KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, May 16, 2018

RACUN BOTANI KAWAL GONDANG EMAS

SIPUT GONDANG EMAS (Pomacea spp.) merupakan sejenis hidupan dari kumpulan Siput yang merosakan tanaman padi di Malaysia. Mendengar namanya sahaja memang indah iaitu Gondang Emas...seolah-olah sesuatu yang berharga dan nilainya tinggi jika di jual dipasaran. Siput ini dipercayai berasal daripada kawasan paya di Argentina dan Brazil di Benua Amerika Selatan merupakan perosak utama tanaman padi di beberapa negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand, Filipina, Indonesia dan banyak lagi negara pengeluar padi. Penanam padi perlu kenal akan Siput Gondang Emas atau ringkasnya SGE kerana keujudannya mudah dilihat dengan mata kasar dan telurnya yang terang berwarna merah jingga mudah dilihat. Saya banyak menulis mengenai SGE ini didalam blog anim agro technology ini (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Walau pun ada beberapa kalangan penduduk tempatan suka makan akan SGE ini tetapi oleh kerana kadar pembiakannya yang cepat tepap merosakkan tanaman padi sehingga tahap kepada tahap kritikal. Kitaran hidup SGE adalah sangat mudah dan singkat. Biasanya SGE dewasa akan bertelur pada pokok padi dengan bilangan telur yang banyak dan berwarna merah jingga yang terang. Telur SGE terdapat pada pokok padi, rumput dikawasan sawah, ranting pokok, dahan dan tiang-tiang jambatan atau sebarang permukaan keras diatas permukaan air. Siput SGE lazimnya bertelur pada waktu malam dimana cuaca sejuk dan tiada sinaran matahari. Kajian mendapati setiap daripada longgokan telur mengandungi purata sebanyak 500 biji telur. Kemampuan seekor siput SGE betina bertelur sebanyak 2,000 - 3,000 biji setahun. Kalau ada 1,000 ekor SGE betina berapa banyak telur mampu dihasilkan dalam setahun iaitu berjuta biji. Telur ini akan menetas dalam masa 7-14 hari kemudian untuk menjadi anak tetas (atau senang disebut anak siput SGE).  Anak tetas daipada telur SGE ini berukuran 2 mm selepas menatas dan mampu bergerak selaju 2-5 cm seminit serta sangat aktif bergerak. Anak tetas akan makan pokok padi sehingga berukuran 3 cmm panjang dan akan hidup selama 59-85 hari sebelum menjadi SGE dewasa. Biasanya pada ketika ini cengkerang siput akan berwarna coklat tua atau kuning emas dan mempunyai otot kaki untuk bergerak berwarna coklat tua atau kuning. Kajian saintis mendapati jantina siput SGE adalah berasingan dimana biasanya siput betina akan mula bertelur selepas berumur 2 bulan. Siput betina SGE mampu hidup sehingga 3 tahun jika tidak dikawal. Paling kritikal adalah apabila siput gondang emas dewasa mampu hidup dalam lumpur pada sawah kering selama 6 bulan. Artikel subuh ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai temuan bahan Racun Botani dicipta didakwa mampu mengawal Siput Gondang Emas sekadar dikongsi bersama pembaca.

Dalam akhbar Harian Metro, penulis blog memetik artikel bertajuk ''Racun Botani Godang Emas'' dilaporkan oleh wartawan Mohamad Husin yang mana penulis blog tulis semula. Ia merupakan teknologi pertanian yang menarik dimana ia temuan saintis tempatan mengenai kejayaan satu kaedah kawalan SGE di sawah padi. Lazimnya penulis blog selalu mendapat laporan mengenai masalah yang membelenggu pesawah kerana tanaman padi mereka diserang siput gondang emas (apple snail) iaitu sejenis perosak yang mampu menyerang tanaman padi dan mengurangkan hasil. Bagaimana pun perkara ini rupanya mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan ekstrak daripada Daun Furcraea (Fucraea selloa). Pokok Furcraea ini mudah ditanam dinegara kita dengan suburnya (Sila lihat foto disebelah). Mereka menghasilpak produk dinamakan sebagai Nano-Emulsion Formulation of Saponin atau Formulasi Nano-Emulsi Saponin. Racun botani teknologi hijau itu tidak mencemarkan alam tetapi mampu menghapuskan siput gondang emas yang makin banyak menyerang pokok padi sehingga menjejaskan pengeluaran hasil padi negara. Dalam laporan tersebut, Ketua Projek dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Rita Muhamad Awang berkata dimana racun itu menggunakan 10 peratus bahan aktif berasaskan saponin yang diekstrak daripada daun Fucraea selloaBeliau berkata seterusnya manakala 90 peratus bahan lengai berasaskan sayuran yang efektif untuk mengawal siput gondang emas. Saponin adalah senyawa aktif di permukaan yang kuat dan menimbulkan buih apabila digoncang dengan air.

