KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 23, 2016

TANAM CILI API (Part 1)

CILI API atau CILI PADI atau CABE RAWIT (Capsicum frutescens) merupakan tanaman yang penting di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia dan Thailand. Tumbuhan ini dari keluarga Solanaceae yang dipercayai natif dari benua Amerika Selatan sebenarnya mudah dijumpai hidup liar dikawasan belukar dinegara kita. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan beriklim tropika terutama disekitar khatulistiwa. Tanaman ini paling sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dengan ketinggian sekitar 0 - 500 meter dari paras laut. Bagaimana pun banyak dilaporkan cili api ini boleh tumbuh denga baik sehingga ketinggian 1,000 meter. Apa pun semakin tinggi ia ditanam dari paras laut maka hasilnya akan terus berkurangan. Dari laporan yang dikaji, penanaman cili padi dikawasan tanah dataran tanah tinggi selalunya jangkamasa hayat pokok adalah lebih lama dan selalunya cili ini mempunyai biji lebih banyak tetapi bijinya ringan. Bagaimana pun jika diukur beratnya ia adalah ringan berbanding dengan cili api yang ditanam dikawasan tanah rendah kerana ia kurang padat. Sehingga kini belum banyak cili padi yang telah didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman, cara amalan aagronomi dan prestasi setiap jenis tanaman cili ini adalah berbeza-beza mengikut varieti, jenis tanah, iklim, tujuan penanaman dan sebagainya. Terdapat dua perkara atau isu diantara penanaman Cili Besar dengan Cili Padi daripada segi pengurusan dan pulangan yang bakal diterima. Ada yang kata menanam cili api lebih mudah daripada menanam cili besar tetapi dari perpesktif lain menyatakan sebaliknya. Ini kerana penulis mendapati cili api yang ditanam secara komersil monokrop mudah diserang penyakit terutama Kerinting Daun dan Layu Bakteria berbanding dengan Cili Besar menggunakan teknologi yang sama. Cili Api atau Cabai Burung yang hidup liar diberakkan oleh burung bagaimana pun lazimnya hidup lebih lama. Artikel malam Sabtu ini sambil menonton Konsert Aktif 5 di TV2 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa panduan teknikal menanam cili padi atau cabe rawit untuk dijadikan panduan pembaca semua. 

Daripada lawatan saya ke Jogjakarta baru-baru ini dan melawat kebun sayuran di Wonosobo, petani disana menyatakan "budidaya cabe rawit relatif lebih rendah resikonya dibanding cabe besar. Ia seterusnya kata tanaman ini lebih tahan serangan hama, meskipun hama yang menyerang cabe besar bisa juga menyerang cabe rawit". Sebaiknya peringkat pemilihan benih cili api ini dilakukan sendiri oleh mereka yang hendak menanamnya. Ini kerana tidak banyak benih cili api ini dijual dipasaran dan tiada jaminan mutu kawalan. Walau pun ada dikatakan cili api yang pedas dan produktif, ada yang dakwa kini telah banyak tersedia dijual benih cili ini dari jenis hibrid dengan kehebatan masing-masing. Pilih benih yang ada ciri sesuai dengan keadaan persekitaran kebun dan kemahiran menanam cili padi. Kalau harga benih cili api mahal atau tiada bekalan dikedai, pada penulis sebaiknya membuat benih cili api sendiri seperti amalan beberapa penanam cili komersil yang saya temui. Dalam menyediakan benih cili api sendiri sebaiknya buah masak dipilih dari pokok cili api dewasa yang berbuah lebat, tidak ada serangan serangga dan penyakit. Gunakan buah cili api dari hasil tuaian ke-4 sehingga ke-6 kerana pada waktu ini adalah puncak untuk pengeluaran optima sedang berlaku. Pada hasil kutipan pertama sehingga ketiga selalunya penulis lihat jumlah biji cili didalamnya masih sedikit. Kalau buah dari peringkat hujung tuaian adalah dimana jumlah biji didalamnya agak banyak tapi saiznya kecil-kecil yang kurang sesuai untuk digunakan sebagai benih.


Proses memilih biji cili api ini mudah dilakukan jika mempunyai ilmu pengetahuan dan juga ada kemahiran. Diperingkat kebun, pilih biji cili yang sihat dan dilihat amat vigorous yang mana ia telah masak tua dipokok. Kalau buah sudah hampir kering dipokok cili adalah terbaik ianya benar-benar cukup matang untuk ia dijadikan benih. Setelah buah dipetik maka ia perlu untuk dipotong secara membujur pada kulit buahnya. Asingkan biji yang terdapat pada bahagian pangkal dan bahagian hujung buah dan yang penting di ambil biji benih dari BAHAGIAN TENGAH (Sila lihat foto disebelah). Biji benih pada bahagian tengah biasanya adalah yang paling berkualiti. Kemudian rendam biji ili itu kedalam air bersih. Buang biji yang terapong dimana biji yang baik adalah biji yang berisi dan tenggelam dalam air. Kemudian jemur biji tersebut sehingga kering atau pengalaman saya sekitar selama 3 hari. Bagi mengelakkan serangan kulat sebaiknya juga dibubuh sedikit racun kulat sesuai (seperti Thiram) kecuali jika ada tujuan untuk menghasilkan benih cili jenis organik. Kemudian simpan benih ditempat yang kering dengan sistem pengudaraan yang baik dan kedap udara. Cara penyimpanan benih cili api baik dimana ia mampu bertahan sehingga dua tahun.


Benih Cili Api yang baik mempunyai kadar percambahan sehingga 80% adalah dikira memuaskan untuk ditanam. Bagaimana pun lazimnya semakin lama benih cili disimpan maka kadar peratus percambahan akan terus berkurang. Jika kadar percambahan telah mengurang dari 50% sebaiknya jangan gunakan benih tersebut untuk tanaman. Proses menyemai cili padi atau cabe rawit ini sama dengan untuk cili besar. Kadar keperluan benih cili api untuk satu hektar sekitar 0.5 kg. Benih tersebut perlu untuk disemai dahulu bagi dijadikan anak benih berkualiti ditapak semaian yang ada naungan dan ditutup dengan jaring kalis serangga (netting 32 mesh). Ini untuk mengelakan pancaran cahaya matahari secara terus, curahan air hujan, tiupan angin dan paling penting elakkan serangan serangga seperti aphids. Ramai dikalangan petani yang tidak pentingkan aspek penjagaan diitapak semaian terutama untuk tanaman cili api. Ada pendapat nyatakan jika ada perokok merokok kawasan kebun akan menyebabkan berbagai masaalah penyakit tanaman cili. Begitu juga pentingnya menyemai anakbenih cili dalam netting halus untuk mempastikan benih terlindung dari perosak dan penyakit. Benih yang dijaga baik dalam semaian akan dialihkan kekebun apabila sesuai. Artikel ini bersambung pada Part 2 dan Part 3. Wasallam!.
MENANAM CILI .... CILI PADI...
CILI BURUNG...JUGA CILI API...
BENIH DISEDIA...BUAT SENDIRI... 
BIJI DIPILIH... DAN IA DISEMAI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Taman Desaminium, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
(21 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...