Support My Blog

Showing posts with label LETUP-LETUP. Show all posts
Showing posts with label LETUP-LETUP. Show all posts

Thursday, March 7, 2013

LETUP-LETUP

LETUP-LETUP (Passiflora foetida) merupakan sejenis dari kumpulan rumpai yang tumbuh liar di negara kita dari keluarga Passifloraceae. Tumbuhan ini dikategorikan sebagai tumbuhan rumpai jenis menjalar dan menghasilkan bunga yang amat menarik. Saya memang sangat kenal akan tumbuhan ini kerana ia banyak tumbuh dikawasan kebun dan ditepi jalan dikampong di Muar, Johor dahulu kala ketika saya bersekolah. Bagaimana pun saya agak keliru kerana nama buah 'letup-letup' inii sering merujuk kepada dua jenis buah yang berbeza iaitu letup-letup yang menjalar (Foto diatas) dan juga sejenis lagi letup-letup pokok tumbuh menegak (Foto dibawah). Tumbuhan ini natif dari kawasan tropika seperti di Asia Tenggara dan juga di USA Selatan, Hawai, Amerika Selatan, Afrika Barat dan sebagainya. Ditempat lain tumbuhan ini juga dipanggil sebagai marya-marya, bush passion fruit, stinking passionflower, wild maracuja, love-in-a- mist, Timun Padang, Buah Tikus  dan juga Kha Tok Rok (Thailand). Saya sudah boleh agak bagaimana tumbuhan ini diberi nama sebagai 'letup-letup', saya agak pasti kerana buahnya yang berbentuk bulat dan apabila buah matang dan di tekan akan menghasilkan bunyi seperti letupan kecil. Artikel malam jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology' mengenai sejenis tumbuhan yang jarang-jarang dikaji iaitu pokok letup-letup yang sering kita jumpa dikawasan belukar dan kebun dikampong. 


Ini juga buah letup-letup.
Pokok letup-letup ini didapati tumbuh liar tanpa ditanam kerana ia adalah didalam kategori rumpai yang perlu dimusnahkan dikawasan tanaman akibat persaingan mengenai nutrien, cahaya matahari, air, ruang dan juga mungkin menjadi perumah kepada perosak dan penyakit. Jangan keliru dengan foto sebelah iaitu sejenis tumbuhan liar yang juga dipanggil sebagai letup-letup dikawasan tertentu di Malaysia. Buahnya juga menghasilkan bunyi 'letupan' apabila ditepuk dengan beberapa tangan. Saya akan cuba menulis mengenai buah tersebut dalam artikel lain. Tumbuhan letup-letup ini adalah sejenis yang menjalar dengan batang (vine) sepanjang 1.5 - 6.0 meter bergantung kepada spesis dan lokaliti. Penelitian saya mendapati batangnya mempunyai bulu halus dengan warna hijau kekuningan dan akan menjadi berkayu apabila tua.


Daunnya  berbentuk seperti hati dengan mempunyai sama ada 3 atau 5 lekukan. Daun letup-letup agak berbulu halus dan berwarna hijau cerah (Lihat foto sebelah). Suaunan daun adalah bersilang (alternate) dengan tangkai daun yang agak panjang sekitar 2-4 cm. Bulu dibahagian hujung daun lazimnya lebih tebal dan panjang. Jika daun ini diramas dengan tangan akan menghasilkan bau busuk atau orang jawa kampong saya kata sebagai bau 'Langu'.  Jika pokok tumbuh pada tanah subur yang rimbun, ianya akan menutupi tumbuhan lain dikawasan tersebut kerana ianya adalah padat.


Apa yang menarik mengenai pokok letup-letup ini adalah bunganya yang amat cantik dan menarik (Lihat foto sebelah). Warna dan juga bentuk bunga bermacam-macam bergantung kepada spesis dan persekitaran.   Pada asasnya bunganya jenis biseksual dari yang berwarna putih sehingga warna putih krim dan ungu ditengahnya. Ia juga mempunyai banyak kelopak dan susunan stamen yang jelas. Bunga ini keluar sepanjang tahun dan bilangan bergantung kepada kesuburan dan umur pokok. Bunga terbuka pada sebelah pagi dan tertutup semula sebelum tengahari. Apa yang saya pasti ialah mungkinn bunga ini mempunyai banyak nektar (manisan bunga) kerana sering dikunjungi pelbagai jenis serangga seperti rama-rama, lebah madu, semut dan sebagainya. 


