Support My Blog

Saturday, May 12, 2018

PUCUK UBI - MACAM2 CERITA

PUCUK UBI (Manihot esculenta) merupakan satu jenis sayuran atau ulaman yang popular di Malaysia dan negara jiran lain. ucuk Ubi. Penulis blog yang menulis banyak artikel mengenai ubi kayu juga ada menuli berkaitan khasiat pucuk daun ubi kayu (Sila klik disini). Siapa dikalangan kita yang tidak mengenali dengan pucuk ubi. Ada yang berkata pucuk ubi adalah sayur kampung tetapi kini ia telah dikomersilkan dibanyak restoren waktu makan tengahari. Bagi saya sayur kampung sepeti ini memang mempunyai nilai estetik yang tersendiri dimana lazimnya pucuk ubi yang di makan adalah sayuran organik 100%. Ini adalah kerana pokok ubi kayu selalunya akan ditanam dihampir semua tempat tanpa memerlukan penjagaan yang khusus, malahan jarang ianya dibaja atau disembur racun sekalipun. Ini menjadikan sayuran pucuk ubi ini amat tinggi nilainya dan selamat dimakan serta enak. Pucuk ubi kayu mengandungi pelbagai mineral, vitamin, asid amino dan protein yang sangat diperlukan badan. Protein sayuran yang terkandung dalam daun ubi kayu berfungsi sebagai unsur-unsur yang membina sel-sel badan dan merupakan komponen sistem enzim. Di samping itu kandungan asid amino dalam daun hijau pada ubi kayu dan pucuk lain seperti pucuk keledek, pucuk gajus dan sebagainya berfungsi sebagai pemecah karbohidrat kepada tenaga. Kandungan protein dalam daun ubi didakwa adalah setara dengan protein pada telur dan mengandungi lebih dari 60% asid amino esensial. Disebabkan oleh faktur kelebihannya ini maka daun ubi sangat baik untuk mencegah sembelit dan ia juga baik untuk kesihatan mata serta mampu meningkatkan kekebalan tubuh. Asid Amino dalam daun ubi kayu juga berguna untuk tujuan pemulihan luka dan kulit yang bermasalah serta rosak. Ia juga berfungsi untuk tujuan menggantikan sel-sel yang rosak, menguatkan tulang dan membantu daya ingatan yang baik. Selain itu juga ia didakwa membantu memulihkan sistem metabolisme tubuh. Klorofil dalam daun juga berfungsi sebagai antioksidan dan agen anti kanser. Daun ubi kayu sangat rendah kalori dan amat sesuai sebagai makanan yang dapat menurunkan berat badan. Pucuk ubi kayu juga dapat mengatasi masalah sembelit dan sistem penghadaman. Artikel malam Sabtu ini sambil meninton drama TV3 bersiri ''DIA" saya kupas semula dan tulis dalam "Anim Agro Technology'' mengenai pucuk daun ubikayu yang telah dijadikan komoditi komersil seperti dipaparkan dalam akhbar tempatan.


Tubuh kita memang memerlukan semua khasiat yang terkandung dalam pucuk daun ubikayu ini tapi mampukah kita untuk makan pucuk ubi dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi keperluan tubuh?. Juga bagi sesetengah orang yang kurang gemarkan sayur memang tidak akan cukup segala khasiat yang diperlukan. Dalam pada itu adalah baik jika kita menambah keperluan nutrisi dengan pengambilan supplemen seperti Essential Soy Protein (ESP). ESP juga mempunyai khasiat yang hampir sama dengan pucuk ubi. Bagaimana jika anda ingin menikmati keenakkan pucuk ubi terpulang kepada anda. Ada yang suka rebus dan cicah dengan sambal tumis atau sambal belacan, mungkin boleh dimasak lemak atau di buat urap atau kerabu. Kerja memetik daun ubi sangat mudah iaitu dengan cara mematahkan pangkal batang pucuk daun ubi lingkungan 20 - 40 cm panjang bergantung kepada varieti dan cuaca. Pada musim hujan lazimnya pucuk daun ubi lebih banyak dan panjang berbanding dengan musim panas kering. Pucuk daun ubi segar ini perlu di ambil helaian daun dengan cara untuk memisahkannya menggunakan tangan. Daun ubi didakwa mengandungi bahan 'cyanide' yang sedikit dan juga getah yang menyebabkan rasa pahit. Daun ubi perlu direbus dahulu sebelum dimakan dengan memasukkannya kedalam periok yang mengandungi air panas yang mendidih. Petua orang tua masukan setengah susu minyak masak kedalam rebusan air panas untuk melembutkan lagi daun ubi. Rebus selama 20-30 minit sehingga daun ubi menjadi lembut dan tidak keras atau liat lagi. Toskan air rebusan dan keluarkan air dengan memerah atau gengam perah dengan kuat sehingga tiada air rebusan daun ubi didalamnya.


