KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 9, 2016

MILOS - ALAT KESELAMATAN KELULUT


MILOS (Melipoliculture Intergrated Locking System) adalah merupakan satu alat atau sistem ciptaan sekumpulan saintis dan usahawan Muda daripada Kelantan yang memasukki Pertandingan Inovasi Pertanian 2015. Alat ciptaan Dr Zulkifli, Kamaruzaman dan Fakrul ini merupakan satu inovasi yang amat sesuai dengan konsep penternakan kelulut (Meliponi sp.) secara komersil. Aktiviti menternak kelulut yang kini menjadi viral kepada usahawan yang mengetahui akan potensinya. Pada masa ini terdapat seramai lebih daripada 180 usahawan ternakan kelulut komersil diseluruh negara direkodkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2015 dan bilangan ini terus bertambah. Bagaimana pun terdapat banyak masalah yang timbul terutama kepada penternak baru dalam pengurusan ternakan kelulut. Industri ternakan kelulut sememangnya memberikan impak signifikan terhadap proses pendebungaan dan seterusnya ia telah dapat meningkatkan hasil tanaman terutamanya buah-buahan. Pokok buah-buahan yang selama ini kurang berjaya dalam proses pendebungaan kini dilaporkan lebih berjaya dalam penghasilkan buah apabila diletakkan kelulut dikawasan kebun dan tanaman serta diberikan baja dengan mencukupi. Permintaan yang tinggi madu kelulut asli dan khasiatnya menyebabkan ramai usahawan baru ingin mencuba dalam penternakan ini walau pun ia berkembang kurang daripada 8 tahun dahulu. Program Agropreneur Muda dibawah MOA membolehkan industri kelulut terus berkembang. Ini kerana kelulut adalah serangga yang tidak menyengat, mesra alam sekitar selain daripada mampu menghasilkan madu dan produk-produk lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi alat MILOS sebagai satu teknologi yang boleh diketengahkan dalam industri ini.


Antara beberapa permasaalahan dalam aktiviti pengurusan ternakan kelulut adalah keperluan bagaimana caranya hendak memindahkan haif kelulut kelokasi lain bagi tujuan pendebungaan tanaman dan pokok lain. Ini kerana terdapat musim-musim tertentu dimana sesetengah pokok buah akan dapat mengeluarkan bunga dan nektar yang banyak. Oleh itu perlu ada satu kaedah 'mengalihkan' koloni kelulut daripada satu lokasi kelokasi lain untuk tujuan pendebungaan dan pengutipan nektar yang dikeluarkan oleh pokok (terutamanya buah-buahan). Pada masa ini kebanyakan sarang kelulut liar dan yang diternak menggunakan Batang Kayu yang dipasang dengan kotak super diatasnya. Oleh itu usahawan yang ada modal boleh menggunakan produk inovasi dinamakan MUSTAFA HAIF ciptaan saintis yang sama dengan banyak kelebihannya. Kotak ini lebih kecil, mudah dibawa dan dibuat pengurusan. Ancaman kes KECURIAN KOLONI Kelulut juga kini menjadi ketakutan kepada usahawan baru. Ini kerana harga satu koloni kelulut yang berkualiti mencecah lebih daripada RM1,000 satu unit. Perkara ini menyebabkan berlakunya kecurian koloni yang diletakkan diladang akibat permintaan yang tinggi. Beberapa laporan polis dibuat di Kelantan dan Kedah pada hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015 terhadap kes kecurian sarang kelulut. Dengan adanya ciptaan dan inovasi MILOS dipercayai ia mampu mengatasi masaalah kecurian koloni kelulut dikebun. Pencuri lazimnya akan ambil begitu sahaja sarang kelulut tanpa apa-apa rasa bersalah kerana sudah ada 'duit' setiap sarang yang dicuri dan dijual kepada usahawan lain yang menunggu lama. Kemasukkan batang kayu mengandungi kelulut dari negara jiran Thailand dengan ukiran pada kayu yang cantik juga menjadi isu terkini dimana dilaporkan koloni tersebut tidak mempunyai ratu (queen). 


