Support My Blog

Wednesday, February 17, 2016

ALAT SEMAIAN BENIH - INOVASI


ALAT MENYEMAI BENIH SAYURAN yang dicipta oleh Encik Ramli iaitu seorang petani daripada TKPM Inderapura, Pekan, Pahang merupakan satu kejayaan ciptaan inovasi yang menbanggakan dikalangan petani. Beliau yang juga merupakan seorang peserta projek TKPM tersebut juga merupakan seorang penanam sayur`jenis daun seperti sawi, kailan, cili dan sebagainya sehingga mampu mendapat pendapatan bersih melebihi RM2,500 sebulan dibawah bimbingan Jabatan Pertanian. Penulis yang sempat untuk menemui beliau mendapati usaha gigih yang dijalankan petani berumur 54 tahun itu memang mempunyai komitment yang tinggi dalam mengusahakan tanaman sayuran. Beliau berpengalaman lebih daripada 15 tahun sebagai petani yang menghasilkan sayuran dan tanaman kontan lain sebelum menjadi peserta TKPM. Menurutnya, aktiviti menyemai benih sayuran merupakan satu kerja yang mesti dilakukan sebelum aktiviti menanam. Kini kerja-kerja menyemai benih sayuran telah dipermudahkan dengan terciptanya sejenis alat untuk menyemai benih sayuran yang saizny sangat halus kedalam dulang semaian mempunyai 104 lubang sehingga dulang yang ada 200 lubang. Penulis juga pernah menilai alatan inovasi seperti ini buatan tempatan atau diimport yang mana harganya diantara RM500 - RM10,000 dalam beberapa pameran oleh syarikat komersil. Konsep yang digunakan dalam inovasi ini adalah hampir serupa iaitu dengan menggunakan 'vaccum suction' sebagai asas untuk menyemai benih tetapi ia lebih murah dan praktikal. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai satu alat menyemai benih sayuran yang dicipta dan dibentangkan dalam pertandingan Inovasi Jabatan Pertanian oleh Encik Ramli sebagai satu inovasi yang boleh dikembangkan kepada petani lain. 



Sebelum ini En Ramli pernah membeli sejenis alat menyemai benih sayuran yang besar dan mahal (Sila lihat foto disebelah). Alat ini diletakkan disatu lokasi dan berharga RM8,000 satu unit untuk digunakan selama setahun lebih sahaja sebelum beberapa komponennya rosak dan sukar untuk diperbaiki dan cari alatganti. Keadaan ini menyebabkan beliau berfikir untuk mencari alat menyemai benih sayuran yang cekap, mudah diguna, tahan, mudah dibawa dan praktikal. Seterusnya berdasarkan kepada model lama, beliau membuat prototaip alat semaian sendiri dengan saiz yang lebih kecil, ringan, mudah digunakan dan praktikal walau pun kurang cantik. Tray semaian yang diisikan dengan media semaian perlu diletakan biji benih sebanyak 200 biji satu tray. Jika dilakukan dengan cara manual iaitu meletakkan satu benih satu lubang ia mengambil masa selama diantara 3 - 4 minit satu dulang. Jika ada 100 tray maka selama 300 - 400 minit (5-6 jam) diperlukan untuk mengisi benih sahaja dan ianya meletihkan serta menjemukan. Jika petani sudah letih lazimnya akan ada beberapa lubang tidak diisi dengan biji benih dan ini adalah merugikan. Penggunaan alat khusus diperlukan untuk mengisi benih sayuran dengan cepat, seragam dan senang.
 

Alat Semaian untuk mengisi benih sayuran ciptaan En Ramli menggunakan penyedut hampagas jenama biasa berkuasa 40 kk disambung dengan logam holo aliminium yang telah dibuat 200 lubang dibahagian bawahnya. Satu alat kawalan sedutan angin dipasang untuk membuka dan menutup lubang angin. Biji benih yang ditabur diatas dulang akan melekat pada setiap lubang apabila angin kuat menyedut. Kemudian alat ini akan diletakkan diatas tray 200 lubang dan kemudian alat kawalan dibuka bagi melepaskan biji benih jatuh kedalam setiap lubang tray semaian. Kerja ini hanya akan mengambil masa 10 saat sahaja berbanding dengan 3 - 4 minit jika dilakukan secara manual (Sila lihat foto disebelah). Jika hendak menyemai sebanyak 100 tray hanya perlukan masa 1,000 saat atau 16 minit atau cuma 0.3 jam sahaja. Penulis dapati seorang pekerja mahir akan dapat menyiapkan 100 tray semaian benih dalam masa 1 jam siap dengan mengatur tray, mengisi media semaian dan juga meletakkan benih gunakan alat semaian. Alat ini dibuat dengan kos sebanyak RM500.00 seunit sahaja berbanding dengan alat asal yang dibeli bernilai RM8,000.00 sebelum inovasi dilakukan. Ini merupakan satu penjimatan kos yang sangat ketara selain daripada ia murah dan praktikan.  

Alat ini didapati telah digunakan selama 3 tahun dimana tidak banyak masaalah yang dihadapi oleh petani tersebut. Kadar dan cara pertumbuhan benih sawi, kailan dan cili yang dilakukan tumbuh dengan seragam dan mudah diuruskan dalam rumah semaian (Sila anda lihat foto disebelah). Menurut Ramli apa yang perlu diteliti semasa menggunakan alat ini adalah sumber eletrik untuk menjalankan motor penyedut hampagas 40 kk. Jika kedudukan kebun agak jauh daripada sumber eletrik maka boleh menggunakan generator (genset) dimana ianya boleh dilakukan dengan cepat. Penyelenggaraan yang perlu dilakukan hanya melihat jika ada lubang-lubang penyedut benih yang tersumbat oleh kekotoran tanah atau sampah dan perlu dibersihkan. Alat menyemai ciptaan En Ramli ini amat membantu petani dan penanam sayur komersil untuk meningkatkan tahap produktivitinya dan menjimatkan masa. Tahniah kepada En Ramli seorang usahawan tani berjaya dan mampu mencipta alat menyemai benih. Beliau boleh dihubungi dengan no HP 019-9261156. Beliau adalah seorang petani yang inovatif dan kreatif. Wasallam !.
MENYEMAI BENIH... AMAT LAMA....
PERLU TELITI... LETIHKAN MATA...
ALAT SEMAI BARU..SUDAH DICIPTA...
APA LAGI... TEMPAHLAH SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 204, Season View Hotel,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(23 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...