mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, April 19, 2018

AKUJANJI PROJEK KNaL LPNM

PROJEK TANAMAN KLUSTER NANAS LESTARI (KNaL) merupakan satu projek tanaman nanas yang berkonsepkan kepada Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Projek ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 oleh LPNM di dua kawasan iaitu Stesyen LPNM di Alor Bukit, Pontian Johor (SAB) dan juga Stesyen LPNM Sungai Tong, Terengganu (SST). Dalam program KNaL ini peserta projek perlu memohon kepada LPNM dan calon-calon akan dipanggil temuduga untuk mereka mendapat lokasi kebun penanaman nanas. Setiap peserta yang berjaya akan diberikan kawasan sewaan tanah bagi penanaman nanas seluas 4 hektar (10 ekar) untuk memajukan tanaman nanas terutama varieti MD2 atau varieti premium nanas lain mengikut jadual penanaman yang diaturkan oleh pihak LPNM. Daripada lebih 40 permohonan yang diterima hanya sebanyak 13 orang berjaya dipilih untuk projek KNaL dimana 12 orang Alor Bukit dan seorang lagi peserta di Sungai Tong, Terengganu. Mereka dijangka akan memulakan penanaman pada bulan Mei atau Julai 2017 mengikut jadual penanaman yang akan diberikan oleh pegawai penjaga. Kedua-dua kawasan penanaman telah disempurnakan infrastruktur asas. Nanas MD2 telah dikenalpasti sebagai diantara varieti nanas yang akan ditanam selain daripada beberapa varieti nanas premium lain. Projek KNaL ini dijangka akan menjadikan kawasan penanaman nanas yang komersil bagi usahawan dengan kaedah pengurusan yang lebih sempurna. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis rencana mengenai majlis menandatangani akujanji peserta projek untuk pembangunan tanaman nanas dibawah program KNaL yang dilaksanakan oleh LPNM.


Penanaman nanas merupakan satu daripada program pembangunan pertanian yang mana ia telah dikelaskan sebagai satu projek dibawah Sumber Kekayaan Baru (SKB) selain daripada sektor Kulinari, Tanaman Durian, Tanaman Kelapa, Projek Tenusu, Sarang Burung Walit, Madu kelulut dan tanaman Jagung Bijian. Nanas (Ananas commosus) adalah buah yang paling konsistent yang dapat membekalkan buah-buahan untuk dimakan segar dan juga untuk diproses menjadi produk makanan lain seperti jus, kuih dan sebagainya. Kini terdapat seluas 25,774 hektar kawasan fizikal kebun nanas dimana hanya 13,148 hektar sahaja di tanam pada 2016. Daripada jumlah tersebut seluas 10,354 hektar mengeluarkan hasil sebanyak 391,714 metrik tan bernilai sekitar RM515.48 juta (Sumber: Laporan Statisk Industri Nanas, LPNM 2016). Varieti nanas N36 dilaporkan mendominasi penanaman nanas dengan keluasan 2,462 hektar (18.7%) diikuti dengan nanas Josapine seluas 1,960 hektar (14.9%) dan Nanas MD2 seluas 1,547 hektar (11.7%). Nanas Moris yang dahulu paling luas ditanam hanya ada seluas 1,659 hektar sahaja (12.6%). Negeri Johor didapati negeri yang masih merupakan paling luas menanam nanas dengan jumlah keluasan 8,934 hektar (68%) menghasilkan sebanyak 273,949 metrik tan buah nanas yang bernilai sekitar RM350.2 juta pada tahun 2016. Industri tanaman nanas negara terus berkembang saban tahun apabila nanas MD2 mendapat permintaan baik dikalangan pengguna tempatan dan pasaran eskport untuk dimakan segar. Penanaman nanas didominasi oleh pekebun kecil dengan purata keluasan kurang dari 2 hektar dengan anggaran bilangan mereka seramai 3,100 orang. Beberapa kawasan penanaman nanas secara estet bagaimana pun masih ada di Johor seperti Syarikat Lee Pineapple, Sykt FIMA Group, KPF Sdn Bhd dan di Daerah Rompin, Pahang.