Paling unik mengenai buah letup-letup adalah buahnya yang terbentuk didalam karung berjaring (Lihat foto sebelah). Karung berjaring ini menutupi buah muda dan mampu memerangkap serangga bagi sesetengah spesia sepabai tumbuhan pemangsa (predators). Buah akan terus berada didalam karung berjaring sehingga masak tanpa diganggu. Buah letup-letup berbentuk bulat (Globose) dengan ukurlilit buah sekitar 2-4 cm. Warna buah lazimnya kuning terang dan didalamnya mengandungi banyak biji berwarna hitam yang diselaputi dengan lendir yang rasanya manis. Saya dulu dizaman remaja pun suka petik buah letup-letup ini dan buka isinya untuk dimakan. Burung suka makan buah ini dan menyebarkan biji yang dimakan kekawasan lain untuk disebarkan. 


Selain daripada dianggap sebagai rumpai, belum banyak kajian dijalankan mengenai kegunaan tumbuhan ini. Disetengah negara, buah letup-letup masih dimakan kerana rasa manisnya dan memang ia adalah produk organik. Tumbuhan ini juga ditanam dikawasan tertentu dalam taman bunga dengan sistem para sebagai satu tarikan. Pucuk daun letup-letup sesuai juga dipetuk untuk dimakan sebagai sayur-sayuran terutama dikawasan pendalaman. Salah satu kandungan dalam tumbuhan ini adalah bahan 'Saponin' yang boleh digunakan sebagai 'sabun' secara semulajadi. Ada setengah negara yang memgeringkan daunnya untuk dijadikan teh bagi minuman. Saya harap akan ada kajian lanjut mengenaii tumbuhan ini dari nilai komersil pada masa akan datang dengan nilai-nilai permakanan atau dijadikan bahan komestik. InsyAllah!       


Buah letup-letup dan bijinya.

BUAH LETUP-LETUP.... UNIK BUAHNYA....
BERWARNA KUNING... DISELAPUTI PULA...
LENDIRNYA MANIS.... HITAM BIJINYA...
DIJDIKAN HIASAN... MENJALAR CANTIKNYA...

By,
M Anem
Taman Saujana,
Precint 11, Putrajaya,
malaysia
(15 Febuari 2013) 

Thursday, October 6, 2011

LETUP-LETUP

LETUP-LETUP (Passiflora foetida) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga PASSIFLORACEAE yang tumbuh di Negara kita secara liar dikawasan kebun dan belukar. Tumbuhan ini diberi nama ‘Letup-letup’ mungkin kerana buahnya yang berbunyai ‘pop’ apabila di himpit dengan kedua belah tapak tangan (Tepuk) atau mungkin apabila buah cukup matang buahnya meletup untuk mengeluarkan bijinya. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah Wild Water Lemon, Stinking Passion Flower, Wild passion fruit, Love-in-a-mist (English), Buah Tikus (Malaysia), Timun Padang (Indonesia) dan Kha Tok Rok (Thailand). Saya kenal buah letup-letup kerana banyak didapati dalam kebun getah yang baru ‘replanting’ dimana ianya tumbuh liar dan memang suka makan buahnya yang telah masak zaman kanak-kanak dahulu (Sekitar hujung 1960’an dan awal 1970’an). Tidak ada meklumat mengenai tumbuhan ini ditanam secara komersil atau monokrop dan tidak ada laporan rasmi mengenai keluasan yang ada di Malaysia. Artikel tengahari ini saya menulis tumbuhan ‘Letup-letup’ untuk bacaan semua yang berminat berdasarkan pemerhatian, bacaan dari buku serta website dan temubual peribadi.


