mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, April 10, 2018

TANAMAN LADA HITAM DI KETENGAH

TANAMAN LADA HITAM DI KETENGAH, TERENGGANU merupakan satu usaha untuk menghasilkan lada di negeri tersebut. Penulis blog yang sempat membuat pemantauan di plot percubaan di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu seluas 2 ekar ini disambut oleh pengurus projek iaitu En Jafre dan En Din bersama ahli rombongan pegawai daripada LPNM Terengganu. Organisasi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) adalah merupakan salah sebuah agensi penting di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang telah diperbadankan pada 12 April 1973 melalui Akta Parlimen Bil. 104/73 dengan diberi kuasa untuk organisasi menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi kawasan pedalaman Daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Pada 12 Jun 1993 Kawasan Pembangunan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seluas 209,199 hektar telah digezetkan melalui P.U.(B) 356 dan pelan warta kawasan No. PW486 sebagai sebahagian daripada kawasan KETENGAH menjadikan keseluruhan wilayah KETENGAH berjumlah 653,075 hektar atau kira-kira satu perdua daripada seluruh keluasan Negeri Terengganu. Tinjauan penulis blog ke plot tanaman lada ini adalah tidak disengajakan selepas penulis blog melawat projek tanaman nanas MD2 iaitu di kawasan Ketengah yang dimajukan dibawah bimbingan mereka. Lada Hitam (Piper nigrum Linn) yang mana ia dipercayai berasal dari Barat-Daya India rempah daripada keluarga Piperaceae yang digunakan dengan meluas diseluruh dunia. Serbuk lada hitam digunakan sebagai perasa makanan dimana ia juga merupakan produk buah daripada tumbuhan tropika jenis memanjat. Saya ada menulis banyak mengenai lada hitam dalam penulisan sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sil klikdisini) dan banyak lagi. Di Malaysia tanaman lada hitam banyak ditanam di Sarawak selain daripada sedikit di Johor (Kulai) dan Sabah. Keluasan tanaman lada hitam di Malaysia adalah pada kadar sekitar 13,000 hektar dimana kebanyakannya ditanam oleh pekebun kecil terutama di negeri Sarawak. Tanaman lada telah lama ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula pada tahun 1900-an. Tanaman ini telah dibawa masuk ke negara kita oleh orang penjajah Eropah yang membawanya daripada negara lain. Artikel tengah malam ini saya menulis lagi di dalam blog ''Anim Agro Technology'' mengenai aktiviti penanaman lada hitam di Terengganu sebagai satu catitan untuk dijadikan bahan rujukkan anda pembaca semua.

LADA HITAM merupakan tanaman berpotensi ditanam di negara kita kerana kesesuaian iklim dan cuaca. Di Malaysia Negeri Sarawak merupakan pengeluar utama lada hitam yang terkenal sejak lama dahulu. Kini lada hitam atau Lada ini dikelolakan oleh Lembaga LADA Malaysia yang beribupejabat di Kuching, Sarawak. Pada penulis blog, lada hitam atau juga 'Pepper' dikenali oleh masyarakat seluruh dunia sebagai ramuan masakan perisa dan dijadikan sos lada. Malaysia menduduki tempat kelima sebagai pengeluar lada dunia selepas Vietnam, India, Indonesia dan Brazil. Bukan mudah untuk kita hendak menanam lada hitam untuk menghasilkan buah berkualiti dan gred yang baik. Lada Hitam masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai salah satu punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri Sarawak. Keluasan purata kebun lada direkodkan masa kini adalah 0.2 hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah yang aktif menanam seperti di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada hitam di Sarawak ialah kira-kira 13,000 hektar (Sumber: Laporan Tahunan, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak 2015). Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 berbanding sebanyak 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus hasil dari pengeluaran lada di Malaysia adalah di Negeri Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Bentuk Lada untuk Eksport masa kini adalah dimana kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk Lada hitam (Black Pepper) dan Lada Putih (White Pepper).

