KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, February 10, 2016

PADI SIRAJ MR297 - VARIETI BARU

Padi MARDI Siraj 297 adalah varieti terbaharu MARDI yang berpotensi dan mampu memberikan hasil tuaian yang baik. Kelebihan varieti padi ini adalah didakwa ia rintang kepada penyakit karah dan boleh menjadi salah satu alternatif kepada petani terutama di kawasan sawah yang selalu ada serangan penyakit karah yang serius. Potensi hasil varieti ini adalah setanding dengan varieti lain terkini dan mempunyai citarasa nasi yang sesuai kepada pengguna tempatan. Penulis merujuk lamanweb MARDI dan risalah yang telah dikeluarkan semasa Majlis Pengisytiharan Padi MARDI Siraj 297 di Kangar, Perlis pada 4 Febuari 2016. Pengistiharan ini telah menjadikan terdapat lebih daripada 35 varieti padi yang telah diistiharkan semenjak lama dahulu untuk ditanam oleh pesawah di Malaysia. Anda boleh membaca varieti padi yang telah diisytiharkan di Malaysia tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Padi Malinja merupakan varieti yang pertama sekali diisytiharkan di Malaysia iaitu pada tahun 1964 diikuti dengan Padi Mahsuri (1965) dan Padi Ria (1966). Tanaman padi di Malaysia merupakan komoditi penting yang mesti diteruskan penanamannya untuk mempastikan bekalan makanan ruji utama sentiasa ada untuk kedaulatan makanan negara. Seluas lebih daripada 600,000 hektar kawasan padi sawah menghasilkan sebanyak 70% keperluan beras di Malaysia (Sumber: Laporan ststistik tanaman Jabatan Pertanian Malaysia). Keperluan beras negara direkodkan pada tahun 2012 adalah sebanyak 700.7 mt yang mana sekitar 30% adalah diimpot daripada negara jiran. Tanaman padi merupakan tanaman yang paling banyak menerima kemudahan subsidi daripada kerajaan untuk mempastikan ia masih terus diusahakan demi keselamatan makanan negara. Kepentingan tanaman padi memang tidak boleh dinafikan kerana jika tidak ada beras maka negara akan mengalami masaalah kekurangan bahan makanan asasi. Penelitian penulis dari beberapa laporan mendapati kadar perkapita pengambilan beras negara adalah sebanyak 85 kg seorang setahun (2006) dan dijangka akan meningkat kepada 100 kg seorang setahun pada tahun 2013. Artikel malam ini saya menulis dalam blog popular "Anim Agro Technology" mengenai pengisytiharan padi Siraj 297 sebagai satu lagi kejayaan penyelidikan dan pembiakbakaan padi di Malaysia. 

Pembangunan dan pengenalan beberapa varieti baharu berhasil tinggi iaitu MR253, MR263 dan MR269 telah meningkatkan hasil dan mengurangkan serangan penyakit. Ketua Pengarah MARDI menyatakan antara varieti-varieti ini diperkenalkan berikutan penurunan kerintangan padi seperti varieti MR219 terhadap penyakit karah (Sila lihat foto disebelah). Menurutnya varieti terbaharu iaitu varieti MARDI 284 yang telah diisytihar pada 17 Ogos 2015 juga salah satu varieti berhasil tinggi yang bertujuan untuk mempelbagaikan genetik dan pilihan kepada varieti sedia ada. Kini satu lagi varieti baru padi telah diisytiharkan di Perlis baru-baru ini dinamakan sebagai 297. Keistimewaan Padi MARDI Siraj 297 ialah rintang kepada penyakit karah daun, karah tangkai dan penyakit merah virus. Ia juga sederhana rintang kepada perosak benah perang. Padi MARDI Siraj 297 telah diuji di beberapa kawasan di jelapang padi utama. Hasil tertinggi varieti Padi MARDI Siraj 297 adalah di Sanglang, Perlis iaitu sebanyak 8,495 kg/ha berbanding padi varieti MR263 iaitu sekitar 8,092 kg/ha. Ia juga mencatatkan hasil padi yang baik di Guar Chempedak, Permatang Bendahari dan juga Kampung Gelam di Kedah. Potensi hasil yang baik dan stabil adalah faktor utama varieti ini telah dipilih untuk dimajukan ke peringkat penentusahan setempat. Majlis Pengisytiharan Padi MARDI Siraj 297 ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Raja Perlis pada hari ini, 2 Februari 2016. 

