KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, February 11, 2016

INDUSTRI SAWIT - ISU SEMASA

INDUSTRI KELAPA SAWIT (Elaeis guineensis) pada awal tahun 2016 ini banyak diperkatakan orang ramai kerana beberapa isu. Tanaman yang paling luas ditanam di Malaysia ini menjadi sumber penting dalam ekonomi negara semenjak lama dulu dalam bidang pertanian dengan nilai pengeluaran berbillion ringgit. Apabila harga minyak petrolium turun pada paras sangat rendah ia dilaporkan telah pun menjejaskan pendapatan negara dengan ketara. Dikatakan setiap USD 1 satu tong harga minyak mentah turun akan menyebabkan kekurangan hasil negara sebanyak RM300 juta. Kalau dahulu harga minyak mentak berlegar sekitar USD48 satu tong dan kini hanya USD28 satu tong (penurunan USD20) satu tong cuba kira berapa kehilangan pendapatan dalam sebulan. Negara Malaysia bernasib baik kerana masih mampu mengeluarkan 'minyak' daripada pokok kelapa sawit yang menjadi alternatif kepada masaalah kelembapan ekonomi dunia masa ini. Bagaimana pun stok simpanan minyak sawit di Malaysia berkemungkinan akan mencapai paras terendah sejak Julai tahun 2015 lalu berikutan isu fenomena El Nino yang menjejaskan pengeluaran negara kedua terbesar tanaman sawit di dunia ini. Kesan teruk daripada cuaca kering akibat fenomena El Nino menjejaskan pengeluaran minyak sawit negara kerana kelapa sawit adalah tumbuhan daripada keluarga Arecaceae yang perlukan banyak air. Kesan jerebu hampir 4 bulan yang disumbangkan oleh negera Indonesia juga menyebabkan hasil kelapa sawit kurang. Ia berpunca daripada kurangnya proses fotosintesis (matahari tidak tembus kepada daun), Kurang turun hujan (pokok kering) dan kurang berlaku proses pendebungaan (Kumbang pendebunga halus iaitu jenis Elaeidobius kamerunicus tidak dapat terbang bagi menjalankan aktiviti pendebungaan). Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh agensi Bloomberg yang melibatkan penanam sawit, peniaga dan penganalisis dilaporkan stok simpanan kelapa sawit negara telah pun jatuh 11 peratus kepada 2.33 juta tan metrik pada Januari 2016 lalu berbanding bulan yang sebelumnya. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu terkini industri kelapa sawit untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan semua.


Pengeluaran kelapa sawit dilaporkan telah jatuh 15 peratus kepada 1.19 juta tan metrik, yang terendah sejak Februari lalu manakala eksport pula kira-kira sembilan peratus (9%) lebih rendah pada hanya 1.35 juta tan metrik. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan mengeluarkan data terbaharu pada 10 Februari 2016 ini menyifatkan, penurunan itu terendah dalam tempoh setahun. Dalam masa sama didapati bekalan yang rendah boleh menyokong kenaikan harga pada masa depan dengan mengambil kira permintaan yang lemah daripada pembeli utama se­perti China. Menurut peniaga di Oriental Pacific Futures Sdn. Bhd., Encik Marcello Cultrera, pasaran tidak melihat kepada permintaan China yang rendah sebagai penyebab penutup harga hadapan minyak sawit memandangkan antara bulan ini dan Mac, harga minyak sawit mentah (MSM) boleh mencecah antara RM2,600 - RM2,700 setan. Semalam, niaga hadapan di Kuala Lumpur jatuh 0.6 peratus kepada RM2,531 setan selepas berlaku dan menunjukkan peningkatan sebelum itu pada RM2,551 iaitu nilai yang tertinggi sejak Mei 2014. Harga itu meningkat 1.9 peratus tahun ini selepas menokok lebih 10 peratus tahun lalu. Menurut pengarah Bersekutu CIMB Futures Sdn. Bhd., Hiro Chai pada Selasa lalu berkata, pengeluaran dijangka rendah pada bulan ini berikutan kesan kemarau dan tempoh menuai yang pendek. Negeri tanaman utama sawit di Malaysia iaitu Sabah akan mengalami purata hujan yang rendah dan cuaca kering berterusan sehingga bulan Mac 2016. Kesan sampingan cuaca kering pada tahun lalu juga telah menyebabkan pe­ngurangan hasil di beberapa bahagian di Malaysia dan Indonesia sejak Disember lalu hingga pada Januari ini. Penyelidik yang berpangkalan di Hamburg, Jerman telah menganggarkan pengeluaran Minyak Sawit mentah (MSM) global pula hanya akan meningkat 400,000 tan metrik tahun ini berbanding purata lima tahun lalu iaitu sebanyak 3.2 juta tan metrik.

Dalam pada itu Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dikatakan tidak akan menjejaskan industri sawit Malaysia. Laporan juga mendakwa bahawa industri kelapa sawit di nega­ra akan menerima kesan sa­ngat positif setelah Perjanjian Per­­kongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilak­sanakan nanti. Menurut Menteri Perusahaan Per­lada­ngan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah, salah satu dari sebabnya kerana ada sesetengah negara menguatkuasakan cukai eksport kepada negara ahli dan dalam perjanjian nanti akan melihatkan tiada dikenakan cukai berkenaan. Katanya, maka industri ini akan lebih kompetitif berbanding de­ngan pengeluar kelapa sawit yang tidak menyertai TPPA. Perkara sebegini jelas dilihat se­perti perjanjian perdagangan bebas (FTA) bersama Turki yang sedang berjalan, dalam beberapa bulan sahaja eksport telah meningkat hampir 200 peratus disebabkan penyerapan cukai dan perjanjian itu. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Seminar dan Dialog Reach and Remind Friends of The Industry 2016 di sini hari ini. 

Pada masa sama pendapatan eksport sektor kela­pa sawit tahun lalu sebanyak RM60 bilion yang agak menurun sedikit dari tahun sebelumnya manakala jumlah meningkat sedikit tahun lalu berbanding 2014. Dalam pada itu, Douglas dalam ucapannya memberitahu umum pihaknya sedang melihat kemungkinan pensijilan piawaian Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) untuk mewajibkannya yang pada masa ini adalah secara sukarela untuk manfaat industri dalam jangka panjang di negara. Kini pihak kementerian me­nubuhkan Majlis Pensijilan Mi­nyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi memacu dalam usaha untuk mempromosikan MSPO dan memastikan ia diiktiraf antara negara-negara pengimport termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat yang mahukan persijilan kelapa sawit mapan. Kerajaan berharap semua rakan-rakan utama industri termasuk pekebun kecil dapat bekerja secara kolektif untuk mempromosikan MSPO yang diterima sebagai penanda kepada persijilan kelapa sawit. Industi kelapa sawit perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan kerana kesan yang signifikan kepada berjuta rakyat Malaysia daripada golongan pekebun kecil, estet swasta, GLC serta sektor perkilangan yang berasaskan kepada kelapa sawit. Sama-sama lah kita berdoa agar industri kelapa sawit akan terus kekal menjadi penyumbang ekonomi yang penting dan terus relevan dalam negara. Amin!...
KELAPA SAWIT... TANAMAN UTAMA...
KEMARAU, JEREBU...ADA KESANNYA...
LEBIH TERJEJAS...RENDAH HARGANYA...
SEMUA TERLIBAT...TERUSKAN USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Felda Gugusan Jengka,
Maran, Pahang,
Malaysia.
(2 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...