Support My Blog

Friday, September 27, 2024

BULOH - TANAMAN JANGAN DI LUPAKAN

POKOK BULOH (Bamboo) adalah tumbuhan dari keluarga Poaceae untuk penghasilan rebung buloh agak kurang diperkatakan kerana pokok buloh dikatakan jenis rumpai yang agak sukar untuk dimusnahkan apabila ia telah hidup subur dan membiak disuatu kawasan. Bagaimana pun kini telah ada usaha menanam buluh rebung madu (atau padu) yang bersaiz kecil rumpunnya untuk ditanam secara komersil yang banyak di usahakan diutara Semenanjung Malaysia (Sila baca artikel tulisan saya mengenai buloh sebelum ini -(Sila klik disini). Pokok Buloh mempunyai banyak jenis dimana ia dikatakan ada 70 genera dan lebih dari 1,000 spesis daripada yang jenis renek untuk tanaman hiasan sehingga pokok buloh yang besar didalam hutan belantara. Kebanyakan pokok buluh digunakan dalam industri pembuatan perabot, bahan lantai rumah, kayu pagar, anyaman buloh, bahan api, bakul sayur, bahan arang dan banyak lagi. Rebung buluh satu-satunya bahagian yang keluar dari pangkal pokok dipermukaan tanah untuk ia membiak dan isinya masih lembut lagi. Kekerapan menuai rebung buloh membolehkan lebih banyak anakbenih (rebung) akan dikeluarkan daripadaperdu pokok buloh. Persoalannya adalah industri menanam buloh ini mempunyai potensi baik sebagai satu lagi jenis komoditi yang boleh menguntungkan?. Dalam saya membuat tinjauan dalam website mendapati belum ada kertaskerja untuk menanam buloh rebung dan agak sukar juga mendapatkan 'cashflow' tanaman buloh di Malaysia. Terdapat beberapa jenis buloh di Malaysia dimana ada jenis yang paling banyak digunakan dan juga memiliki nilai ekonomi yang tinggi di pasaran. Buloh tersebut adalah adalah seperti jenis Buluh Duri (Bambusa bambos L), Buluh Minyak (Bambusa vulgaris)Buluh Betong (Dendrocalamus asper), Buluh Tali (Gigantochloa apus), Buluh Batu (Dendrocalamus strictus) dan Buloh Andong (Gigantochloa pseudoarundinacea). Penulis blog merujuk laporan MTIB menyatakan dimana saiz pasaran nilai industri buluh dunia ialah USD68.8 bilion pada 2018. Malaysia pula hanya menyumbang nilai eksport sebanyak RM9.971 juta sahaja pada 2018 dan kemudian ia semakin merudum kepada RM9.164 juta pada 2019 dan turun lagi semasa pandemik covid-19. Dilaporkan jumlah ini sangat jauh kadar penurunan berbanding 2017 iaitu RM20.957 juta. Penulis blog mendapati dimana pembangunan industri buluh bukan sekadar sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil akan tetapi ia lebih jauh daripada itu ia sebagai program 'game changer' yang perlu diperkasakan sebagai satu lagi komoditi yang didakwa menjanjikan pendapatan kepada rakyat dan negara. Selama ini mungkin kadar pembangunan industri buluh agak terbantut kerana masalah kekurangan strategi khusus yang menyeluruh ke atas industri ini menyebabkan tiadanya jalinan, komunikasi dan koordinasi yang kuat di antara pelbagai jenis institusi berbeza yang terlibat dengan industri buluh di Malaysia. Selama ini penulis blog melihat dimana bekalan buluh sangat bergantung kepada hasil hutan yang dituai kebanyakannya oleh Orang Asli atau penduduk kampong dan macam tiada perladangan buloh komersial yang serius. Walau pun pernah mendengar ada Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan oleh kementerian terlibat sejak 2007 akan tetapi amat jarang di laporkan status dan tahap kemajuannya. Dilaporkan dalam program ini setiap hektar kebun boleh ditanam sebanyak 400 rumpun. Selepas 3 - 4 tahun ia dijangka dapat dituai dengan hasil kasar sebanyak RM32,000 per hektar. Secara teknikalnya ia boleh dituai sebanyak 2 kali setahun untuk tuaian dimana pada tahun pertama dengan kadar penebangan sebanyak 40 peratus sahaja setiap kali tuaian. Kemudian untuk seterusnya pokok ini buluh boleh terus membiak untuk dituai setiap tahun bagi jangkamasa selama 100 tahun. Apa pun artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman buloh supaya tanaman ini tidak di lupakan di Malaysia sebagai bahan rujukkan untuk pembaca semua.


