Support My Blog

Friday, May 30, 2014

IKAN HARUAN - POTENSINYA

IKAN HARUAN (Channa striatus) merupakan sejenis ikan air tawar atau spesis ikan yang suka menyendiri dimana ia sering memilih kawasan habitat berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah. Ikan ini juga amat mudah dikesan terutama di kawasan semak yang berair cetek dimana kita boleh menangkapnya dengan memancing, menjala, menjaring atau cara lain. Ikan haruan adalah jenis pemangsa (carnivor) yang memakan haiwan lain seperti anak-anak ikan, katak, serangga dan sebagainya. Ia selalunya mampu bersembunyi dikawasan lubuknya tanpa di ketahui oleh mangsanya dan bergerak pantas menangkap mangsa untuk makan. Walau pun ramai berkata yang ikan ini hanya popular bagi kaum Cina dahulu, tetapi kini ia telah dikenalpasti amat sesuai digunakan khususnya dalam bidang perubatan. Popularitinya meningkat naik berikutan hasil penyelidikan saintis yang mendapati dagingnya mengandungi sejenis Asid dikenali sebagai Asid arachidonis yang dikatakan mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat. Khasiatnya juga berkait dimana ia amat kaya dengan kandungan protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Artikel malam ini saya menulis satu lagi cetusan minda didalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi ikan haruan bagi kita menjadikan sumber pendapatan baik dengan cara menternak atau memburunya dalam lubuk ikan haruan yang ada dimana-mana.

Pemakanan ikan haruan seperti saya katakan tadi telah dikelaskan sebagai ikan jenis karnivor. Makanan utama ialah anak-anak ikan kecil, anak katak, udang dan juga cacing. Pengalaman saya yang pernah memancing ikan haruan ketika memburu mendapati ikan ini sering menyelinap di celah rumput tebal dan akan terus mendiamkan diri sebelum menyerang mangsa. Selalunya kami akan menggunakan umpan hidup seperti cicak, anak ikan, katak kecil yang diikat pada mata kail yang bergerak-gerak diatas permukaan air. Apabila ikan haruan nampak mangsanya, ia akan menyambar umpan dan mata kail dengan mulut yang besar kedalam mulutnya dan apa yang paling menarik, adalah ikan haruan hanya memakan umpan hidup dan jarang menyambar umpan mati yang tidak bergerak. Selalunya ia telan semua umpan sehingga masuk kedalam perut dan jarang sekali akan terlepas semula. Kalau terlepas disebabkan tali kail putus akibat hebat rentapan yang kuat atau pun disebabkan oleh ikatan mata kail terlucut.

Pemerhatian penulis mendapati habitat dan taburan ikan haruan ada dan sesuai pada air tawar yang agak tenang dengan keseimbangan pH7 iaitu tahap air paling sesuai baginya. Ini bermakna, ada berapa laporan mengatakan ia lebih selesa berada pada tahap air sedikit masam bercampur kelat (Sila lihat foto sebelah). Ikan Haruan memang saya dapati tidak suka berada di kawasan yang terdedah matahari. Justeru, ia lebih gemar untuk bersembunyi di tempat teduh dan terlindung. Tidak hairan jika ia lebih selesa berada di kawasan bersuhu sejuk dengan suhu air sekitar 26 darjah celsius seperti didalam lubuk sawah padi yang tenang airnya agar ia dapat mengesan gegaran atau pergerakan dilakukan oleh mangsanya. Ikan ini dikatakan mampu membesar sehingga 25 centimeter panjang dengan kadar berat mencecah lebih 1 kilogram seekor. Di negara Asia pula taburannya adalah agak menyeluruh. Ia boleh didapati dengan mudah di negara seperti di India, Pakistan, Bangladesh, Lembangan Sungai Mekong, Chao Phraya, Sumatera serta Kepulauan Jawa selain di Malaysia.

Dalam penulis membuat rujukkan dari beberapa sumber di Malaysia yang dilaporkan oleh pemancing ikan haruan bahawa ikan haruan banyak berada di kawasan seperti di Pahang yang banyak mempunyai lubuk. Ikan ini banyak menghuni kawasan anak sungai di kawasan pendalaman, terutama di Jerantut, Lipis, Rompin, dan Kuantan (Sila lihat lubuk disebelah). Kawasan lain yang mempunyai lubuk seperti ini pastinya memang ada ikan haruan tinggal. Orang Melaka memang suka mengail ikan haruan dan ikan sepat dalam parit dan lubuk dekat di sawah padi. Ikan Haruan sering menjadi buruan ramai berikutan ia mempunyai nilai komersial dan khasiat perubatan. Bagi menjamin sumber terus berkekalan, kaedah pemburuan secara berhemah perlu diterapkan. Kaedah menangkap yang boleh mengurangkan populasi haruan adalah dengan menggunakan renjatan eletrik, racun, tuba atau bahan letupan memang dilarang. Kaedah buruk ini terus menyumbang kepupusan baka ikan itu bahkan memusnahkan ekosistem sama sekali.

Selain daripada dibuat sup, ikan haruan yang didakwa membantu mempercepatkan luka dalaman, ia juga boleh dimasak pelbagai cara. Bagi orang Melayu, haruan masak lemak cili api bercampur daun kesom begitu digemari. Begitu juga penulis amat suka ikan haruan goreng berkunyit. Bagi masyarakat Cina, sup ikan haruan bercampur rempah perubatan dan haruan kukus amat popular. Di negara Filipina sup ikan haruan amat popular dimana saya dapati hidangan ini telah menjadi menu utama di hotel-hotel dan juga kedai makanan sekitar Manila dan juga pekan Los Banos berhampiran tasik Laguna. Semasa saya berkursus di UPLB, Los Banos, Manila yang letaknya berhampiran dengan tasek, hampir setiap beberapa hari mereka akan menghidangkan menu berasaskan ikan haruan berganti dengan ikan tilapia hitam. Malah, pelanggan boleh memilih haruan hidup mengikut saiz yang kehendaki untuk sajian. Di Thailand, kek ikan haruan berjaya dikomersialkan. Adunan kek bercampur dengan isi haruan itu memang mendapat permintaan tinggi penduduk di sana. Sesetengah pengamal perubatan tradisional juga percaya menelan anak ikan haruan hidup yang masih merah mampu menyembuhkan penyakit selain membantu menguatkan pengaliran darah. Begitulah hebatnya potensi ikan haruan dalam masyarakat Asia Tenggara. Wasallam.!


IKAN HARUAN... HEBAT CERITA...
SEMAKIN MAHAL...TAHU KENAPA...
IA PUPUS... ANGKARA MANUSIA...
PERLU DITERNAK...BAGAIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agrolgist,
Tasek Temenggor,
Daerah Hulu Perak,
Perak, Malaysia.
(20 Jamadilakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...