KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, May 8, 2018

TERNAKAN KUPANG -KG SG MELAYU

PENTERNAKAN KUPANG atau SIPUT SUDU merupakan satu aktiviti akuakultur yang menarik minat beberapa nelayan di negara kita terutama di Johor, Melaka dan beberapa lokasi lain. Kupang merupakan sejenis siput (mollusk) yang mempunyai bentuk bulat dan bujur tirus dibahagian hujung kulitnya. Penulis blog dapati terdapat dua keping kulit kupang berwarna hijau gelap (hijau lumut) dan berjalur hijau muda dibahagian tepinya. Siput sudu ini mempunyai isi lembut dan berwarna oren kekuningan dan berasa liat ketika mentah. Kulit kupang yang keras akan melindungi isi dari cacat atau dimakan oleh ikan dewasa. Terdapat 3 jenis varieti kupang yang biasa diternak iaitu Pteriomorpha spp untuk ternakan air laut, Palaeoheterodonta spp untuk ternakan air tawar dan Heterodonta spp sejenis Kupang Zebra. Kupang merupakan siput planton feeders iaitu (pemakan plankton) sama seperti kerang, remis, siput sedut dan pelbagai haiwan akuakultur bercengkerang lain. Penternakan kupang ini memerlukan kawasan perairan yang tidak mempunyai arus yang deras, tiada laluan kapal besar dan memerlukan air laut yang bersih dari pencemaran sampah dan tidak tercemar dengan tumpahan minyak. Ini kerana ianya akan menganggu tumbesaran benih kupang yang akhirnya akan menjejaskan saiz kupang yang ingin dituai. Kupang sesuai diternak pada musim panas iaitu di bulan Januari hingga Februari dan akan dituai pada bulan Julai hingga September. Pada ketika ini, kadar taburan hujan di kawasan Johor kurang dan angin tidak bertiup dengan kencang. Penternakan kupang tidak memerlukan pemerhatian yang khusus dan rapi namun ianya memerlukan kos yang tinggi untuk membeli tong plastic dan tali rawai. Kos permulaan penternakan kupang menelan belanja kira kira RM 30 000.00 termasuk harga pembinaan jeti pemprosessan kupang segar. Kawasan perairan yang sesuai dan selamat dipilih perlu bersih dari sebarang tumpahan unsur minyak kerana ianya akan menjejaskan kualiti kupang yang diternak. Kupang atau lebih dikenali sebagai siput sudu banyak diternak oleh pengusaha di negeri Johor dan Negeri Johor merupakan negeri pengeluar kupang terbesar di Malaysia. Penternakan kupang banyak dilakukan di kawasan perairan Selat Tebrau terutama di kawasan Senibong, Johor Bharu dan ia juga pernah diternak di kawasan Sungai Rambai, Melaka disekitar tahun 1980-an. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pertanian merupakan agensi yang bertanggung jawab untuk mengawal, mengurus dan mengeluarkan lesen kepada persatuan nelayan atau pengusaha yang berminat untuk menternak kupang. Pelbagai projek yang dianjurkan oleh pihak LKIM dalam memeriahkan dan untuk mengembangkan usaha perniagaan dalam bidang akuakultur ini supaya penternakan spesis akuakultur ini boleh berkembang maju sehingga boleh dipasarkan secara komersial kepada seluruh negara. Ianya juga boleh mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kepada pengusaha. Permintaan yang tinggi terhadap siput sudu atau kupang ini datang dari pengusaha makanan laut. Ini kerana rasa kupang yang enak serta bau aroma yang membangkitkan selera pengemar makanan laut. Juadah kupang bakar atau kupang tumis berlada menjadi pilihan pengemar. Ini adalah kerana setelah kupang dimasak, isi kupang berasa lebih manis, mempunyai isi lembut dan sesuai dinikmati bersama nasi panas. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti ternakan Kupang di Kg Sg Melayu, Johor sebagai satu testimoni untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Pada masa ini ternakan kupang di negara ini kurang popular berbanding ternakan lain kerana dilaporkan masih tidak ramai nelayan mengusahakannya. Kupang atau siput sudu enak dimakan segar dengan pelbagai cara masakkan mengikut lokaliti (Sila lihat foto disebelah). Nama kupang cukup popular dalam kalangan masyarakat di selatan tanah air begaiamana pun di kawasan lain terutama kawasan berada di utara Semenanjung Malaysia ia dikenali sebagai siput sudu. Pada penulis blog mendapati aktiviti ternakan kupang begitu sinonim di Johor kerana faktor cuaca selain air laut dan air tawarnya yang sesuai dengan pembiakan siput itu. Penulis blog yang mana telah berkesempatan menyertai lawatan ke Kampung Sungai Melayu di Johor Bahru bersama pegawai LKIM untuk bertemu nelayan di situ. Kampung Sungai Melayu terpilih sebagai projek perintis eko-pelancongan menerusi Program Kawan Iskandar Malaysia yang menyediakan pelbagai program bagi menarik kedatangan tetamu ke situ. Didakwa nelayan disepanjang tahun lalu kampung itu telah menerima hampir 4,000 pelancong daripada dalam dan luar negara. Sementara itu Ketua Kampung Sungai Melayu Pandak Ahmad berkata, desa berkenaan antara kampung warisan dan pelancongan popular di Johor Bahru sejak mula dilancarkan pada Oktober 2013. Beliau berkata Kampung Sungai Melayu sudah diwartakan sebagai kampung warisan termasuk zon paya bakau yang berusia 150 tahun. Selain hutan paya bakau dengan keunikan flora dan fauna, kampung ini juga terkenal dengan penternakan kupang. Terdapat lokasi yang sesuai untuk ternakan kupang berhampiran kampong ini secara semulajadi sebelum dikomersilkan.


