KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 17, 2016

POKOK GUARANA - APA DIA?

POKOK GUARANA?... Apa dia?.. Itulah persoalan yang penulis mula-mula terfikir apabila membaca laporan akhbar KOSMO, UTUSAN dan beberapa lagi beberapa minggu lepas. Artikel dalam akhbar tersebut bertajuk "RISDA galak tanam pokok guarana" yang ditulis oleh ZAID MOHD. NOOR telah menyebabkan saya membuat carian rujukkan untuk mengetahuinya. Foto dalam akhbar tersebut juga mungkin agak kurang jelas dengan tanaman tersebut (Sila lihat foto diatas). Ia mungkin diambil sebagai foto hiasan daripada lamanweb yang mana pokok guarana tersebut mungkin ditanam diluar negara. Caption bagi foto tersebut berbunyi iaitu 'Penanaman pokok guarana dilihat mampu didalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah kerana ia mendapat permintaan tinggi untuk industri kecantikan dan kesihatan.- Gambar hiasan'. Laporan yang dipetik daripada Bandar Alor Setar, Kedah menyatakan apabila cadangan untuk mengeksport daun ketum ditolak kerajaan, Pihak Berkuasa Kecil Perusahan Getah (RISDA) tampil dengan langkah baharu iaitu menggalakkan pekebun kecil di negara ini menanam Pokok Guarana atau nama botaninya adalah Paullinia cupana. Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata langkah tersebut bagi memenuhi permintaan sebuah syarikat pengeksport buah guarana berpangkalan di Pulau Pinang sekali gus dapat membantu pekebun kecil menambah pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Beliau memberitahu, sya­rikat pengeksport buah gua­rana tersebut menerima permintaan tinggi hasil tanaman tersebut dari Jepun yang menjadikannya sebagai bahan asas produk kesihatan dan kecantikan. Harga buah guarana begitu tinggi di pasaran iaitu antara RM200 - RM300 sekilogram dengan setiap pokok boleh menghasilkan 50 kilogram buah guarana. Laporan ini menyebabkan penulis mencari informasi apakah yang dimaksudkan dengan pokok guarana ini sebagai satu tanaman memberi pendapatan tambahan. Artikel subuh ini saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok guarana untuk dikongsi bersama. Sebelum menulis artikel ini sempat mengunjungi Alexa counter dimana blog ini telah mendapat ranking 558,898 daripada 30 juta blog diseluruh dunia. Di Malaysia Alexa meletakkan ranking ke 6.

Penulis merujuk kepada beberapa sumber termasuk Wikipedia dimana tumbuhan ini dikenali sebagai Guarana atau Guaraná dengan nama saintifiknya sebagai Paullinia cupana. Ia juga mempunyai nama saintifik lain sebagai Paullinia crysan dan Paullinia sorbilis daripada famili Sapindaceae. Pokok guarana ialah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil. Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dimana ia terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi (Sila lihat foto disebelah). Daripada lamanweb yang dirujuk menunjukkan pokok ini menghasilkan buah yang berwarna kemerahan dan ada 'mata' dimana ia jelas dapat dilihat apabila cukup matang. Biji buah guarana yang diproses didakwa boleh dijadikan perangsang sistem saraf pusat untuk kesihatan tubuh. Bijinya mempunyai dua kali lebih kafein dari biji kopi(lebih kurang 2-4.5% kafein di dalam biji Guarana berbanding dengan hanya sekitar  1-2% untuk biji kopi (Coffea spp)Sepertimana tumbuhan lain yang mampu untuk menghasilkan bahan kafein (caffien) dimana ada kajian dimana sebenarnya ada bilangan tinggi konsentrasi kafein pada buah dan biji guarana menjadi pertahanan semula jadi bagi menghalau herbivor. Kegunaan buah daripada tumbuhan ini memang masih belum diketahui dikalangan orang Malaysia kecuali mereka yang pernah berkunjung dinegara dimana pokok itu ditanam. Apakah ia sesuai untuk ditanam di negara kita bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah?. Apakah tumbuhan ini tidak membawa penyakit dan perosak yang merbahaya kepada tanaman lain dinegara kita. Bagaimanakah nanti jika pokok ini berbuah dan amalan agronominya. Penulis kurang pasti kalau pihak tertentu di Malaysia mempunyai simpanan bahan tanaman pokok guarana ini.

