KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, May 5, 2014

UDANG GALAH - PEMBENIHAN

UDANG GALAH (Macrobrachium rosenbergii) merupakan sejenis haiwan yang miliki ciri fizikal yang pelik dengan bentuk penyepitnya yang panjang dan beruas. Udang Galah ini adalah termasuk didalam keluarga Palaemonidae iaitu kumpulan udang. Lazimnya udang galah sangat diminati oleh ramai rakyat Malaysia kerana keenakannya dan kelazatannya. Ia mendapat nama sebagai 'Udang Galah' disebabkan sepasang penyepit atau seperti kaki untuk berjalan keduanya memanjang melebihi ukuran badannya 'seperti galah panjangnya'. Bentuk fizikal inilah yang membuatkan udang galah mudah dikenali, bahkan mudah dibezakan daripada spesies udang air tawar yang lain. Saya merujuk kepada beberapa penyelidik dimana mereka telah meletakkan beberapa peringkat pengkelasan bagi mengenal pasti spesies udang galah berkenaan. Mereka berkata terdapat sembilan peringkat pengkelasan udang galah yang meliputi daripada peringkat alam hingga spesies. Udang galah atau nama saintifiknya sebagai Macrobrachium rosenbergii dapat dijumpai dengan mudah di kawasan sungai air tawar dan payau. Habitat udang galah sentiasa berubah dan berbeza-beza, terutamanya daripada peringkat larva, juvenil atau pun poslarva hingga dewasa. Fenomena migrasi untuk mencari habitat dan keperluan biologi bagi mengembangkan generasi berlaku pada udang galah. Oleh sebab itu saya dapati generasi udang galah sukar terhapus di persekitaran sungai walaupun populasinya sedikit. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai TEKNIK PEMBENIHAN udang galah sebagai satu penjelasan kepada pembaca blog ini berdasarkan pembacaan, pengalaman dan pemerhatian dijalankan. Artikel ini dipostkan daripada Bilik 21, Timhotel Saint Georges Piggale, 21, Boulevard da Chichy, 75009, Paris, Perancis. 

Teknik Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) memang boleh dijalankan untuk mendapatkan benih udang galah bagi tujuan penggunaan sendiri atau untuk dijual komersil. Bahan-bahan atau peralatan yang perlu disediakan adalah Tangki induk, Tangki asuhan, Artemia, Kastad telur, Botol yang telah dipotong tapaknya, Jaring dan juga Tali. Udang Galah lazimnya menjalani proses pembiakan secara semulajadi. Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) dilakukan dengan kemahiran khusus yang boleh kita belajar melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau swasta atau individu berkemahiran. Ia dilakukan dengan cara meletakkan induk jantan dan betina dalam satu tangki simen dengan nisbah 1:2 (Seekor jantan dengan dua ekor betina). Induk jantan boleh dikenalpasti dengan memeriksa dimana saiz penyepitnya yang lebih panjang dan kebiruan. Kadang-kadang terdapat juga penyepit kecil di antara kaki-kaki di badannya. Apabila induk betina yang matang telah menghasilkan telur berwarna kuning jingga maka induk tersebut perlu diasingkan dan diletakkan di bawah pengawasan khusus untuk pembiakan.

Induk betina yang mempunyai telur berwarna jingga-coklat perlu untuk ditangkap dan ia akan dimasukkan ke dalam botol yang mempunyai jaring di hujungnya (Sila lihat foto sebelah). Botol ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tangki simen berukuran 4m x 4m x 1.5m dan ia diberi pengudaraan secukupnya menggunakan aerator. Botol tersebut diikat dengan tali di hujungnya untuk memudahkan proses pemberian makanan kepada induk. Kemasinan (Salinity) untuk tangki pembiakan ini ialah antara 15-20 ppt. Saliniti akan diukur menggunakan refraktometer (Hanna Instrument). Setiap hari induk akan diberi makan sama ada hati ayam atau kastad telur untuk memastikan ianya akan mendapat protein yang mencukupi untuk menghasilkan benih yang berkualiti. Induk akan diperiksa setiap hari untuk kita memastikan ia sudah melepaskan telurnya. Apabila induk betina telah melepaskan telurnya, ia akan diangkat dan dimasukkan kembali ke dalam tangki induk. Selepas 3 hari, rega udang galah akan diberi makan nauplii artemia yang secukupnya. Jumlah artemia yang diberi adalah berdasarkan anggaran. Artemia akan diberi di waktu pagi dan petang. Pada peringkat ini, saliniti air dikekalkan pada 17 ppt. Jumlah artemia yang diberi dipastikan mencukupi dengan memeriksa rega udang galah. Jika artemia yang diberi adalah mencukupi, rega udang galah akan berwarna kemerahan di dalam kepalanya. Jika ia tidak mencukupi,rega udang galah akan berwarna lutsinar.

Selepas 2 minggu, proses penukaran makanan akan dilakukan dengan menukarkan artemia dengan kastad telur. Pada waktu ini, artemia akan diberi di waktu pagi dan kastad telur diberi di waktu petang. Selepas 3 hari, kastad telur diberi sepenuhnya di waktu pagi dan petang. Selepas 30 hari, rega udang galah akan bertukar menjadi pasca larva (post larvae,PL). Ini dapat dikenal pasti apabila anak udang ini berenang ke hadapan dan suka melekat di dinding tangki asuhan (Sila lihat foto sebelah). Apabila sudah sampai ke peringkat ini, saliniti air akan diubah kepada 0 ppt secara berperingkat-peringkat untuk mengelakkan kejutan kepada anak-anak udang. Pengurusan udang galah adalah kritikal pada peringkat pengurusan larva kerana benih udang yang sensitif kepada persekitaran, saliniti, pemakanan dan kanibalisme. Seekor induk mungkin menghasilkan beribu-ribu anak benih tetapi jika pengurusan anak benih adalah teruk, hasil yang diperolehi akan mengecewakan. Induk yang dikurung di dalam botol ini didapati agak stress kerana berada dalam tempat yang kecil dan tidak selesa. Kaedah atau cara pemerikasaan secara harian juga mendapati 2 ekor induk yang dikurung bersama akan memakan rakannya jika makanan yang diberikan tidak mencukupi. Jumlah anak benih yang mencapai peringkat PL atau pasca larva adalah sedikit berbanding jumlah semasa mula-mula ia menetas. Ini mungkin disebabkan oleh makanan yang tidak mencukupi, kualiti air yang tidak menentu dan persekitaran yang mendedahkannya kepada penyakit dan tekanan. Benih udang galah yang sesuai untuk dimasukkan kedalam kolam mesti menepati saiz dan umur sesuai. Wasallam!.


BENIH UDANG... BOLEH DISEDIA...
CARI ALATAN... KURSUS JUGA...
TEKNIK BETUL... HASIL AKAN ADA...
DILEPASKAN...IKUT SPESIFIKASINYA...

Di hadapan  Royal Albert Hall, London.
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
St. Pancras International Station,
London, UK.
(12 JamadilAkhir 1435H)
Travelling to Europe from 27 April - 12 May 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...