Kini ramai penduduk kampung ini turut menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk belacan, ikan kering dan kraftangan berasaskan kupang. Antara produk terhebat dari Kg Sg Melayu ini adalah Keropok Kupang (Sila lihat foto disebelah). Keropok kupang tidak boleh diperoleh di tempat lain tetapi hanya di proses di Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru sahaja. Jadi mereka yang datang ke kampung ini berpeluang merasai sendiri keenakan keropok kupang yang berbeza dengan rasa keropok biasa dan boleh melihat bagaimana proses mereka membuat keropok kupang dilakukan. Dari kenyataan umum seorang penduduk disini iaitu En Pandak, aktiviti akuakultur penternakan kupang mendapat perhatian kerajaan termasuk membiayai kos membina rakit khas bernilai hampir RM1 juta milik koperasi kampung berkenaan. Kupang mengambil masa enam bulan untuk matang sebelum sesuai dijadikan hidangan atau menghasilkan barangan seperti keropok kupang dan kupang kering. Penternakan kupang tidak lagi memerlukan penjagaan terlalu rapi seperti ternakan lain yang perlu diberi makan mengikut waktu tertentu. Ternakan kupang hanya memerlukan tali diperbuat daripada jala sebelum disimpul untuk menjadi seutas tali yang panjang. Tali yang diikat pada rakit itu dapat digunakan sehingga dua kali penternakan.


Penternakan kupang menggunakan tali dimana selepas setahun biasanya tali berkenaan mulai reput dan perlu ditukar bagi tujuan memaksimumkan pengeluaran kupang. Jarak tali dalam satu rakit juga perlu diukur supaya tidak rapat dan terlalu jauh ke dalam air bagi memastikan pembiakan dan pengeluaran kupang lebih efisien (Sila lihat foto disebelah). Ternakan kupang tidak hanya membiak di tali malahan juga pada tong pengikat kayu rakit juga akan menghasilkan kupang. Tong itu juga perlu diterbalikkan setiap enam bulan apabila kupang mencapai tahap matang bagi memberi ruang kepada pembiakan baru. Walaupun tahap matang kupang enam bulan dan anak benih kupang berusia seawal dua bulan juga boleh diambil untuk dimakan. Saiz yang lebih kecil itu lebih sesuai untuk ianya dibuat hidangan sup atau tomyam. Kupang perlu dibersihkan bagi membuang selut dan teritip pada kulitnya sebelum ia dijual. Penternakan kupang di Kampung Sungai Melayu antara yang termaju di Johor kerana didapati hasilnya boleh mencecah 100 kilogram sebulan. Harga juaan kupang selalu pada harga RM3.80 sekilogram kepada pembekal.


Projek ini menurut Ketua Komuniti bagi Perikanan Kampung Senibong, Johor Bahru iaitu Hj Yacob Shahdan berusia 73 tahun perlukan modal pertama yang perlu dikeluarkan untuk menternak kupang agak tinggi iaitu sekurang-kurangnya sehingga  RM100,000. Beliau kini mempunyai telah sebanyak 10,000 tong dan tali sepanjang 350 kaki yang diikat dengan 30 tong (Sila anda lihat foto disebelah). Setiap tong mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram kupang. Biasanya satu guni kupang akan dijual secara pukal kepada peraih pada harga RM38 -RM40. Dari pemerhatian didapati tempoh kitaran ternakan kupang antara tiga hingga tujuh bulan yang kebiasaannya dituai dua tahun sekali. Hasil tuaian bergantung kepada jumlah kupang yang membesar pada setiap tali. Jika tiada ombak kuat yang disebabkan gangguan feri umpamanya, kupang boleh membesar lagi. Lazimnya kupang pada usia antara tiga hingga empat bulan masih belum mantap (melekat pada tali) dan mudah terlerai dari tali jika dilanda ombak kuat. Kupang ini akan yang jatuh ke dasar laut akan mati dan baki yang melekat pada tali hanya tinggal sedikit. Pak Akob yang juga seorang penternak kupang disini memberitaahu dimana kupang terbaik dari segi rasanya yang enak boleh didapati di perairan Selat Johor kerana kualiti air di situ masih baik, manakala arus airnya mengalir perlahan menjadikannya sesuai untuk semua projek akuakultur seperti ternakan ikan siakap dan kupang. Ketika ini ada 19 pengusaha kupang di Kampung Senibong yang mampu meraih pendapatan lumayan. Kupang dari kampung ini dijual di seluruh Johor selain sebahagiannya dihantar ke Muar dan Melaka, malah turut dieksport ke Singapura. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua follower blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENTERNAK KUPANG... AKTIVITI LAMA...
KG SG MELAYU... 19 ORANG SEMUANYA...
KUPANG SEGAR... DIJUAL KESINGAPURA...
KEROPOK KUPANG... PRODUK DIBANGGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(18 Syaaban 1439H).
Posted from Room 1028,
Hotel Promenade,
Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...