Support My Blog

Saturday, February 13, 2016

PENYEDUT MADU KELULUT 'ANNAHLI'

MADU KELULUT merupakan salah satu daripada beberapa produk ternakan Kelulut (Trigona spp) selain daripada hasil lain seperti propolis, debunga dan sebagainya. Terdapat banyak cara untuk mengutip madu kelulut daripada kantung-kantung kecil dalam kotak super atau lain-lain lokasi untuk penyimpanan madu. Pengambilan madu kelulut memerlukan tahap kemahiran tinggi jika menggunakan peralatan yang kurang sesuai. Dalam pada itu telah ujud beberapa inovasi untuk menyedut madu kelulut dilakukan oleh beberapa orang usahawan dan individu. Salah satu inovasi yang dilakukan adalah menggunakan ALAT PENYEDUT MADU 'ANNAHLI' yang dicipta oleh seorang usahawan muda daripada Negeri Terengganu. Usahawan Kelulut tersebut adalah Mohd Nur Hafiz daripada Terengganu. Walau pun penulis dapati hasil ciptaan beliau menggunakan bahan dengan kos murah tetapi amat efektif. Mengikut penerangan yang diberikan beliau semasa lawatan teknikal penulis ke Terengganu dinyatakan projek Inovasi Pam Penyedut ANNAHLI (ringkasnya PPA) telah diilhamkan ciptaanya pada awal tahun 2014. Nama Annahli adalah singkatan kepada nama penciptanya dan nama ibunya. Ianya mengambil beberapa model lain dan telahi dijalankan proses diujicuba sehingga berjaya membuat prototaip yang sesuai digunakan menjadi penyedut madu kelulut Annahli. Alat ini mudah untuk diguna oleh usahawan baru atau mereka yang mencapai tahap komersil bagi tujuan memudahkan kerja atau proses penyedutan madu kelulut yang diternak. Idea bagi rekaan PPA ini tercetus semasa kesulitan dikalangan pegawai pengembangan dan usahawan menjalankan latihan “hands-on” bagi menyedut madu terus dari sarang di tempat tiada sumber elektrik. Alat PPA ini mengandungi kotak yang direka khas menggunakan bahan yang ringan dan kukuh untuk memudahkan dibawa ke mana-mana sahaja. Ini merupakan satu inovasi dan produk ciptaan anak tempatan yang praktikal dan dipamerkan kepada ramai penternak kelulut di Terengganu. Inovasi ini diharap dapat membantu petani dan usahawan penternak kelulut untuk meningkatkan pendapatan melalui kecekapan menyedut madu yang dihasilkan. Artikel malam ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai hasil ciptaan anak tempatan mengenai Alat Penyedut Madu kelulut Annahli sebagai satu kejayaan dan boleh dibanggakan.


Tinjauan penulis mendapati objektif asal usahawan mencari alat baru bertujuan bagi menghasilkan inovasi berfaedah yang dapat meningkatkan produktiviti penghasilan madu, bersih dan selamat dimakan. Walau pun banyak sumber bahan komponen baru boleh digunakan dan dibeli, namun beliau lebih suka menggunakan dan mengitar semula bahan terpakai bertujuan bagi menjimatkan kos pengeluaran. Alatan dan bahan ini difabrikasi bagi tujuan memudahkan dan boleh mempercepat proses penyedutan madu kelulut bagi mengurangkan kos tenaga kerja dan tahap kecekapan yang tinggi. Berbanding dengan peralatan lain yang ada dipasaran atau dibuat sendiri oleh usahawan, alat PPA ini didapati mampu digunakan untuk bilangan koloni bayak sehingga 30 sarang sekali kutipan madu. Lazimnya cara penyedutan madu kelulut sebelum ada inovasi adalah dilakukan secara gunakan pam penyedut manual, sedutan terus dari sarang adalah proses yang menyulitkan dan lambat. Ada juga yang kreatif menggunakan jenis pam penyedut susu (breast pump) yang perlahan prosesnya dan membazirkan masa walau pun murah semasa dilaksanakan proses pengutipan madu.