Tanaman Buluh adalah sejenis tanaman yang mempunyai prospek dalam industri pertanian di Malaysia. Ada peribahasa  ‘Bagai aur dengan tebing’ dan ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ adalah peribahasa yang sinonim dengan masyarakat kita. Penggunaan perkataan aur atau buluh dan rebung dalam peribahasa di atas membuktikan penglibatan buluh dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia dalam pelbagai aspek telah wujud sejak dahulu lagi. Di negara kita taburan tanaman buluh biasanya boleh didapati daripada paras ketinggian 1000m di atas paras laut. Tanaman buluh boleh hidup di kawasan lereng-lereng bukit, tanah rata atau di tebing-tebing sungai. Pada keseluruhannya, negara kita sangat sesuai untuk penanaman buluh, kecuali di kawasan paya dan tanah terendam (terendam lama). Faktor penting dalam pemilihan tempat dan kawasan penanaman buluh adalah sumber air untuk penyiraman. Ini memandangkan keperluan air adalah sangat penting diperingkat awal penanaman buluh. Terdapat dua teknik penanaman buluh iaitu menggunakan biji benih dan juga pembiakan tampang (vegatatif) iaitu percambahan menggunakan rizom, pemotongan kulum atau dahan serta tisu kultur. Di Malaysia, buluh digunakan dalam penghasilan produk seperti perabot dan juga bahan proses untuk dibuat lidi sate, tooth pick atau chop–stick dan sebagainya. Selain dari itu rebung buluh sangat popular dikalangan masyarakat Malaysia terutama dalam masakan. Di Utara Semenanjung Kedah dan Perlis, rebung buluh dibuat jeruk dan digemari ramai serta mendapat permintaan yang tinggi. Namun begitu, tanaman ini belum diusahakan secara meluas dan hanya didapati di pinggir-pinggir hutan atau di belakang rumah. Negara-negara seperti Taiwan dan Jepun telah lama memulakan penanaman buluh secara komersial. Malah mereka juga telah mengeksport produk-produk berasaskan buluh termasuk produk rebung yang ditinkan ke negara-negara Eropah. Maka sudah sampai masanya bagi pengusaha pertanian di Malaysia untuk menceburi perusahaan tanaman buluh secara komersil bagi menampung permintaan tempatan yang tinggi terhadap produk ini. Selain rebungnya dijadikan bahan makanan, pokok buluh akan cukup matang setelah berumur 4 tahun ke atas, dan sesuai untuk diproses menjadikan perabut atau lain-lain peralatan berasaskan buluh. Bagi sehektar tanaman buluh (belum dicuci kulit) boleh menghasilkan sekitar 4 hingga 5 tan rebung sebulan dengan harga pasaran diantara RM 2.50 hingga RM 4.00 sekilogram. Selain dari itu, perladangan secara agro-tourism boleh dijalankan dengan penjagaan ladang yang sempurna dan bersih, kawasan ladang buluh boleh dijadikan kawasan reakrasi yang unik dan cantik. Peluang begini seharusnya diambil oleh pengusaha pertanian tempatan dengan mengusahakan tanah-tanah sawah terbiar yang banyak di negara ini bagi menyertai industri ini seterusnya memberikan peluang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan selain mengindahkan kawasan kampong.


Tindakan kerajaan dalam mempastikan industri buluh ini tidak dilupakan apabila dilaporkan 'Kerajaan giat kempen tingkatkan eksport produk buluh ke serata dunia' adalah relevan. Dilaporkan dimana Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara 2021-2030 diharap dapat memperkasakan Malaysia sebagai negara pengeluar buluh dan produk berasaskan buluh untuk dieksport ke negara China, Indonesia, Thailand dan serata dunia. Pelan tersebut telah dilancarkan pada hari ini menerusi Majlis Perasmian Sambutan Hari Buluh Dunia (WBD) 2021. Kini walaupun Malaysia kini pernah juga berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor agrikomoditi terus menjadi penyumbang kedua terbesar pendapatan eksport negara. Sektor ini mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sosio ekonomi negara. Pihak KPPK akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan dan kemajuan sektor agrikomoditi agar ia dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Dalam  Forum Pelestarian Industri Buluh Malaysia 2021 dan dua siri webinar berkaitan Penggunaan Buluh dalam Industri Binaan dan Perladangan Buluh juga akan diadakan untuk menarik minat lebih ramai orang awam mengenai potensi tanaman buluh di Malaysia. Buluh merupakan sumber bukan kayu penting yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan liar. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31% tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% di Sabah. Walaubagaimanapun kini jumlah yang direkodkan tersebut terlalu kecil berbanding saiz pasaran buluh dunia. Justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan meneruskan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi memastikan bekalan sumber buluh berterusan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12(RMKe-12), program Bamboo Community Farming juga telah bermula sejak awal tahun ini sehingga 2025.


Terbaru dimana 'Transformasi industri buluh perlu dilakukan secara holistik' di umumkan oleh kerajaan juga wajar dikongsikan infonya. Transformasi industri buluh perlu dilakukan secara holistik bagi mewujudkan suasana yang kondusif agar peralihan struktur industri daripada berorientasikan kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) menggesa agar semua pihak yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri itu mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehingga peringkat hiliran. Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan, menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan teknologi yang terkini. Aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan dalam kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, pereka bentuk, penggubal dasar dan pihak lain yang berkaitan. Beliau yakin dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 (WBD 2023). Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, dan 45 daripada spesies berkenaan merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus di Sabah. Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk perkayuan lain, ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan altenatif kayu untuk pelbagai jenis aplikasi.  Beliau dalam pada itu menyarankan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dalam membangunkan industri buluh negara. Pada tahun 2022 dimana nilai eksport produk buluh berjumlah RM14.46 juta iaitu peningkatan sebanyak 66.1 peratus berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM8.7 juta, manakala nilai import produk buluh bagi 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta dengan kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam. Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraf tangan. Bagi memastikan industri buluh terus berkembang maju, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang memfokuskan kepada lima teras strategik. Lima teras berkenaan ialah Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber; Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti; Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C (penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan); Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar. Pada majlis itu turut melancarkan buku bertajuk “Industri Arang Buluh di Malaysia” yang diterbitkan bersama MTIB dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!!...
TANAM BULUH... CARA BAGAIMANA...
JENIS BULIH... PELBAGAI YANG ADA...
TUGAS KPPK... PROGRAM DILAKSANA...
PASARAN DOMESTIK... EKSPORT JUGA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Rabiulawal 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...