Support My Blog

Sunday, February 28, 2016

DAUN PUDINA - MUDAH TANAM

DAUN PUDINA (Mentha piperita) atau dalam bahasa Inggeris disebut 'Mentha' sahaja merupakan sejenis tumbuhan herba yang banyak kegunaannya. Ia merupakan sejenis herba yang berasal dari keluarga Labiatae dan ia tergolong dalam spesies mentha. Terdapat berbagai jenis pudina di seluruh dunia diantaranya dikenali sebagai Jenis Mentha spicata morocan yang berkesan dalam meredakan untuk kekejangan otot.  Jenis Mentha aquatica untuk kita merawat cirit-birit dan juga Jenis Mentha arvensis yang boleh melegakan demam selsema dan menghilangkan rasa loya. Sebenarnya daun pudina bertindak sebagai perangsang dan membantu penghadaman serta mengurangkan flatulens. Bahan yang terkandung didalamnya juga bersifat antiseptik, antiparasit dan antivirus. Pemakanan daun pudina didpati boleh merangsangkan tubuh badan untuk fungsi dalam mengeluarkan peluh. Kita selalu membeli daun pudina dengan jumlah yang sedikit dipasar atau pasaraya untuk kegunaan didalam rumahtangga sahaja. Jarang-jarang ada orang yang suka menanam daun pudina sendiri dirumah walau pun sebenarnya ia satu aktiviti yang mudah dilakukan sendiri. Ia juga agak jarang dipromosikan dalam program 'Buku Hijau' yang dilancarkan oleh mantan PM dahulu sebagai tanaman penting. Daun pudina memang banyak gunanya dan sebaiknya ia perlu difahami akan khasiatnya dahulu sebelum timbul minat untuk menanam. Tanaman ini juga sesuai untuk ditanam dalam kawasan rumah sebagai satu aktiviti yang memberikan keseronokkan mereka yang minat dalam hobi ini. Artikel malam Ahad ini sambil saya tekun menonton perlawanan Bolasepak Liga Super antara JDAT dengan Terengganu saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai menanam daun pudina dan khasiat daun pudina untuk tatapan semua.

Daun pudina juga digunakan untuk membuat ubat sapu untuk merawat selsema, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit-sakit badan. Minyak yang diperbuat daripada daun pudina boleh menghilangkan rasa loya serta kejutan dan mempertingkatkan konsentrasi. Lazimnya ramai tahu dimana daun pudina bertindak sebagai perangsang dan membantu penghadaman kepada mereka yang mengalami masaalah tersebut. Jika ada diantara pembaca blog ini minat menanam pudina maka ia boleh dilakukan keliling rumah sama ada diatas tanah terus atau pun didalam bekas lain seperti pasu atau bekas terpakai. Penanaman diatas tanah sebaiknya dilakukan diatas batas kerana tanaman pudina tidak boleh terendam. Selalunya pilih tanah campuran atau tanah jenis subur kerana tanah yang berbeza mempunyai keperluan penyiraman air yang juga berbeza. Buat campuran tanah atau beli yang siap bancuh kerana jenis tanah baik boleh membantu saliran. Tanah yang berbutir cepat menyerap air dan nutrient jika mengandungi tanah kompos. Sebaiknya gunakan 2cm hingga 4cm lapisan lindungan atau sungkupan dengan serat seperti daun kering serat tumbuhan, rumput kering di atas kawasan akar. Ini mengurangkan kehilangan air dari tanah. Jika jenis tanah adalah tanah liat sebaiknya tambahkan kompos atau gambut kepada tanah ini dan kacau hingga sebati, Cara ini dapat membantu pengudaraan tanah kerana lazimnya ia lambat menyerap ai dan hanya boleh menyiram mengikut kadar serapan air. Jika ia jenis tanah pasir disyorkan agar diatmbahkan bahan organik kepada tanah ini. Ini untuk mengelak air mengalir dengan cepat dalam tanah pasir. Kandungan bahan organik dapat membantu tumbuhan menyerap air. Sementara jika ia dari tanah gambut tidak menjadi masaalah serius.