(1) LAPORAN AKHBAR - MYMETRO
Budak jual pucuk ubi dapat perhatian



Miri - Kisah seorang kanak-kanak lelaki yang terpaksa menjual pucuk ubi untuk membantu menyara keluarga yang didedahkan Harian Metro, Jumaat lalu mendapat perhatian pihak berkaitan. Nasib untuk Mohamad Arif Afirul Abdullah yang berumur 9 tahun bersama adik-beradiknya terbela apabila mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang melawat keluarga berkenaan kelmarin (Sila lihat foto disebelah). Sebastian yang hadir bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluangkan masa sejam di bilik sewa keluarga itu. Beliau turut menyampaikan barangan dapur dan sumbangan peribadi. Sebastian berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memproses permohonan sijil kelahiran untuk Mohamad Arif dan empat orang lagi adik beradiknya secepat mungkin. “Selain itu, JKM akan terus membantu menguruskan urusan persekolahan kanak-kanak ini. Kami prihatin dengan nasib mereka dan akan cuba memberi bantuan sewajarnya,” katanya. Ibu Mohamad Arif Afirul, Megawati Mohamad Rosni, 40, berterima kasih kepada Harian Metro kerana pendedahan dibuat membolehkan mereka mendapat bantuan. “Terima kasih juga kepada Datuk Sebastian yang sudi melawat dan saya berharap proses menguruskan sijil kelahiran dan persekolahan berjalan lancar. “Alhamdulillah, anak saya dapat bersekolah seperti rakan sebaya mereka,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:20 AM


(2) LAPORAN AKHBAR - SINAR HARIAN
Sayur kampung laris
28 JULAI 2013



KUALA TERENGGANU – Sayur daun kayu atau sayur kampung memang laris sepanjang Ramadan. Sayur kampung biasanya terdiri daripada daun pucuk midin (pucuk paku merah), daun kaduk, pucuk ubi kayu, ubi keledek, daun kesum, kangkung, daun cekur manis dan pelbagai jenis sayuran lagi adalah bahan penting bagi menyediakan bubur lambuk yang merupakan hidangan istimewa setiap kali tibanya Ramadan (Sila lihat foto disebelah). Seorang lagi peniaga dikenali dengan nama Amidah Jaafar, 62 berkata, pada Ramadan dia menambah stok sayur kampung berdasarkan pengalaman sebelum ini selalunya kadar permintaannya bertambah berbanding hari biasa. Dakwanya jika hari biasa sayur-sayur ini hanya terjual 10 ikat sehari, tetapi pada Ramadan permintaan bertambah. Sebab itu saya menambah jualan sehingga 100 ikat sehari berdasarkan pengalaman sebelum ini," katanya. “Ada kalanya 100 ikat boleh habis dalam sehari sebab ada yang beli untuk buat bubur lambuk dengan kuantiti yang banyak. Harga bagi satu ikat sayur kampung adalah RM2,” katanya. Seorang lagi peniaga, Fatimah Senik, 50 berkata, sayuran ini merupakan penyeri dalam hidangan bubur lambuk, jika tiada bahan tersebut atau bahannya kurang rasa bubur lambuk menjadi kurang enak. Katanya, bekalan sentiasa mencukupi sebab pembekal mungkin telah mengetahui situasi tersebut. “Jika hari biasa, permintaan tidaklah selaris semasa Ramadan sebab bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak semasa bulan puasa. Setiap peniaga mungkin menjual dengan kadar berbeza bergantung orang tengah.  “Selain itu, mungkin setiap ikat itu juga ada tambahan sayur lain yang menyebabkan harganya berbeza,” katanya yang menjual dengan harga RM1.50 satu ikat.


