Support My Blog

Monday, February 29, 2016

KELADI KEMAHANG - KENALI DIA

KELADI KEMAHANG (Colocasia esculenta) merupakan sejenis tumbuhan dari jenis keladi daripada keluarga Araceae yang lazimnya tumbuh liar dikawasan agak lembap dan subur. Tumbuhan ini mempunyai struktur hampir menyerupai dengan jenis keladi biasa seperti keladi minyak, keladi cina, Keladi gajah, keladi putih yang mana bahagian umbisinya dijadikan bahan makanan sejak zaman dahulu. Cara pembiakan tumbuhan ini adalah melalui rizom atau sulur yang terdapat pada keladi matang. Keladi adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai jenis dan spesis serta mempunyai kesesuaian tumbuh dikawasan tanah gambut yang redup. Bagaimana pun Keladi Kemahang mempunyai beberapa keistimewaannya yang tersendiri dimaka batangnya tidak mempunyai sejenis cairan lendir yang menyebabkan ia memberikan kesan rasa gatal jika dimakan. Selain daripada tumbuh liar, kini keladi kemahang telah ditanam dikawasan keliling rumah dikampong-kampong terutama di Pahang dan Perak untuk dikutip hasilnya bagi tujuan kegunaan sendiri malahan ada yang menanam untuk tujuan jualan. Penulis kali pertama melihat tumbuhan ini ketika melawat kawasan kampong di Kampong Kemahang, Kuala Lipis, Pahang iaitu sebuah kampong yang diberikan nama Kemahang kerana keujudan tumbuhan keladi ini. Walau Keladi Kemahang semakin kurang dikenali dikalangan generasi baru masa kini tetapi mereka yang sukakan makan masakan Keladi Kemahang MasakTempoyak pastinya akan mencari tanaman ini untuk disajikan bersama nasi putih. Artikel subuh ini saya menulis terus didalam "Anim Agro Technology" satu artikel berkaitan dengan Keladi Kemahang dan bagaimana ia dimanafaatkan sebagai sejenis makanan tradisional yang tidak sepatutnya dilupakan.


Pokok yang matang biasanya mempunyai umur sekitar satu tahun dengan mempunyai beberapa rumpun dan anak disekelilingnya. Bagaimana pun keladi ini sebaiknya ditanam dikawasan tanah sesuai dengan meletakkan benih kelaid dalam lubang sedalam 3- 4 inci dalam tanah dalam lubang disediakan sama seperti menanam keladi lain. Jarak tanaman yang sesuai adalah 1m x 1m bergantung kepada jenis tanah dan kedudukan kebun. Bagaimana pun penulis dapati agak jarang keladi kemahang ini ditanam secara sitematik seperti tanaman keladi Cina atau Keladi Minyak yang ditanam untuk tujuan mengambil umbisinya. Keladi Kemahang ditanam kebanyakannya hanya untuk diambil batangnya sahaja (Sila lihat foto disebelah). Sebaiknya ia ditanam dikawasan yang mendapat cahaya matahari banyak. Amalan agronomi sama seperti menanam keladi minyak dimana ia perlu diberikan baja asas, kawalan rumpai dan perosak sehingga matang dan sedia untuk dituai. Kawalan rumpai dikawasan tanaman keladi perlu dijalankan dari peringkat awal penanaman sehingga sedia untuk dituai. Perlu diingat semasa tanaman keladi membesar,rumput rampai dan anak-anak keladi juga turut membiak dan membesar. Kerja-kerja mencabut dan membuang sulur atau anak-anak keladi perlu dijalankan secara manual setiap masa. Rumpai yang tidak dikawal akan menyebabkan keladi kemahang yang ditanam akan lambat membesar dengan baik dan sempurna. Kerja-kerja seperti membersih anak-anak keladi dan rumput rampai perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali supaya tumbesarannya baik. Penggunaan racun rumpai tidak disyorkan dikebun keladi. Tanamam keladi yang subur dapat dilihat apabila bentuk daunnya lebar, tebal dan berwarna hijau pekat. Keladi Kemahang yang matang sesuai dicabut dan diambil bahagian batangnya untuk dijadikan ulam atau dimasak menjadi gulai kemahang.


