Support My Blog

Wednesday, February 3, 2016

TEKNOLOGI TANAM TEH ORGANIK

TANAMAN TEH ORGANIK (Organic Tea) memerlukan satu amalan agronomi yang berbeza dengan cara tanaman teh konvensional (tidak organik). Pokok Teh (Camelia sinensis) atau Camelia assamese merupakan dua varieti tanaman teh yang akan diambil daun dan batang muda dibahagian pucuk untuk dijadikan produk teh. Minuman teh telah pun diketahui sebagai sejenis perisa minuman telah diambil oleh manusia semenjak beribu tahun dahulu sebagai minuman untuk menghilangkan haus dan dahaga serta memberikan nilai perubatan tersendiri. Minuman teh diambil oleh berjuta manusia setiap hari diseluruh dunia iaitu selain daripada perasa minuman seperti produk kopi, susu dan jus buah-buahan. Rujukan dari FAO Statistic 2014 ada maklumat mengenai pengeluaran daun teh untuk digunakan atau diminum oleh berbillion manusia yang suka minum air rendaman daun teh dangan jumlah pengeluaran dunia sebanyak 4.52 juta metrik tan setahun. Negara China merupakan pengeluar utama teh dunia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.64 juta mt setahun diikuti dengan India (1.06 juta mt setahun), Kenya (0.38 juta mt setahun), Sri Lanka (0.33 juta mt setahun) dan Turki (0.22 juta mt setahun). Negara lain yang tersenarai 'top 5' dalam senarai pengeluar teh utama dunia seperti Vietnam, Indonesia, Argentina, Iran dan Jepun. Pokok teh dipercayai berasal dari kawasan hutan hujan tropika di Delta Sungai Irrawady sebelum di sebarkan ke kawasan Selatan Barat China dan kawasan lain di Asia Tenggara dan kini luas ditanam di kawasan tanah tinggi di kawasan tropika merupakan lokasi atau kawasan penanaman teh popular. Industri tanaman teh dahulu di pelopori oleh penjajah kolonial British dan Belanda pada masa dulu lagi terutama dikawasan tanah jajahan mereka. Orang British merupakan pengguna teh yang tegar pada kurun ke 19 dengan mereka membuka ladang-ladang teh di banyak kawasan tanah jajahannya termasuk di Malaysia, Sri Lanka, Indonesia dan banyak lagi. Permintaan daun teh organik diseluruh dunia semakin meningkat dengan mendadak akibat kesedaran umum mengenai khasiat dan kebaikannya. Artikel kali ini saya terus menulis tanpa jemu dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dalam penanaman teh secara organik daripada lawatan saya ke ladang teh organik Nature's Farm di Chiang Rai, Thailand untuk dikongsi dengan pembaca. Lawatan penulis ke beberapa buah ladang teh organik disekitar tanah tinggi Doi Cha'ang dan Chiang Rai memberikan pendedahan amat baik sempena hadir mesyuarat anjuran NFPWG Asean yang mana penulis terlibat bersama.


Tumbuhan teh ini kurang berprestasi jika di tanam di kawasan tanah rendah iaitu ditanah kawasan tropika berbanding jika di tanam di tanah tinggi dari segi cara pertumbuhan, kualiti daun dan juga penghasilan pucuk daun teh baru. Teh sesuai di tanam di tanah subur dengan pH 6, lembab, sejuk dan juga menerima hujan melebihi 1,500 mm setahun dan musim kering lingkungan 50 mm setahun. Suhu antara 13-30 celsius sangat sesuai untuk pertumbuhan teh yang hanya terdapat dikawasan tanah tinggi kawasan tropika. Di Malaysia pada pemerhatian penulis penanaman teh di Cameroon Highland dan di Kundasang, Sabah masih menjadi satu perusahaan penting dan juga menjadi tarikan pelancong. Kunjungan penulis ke Chiang Rai iaitu kawasan paling utara di negara Tahailand pada Ogos 2015 juga telah memberikan satu pengalaman baru dan belajar bagaimana cara penanaman teh secara organik dijalankan secara meluas dan mendapat pengiktirafan dunia sebagai 'Teh Organik'. Beberapa petani disana kini berjaya untuk mereka mengamalkan perladangan organik dimana asasnya telah mendapat bimbingan Jabatan Pertanian Thailand dan pengiktirafan asas organik daripada badan organik lain peringkat global (Ada sebanyak 5-9 persijilan organik antarabangsa). Beberapa pengamalan agronomi dijalankan mengikut SOP perladangan organik walau pun ia agak sukar dilakukan pada peringkat permulaan mereka melakukannya. Memang mereka kurang percaya pada awal dulu bahawa teknologi penanaman teh organik sebenarnya mampu diterima oleh pengguna diperingkat global dan domestik. Walau pun harga produk organik mereka agak tinggi sedikit daripada teh konvensional, tetapi dengan pengiktirafan persijilan global produk mereka diterima menyebabkan ia menjadi viable diusahakan.