Sebenarnya diantara kelebihan inovasi ini ialah ia mudah diurai menjadi bahan tidak bahaya dan saponin tidak kekal di dalam persekitaran. Racun ini memiliki ciri-ciri penghalang pemakanan yang berkesan sebagai racun siput botanikal selain menggunakan aplikasi teknologi hijau. Penyelidikan yang dijalankan sejak 2012 itu menggunakan tumbuh-tumbuhan (Sila anda lihat foto disebelah)Kaedah kawalan biologi iaitu racun botani dihasilkan menggunakan bahagian pokok yang berpotensi untuk mengawal serangga perosak. Dr Rita berkata dimana beliau bersama dua pegawai penyelidik UPM iaitu Dr Anis Syahirah Mokhtar dan Ahmad Tamsil Shariff menghasilkan racun berkenaan sebelum ia dipatenkan tahun lalu. Kajian menunjukkan ekstrak Fucraea selloa mempunyai potensi dalam mengawal pembiakan siput gondang emas pada tanaman padi. Kaedah ini dapat digunakan sebagai racun botani bagi mengawal pembiakan siput gondang emas di kawasan sawah. Semua sedia maklum siput ini perosak utama tanaman padi di negara ini. Siput ini memakan batang dan daun padi sehingga menyebabkan kematian serta kerosakan pada keseluruhan kawasan penanaman padi dalam masa yang singkat. Kini kebanyakan pesawah padi menggunakan racun kimia di pasaran kerana racun itu memberi kesan efektif dan segera ke atas siput gondang emas. Bagaimana pun penulis blog faham penggunaan racun itu boleh memberi kesan negatif kepada persekitaran termasuk manusia dan hidupan lain. Kawalan secara biologi dihasilkan didapati mampu mengelak penggunaan racun kimia berkenaan. Penyelidikan ini antara projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sudah mempunyai perlindungan harta intelek (paten) sejak tahun lalu.

Dalam laporan lain bertajuk ''Racun botani kawal siput gondang'' sekumpulan para penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperkenalkan ekstrak daripada bahan tumbuhan bagi mengawal perosak siput gondang emas atau nama saintifiknya Pomacea canaliculata yang dikenali sebagai produk Biopesticide. Penyelidikan diketuai Ketua Pusat Pengajian Siswazah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM, Dr Siti Noor Hajjar Md Latip bersama lapan pelajar doktor falsafah (PhD) dan sarjana iaitu Rosdiyani Massaguni, Anis Syahirah Abu Bakar, Mohd Fahmi Keni, Amirah Sa’adah Nafisah Othman, Rohaya Ibrahim, Farah Wahida Mohd Nawi, Siti Hawa Puteh Mansur dan Nor Fadhilah Che Embi. Dr Siti Noor Hajjar berkata, penyelidikan yang dijalankan sejak 2010 itu menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti Semambu (Azadirachta indica), Kangkung (Ipomoea aquatica) dan Jemerlang laut atau Batai (Pelthoporum pterocarpum). Kaedah kawalan biologi iaitu racun botani telah dihasilkan menggunakan bahagian pokok yang berpotensi untuk mengawal serangga perosak. Tumbuhan berkenaan diakui mempunyai ciri-ciri racun makhluk perosak ke atas serangga perosak. Namun demikian dari kajian saintifik menggunakan pokok ini untuk mengawal pembiakan siput gondang emas masih kurang mendapat perhatian dalam kalangan ramai penyelidik di negara ini. Mereka menemui kajian penggunaan biji pokok semambu, daun kangkung dan batai yang telah diekstrak bagi menghasilkan racun botani untuk mengawal siput gondang emas. Projek ini diiktiraf pada Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk 2015 (IIDEX 15) di UiTM Shah Alam. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa ekstrak menggunakan pelarut metanol yang dihasilkan daripada pokok semambu, kangkung dan batai mempunyai potensi dalam mengawal pembiakan siput gondang emas.

Sebaiknya kadar kepekatan paling efektif berasaskan pokok berkenaan boleh dirumus dan dikomersialkan sebagai racun perosak secara biologi. Kaedah ini dapat digunakan sebagai racun botani bagi mengawal pembiakan siput gondang emas di kawasan sawah. Semua sedia maklum bahawa siput gondang emas ini perosak utama tanaman padi di negara ini. Siput ini selalu memakan batang dan daun padi yang menyebabkan kadar kematian serta kerosakan pada keseluruhan kawasan penting penanaman padi dalam masa yang singkat. Kini kebanyakan petani menggunakan racun kimia yang terdapat di pasaran kerana racun itu memberi kesan yang efektif dan segera ke atas siput gondang emas. Dengan penggunaan racun ini boleh memberi kesan negatif kepada persekitaran termasuk juga manusia dan hidupan lain. Oleh sebab itu kaedah kawalan secara biologi dihasilkan bagi mengelak penggunaan racun kimia berkenaan. Dari segi kos dalam penyelidikan membabitkan peruntukan RM172,000 diperoleh menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Skim Dana Kecemerlangan Universiti sepanjang tempoh lima tahun itu. Kajian ini diharap mampu memberi manfaat kepada masyarakat, alam sekitar, sekali gus mena­ngani isu perosak pada tanaman padi. Hasil kajian penyelidikan diterbitkan dalam pelbagai jurnal sains pada peringkat antarabangsa dan nasional. Selain itu, kajian penyelidikan ini juga memenangi pingat emas dalam Ekspo Kajian, Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk (RIID 2014). Pingat gangsa di Cabaran Inovasi Pertanian Malaysia (MAGIC 2014) dan pingat emas serta produk terbaik di peringkat UiTM pada awal tahun ini. Penemuan kajian ini dalam proses permohonan paten, seterusnya produk racun botani ini bakal dikomersialkan untuk digunakan oleh petani. Semuga artikel subuh ini dapat memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

RACUN BOTANI... IA SUDAH DICIPTA...
KAWAL SIPUT SGE... BAIK KESANNYA....
OLEH UPM DAN UTHM...KAJIANNYA...
KAJIAN INI... PESAWAH GEMBIRANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Jalan Padi Ria,
Bandar Baru UDA, 
Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(20 Syaaban 1439H). 
Posted from Room 530,
Hotel Dorsett, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...