KOMPONEN PPA
Berbincang mengenai alat PPA yang praktikal ini dimana menurut penciptanya terdapat tiga komponan utama PPA yang disesuaikan dengan fungsinya. Komponen tersebut adalah komponen Bateri Kereta, Pam Penyedut dan juga Botol Pengumpul Madu kelulut. Penulis dapati alat ini menggunakan bateri kereta terpakai tetapi masih berfungsi mengeluarkan caj eletrik 12 volt dan boleh di caj semula (Sebaiknya guna bateri kering). Berat bateri ini sekitar 5 kg dan ditutup dengan 'casing' logam untuk tujuan kemasan luaran dan mudah dibawa kemana-mana. Seterusnya adalah komponen iaitu Penyedut Hampa Gas Kereta (Car Vacuum pump) terpakai atau yang masih berfungsi baik untuk digunakan. Pam ini amat berkuasa untuk menghasilkan angin penyedutan yang kuat dan tahan lama. Komponen bagi mengumpulkan madu kelulut adalah jenis Botol madu bebas BPA yang sesuai untuk simpanan madu kelulut yang agak asidik. Botol ini disambungkan dengan alatan tiub penyambungan daripada pam dan juga muncung penyedut madu. Saya paparkan rajah mengenai komponen (Sila rujuk foto diatas). Penyedut Annahli ini kemudian dikemaskan dengan membina kotak pam daripada logam yang sesuai. Alat ini juga disesuaikan untuk ditarik dengan tangan pada 'handle' dan roda dibawahnya untuk dibawa kesetiap sarang kelulut. Ia juga dipasang dengan tali untuk dipikul seperti pam knapsack sprayer. 


Konsep pam penyedut madu kelulut ini diilhamkan untuk ia mudah dibawa kemana sahaja dan mampu menyedut madu dengan kapasiti lebih tinggi daripada jenis pam lain. Kotak PPA Madu Kelulut yang dipasang dengan kerangka beroda ini hanya seberat lebih kurang 10kg dan dilengkapi tali penggalas serta troli untuk memudahkan pengguna mengendalikan di ladang. Bagaimana pun semasa menggalas dinasihatkan jangan membengkok ditakuti air bateri akan tertumpah atau bocor (Jika gunakan bateri basah digunakan) kebahagian badan dan ini membahayakan pengguna. Mungkin penggunaan bateri kering sesuai digunakan untuk PPA ini. Pam Madu Kelulut ini juga boleh digalas sekiranya kawasan ternakan kelulut tidak rata dan boleh menggunakan troli jika berada di kawasan tanah rata . Kajian menunjukkan bahawa ianya lebih kepada mesra pengguna dengan ketahanan dan aspek mobiliti yang sesuai untuk penternak kelulut. Alat PPA Madu Kelulut ini berkuasa 12V dapat menyedut madu kelulut dengan lebih cepat berbanding pam menggunakan kuasa bateri AA atau bateri biasa. PPA menggunakan kuasa bateri kereta dan tidak memerlukan sumber elektrik, ini membolehkan PPA dibawa ke kebun , ladang atau ke hutan ternakan kelulut. Bateri ini hanya perlu dicas 2 kali sebulan sahaja dan tempoh bekalan kuasa lebih lama dan kadar sedutan lebih singkat daripada pam bateri biasa.


Daripada penerangan pencipta menyatakan kos membina PPA adalah rendah kerana banyak mengunakan bahan terpakai dan mudah didapati dan tahan lasak. Anggaran kos penyelengaraan PPA adalah rendah sekitar RM12.00 sebulan mengecas bateri. Ia amat rendah berbanding dengan harga ladang jualan madu kelulut antara RM180 - RM200 sekilogram. Semua usahawan muda yang ingin mendapatkan alat ini dirasakan mampu membelinya atau membuat sendiri dengan nasihat dan kepakaran daripada pihak berkaitan. Inovasi alat ini juga mesra alam kerana ia tidak mengunakan bahan bakar atau bahan yang boleh mencemarkan alam sekitar serta tidak mengeluarkan bahan toksik. Pengendali PPA juga tidak terdedah kepada risiko bahaya dengan menggunakan alatan simpel ini. Laporan dan pemerhatian dibeberapa lokasi mendapati alat PPA ini dapat membantu meningkatkan produktiviti kerja kerana tidak berat ,mudah dibawa dan keupayaan menyedut madu lebih cepat. PPA juga mudah diadaptasikan dan digunapakai oleh semua jabatan, agensi dan pengusaha penternak madu kelulut. 
Diharap hasil ciptaan ini dapat membantu usahawan dalam membangunkan industri madu kelulut negara khasnya. Ini memandangkan tiada lagi mesin atau alatan khusus untuk menyedut madu selain penggunaan picagari, pam kaki pam penyedut susu yang kebiasaannya digunakan. PPA tidak memerlukan kos yang tinggi dan boleh dicipta sendiri menggunakan alatan terpakai. Maka inovasi ini diharap dapat menyuntik semangat dan idea kreativiti yang lain dalam membantu memudahkan pengusaha dan petani yang menceburi bidang ini. Kepada sesiapa yang ingin untuk mendapatkan info atau membuat tempahan boleh berhubung dengan Mohd Nurhafiz alamat tertera dibawah. Wasallam!.

PENYEDUT MADU ... SUDAH DICIPTA...
MADU KELULUT... KECIL KANTUNGNYA...
PERLUKAN ALAT... PELBAGAI CARA...
NAMA 'ANNAHLI'... BOLEH DIGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Kelulut,
Marang, Terengganu,
Malaysia.
(21 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...