Support My Blog

Tuesday, May 20, 2014

PERTANIAN BANDAR - APA DIA (Part 3)

PERTANIAN BANDAR (Urban agriculture) saya fikir boleh didefinasikan sebagai  aktiviti yang mampu menghasilkan bahan makanan, pemprosesan makanan, pemasaran produk makanan dalam kawasan bandar dan pinggir bandar (urban and peri-urban areas). Pertanian yang dijalankan sama ada secara konvensional atau aplikasi teknologi moden dengan menggunakan bahan komersial atau bahan kitar semula bagi menghasilkan sayur-sayuran, buah-buahan, ulam-ulaman, herba dan ternakan bergantung kepada kesesuaian. Dalam sejarah tamadun manusia, sebenarnya konsep pertanian ini telah lama dilakukan seperti oleh kaum Machu Picchu di Peru pada tahun 1450 dan di Taman Babylon dimana penanaman dilakukan dalam bangunan dikawasan bandar dan kawasan yang agak tinggi. Kini ramai saintis mula memikirkan pelbagai teknologi sesuai untuk perlaksanaan pertanian dalam bandar termasuk teknologi moden seperti 'multi-stacking food crop production artificial system' yang kosnya berjuta ringgit. Beberapa bandar besar dunia kini mula melaksanakan aktiviti pertanian dibandar sebagai satu keperluan bukan gimik seperti kurang memahaminya. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apa dia pertanian bandar yang sesuai kita rakyat Malaysia perlu juga memahaminya. 

Daripada penelitian penulis mendapati pada tahun 2020, penduduk di Malaysia yang tinggal dikawasan bandar akan mencecah sebanyak 75% berbanding hanya seramai 25% sahaja yang tinggal dikawasan luar bandar. Statistik juga menunjukkan ini merupakan trend kearah negara maju dimana pada tahun 2004 cuma seramai 65.4% sahaja penghuni bandar iaitu kenaikan sebanyak 10%. Perkara ini berlaku disebabkan oleh proses perbandaran (urbanization) yang berkembang yang akan menyumbangkan kepada masaalah kemiskinan bandar (urban poverty) dan ketidakcukupan bahan makanan atau harga makanan yang meningkat. Jika tiada ada polisi terancang, penghijrahan penduduk dari luarbandar kekawasan bandar boleh juga menyebabkan masaalah sosial, pengangguran, kesihatan, kesesakan, tempat tinggal sempurna yang boleh menjejaskan pencemaran dan juga isu pembaziran sumber. Negara kita masih bergantung kepada pengimpotan bahan makanan yang tinggi iaitu daripada hanya RM12.69 juta pada 2003 kepada RM23.37 juta pada tahun 2007 dengan nilai sebanyak RM221.81 billion semenjak tahun 1992 6 (Sumber: Laporan Tahunan MOA 2010). Kesannya harga makanan dalam negara terus meningkat dan ini membebankan pengguna terutama penduduk dalam bandar yang tidak mampu mengeluarkan bahan makanan sendiri.

Pembelian bahan makanan merupakan kos yang dianggap kritikal bagi penduduk bandar selain daripada kos untuk temoat tinggal, komunkasi, pengangkitan dan cukai-cukai wajib yang dikenakan. Penduduk kawasan luar bandar kurang menghadapi tekanan ini kerana kos bahan makanan yang diperolehi adalah jauh lebih murah disamping kos kehidupan yang juga jauh lebih rendah berbanding dengan penduduk banndar. Aktiviti pertanian bandar dijangka mampu memberikan peluang mereka yang tinggal dibandar untuk menanam sendiri tanaman makanan, menjalankan aktiviti pemprosesan makanan, pengedaran dan penjualan bahan makanan dan juga aktiviti pertanian sesuai. Strategi yang sama juga boleh digunakan bagi membasmi kemiskinan dalam bandar dan meningkatkan interaksi antara komuniti dalam kawasan bandar yang sememangnya rengang berbanding dengan penduduk luarbandar. Penglibatan mereka yang kurang berupaya, penganggur, penghuni rumah anak yatim, rumah orang tua dalam beberapa aktiviti pertanian dikawasan bandar juga amat berkesan. Projek tanaman sayuran komuiniti seperti program Projek Bumi Hijau yang dilaksanakan juga sesuai untuk kawasan bandar. 