Gulai Keladi Kemahang merupakan sejenis makanan tradisional yang hanya popular sehingga kini dibeberapa lokasi di negara kita seperti di Pahang dan Perak. Saya sebagai anak Johor memang agak jarang berjumpa dengan gulai keladi kemahang tetapi biasa dengan gulai keladi biasa. Gulai Keladi Kemahang akan menggunakan batang dari keladi ini sebagai bahan utama. Bagaimana pun dikatakan keladi kemahang adalah sejenis pokok keladi liar yang gatal apabila dimakan jika tidak diproses dengan sempurna. Lazimnya bahagian batang atau tangkai daun keladi perlu dibuang kulit luar dahulu sebelum dipotong sepanjang lebih kurang tiga inci menggunakan pisau tajam. Kerja memungut batang keladi kemahang yang lembut ini perlu dilakukan dengan memilih batang keladi yang telah matang dan segar. Sebagai petua, sebaiknya bagi mengurangkan rasa gatal dinasihatkan agar batang keladi kemahang terlebih dahulu direbus dan kemudian ditoskan airnya. Cara lain yang boleh diamalkan untuk menghilangkan kegatalan adalah dengan merendam dengan air bergaram sebelum dimasak. Dalam beberapa tinjauan dikatakan ada petua ketika mengambil batang keladi ini dikebun. Sebaiknya semasa mengambil batang keladi kemahang ia perlu terus dicabut daripada perdunya dan tidak boleh bertindih bayang yang mengambil kerana ia akan menjadi gatal. Selain itu sebaiknya cuba mengelakkan mengambil kemahang yang berbunga kerana kebiasannya gatal.  


Menyediakan gulai keladi kemahang masak tempoyak amat mudah bagi mereka yang suka memasaknya dan ada bahan mencukupi. Bahan diperlukan adalah batang keladi kemahang yang telah disiat kulitnya telah dipotong pendek.  Bahan lain adalah sebanyak 3-4 sudu tempoyak yang sebaiknya pekat (elakkan guna tempoyak yang cair). Bahan lain adalah 10 biji cili padi dan 1 inci kunyit hidup serta seikat daun kesum dan juga bunga kantan. Bahan lain memasak resepi ini adalah garam, gula dan bahan perasa lain secukup rasa. Proses memasak dimulakan dengan menumbuk lumat bahan cili padi, kunyit dan bahan lain. Masukkan ramuan tersebut bersama batang keladi kemahang dan tempoyak didalam kuali atau periuk yang mengandungi air panas dan dimasak dengan api sederhana serta ditutp sehingga ampuh. Sebagai petua sebaiknya jangan dikacau kerana ia merosakkan batang keladi. Apabila hampir masak masukan bahan perasa seperti garam, gula, asam keping dan sebagainya dan tutup api. Boleh juga ditambah dengan bahan seperti terung, jering, keledek, daging ayam dan sebagainya mengikut suka semasa memasak. Sebagai petua untuk mengelakkan rasa gatal ada juga yang memasukkan setengah sudu minyak masak kedalam periuk semasa memasak. Hidangan ini sesuai dimakan dengan nasi putih dan makan beramai-ramai bersama keluarga atau rakan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepad anda semua. Wasallam!... 
Suhaimi mengutip Keladi Kemahang di Kg Kemahang, Jerantut.
KELADI KEMAHANG...APA DIA...
NEGERI PAHANG... ADA PULA...
MASAK TEMPOYAK...ENAKNYA...
BACA ARTIKEL.. IA BERMAKNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang Permai, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(23 Jamadilawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...