(3) LAPORAN BLOG 

Pakcik Jual Pucuk Ubi

Penulis blog teringat cerita seorang rakan bernama Faizal semasa berjumpa dikampong tidak lama dulu. Beliau bercerita pasal ada Pak Cik Hassan iaitu orang kampung yang buat kerja simple sahaja dengan aktiviti mengutip pucuk ubi dan menjual di restoran dan kedai makan yang hendak bekalan ulam kampung. Jika seikat pucuk ubi lazimnya dia jual RM1.00 satu ikat. Kalau sehari Pak Cik Hassan boleh menjual 100 ikat makan dia sudah dapat RM100. Kalau 30 hari dia berterusan menjual maka pendapatannya sudah mencecah kepada RM3,000. Pak Cik Hassan baru kira untuk pucuk ubi. Kalau dia jual jantung pisang, pucuk paku, kangkung, daun limau purut, bunga kantan, kunyit, lengkuas, serai, daun kesum dan macam-macam lagi sayur-sayur kampung kuba anda kira berapa sebulan boleh beliau dapat. Kemungkinan gaji eksekutif swasta pun kalah sebagai perbandingan. Betul la pepatah Melayu ada menyebut, berbudi pada tanah takkan rugi. Hendak tanam pokok ubi bukan susah mana pun. Cuma perlu ada kawasan tanag dan ambil batang ubi kayu dan pacak sahaja. Lepas itu tunggu dia tumbuh membesar dan mengeluarkan daun. Bila sesuai maka sudah boleh petik pucuk dia. Sekarang trend orang dah kembali suka makan ulam dan sayur kampung yang dikatakan organik dan enak. Restoran masakan kampung pun memang telah menjadi satu trnd dan dapat sambutan hangat di kawasan bandar besar. Kini usahawan seperti ini dengan pasaran yang banyak memang sesuai dengan usaha pakcik yang menjual sayuran kampung. Itu pun stok masih selalu tidak cukup. Kini dakwanya demand melebihi bekalan. Cuba bayangkan kita export pucuk ubi ke luar negeri pula. Mungkin ia dipakejkan sekali dengan sambal belacan cantik-cantik dalam pek sejuk beku. Mungkin Pak Arab pun silap-sila suka makan pucuk ubi cicah sambal belacan bila kita demonstrate cara makan kat diaorang.

Kita di Malaysia ini bertuah sungguh. Bumi kita ini hampir semua pokok boleh hidup subur. Tetapi tidak ramai yang sanggup berjemur tengah panas atau bermandi peluh dan bau ketiak masam untuk usahakan tanaman untuk tujuan komersil. Lazimnya habis kuat pun, menanam setakat nak makan sendiri. Tidak cuba kaji prospek pasaran yang masih belum diteroka. Kalau orang Jepun yang kurang tanah itu pun sudah ada macam-macam teknologi yang mereka hendak tanam sayur secara komersil maka kita yang berlambak-lambak tanah terbiar tetapi masih tidak diusahakan. Jika hendak harap orang kampung sahaja mungkin sebab pendidikan dan pendedahan mereka kurang maka tidak boleh menyalahkan mereka. Oleh itu alangkah bagusnya kalau graduan dari Universiti yang keluar tiada kerja itu cuba komersilkan sayur kampung ni dibawah program ''My Kampung My Future''. Kin program ini yang dikelaskan dibawah program NBOS dibwah JPM dan MoA boleh dikembangkan dibeberapa kampong.  Memang sudah ada yang mulakan,tetapi berapa kerat saja yang sanggup. Ramai yang lebih suka memohon untuk masuk maktab atau kursus KPLI. Berebut mereka mengisi borang dan pergi temuduga dengan harapan dapat jadi cikgu sebab sudah tiada kerja lain. Matlamat pohon untuk mrnjadi cikgu sebab hendak makanak gaji dan mungkin bukan sebab minat mendidik. Kesian anak murid terpinga2 mendapat cikgu tiada motivasi. Oleh itu kalau betul hendak cari duit, apa kata explore benda yang orang tidak buat pula. Bukan benda haram pun ia benda halal. Pajaklah tanah orang ke, sewa tanah TNB, tanah tepi rel keretapi ke (kat Kajang aku tengok penuh je orang tanam sayur, sah ia bukan orang kita), tanah tepi paya ke (tanam kangkung boleh hidup) dan macam2 tanah lagi. Takkan hendak tunggu orang gali tanah kubur baru nak explore. Memang paling sengkek pun boleh dapat RM2,000 sebulan. Bolehlah kalau kerja sendiri dan kemudian ada masa buat benda lain lagi. Peram kacang soya dengan ragi untuk membuat tempe. Tempe adalah makanan yang kaya dengan protin dan mempunyai permintaan yang tinggi. Jika dlakukan maka aktiviti jual daun ubi dan produk tani lain boleh menjamin pendapatan baik.
Semuga tulisan dalam anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!..
PUCUK DAUN UBI... ADA DIMANA...
PETIK SELALU... MUDAH CABANGNYA...
DIJAUL SEIKAT...RAMAI PENGGUNA...
BACA ARTIKEL... MENDAPAT IDEA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria,
Bandar Baru UDA,
Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...