KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, April 11, 2018

TEKNIK MEMBAJA NANAS DI TANAH MINERAL

PEMBAJAAN TANAMAN NANAS MD2 (Ananas comosus) merupakan satu amalan agronomi yang perlu dilakukan untuk mempastikan nanas mendapat sumber nutrien atau baja mencukupi dalam proses pertumbuhannya. Lazimnya pembajaan tanaman nanas pada kawasan tanah gambut berbeza dengan nanas ditanah mineral dengan baja akan ditabur terus disekeliling pokok dengan menabur baja butir atau menyembur baja daun teus kepada tanaman. Kini akibat daripada usahawan nanas terutama nanas MD2 telah diusahakan diatas batas pada tanah mineral yang dipasang dengan plastik silvershine  maka kaedah pembajaan nanas telah disesuaikan semula. Jika baja butir ditabur terus pada batas tannaman yang ada plastik maka baja ini tidak akan masuk kedalam tanah sebaliknya jatuh kedalam arit atau lorong batas tanaman semasa hujan. Ini merugikan penanam nanas akibat baja yang tidak sampai pada akar pokok nanas. Sebaiknya baja butir ini perlu dimasukkan kedalam batas tanaman yang bertutup dengan plastik melalui proses yang khusus. Baja NPK 15:15:15 diberikan untuk umur peringkat vegetatif dan baja NPK 15:15:17:2 TE pula diberikan kepada tanaman nanas untuk proses pembuahan. Penulis blog telah membuat pengamatan bagaimana kaedah pembajaan yang dilakukan di kebun Suffian di Kg Bujal, Kijal, Terengganu untuk ianya dikongsi bersama semua pengusaha nanas.  Artikel subuh ini dalam ''Anim Agro Technology'' saya menyediakan info kaedah bagaimana teknologi pembajaan tanaman nanas MD2 sebagai satu panduan yang boleh dijadikan bahan rujukkan semua.


Alat Khas Membaja digunakan di kebun ini menggunakan beberapa komponen yang disesuaikan untuk membaja (Sila lihat foto disebelah). Komponen yang digunakan adalah Polipaip HDPE 1 inci sepanjang 4 kaki, Corong Isi Baja, Penyukat Baja dan juga Karung Baja serta besi penebuk lubang. Polipaip Hitam ini perlu ditajamkan dibahagian bawah dengan dipotong menyerong untuk memudahkan ia dicucuk keatas permukaan plastik silvershine. Polipaip ini biasanya keras dan sesuai untuk dicucuk terus kedalam tanah dipangkal pokok nanas mengikut umur penanaman. Corong Plastik daripada botol minuman terpakai air bergas dipotong bahagian atasnya dan dipasang dipangkal polipaip untuk tujuan pengisian baja butir. Ia bertujuan bagi mempastikan butir baja tidak jatuh ketanah dan mempastikan semuanya masuk kedalam saluran polipaip. Baja NPK ini diambil daripada beg baja dan dimasukkan kedalam karung baja dengan kuantiti sedikit agar tidak berat dan mudah dibawa atau ketika membongkok sedikit dan tidak tumpah. Karung Baja ini diselempangkan dibadan petugas untuk membolehkan kedua tangannya bebas memegang alatan ini dan juga untuk mencurahkan baja. Sukat Baja disediakan untuk kadar ukuran 20 gram baja butir setiap lubang pembajaan. Ia menyukat jumlah baja dimasukkan kedalam lubang pembajaan mengikut kaedah pembajaan yang ingin dilakukan.


Baja butir NPK yang digunakan sebaiknya adalah jenis NPK 16:16:16 daripada jenama Yara Milla. Baja ini merupakan jenis baja yang baik untuk tanaman nanas kerana ia dari kategori ''fast release fertilizer'' yang memberi kesan baik kepada pertumbuhan nanas. Ia dibeli daripada kedai di Cameroon Highland dengan harga runcit RM160.00 untuk satu beg 50 kg. Harga runcit baja Yara Milla ini dijual di Terengganu adalah melebihi RM180.00 satu beg dan kadang kala ia melebihi RM200 satu beg yang sama. Menurut En Suffian, baja YaraMilla memang selalu memberikan kesan pertumbuhan terbaik untuk tanaman nanas selepas pokok dibaja berbanding dengan beberapa jenama baja jenis lain (Sila lihat foto disebelah). Beliau juga kini sudah membeli beberapa beg baja Yara Milla jenis NPK 12:12:17:2 untuk penghasilan buah pada plot tanaman yang telah bersedia untuk dihormon. Pembajaan tanaman nanas adalah sangat perlu untuk mempastikan pokok hidup subur dan akan menghasilkan buah nanas MD2 yang mempunyai saiz besar serta kualiti tahap kemanisan mencecah 18-20 darjah Brix. Dari pemerhatian mata kasar dilihat tanaman nanas dikebun ini telah mencapai kadar pertumbuhan yang memuaskan malahan ianya cukup subur. Kaedah pembajaan dengan baja butir dan bja semburan membolehkan pertumbuhan nanas dikebun ini memuaskan.


Bagi tujuan membaja menggunakan alatan ini diperlukan satu lagi alatan iaitu besi membuat lubang penanaman (Sila lihat foto disebelah). Besi bersaiz 3 cm garispusat ini berfungsi untuk membuat lubang pembajaan pada plastik silvershine. Besi ini perlu di halakan kebahaian tepi antara perdu nnas atau dibahagian tengah batas tanaman bergantung kepada umur pokok nanas. Untuk pokok kurang 4 bulan ia boleh dibaja diantara baris tanaman dengan kuantiti 20 gram bagi setiap satu lubang atau sepokok sebaliknya jika pokok nanas sudah beumur 7 - 8 bulan sebaiknya dijarakkan setiap 8 pokok sebanyak 40 gram baja butiran NPK. Kedah pembajaan ini bai memastikan semua baja akan dapat diambil oleh akar nanas yang telah mencecah dilokasi pembajaan. Pokok nanas juga perlu dibaja seberapa kerap dengan kadar sama untuk mendapatkan kesan yang maksima tetapi perlu dikira kewajarannya membuat kerja pembajaan dengan kuantiti sedikit berbanding dengan jumlah pokok nanas yang beribu-ribu jumlahnya sehektar. Bagi mendapatkankesan pembajaan yang lebih baik disyorkan agar menggunakan jenis baja semburan dan baja daun (foliar fertilizer). Baja foliar banyak membentu tanaman nanas untuk memberikan pertumbuhan cepat dan mampu mengurangan serangan penyakit seperti Reput Perdu Bkteria (BHR) yang selalu menyerang nanas MD2 pad musim hujan. semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog ''Anim Agro Technology'' kali ini. Wasallam!!!...
MENANAM NANAS.... MESTI DIBAJA...
ADA PLASTIK.... KAEDAH BERBEZA....
GUNA POLIPIPE... LUBANG KENA ADA...
BAJA DITUANG... MASUK KEAKARNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 716, Awana Resosrt World,
Kijal, Kemaman,
Terenggannu, Malaysia.
(2 Rejab 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...