Jenis pokok teh yang ditanam dipilih daripada Camelia sinensis No 12 dan ada sedikit Camelia sinensis No 17 yang memberikan hasil baik dan berkualiti. Penanaman teh ini lakukan dikawasan tanah rata dan beralun untuk mudah diselenggara. Benih Asas dipilih dari sumber betul ditanam dengan jarak 1m x 1m dimana jarak tersebut memberikan ruang sesuai untuk aktiviti amalan agronomi teknologi organik. Teknik Kawalan rumpai diladang teh organik tidak boleh menggunakan Bahan Racun Weedicide (racun rumpai). Mereka hanya menggunakan tajak dan cangkul untuk mengawal rumpai yang tumbuh diantara pokok teh. Teknik lain adalah dengan memasang atau rentangkan plastik silvershine hitam diantara tanaman agar rumput tidak tumbuh (Sila lihat foto disebelah). Plastik ini akan dialihkan kelorong sebelah untuk tujuan mengawal rumpai. Dicelah-celah tanaman pokok teh ini mereka akan menanam pokok jenis kekacang (seperti kacang tanah - Arachis hypogea) untuk memberikan baja Nitrojan (N) kepada tanah. Penggunaan Hasilan Kelapa (Cocos nucifera) dan Sekam Padi (Oryza sativa) sebagai baja dikawasan ladang teh organik ini dilakukan bagi tujuan untuk menambahkan unsur Posforan (P) dan unsur Kalium (K) kepada tanah. Hampas kacang soya (Glycine max) juga telah dibubuh untuk dijadikan baja organik. Saya dapati jenis baja organik lain seperti tahi ayam tidak pun digalakkan diguna diladang teh ini kerana dakwa mereka ianya akan membawa masaalah lain kepada isu kesuburan tanah dan hama perosak. Pokok teh memerlukan kawasan bercerun (Slope) agar saliran baik dan unsur baja dari bahagian atas cerun (daripada tanaman kacang tanah dan nutrien lain) akan mengalir dan turun kebahagian bawah tanaman teh yang kurang dibubuh baja tersebut (For me it was a very simple statement by farmers there as an agronomist). Itu sebab pemilihan tapak untuk ladang teh organik semuanya dari tanah mineral berceruan sekitar 3 - 7 darjah.


Kawalan musuh dan perosak pokok teh dilakukan dengan cara organik dan mereka mengharamkan penggunaan racun kimia dan memang ia tidak dibenarkan sama sekali. Bayangkan daun teh yang dipetik telah menggunakan racun kimia yang mana ia kemudian akan diproses dan terus jadi bahan diminum dan ia merbahaya. Penggunaan bahan kimia akan menjejaskan kualiti produk teh yang dihasilkan dimana tujuan asal untuk mendapatkan khasiat teh sebaliknya mengandungi racun dan bahan toksik. Daun teh segar akan dipetik setiap 45 hari pusingan sekali bagi setiap pokok atau setiap plot penuaian. Ini membolehkan dalam tempoh 45 hari pokok teh akan mampu menumbuhkan pucuk baru yang sesuai dipetik dan ia dikira mengikut piawaian (standard). Penggunaan pelekat kuning (Yellow sticker) merupakan satu cara memerangkap seranga perosak (walau predator pun kena juga) diamalkan diladang mereka. Penulis juga dimaklumkan tentang penggunaan lampu UV Light yang diletakkan dibeberapa lokasi strategik dalam ladang mereka. Kawalan dengan tanaman 'trap crop' dan beberapa spesis burung memainkan peranan dalam kawalan perosak dimana burung ini akan makan serangga. Beberapa spesis burung tempatan yang memakan serangga perosak di dapati membiak dengan baik dikebun teh organik selepas beberapa tahun ladang teh organik ini berlangsung. Walau pun proses untuk menjadikan ladang teh organik memerlukan masa lama dan perlukan tahap kesabaran tinggi, hasilnya akan dapat dilihat apabila produk akhir teh organik dihasilkan dan disahkan memang betul organik mengikut analisa makmal.  Diharap produk teh berasaskan ladang teh organik akan mendapat tempat dikalangan petani, pengusaha, pengilang dan paling penting adalah menerima kepercayaan kualiti oleh pengguna. Wasallam!...
LADANG TEH... ORGANIK CARANYA...
MEMANG SUKAR...PERINGKAT MULA...
SUDAH ESTABLISH... SOP DI UTAMA...
PRODUK ORGANIK.. DICARI PENGGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,

Chiang Rai Coffee and Tea Festival 2015,
Central Plaza, Chiang Rai,
Thailand.
(22 Ogos 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...