Dalam penanaman nanas, antara perkara yang menyebabkan kekangan permulaan untum menanam adalah kos input sulur benih. Ia dikenalpasti sebagai diantara modal yang tertinggi dalam menyumbang kos pengeluaran. Anggaran keperluan benih nanas premium MD2 bagi seekar sekitar 20,000 sulur (atau 49,700 sulur sehektar) dan seorang peserta KNaL memerlukan sekitar 200,000 sulur benih untuk keluasan 10 ekar. Jika harga runcit benih MD2 sekitar RM1.50 satu sulur maka anggaran kos untuk benih sahaja adalah sebanyak RM300,000. Mereka perlu juga didalam menyediakan tanah untuk penanaman, kos penanaman, pembelian racun dan bahan kimia, upah menabur baja, pembelian hormon pembungaan, kos racun rumpai dan juga meracun serta kerja-kerja memetik buah nanas. Seorang usahawan nanas memang perlukan modal yang besar walau pun menanam untuk 10 ekar sahaja. Jangkamasa aktiviti penanaman sehingga mereka boleh menuai untuk nanas varieti selama 14-16 bulan dimana anggaran hasil jika pokok dijaga dengan baik adalah sekitar 240,000 kg dengan anggaran nilai pendapatan kasar sebanyak RM600,000 diatas kertas. Jika jangkamasa memetik hasil selama 15 bulan maka peserta dijangka mampu untuk mendapat pendapatan bulanan melebihi RM5,000 sebulan. Bagaimana pun faktur harga, serangan penyakit dan gred buah akan menentukan anggaran pendapatan peserta projek. Pada masa artikel ini ditulis permintaan untuk nenas MD2 makan segar amat tinggi kerana ia merupakan nanas premium yang juga diterima untuk pasaran antarabangsa. Potensi untuk sieksport amat besar dimana untuk negara China sahaja diperlukan sebanyak 100 kontena sebulan.


Kawasan Projek KNaL di Stesyen LPNM Alor Bukit adalah dari jenis tanah gambut yang pernah ditanam nanas dahulu. Tanah tersebut telah dibangunkan semula dengan membersihkan semak, membina perparitan dan memagar kawasan serta membina jalan ladang yang baru. Jalanladang yang telah diturap dengan batu putih siap dibina untuk membolehkan peserta sampai kelokasi kebun dengan mudah (Sila lihat foto disebelah). Setiap lot adalah 10 ekar luasnya dimana penanaman nanas boleh dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk tujuan pengeluaran hasil dan juga kekangan jangkamasa penanaman. Pelbagai cara amalan teknologi boleh diamalkan dengan nasihat daripada pakar-pakar nanas yang bertugas di pejabat stesyen LPNM berhampiran. Buah nanas yang berkualiti kelak boleh mereka dipasarkan untuk pasaran domestik mahu pun untuk pasaran eksport. Stesyen SAB disini telah mempunyai pusat rawatan eksport nanas yang mana pada masa ini digunakan oleh sebuah syarikat tempatan bagi mengeksport nanas N36 ke Timur Tengah dengan kekerapan 2 minggu sekali dan juga kadang-kadang lebih kerap mengikut tempahan dan bekalan buah. Majlis menandatangani surat akujanji peserta projek KNaL hari ini merupakan titik mula dalam perlaksananaan penanaman nanas sebagai sumber makanan yang penting untuk negara dengan lebih terancang dengan projek KNaL. Majlis menandatangani ini disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani alaysia, Ketua Pengarah LPNM, Pengarah-pengarah Bahagian di LPNM serta ramai Pengarah-pengarah MoA yang lain diperingkat Persekutuan dan Negeri. 

Majlis ini mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13 April 2018 dengan tajuknya "Program KNal tingkat daya saing sektor nanas"DATUK Seri Dr. Ismail Bakar ketika sesi town hall bersama warga Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di LPNM Daerah Pontian, Johor. (Sila lihat foto disebelah) ditulis oleh wartawan Muhamad Azim Zaid. Berita yang di petik di PONTIAN 13 April - Program Kluster Nanas Lestari (KNaL) dijangka menambah pengeluaran tanaman itu sekaligus mampu meningkatkan daya saing sektor nanas. Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) , Datuk Mohd Anim Hosnan berkata, setakat ini seramai 13 usahawan telah dipilih untuk menyertai program itu dengan melibatkan keluasan 120 ekar. “Program KNaL akan diperbesarlan dengan sasaran keluasan 650 ekar dan penggunaan tanah melibatkan usahasama dengan kerajaan negeri. “Kita akan melibatkan seramai 65 peserta baru secara berperingkat. Program ini juga membantu untuk menampung eksport nanas jenis MD2 terutamanya ke negara China,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Sesi Town Hall Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkatabbersama warga Lembaga Perindustrian Nanas Negeri Johor dekat sini hari ini. Pada majlis sama turut diadakan Majlis Menandatangani Akuan Setuju terima projek premium KNaL bagi kawasan Alor Bukit Pontian, Johor. Program KNaL diwujudkan menggunakan pendekatan Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang merupakan satu srategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi oleh usahawan termasuk sektor swasta. Tambah Ismail, KNal mampu membangunkan dan meningkatkan penglibatan usahawan dalam bidang pengeluaran tanaman secara komersial. Katanya, peserta menerusi program itu juga mampu menjana pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan. “Pelbagai usaha telah dibuat dan ini antaranya bagi golongan petani menambahkan pendapatan mereka dan keluar daripada zon selesa,” ujarnya. - Sumber berita UTUSAN ONLINE.
Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!..
PROJEK NANAS... KNaL KAEDAHNYA...
PEMILIHAN....PESERTA DITEMUDUGA... 
TAWARAN DIBERI... PROJEK BERMULA...
KAMI DOAKAN... SEMUGA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPN Stesyen Alor Bukit,
Pontian, Johor,
Malaysia.
(30 Rejab 1439H)..

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...