Urban Agriculture (UA) juga penting dalam memainkan peranannya dalam pengurusan perseimbangan persekitaran dengan memproses sisa buangan kepada produk yang boleh digunakan. Pengkomposan merupakan satu aktiviti yang membolehkan sisa buangan dari bahan makanan dan sisa organik lain diproses menjadi kompos dan baja yang berguna dan bernilai. Kompos digunakan sebagai baja yang bertindak sebagai baja semulajadi yang baik dalam bidang pertanian untuk kesuburan tanah. Kini terdapat beberapa syarikat swasta yang telah beroperasi memungut sisa buangan makanan dan sisa organik di Pulau Pinang, Petaling Jaya, DBKL dan di Melaka yang beroperasi melaksanakan fungsi ini seperti yang saya membuat tijauan bersama-sama pasukan teknikal khas. Sebagai contoh Syarikat Shence GreenTech Sdn Bhd kini beroperasi memproses sisa organik dengan mesin 'Organic Waste High Speed Composting Machine' dengan kapasiti 500 kg sehingga melebihi 1 metrik tan menggunakan teknologi ini (Sila lihat foto diatas). Hasil tinjauan mendapati produk kompos yang dihasilkan mempunyai nilai jualan sebagai baja kompos yang diterima dipasaran. Teknologi ini mempunyai potensi besar untuk dilaksanakan dikawasan bandar yang sememangnya menghasilkan banyak sisa organik untuk diproses dan memberikan menafaat serta kesan besar terhadap kelestarian dan persekitaran dibandar.

Pemungutan Air Hujan dari bangunan dikawasan bandar boleh dilakukan dengan sistem sesuai dan diproses agar boleh dijadikan air minuman domestik atau untuk digunakan dalam pertanian. Air hujan yang banyak dan turun boleh dikumpulkan melalui satu sistem dan diproses dengan teknologi sesuai (Sila lihat foto sebelah). Penggunaan air ini adalah ekonomik dan menguntungkan kerana kos pembekalan air daripada sumber sedia ada semakin meruncing pada masa ini dan masa akan datang. Teknologi 'rain water harvesting' ini adalah kaedah yang perlu dilakukan dan diketahui oleh penduduk bandar. selain itu rawatan air kumbahan sisa dapur dan sisa bilik air juga perlu dimenafaatkan untuk masa akan datang. Pada masa ini rawatan air kumbahan dibuat berasingan tanpa ada kaedah untuk ktra semula air tersebut bagi kegunaan domestik, Pernah kita dengan di Singapura bagaimana 'NewWater' dihasilkan daripada air kumbahan untuk digunakan sebagai air domestik.

Pada saya pertanian bandar jika hendak dilaksanakan dengan bekesan perlu mendapat penekanan daripada pihak atasan yang membuat dasar, pelaksana dipelabagai Jabatan dan Agensi serta penglibatan secara total daripada penghuni bandar sendiri. Aktiviti ini kini dilihat sebagai satu aktiviti penglestarian (sustainable practice) disebabkan ia akan memberikan faedah menyeluruh dari segi aspek sosial, ekonomi dan persekitaran sihat dikawasan bandar. Ia juga mampu mengujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk bandar yang terlibat dalam pertanian bandar ini. Banyak jenis aktiviti boleh dilakukan dalam pertanian bandar daripada penanaman tanaman makanan sehingga pengedaran dan penjualan produk makanan, aktiviti nurseri, pengkomposan sisa organik, penanaman tanaman landskap, projek nurseri tanaman dan juga pemprosesan makanan. Peranan banyak jabatan dan agensi kerajaan dan NGO serta penduduk bandar mampu digerakkan dalam merealisasikan aktiviti pertanian bandar dimasa kini dan akan datang. Adakah kita sedar kepentingan perkara ini?. Sama-samalah kita berfikir untuk menyumbangkan idea bagaimana pertanian bandar ini nanti akan menjadi satu amalan penduduk bandar. Wasallam!.

Baywater Metro Station, Central London.
URBAN AGRICULTURE...APA DIA...
PERLU RANCANG...TERUS LAKSANA...
BELUM FAHAM... PERLU DIBICARA... 
AKAN DATANG... AGAR BERJAYA....  

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 610, The Hyde Park Hotel, 
23-25 Leinster Squares,
London, W2, 4NE. UK
(23 Rabiulawal 1435)
Lawatan 2 minggu ke  lima negara di Eropah Mei 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...