Dalam laporan akhbar-akhbar utama mengenai pengistiharan ini dengan tajuk berita 'Siraj 297 tingkat hasil padi dua kali ganda' memberikan pendedahan kepada umum mengenai padi ini. Raja Perlis telah menyempurnakan perasmian Majlis Pengisytiharan Padi MARDI Siraj 297 bertempat di Kangar, Perlis. Turut serta Tuanku Syed Faizuddin, Menteri Besar YAB Azlan Man, KP MARDI Sharif Haron dan para jemputan khas. Varieti padi ini telah dinamakan Padi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Siraj 297 dilancarkan hari ini yang dijangka mampu untuk mengatasi masalah penyakit karah dan ini sete­rusnya akan meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga hampir dua kali ganda iaitu 8.6 metrik tan/hektar. Padi ini juga berpotensi berbanding varieti sebelum ini iaitu MR263. Laporan CCS Jabatan Pertanian mendapati pengeluaran padi sawah di seluruh negara secara purata hanya mampu menghasilkan 4.8 metrik tan/hektar manakala di negeri Perlis pula dilaporkan capai sekitar 5.6 metrik tan/hektar. Keputusan kajian awal itu diperoleh hasil beberapa siri ujian penanaman varieti di beberapa kawasan jelapang padi iaitu di Kedah, Perak, Selangor dan Perlis bermula dari tahun 2013. Pelancaran Padi MARDI Siraj 297 itu disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang turut berkenan agar varieti benih tersebut menggunakan nama baginda. Tuanku Syed Sirajuddin mengucapkan penghargaan kepada MARDI kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan benih-benih padi berkualiti sejak penubuhannya. MARDI kerana banyak membantu petani di Perlis meningkatkan hasil pengeluaran tanaman padi, selain mempelam harumanis.

Sementara itu dalam ucapannya, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif menyatakan pihaknya yakin penggunaan varieti Padi MARDI Siraj 297 dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi negara yang sekali gus mencapai sasaran tahap sara diri tanaman itu. Katanya bukan sahaja mempunyai ciri-ciri beras yang baik seperti lebih berat dan panjang, varieti ini juga tahan penyakit karah yang banyak dialami oleh para petani di seluruh negara. Masa ini negara terpaksa mengimport sebanyak kira-kira 25 peratus beras dari negara jiran kerana pengeluaran masih tidak mencukupi. Tambahnya mengenai isu bekalan benih varieti itu dijangka berada di pasaran menjelang 2017. Adalah difahamkan, sekiranya kesemua 296,000 petani dengan kawasan penanaman padi seluas 350,000 hektar di seluruh negara dapat menghasilkan sekurang-kurangnya enam metrik tan/hektar, negara mampu memenuhi tahap sara diri untuk tanaman berkenaan. Pada penulis dengan pengisytiharan padi baru ini akan menjadikan negara mempunyai potensi untuk meningkatkan pengeluaran beras yang mana ia sejajar dengan meningkatnya jumlah pertambahan keperluan penduduk. Bagi saya bekalan benih padi Varieti Siraj 297 ini mesti dipastikan ketulinannya dan kecukupannya jangan jadi semacam varieti Padi Aerob dahulu yang pesawah amat sukar dan menunggu beberapa tahun untuk mendapatkan benihnya. Itu pun belum ada bukti kejayaan yang ditunjukkan terhadap penanaman Padi Aerob yang telah diwar-warkan dahulu. Wasallam!.
PADI SIRAJ... IA VARIETI BARU...
NOMBOR 297...JANGAN KELIRU...
HASIL TINGGI...8.6 MT/HA TAHU...
MENUNGGU BENIH...BILAKAH ITU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sawah Pahang Tua,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(30 RabiulAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...