KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, February 25, 2016

TANAM CILI API (Part 3)

CILI API atau CILI PADI atau CABE RAWIT (Capsicum frutescens) merupakan tanaman yang penting di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia dan Thailand. Tumbuhan ini dari keluarga Solanaceae yang dipercayai natif dari benua Amerika Selatan sebenarnya mudah dijumpai hidup liar dikawasan belukar dinegara kita. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan beriklim tropika terutama disekitar khatulistiwa. Tanaman ini paling sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dengan ketinggian sekitar 0 - 500 meter dari paras laut. Bagaimana pun banyak dilaporkan cili api ini boleh tumbuh denga baik sehingga ketinggian 1,000 meter. Apa pun semakin tinggi ia ditanam dari paras laut maka hasilnya akan terus berkurangan. Dari laporan yang dikaji, penanaman cili padi dikawasan tanah dataran tanah tinggi selalunya jangkamasa hayat pokok adalah lebih lama dan selalunya cili ini mempunyai biji lebih banyak tetapi bijinya ringan. Bagaimana pun jika diukur beratnya ia adalah ringan berbanding dengan cili api yang ditanam dikawasan tanah rendah kerana ia kurang padat. Sehingga kini belum banyak cili padi yang telah didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman, cara amalan aagronomi dan prestasi setiap jenis tanaman cili ini adalah berbeza-beza mengikut varieti, jenis tanah, iklim, tujuan penanaman dan sebagainya. Terdapat dua perkara atau isu diantara penanaman Cili Besar dengan Cili Padi daripada segi pengurusan dan pulangan yang bakal diterima. Ada yang kata menanam cili api lebih mudah daripada menanam cili besar tetapi dari perpesktif lain menyatakan sebaliknya. Ini kerana penulis mendapati cili api yang ditanam secara komersil monokrop mudah diserang penyakit terutama Kerinting Daun dan Layu Bakteria berbanding dengan Cili Besar menggunakan teknologi yang sama. Cili Api atau Cabai Burung yang hidup liar diberakkan oleh burung bagaimana pun lazimnya hidup lebih lama. Artikel malam Sabtu ini sambil menonton Konsert Aktif 5 di TV2 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa panduan teknikal menanam cili padi atau cabe rawit untuk dijadikan panduan pembaca semua. 


Menanam cili padi sama seperti cili besar memerlukan penjagaan dengan baik terutama kawalan penyakit dan pembajaan. Baja perlu diberikan sebulan selepas ditanam dan pembajaan susulan mestti dilakukan setiap kali menuai hasil. Pemberian baja selalu dengan kadar sedikit-sedikit adalah lebih baik. Gunakan baja jenis baja organik cair yang dibuat sendiri atau pun yang dijual komersil dipasaran. Ini akan mengelakan sebarang kejadian kontaminasi penyakit jika menggunakan baja tahi ayam segar atau tahi ayam proses. Baja organik cecair yang diberikan dengan kadar 100 ml untuk setiap pokok sesuai diberian mengikut jadual. Kadar baja kompos sebanyak 500-700 gram sepokok dan boleh juga ditambah baja urea dan NPK sebagai baja tambahan. Ada pendapat jika gunakan baja kimia sahaja maka pokok mudah diserang penyakit terutama layu bakteria dan serangan kerinting daun. Pastikan kawalan rumpai dijalankan dengan baik setiap masa penanaman cili padi. Ada sesetengah jenis rumpai yang menjadi 'alternate host' atau perumah sementara bagi sesetengah patogen dan perosak tanaman cili yang mesti dihapuskan. 


Dalam beberapa artikel ada dinyatakan yang tanaman cili api atau cabe rawit sebenarnya agak tahan terhadap serangan serangga perosak. Namun ini bukan bermakna cili api adalah kebal sama sekali. Perosak yang menyerang cili besar boleh juga menyerang tanaman cili api dengan mudah. Serangga tersebut adalah Aphid, Lalat buah, pianggang (kepik) dan sebagainya. Serangga ini jika menyerang cili api akan menyebabkan pokok rosak dan mengurangkan hasil. Antara jenis penyakit yang biasa menyerang tanaman cili padi adalah bantut, keriting daun dan busuk buah. Penyakit ini selalunya akan menyerang pada musim hujan iaitu pada curahan hujan tinggi.  Penulis yang membuat tinjauan dibeberapa lokasi mendapati cili api atau cabe rawit sudah mulai berbuah dan boleh dituai hasilnya setelah berumur 2.5 - 3.0 bulan selepas menanam. Dalam keadaan penanaman secara komersil jangkamasa menuai selalunya selama 6 bulan bahkan lebih jika pokok dijaga dengan baik. Banyak laporan menyatakan cili api ini boleh mencapai umur sehingga dua tahun lamanya (24 bulan). Jumlah kekerapan memetik hasil yang boleh dilakukan untuk jangkamasa ini sebanyak 15-18 kali. Apa pun seperti manusia juga, semakin tua umur tanaman maka tahap produktivitinya semakin rendah sehingga akan tidak ekonomik lagi untuk dijaga. Dalam amalan penanaman cili api secara intensif, biasanya tanaman cili ini dijaga sehingga berumur 12 bulan. Penjagaan yang baik mampu memberikan hasil cili sehingga maksima 30 tan/ha. Menuai cili padi ini sebaiknya dilakukan pada waktu pagi. Caranya dengan memetik buah beserta tangkainya. Buah cili api yang matang lazimnya adalah berbentuk ramping dan padat berisi. Bentuk buah seperti ini biasanya rasanya pedas dan dijual dengan harga lebih tinggi di pasar dibanding buah yang besar namun isinya kosong (kopong). Harga cili api tempatan dipasaran diantara RM 8.00 - RM16.00 sekilogram. Bagaimana pun kos memetik cili api juga makah diantara RM1.50 - RM3.00 dengan purata sekitar RM2.00 sekilogram untuk upah. Semuga anda mendapat menafaat berguna dengan artikel dari Part 1, Part 2 dan Part 3 ini untuk dijadikan bahan rujukkan. Wasallam!.
MENANAM CILI .... CILI PADI...
CILI BURUNG...JUGA CILI API...
BENIH DISEDIA...BUAT SENDIRI... 
BIJI DIPILIH... DAN IA DISEMAI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Taman Desaminium, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
(21 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...