Penulis blog sempat memberitahu ilmu teknikal mengenai tanaman lada hitam kepada En Jafre yang juga terkejut dapat berjumpa dan berkenalan dengan penulis blog Anim Agro Technology yang mana beliau sering menjadikan blog ini sebagai sumber rujukan ilmu pertanian sejak lama dulu (Sila anda lihat foto disebelah). Pada masa ini banyak varieti atau kultivar terutama di negara India yang merupakan tempat asal tanaman lada. Bagaimana pun di Sarawak antara variti/kultivar yang paling banyak ditanam ialah Varieti Kuching merupakan varieti lada yang ditanam oleh Ketengah sejak dahulu. Kini Ketengah sedah dalam proses akhir membersihkan kawasan untuk penanaman lada seuas 20 hektar engan varieti Kuching iaitu dikawasan yang berhampiran dengan tempat lawatan program 'Road to MAHA 2018' di Kemaman, Terengganu. Selain itu melalui daripada aktiviti berterusan penyelidikan, Jabatan Pertanian Sarawak telah menghasilkan dua varieti lada iaitu varieti 'Semongok Perak' dan varieti 'Semongok Emas' dimana keduanya kini belum ditanam disini. Terdapat 47 'kemasukan' (accessions) Piper nigrum dan 46 'kemasukan' (accessions) spesies Piper di dalam koleksi germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok. Bahan-bahan ini telah digunakan untuk program penambahbaikan tanaman lada. Lada Hitam di Sarawak sebenarnya mula ditanam oleh pekebun Cina tetapi kini kira-kira 87 peratus daripada pekebun lada adalah kaum bumiputera, terutama kaum Iban dan Bidayuh iaitu hasil daripada galakan dan bantuan skim penanaman yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1972. Penulis yang pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak dari 1995-1997 dapat melihat industri penanaman lada hitam diseluruh negeri tersebut.

Lazimnya bagi kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar maka perlu ada sistem parit perlu disediakan kerana tanaman ini tidak sesuai jika ada akar terendam dalam air. Pokok lada ditanam di atas busut (mounting) yang mesti disediakan semasa penyediaan tanah (Sila lihat foto disebelah). Secara tradisional lazimnya pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk dimana ia boleh merosakkan permukaan tanag dan sebab itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi. Menanam di ladang perlukan masa yang betul dan disesuaikan dengan cuaca. Masa yang paling sesuai untuk menanam lada adalah di antara bulan Oktober sehingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna. Tiang sokongan amat penting bagi tanaman ini. Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang sokongan alternatif. Di projek ini tiang kayu digunakan dan pokok gliricidia ditaam sebagai pokok pelindung.

Selain dari lada hitam dicelah-celahnya diletakkan log kelulut (Trigona itama) sebagai satu usaha mendapatkan madu keluut dan sebagai agen pendebungaan lada hitam. Daripada 120 log kelulut yang di beli kini hanya sekitr 76 log yang berpenghuni dimana bakinya kosong akibat koloni yang telah lari (Sila lihat foto disebelah). Dari pemerhatian penulis blog mendapati kehadiran kelulut dikebun ini membantu dalam proses pendebungaan lada hitam yang membolehkan buah lada dilot ini lebat buahnya. Pemasangan jaring hitam (black netting) diatas log-log kelulut membantu mengurangkan suhu panas matahari tetapi masih tidak mencukupi. Pengamatan penulis blog mendapati selain daripada faktor kekurangan makanan untuk kelulut, suhu panas akibat log yang terdedah kepada matahari dan panas menyebabkan ia lari keluar. Selain itu disyorkan agar meletakkan sumber air disekitar kelompok log kelulut kerana sumber air untuk kelulut tiada disediakan. Persekitaran kawasan penternakan kelulut bersih dan kurang serangan perosak seperti semut, kerengga, mengkarong dan pelbagai musuh lain. Membuat ujirasa madu kelulut yang dihasilkan didapati ia mempunyai rasa bunga lada dan kutipan madu kelulut dijual dengan harga RM180 sekilogram. Pasaran untuk madu kelulut dan lada hitan dari projek ini lazimnya kepada kakitangan dan juga semasa pameran HPPNK atau MAHA dan juga pameran diperingkat negeri. Pemantauan penulis blog keprojek ini dapat menambah ilmu pengetahuan penulis blog dan mereka yang berada dilokasi projek. Semuga artikel subuh ini dapat memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!!!..
NAMA KETENGAH... PERTANIAN AKTIVITINYA..
KELAPA SAWIT... BERIBU HEKTAR LUASNYA...
DICELAH KAWASAN...ADA MENANAM LADA... 
BERSAMA KELULUT... PERCUBAAN MEREKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 716, Awana World Resort,
Kijal, Kemaman, Terengganu,
Malaysia.
(19 Rejab 1439H).
Posted from Room 403, Pulai Spring Resort,
Johor Bahru, Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...