Penyediaan semaian pudina dibuat dengan menaburkan biji benih dengan campuran pasir halus (1:1). Tabur selapis pasir halus bagi menutup biji benih dan letakkan sungkupan dari rumput keatas batas. Siram batas setiap hari. Anak benih kelihatan tumbuh selepas 3-4 minggu. Penanam Anak benih yang sihat ditanam dalam dua baris sebatas. Jarak tanaman disyorkan ialah 60 cm antara pokok dan 60 cm antara barisan. Lakukan penyiraman mengikut kesesuaian dan cuaca. Seterusnya adalah aktiviti pembajaan dimana penggunaan baja organik adalah perlu untuk kesuburan tanah. Baja perlu dibubuh di sekeliling pokok dan digaul kedalam tanah. Baja organik boleh digantikan dengan baja kompos iaitu campuran bahan-bahan buangan atau sisa pertanian yang mereput serta terurai melalui proses penguraian bakteria yang seterusnya menjadi baja semula jadi yang baik. Pembuatan baja kompos selalunya amat menjimatkan jika berbanding dengan baja organik. Kaedah membuat baja kompos adalah dengan kita memasukkan bahan pertama iaitu sisa makanan yang juga berupa sisa sayuran ke dalam acuan. Masukkan 1% najis ternakan dan disiram dengan air, kemudian tutup dengan lapisan rumput ataupun daun-daun kering. Amat perlu memampatkan lapisan ini dengan menggunakan cangkul dan siramkan air sekali lagi. Ulang langkah sehingga acuan penuh (sehingga 2 atau 3 kaki). Jangan lupa juga untuk melindungi campuran daripada terdedah, gunakan bekas-bekas atau pembalut yang sesuai dengan saiz kompos yang di buat. Terbalikkan adunan setiap dua minggu selepas sebulan adunan tadi disimpan. Baja kompos akan terhasil selepas 3 - 4 bulan. Lapisan kompos yang mengecil menunjukkan bahawa baja kompos itu sedang mengalami penguraian bakteria dan membuktikan baja kompos anda akan terhasil. Lapisan tadi jika digaul dengan turutan yang betul akhirnya akan dapat membentuk baja kompos yang berwarna kehitaman dan bolehlah mencampurkannya dengan tanah lain untuk tujuan tanaman atau pembajaan.

Penyiraman batas pudina dilakukan dengan menyiram 2 kali sehari. Pada peringkat awal pertumbuhan, air banyak diperlukan untuk tumbesaran. Lazimnya selepas 2-3 minggu maka menyiram sekali sehari adalah mencukupi. Penuaian daun pudina boleh dilakukan sebulan selepas menanam bergantung kepada pengurusan. Memetik daun pudina dengan potong gunakan tangan atau pisau dan kumpulkan dalam bekas kemudian dibasuh bersih. Daun pudina akan segar dalam satu hari sahaja tanpa disimpan dalam bilik sejuk. Ia lazimnya digunakan sebagai daun segar untuk mendapatkan aroma dan khasiatnya. Dalam amalan biasa daun pudina juga digunakan untuk membuat ubat sapu untuk merawat selsema, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit-sakit badan. Kepada usahawan yang rajin, ia boleh juga menghasilkan minyak yang diperbuat daripada daun pudina. Minyak ini didakwa memang boleh menghilangkan rasa loya serta kejutan dan mempertingkatkan konsestrasi. Dalam dunia kosmetik, kegunaan daun pudina dikatakan dapat mengekalkan akan kecantikkan kulit, meredakan sakit tekak, boleh dijadikan ulam, meredakan batuk, demam, selsema, mengurankan tekanan dan boleh dijadikan minuman teh. Berapa ramai diantara kita yang ada menanam daun pudina sendiri disekelilin rumah dalam pasu. Semuga artikel ini dapat memberikan info berguna kepada anda. Wasallam!.
TANANAM HERBA....DAUN PUDINA...
BENIH KERATAN... DISEDIA MEDIA...
LEPAS SEBULAN... TUAIAN DIMULA...
MENJADI HOBI... SIAPA YANG SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 165, Lexis Water Chalet,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(21 JamadilAwal 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...