Letup-letup adalah tumbuhan menjalar yang unik dan dianggap sebagai RUMPAI di negara kita. Tumbuhan ini adalah natif di Asia Tenggara, Amerika Tengah, Afrika Tengah dan Kawasan Asia Pasifik yang beriklim tropika. Batangnya berbulu serta berbentuk selinder dengan panjang antara 1.5 – 6.0 meter. Batangnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada coklat gelap serta keras apabila dewasa. Terdapat 'sulur paut' bergulong (tendrils) yang keluar dari batabg dan akan mengikat tumbuhan ini dengan pokok lain atau pagar atau dahan. Sulur paut ini sangat kuat untuk mempastikan tumbuhan ini sentiasa berada dibahagian atas untuk mendapatkan cahaya matahari. Daun letup-letup berbentuk hati dengan 3 lekuk serta berwarna hijau muda, tebal dan agak licin dipermukaan atas dan kasar di permukaan bawah daun. Saiz daun adalah 3-5 cm panjang dan 2-3 cm lebar bergantung kepada sepsis dan kesuburan pokok. Susunan daun bersilang (alternate) dan mempunyai tangkai daun panjang serta berbau busuk apabila dilumatkan. Orang Jawa Muar kata baunya adalah ‘LANGU’.


Bunga letup-letup adalah biseksual dengan bentuk ‘Lilac’ dengan kelopak berwarna putih dan dibahagian tengahnya berwarna ungu atau jingga. Terdapat banyak jejari stamen berwarna putih-kuning ditengah-tengah bunga dan tangkai bunga adalah panjang disokong oleh sulur paut. Bunga dikeluarkan sepanjang tahun terutama pada musim panas dan agak berkurangan pada musim hujan. Bunga akan terbuka dari awal pagi (terbit matahari) sehingga tengahari dimana ianya tertutup semula. Uniknya kudup bunga seolah-olah ditutupi dengan selaput berbulu atau berjaring sebelum terbuka. Buah letup-letup berbentuk bulat dimana ianya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar warna kuning (ada sesetangah spesis oren atau kemerahan) apabila masak dengan saiz 2-3 cm garispusat. Lazimnya terdapat 1-3 biji buah pada satu tangkai buah. Kulitnya nipis dan kedap udara dimana didalamnya mengandungi biji letup-letup berwarna hitam diselaputi lender yang manis rasanya. Isinya bersama biji akan dimasukkan mulut dan ditelan sama ada di kunyah atau tidak dikunyah selepas dipetik.


Kegunaan tumbuhan letup-letup di Malaysia belum lagi dimanafaatkan secara saintifik. Kajian oleh saintis dibeberapa negara seperti di Indonesia, Filipina dan Hawai mendapati tumbuhan ini mengandungi alkaloids seperti ERMANIN yang mana bahan ini berfungsi dalam menghalang pembiakan larva kupu-kupu perosak tanaman. Selain daripada buah masak yang boleh di makan (edible) kegunaan lain ialah untuk dijadikan rumpai penutup bumi dan pokok hiasan pagar. Tumbuhan ini lebih dianggap rumpai daripada untuk kegunaan penanaman makanan bagi penghasilan buah. Di beberapa Negara seperti di Papua New Guinea, Jawa dan Surinam bahagian pucuk daun muda digunakan sebagai sayuran. Terdapat beberapa jenis serangga yang suka akan pokok ini seperti rama-rama dan semut yang makan buah yang masak.


Pembiakan tumbuhan ini melalui biji benih yang disebarkan melalui haiwan, tercampak sendiri dan oleh manusia. Biji yang berwarna hitam dan matang akan kering dan apabila buah meletup akan tercampak keluar dan akan tumbuh apabila keadaan sekeliling sesuai. Terdapat 12 genera dan hampir ada 200 spesis tumbuhan ini didunia dari keluarga Passifloraceae yang mana kebanyakanya tidak sesuai untuk dimakan atau ditanam. Jenis Passiflora rigularis merupakan spesis yang dilaporkan sesuai ditanam di Malaysia untuk tujuan pokok hiasan yang menarik. Kajian lebuh lanjut mengenai khasiat dan kegunaan tumbuhan letup-letup perlu dijalankan pada masa akan datang untuk tujuan kebaikan seperti pembiakbakaan, penyimpanan janaplasma, makanan kesihatan, ornamental bernilai tinggi dan kosmetik. InsyaAllah!


BUAHNYA BERSARUNG…ITU LETUP-LETUP….
TUMBUH LIAR….BUKAN TEMPAT REDUP…
BIJINYA HITAM…ISINYA DISEDUT….
KHASIAT BAIK….UNTUK TERUS HIDUP….


Related articles :
1. Pokok Kadok (Klik disini)
2. Cekur (Klik disini)
3.  Bakawali (Klik disini)


By,
M Anem
PICC, Putrajaya,
Malaysia
(1.00 noon 7 Zulkaedah 1432H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...