akan ukur dengan organ ini. Pemanasan mata ini dapat meningkatkan daya penglihatannya dimana ini akan dapat meningkatkan kemampuannya dalam menangkap mangsa. Daripada lebih dari 25,000 spesis ikan yang mana ia mempunyai tulang sejati dilaporkan hanya 22 jenis ikan yang diketahui mampu menghangatkan bahagian tubuh tertentu di atas suhu air sekitarnya. Di antara ikan-ikan tersebut adalah ikan todak, ikan marlin dan ikan tuna.

Ikan todak bukanlah ikan yang hidup secara berkelompok. Mereka selalu berenang sendirian dan dalam kelompok yang berjauhan dimana ia lazimnya terpisah sekitar 10 meter dari ikan todak yang lain. Mereka juga sering dijumpai berjemur di permukaan air dengan menaikkan siripnya dipermukaan air untuk dilihat. Pelayar dan nelayan sering melaporkan perkara ini sebagai pemandangan indah dimana ia sama seperti lompatan kuatnya yang membuat spesis ikan todak ini dikenal. Lompatan ini dilakukan oleh ikan todak disebabkan ia ingin melepaskan ikan lain yang melekat dibadannya dengan menghempaskan diatas air agar ia tertanggal seperti ikan gemih atau lamprey. Lompatan itu juga merupakan kaedah ikan todak mencari makan kecil lain di permukaan dengan mengejutkan ikan kecil semasa ikan todak itu melompat dari air dimana ini membuat ikan kecil tersebut lebih mudah ditangkap untuk dimakan. Apa kita perlu tahu adalah ikan todak makan setiap hari dimana ada juga dilaporkan seringkali pada malam hari semasa mereka naik ke permukan air untuk mencari ikan yang lebih kecil. Mereka dilaporkan akan mengawasi dan mengintai dengan rapi sekumpulan dan akan menebaskan pedangnya untuk membunuh atau mengejutkan mangsanya. Ikan todak yang mempunyai isi bertekstur tebal dan daging padat sesuai untuk dimasak dan disajikan dengan pelbagai resepi masakkan. Ada yang suka memanggang, dibakar atau dibuat menjadi inti makanan kebab. Ikan todak adalah jenis ikan yang sihat jika dimakan kerana ia hanya mengandungi sedikit lemak dan memiliki banyak kandungan omega 3. Ikan todak memiliki rasa yang lazat bergantung kepada cara penyediaan resepi masakan yang berasaskan ikan todak. Walau pun saya belum pernah makan daging ikan todak besar setakat ini tetapi pernah makan ikan todak kecil semasa bertugas di Pulau Aur, Mersing sekitar 15 tahun dulu. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
IKAN TODAK ... TAJAM PEDANGNYA...
BERENANG.. 80 KM SEJAM LAJUNYA...
KEGEMARAN PEMANCING...HEBATNYA...
ARTIKEL DITULIS... BAHAN RENCANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(26 Disember 2015)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...