Ancaman perosak lain seperti katak, semut, beruang madu, babi hutan dan monyet mungkin merosakkan sarang kelulut batang kayu yang diletakkan dalam kebun. Sarang kelulut batang kayu amat disukai oleh semut hitam, kerengga atau semut api yang menganggu koloni menyebabkan kelulut akan 'lari'. Ini akan menyebabkan koloni akan lari apabila tidak dapat bertahan lagi dengan serangan tersebut. Penulis pernah melawat di Pusat Pertanian di Pulau Pinang dimana daripada 10 koloni yang diletakkan hanya tinggal 3 koloni yang tinggal selepas 2 bulan akibat gangguan kerengga. Anda boleh baca artikel mengenai kerengga (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Dalam kes lain ancaman beruang madu dan monyet serta babi hutan mengamcam penternakan kelulut. Kes serangan beruang madu di Hutan kemansul, Temerloh, Pahang pada awal Januari 2015 menyebabkan semua haif lebah dan sarang kelulut musnah dalam sekelip mata (Sila lihat foto disebelah). Usahawan muda yang bersemangat telah 'patah semangat' apabila beruang madu datang memusnahkan pelaburannya dalam sekelip mata sahaja. Babi Hutan juga haiwan yang suka menyodok tanah disekitar koloni kelulut untuk mencari makanan seperti cacing dan semut. Ia boleh merosakkan sarang kelulut. MILOS dipercayai mampu mengatasi sebahagian masaalah ini.


Kejadian banjir besar awal tahun 2015 menyebabkan banyak koloni kelulut yang tenggelam dalam air banjir terutama dikawasan tebingan Sungai Kelantan. Banjir menyebabkan kerosakan serius dimana sarang kayu yang tenggelam pastinya memusnahkan semua isi kandungan didalamnya jika tidak dipindahkan dengan segera (Sila lihat foto disebelah). Penulis mendapat aduan dan rintihan dari beberapa orang pengusaha kelulut di Kelantan dan Pahang mengenai kejadian ini. Ancaman ini perlu diatasi dengan mengalihkah sarang kelulut sebelum berlakunya banjir tetapi siapa sangka yang tempat perpindahan kelulut baru juga tenggelam kerana terlalu besar banjir berlaku?. Kini dengan adanya alat MILOS ini dipercayai dapat membantu mengatasi masaalah ini. Pengutipan madu kelulut berkualiti dapat dijalankan jika ada sistem penternakan yang selesa, sumber makanan mencukupi, keselamatan yang terjamin dan juga kemahiran pengendali. Aktiviti pemprosesan madu dengan teknik dan alatan baik juga menentukan kualiti madu kelulut. 


MILOS ini dipercayai mampu membantu mengatasi permasaalahan yang penulis nyatakan diatas. Alat ini telah direkecipta dengan baik dimana ia mudah dipasang, tahan lama, mudah dipindahkan dan ada jaminan asas disegi keselamatan. Menurut penciptanya, alat ini boleh dibeli dengan anggaran harga RM550 satu set yang boleh menempatkan 5 buah haif dan dikunci dengan rapi. Pada penulis berfikir pelaburan ini amat sesuai dimana kos untuk membeli satu koloni sahaja sudah hampir RM1,000 atau paling murah pun sekitar RM600 (bergantung kepada jenis sarang atau haif serta jarak penghantaran). Ini bermakna jika ada 5 koloni kelulut pada set MILOS harga komoditi tersebut sudah mencecah lebih daripada RM5,000. Apa salahnya melabur sebanyak RM550 lagi untuk kawalan keselamatan koloni kelulut. Mereka yang berminat untuk menternak kelulut dikawasan rumah sendiri atau dikebun dusun amat sesuai mempunyai set ini dan dia akan senang hati untuk bercuti makan angin kemana-mana dengan meninggalkan koloni kelulut dikawal oleh MILOS. Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan MUSTAFA HAIF dan MILOS ini boleh berhubung dengan penciptanya Dr. Zulkifli dialamat honeygoldlab@yahoo.com. Semuga industri untuk pengeluaran madu tempatan berkualiti akan terus maju dimasa akan datang. Wasallam!.

TERNAK KELULUT... TAHU CARANYA...
TEKNOLOGI BARU... 'MILOS' NAMANYA...
DICIPTA SAINTIS... EFEKTIF HASILNYA...
SUDAH BERKENAN... KONTEK SAHAJA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Lundang,
Kota Bharu, Kelantan,
Malaysia.
(16 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...