Warna-warna buah guarana adalah menarik dalam kepelbagaian warna coklat kepada warna merah dan mengandungi biji berwarna hitam yang dilitupi oleh sesabut putih. Apa yang unik mengenai buah guarana adalah apabila dilihat warnanya dimana bila biji berwarna hitam itu dibelah-buka akan dilihat seperti 'biji mata' dan ini telah membentuk sebuah mitos (Sila lihat foto disebelah). Dinegara asal dari segi sejarah dan budaya dimana perkataan "Guarana" datang daripada perkataan Guarani bermakna "buah seperti mata-mata manusia". Dalam beberapa laporan didakwa pokok guarana juga boleh didapati di hutan hujan Amazon di mana suku Guaraní telah menanamnya sejak berabad lalu. Pokok Guarana ini juga ada memainkan peranan yang penting di dalam puak Tupi dan puak Guarani di Paraguay di dalam upacara keagamaan dan kebudayaan mereka. Mengikut kepercayaan puak Sateré-Maué, guarana telah mula ditanam secara domestik setelah berlakunya satu peristiwa pembunuhan seorang kanak-kanak kesayangan oleh dewa mereka. Untuk menenangkan keadaan, salah satu dari dewa mereka yang lebih kuat telah mencabut mata kiri kanak-kanak itu dan menanamkannya di dalam hutan tebal, hasilnya kepelbagaian variasi guarana. Dewa itu kemudiannya mencabut pula mata sebelah kanan kanak-kanak itu dan menanamkannya di dalam kawasan perkampungan; menambahkan lagi bilangan guarana domestik. 

Orang Guarani akan membuat teh herba daripadanya dengan memecahkannya, membasuh dan mengeringkan bijinya dan diikuti dengan menumbuk biji-biji itu menjadi serbuk yang halus. Serbuk halus itu akan diuli untuk membentuk rupa silinder. Produk ini dikenali sebagai roti guarana dimana ia kemudian dipotong untuk dimasukkan ke dalam air panas bersama dengan gula. Dari segi kajian makmal, setiap buah guarana mengandungi setiap sejuta bahan iaitu Abu (< 14,200), Kafein (9,100 - 76,000), Lemak (< 30,000), Guanine, Hypoxanthine, Mucilage, Protein (< 98,600), Resin (< 70,000), Saponin, Kanji (50,000 - 60,000), Tanin (50,000 -120,000), Theobromine (200 -400). Theophylline (0 - 2,500), Timbonine dan juga bahan Xanthine. Menurut Biological Magnetic Resonance Data Bank, guaranine adalah kandungan bahan kimia kafein di dalam guarana dan ia agak seiras dengan bahan kimia kafein yang diambil dari sumber lain sebagai contoh kopi, teh dan Yerba Mate. Guaranine, theine dan mateine adalah amat sinonim untuk kafein. Sumber asli kafein mengandungi pelbagai campuran kandungan xanthine, alkaloids, selain dari kafein, termasuk stimulan untuk kardiak seperti theophylline dan theobromine dan bahan lain seperti polyphenol di mana ia boleh membentuk kompleks penyahserapan bersama kafein. Bahan ini dijadikan bahan minuman terutama di Brazil dan USA sebagai satu pilihan lain daripada minuman kopi. Apakah kita di Malaysia akan memajukan tanaman ini seperi saranan pihak tertentu tersebut?. Hanya masa akan menentukan segalanya. Wasallam!!!.

TANAMAN LUAR NEGARA... GUARANA..
AAMERIKA SELATAN...ASAL VENEZUELA...
KANDUNGAN KAFIEN... AMAT BERHARGA...
MENULIS ARTIKEL... DIRUJUK SEMUANYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pantai Teluk Cempedak,
Kuantan, Pahang, Malaysia.
(17 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...